Wednesday 20 February 2019

FAHAM MAKSUD MASA


Masa adalah kehidupan. Tanpa masa, hidup tidak bermakna. Tiada apa boleh dilakukan tanpa masa. Oleh itu orang hidup perlu menggunakan masa sepenuhnya. 

Sedangkan orang mati tidak memerlukan masa, kerana tidak ada apa boleh dilakukan olehnya. Sebab itu, mumia yang diawet beribu-ribu tahun lalu ‘hidup’ lama, tetapi tidak dapat melakukan apa-apa.

Tugas kita akan berakhir sebaik tibanya masa ajal. Jadi, kita perlu memanfaatkan sepenuhnya masa yang masih berbaki ini sebelum tertutup sepenuhnya peluang yang diberikan. Jika masa ajal telah tiba ia tidak sedikitpun boleh ditangguhkan lagi. 

Firman-Nya yang bermaksud: “Dan bagi setiap umat ada tempoh masanya (yang telah ditetapkan), maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka melambatkan walaupun sesaat, dan tidak dapat pula mereka mempercepatkannya.” (Surah al-Araf, ayat 34).

Kita perlu memahami konsep masa. Jika kita bertangguh atau melewatkan sedetik, maka akibatnya sedetik jugalah kita lewat dalam hal yang berkaitan. Diumpamakan seperti pengembara perlu bertolak secepat mungkin jika ingin cepat sampai ke destinasi. 

Daripada Ibnu Omar, sabda Rasulullah yang bermaksud: “Rasulullah memegang bahuku sambil berkata dengan sabdanya bermaksud: Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang pengembara. Jika kamu berada pada waktu petang, jangan tunggu sampai pagi. Jika kamu pada waktu pagi, jangan tunggu sampai petang. Gunakan peluang masa sihat sebelum sakit dan gunakan masa hidup sebelum tiba mati.” (Hadis riwayat Bukhari).

No comments:

Post a Comment