Wednesday 20 February 2019

KULIT MANGGIS BANYAK KHASIAT KEBAIKAN UNTUK KESIHATAN


Kulit manggis atau buah seto banyak manfaat. Kajian saintifik menunjukkan kulit manggis mengandungi pelbagai bahan bioaktif seperti asid fenolik dan flavonoids yang mempunyai aktiviti antipengoksida yang lebih tinggi daripada buah naga dan pisang. Komponen ini penting untuk merendahkan risiko penyakit kanser, kardiovaskular, dan saraf.

Selain itu, kulit manggis juga mempunyai sifat antibakteria untuk merencatkan pertumbuhan bakteria. Satu kajian saintifik yang diterbitkan dalam Journal of Clinical and Diagnostic Research pada 2017 menunjukkan bahawa kulit manggis boleh merencatkan pertumbuhan bakteria kerosakan gigi.

Kulit manggis juga mempunyai komponen fitokimia-mangostin dan mangostin yang mempunyai aktiviti antikerada­ngan. Aktiviti antikeradangan sesuatu komponen adalah sangat penting untuk merendahkan risiko penyakit radang usus, Alzheimer serta pelbagai jenis kanser dan penyakit kronik.

Komponen fitokimia yang memberi warna merah ungu kepada kulit manggis adalah antosianin. Antosianin merupakan pigmen semula jadi yang stabil terhadap haba dan telah lama digunakan dalam industri tekstil sebagai pewarna dalam pembuatan fabrik. Pigmen ini juga lebih stabil pada keadaan berasid berbanding beralkali.

Dalam industri kosmetik, ekstrak kulit manggis juga ba­nyak digunakan sebagai ramuan asas bertujuan membantu menghaluskan kulit wajah, menghilangkan parut muka serta mencerahkan kulit wajah yang kusam.

Secara tradisional, kulit manggis dijadikan masker wajah dengan mengisar kulit manggis bersama air secukupnya. Ramuan ini boleh disapu pada wajah selama 20 hingga 30 minit atau sehingga kering. 

No comments:

Post a Comment