Thursday 21 February 2019

PELUANG KERJA SISWAZAH


Peluang pekerjaan masih banyak untuk siswazah. Sebagai contohnya, lulusan bidang perakaunan sepatutnya tidak menganggur. Negara masih memerlukan berpuluh ribu lulusan perakaunan untuk memegang jawatan akauntant, auditor, eksekutif syarikat dan pengurus. 

Tetapi, mengapakah lulusan tersebut tersenarai antara jurusan paling ramai menganggur? Jawapannya mudah. Kebanyakan syarikat, dan firma perakaunan mementingkan pengalaman untuk mengambil pekerja baru.

Jawatan berkaitan perakaunan dan pengurusan kos amat penting. Kemampuan akauntant menentukan kejayaan syarikat. Jadi, pengalaman kerja amat penting. Untuk mendapat pengalaman, lulusan perakaunan perlu bekerja dari bawah. Bekerja dahulu di firman perakaunan dan audit sebagai pembantu.   

Sebenarnya boleh dikatakan semua bidang kerjaya profesional tidak terus memberi gaji yang tinggi kepada pekerja baru. Mereka profesional, jadi perlulah terlebih dahulu membuktikan kemampuan. Piawaian profesional amat tinggi.   

Untuk memperoleh kemahiran, mereka perlu melalui latihan di lapangan sebelum disahkan jawatan. Gaji permulaan yang ditawarkan juga reletif rendah. Malah, dalam kes tertentu mereka terpaksa mengambil peperiksaan disediakan badan khas.

Keadaan inilah dianggap membebankan oleh kebanyakan siswazah. Sebab itu, awal-awal lagi mereka tidak mahu menyertai kerjaya profesional. Mereka menjadi golongan elit di universiti mengikuti kursus bertaraf profesional, tetapi minda mereka masih di tahap amatur.

Disebabkan tidak mampu menghadapi cabaran kerjaya di sektor swasta, ramai mengharapkan menyertai sektor kerajaan. Tetapi, seperti semua sedia maklum, bilangan jawatan di sektor kerajaan amat terhad. Dalam jabatan tertentu, di setiap negeri hanya ada satu jawatan untuk pemegang ijazah.

Justeru, siswazah perlu keluar dari zon terlalu memilih pekerjaan. Bidang insurans, jualan langsung, perniagaan, pertanian, perikanan dan sebagainya membuka seluas-luasnya peluang pekerjaan kepada siswazah.

Bidang berkenaan memberi pendapatan lumayan bukan sahaja berkali ganda, bahkan berpuluh-puluh kali ganda berbanding di sektor kerajaan.

Umpamanya, pendapatan menyertai bidang insurans dan jualan langsung dalam tempoh beberapa tahun boleh mencapai pendapatan seorang pengarah agensi kerajaan yang hanya mampu dicapai pegawai kerajaan yang telah hampir sampai tempoh pencen. 

Apa yang penting ialah kesanggupan bekerja dan membuktikan kemampuan dalam akademik seiring dengan kemampuan sebenar dalam kerjaya. Masalah pengangguran siswazah tidak akan timbul jika semua siswazah tidak hanya tertumpu kepada sektor kerajaan dan swasta yang menjanjikan pendapatan tetap. 

No comments:

Post a Comment