Wednesday 13 February 2019

TANGGUNGJAWAB JAGA AGAMA


Menjadi kewajipan kepimpinan sebuah negara Islam menjaga agama. Beberapa langkah telah disebut oleh al-Mawardi sebagai asas penjagaan agama. Beliau menjelaskan kewajipan kepimpinan dalam karyanya al-Ahkam al-Sulthaniyyah: “Kepimpinan diasaskan bagi menggantikan tugas  kenabian dalam urusan menjaga agama dan mentadbir dunia (dengan agamanya)” 

Oleh itu, sistem pendidikan dan pelajaran yang membicarakan aspek tauhid, akidah dan kefahaman Islam yang benar mestilah menjadi teras agenda negara.Jika wujud fahaman yang menyeleweng, melampau atau sesat, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menghapuskan ajaran ini dengan hujah dan tindakan undang-undang.


Keamanan dan keselamatan merupakan perkara yang amat penting yang harus diberi tumpuan oleh pucuk kepimpinan sesebuah negara Islam. Untuk menjadikan sesebuah negara yang berdiri di atas landasan hukum-hukum Allah, pihak kerajaan seharusnya menyeru masyarakat kepada kebajikan dan mencegah daripada kemungkaran. 

Firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang maruf dan mencegah daripadayang munkar, mereka adalah orang-orang yang beruntung.”

Kepimpinan negara hendaklah menjaga kebajikan masyarakat walaupun semua perkara bukan semestinya percuma. Salah satu di sini ialah mengenai kawalan harga barang. Terdapat riwayat hadis menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak menetapkan harga syiling bagi sesuatu barang.

Peristiwa ini berlaku apabila berlaku satu peristiwa kenaikan harga barang pada zaman Nabi SAW. Para sahabat meminta Nabi menaikkan harga barang tersebut namun ianya ditolak oleh baginda kerana bimbang akan berlaku kezaliman terhadap para peniaga dan penjual.

Apa yang berlaku di sini bukanlah satu perkara yang mesti dipatuhi sepenuhnya tetapi wujud illah, sebab dan maqasid di sebaliknya. Apa yang jelas di sini kerajaan hendaklah berusaha menjaga kebajikan masyarakat. 

Al-Farabi menerusi bukunya al-Madinah al-Fadilah pernah menyebut tentang struktur pentadbiran negara Islam terbaik. Antara lain beliau menyebut bahawa negara terbaik menyamai struktur tubuh manusia yang sihat dan sempurna.

Setiap anggota mempunyai kelebihan sendiri, iaitu berlainan fitrah dan berlainan kekuatan. Demikian juga, umat Islam mempunyai fitrah semulajadi yang berlainan dan bekerja mengikut kebolehan masing-masing.

Mereka mestilah dipimpin oleh seorang ketua yang mulia dan dihormati di mana fungsi seorang ketua ialah memimpin rakyat dan mentadbir urusan negara dengan adilnya.

Di sini rakyat dan ketua mestilah bekerjasama untuk menjamin sebuah negara yang maju dan bertamadun.

No comments:

Post a Comment