Thursday 21 February 2019

TIDAK MAMPU TUNAI JANJI


Pemimpin mesti berusaha menunaikan janji yang dibuat dengan bersungguh-sungguh. Jika ada janji yang tidak mampu ditunai, perlulah dijelaskan agar rakyat tidak ternanti-nanti. 

Mengakulah bahawa apa yang dijanjikan itu sebenarnya sekadar janji yang tidak mampu ditunaikan. Pada masa sama jangan sekali-kali menyalahkan rakyat atas untuk menutup kelemahan sendiri.  

Perbuatan sengaja berjanji sedangkan tidak mampu untuk dilaksanakan perlu dielak sama sekali. Setiap pemimpin hanya boleh berjanji jika yakin dapat menunaiknnya. Ingatlah tentang dosa dan pahala.    

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tanda-tanda seorang munafik itu adalah tiga perkara ialah apabila berjanji tidak ditunaikan, apabila bercakap dia berdusta dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Amat malang sekali terdapat pemimpin yang sengaja berjanji demi untuk meraih undi. Mereka tahu perkara yang dijanjikan itu tidak mungkin dapat dilaksanakan. Tetapi, pemimpin sedemikan berbangga dapat menaburkan janji dan memperbodohkan rakyat. 

Perkara ini berlaku disebabkan merasakan rakyat mudah diperbodohkan kerana ketaatan membabi buta. Buktinya, biarpun sudah banyak janji tidak ditepati, rakyat masih percaya kepda janji baru.  

Malah mana-mana pihak yang mengatakan janji itu tidak mampu ditunaikan akan dianggap sebagai musuh. Orang yang ingin menegakkan kebenaran dikatakan mengganggu urusan pentadbiran. 

Setiap pemimpin perlu ikhlas melihat dan menilai keupayaan sendiri. Jika perlu berundur, lepaskan jawatan dengan terhormat. Itu lebih baik daripada terus membiarkan diri menanggung beban yang nyata tidak mampu ditanggung.

Firman Allah SWT  dalam surah al-Anfaal bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan keatas kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." 

No comments:

Post a Comment