Tuesday 19 February 2019

Haram dera binatang

Islam amat tegas menentang sebentuk penderaan, bukan saja terhadap manusia, bahkan yang melibatkan haiwan. Dari Anas menjelaskan: “Rasulullah melarang daripada mengurung binatang sampai mati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah SAW pernah menyatakan hasrat membeli seekor unta yang tidak dijaga dengan baik oleh tuannya yang disifatkan satu penderaan terhadap unta itu. Unta yang diserahkan oleh tuan asalnya telah dibebaskan oleh Rasulullah SAW bagi menikmati kehidupan lebih baik.

Dalam hadis lain dijelaskan seorang perempuan masuk neraka disebabkan perbuatanya menyiksa seekor kucing yang ditambat tanpa diberikan makanan. 

Sekiranya penderaan terhadap binatang ditegah dilakukan, inikan pula terhadap manusia. 

Konsep kasih sayang perlu dihayati sepenuhnya. Kesannya akan melahirkan masyarakat yang bebas daripada penderaan. Perasaan kasih sayang akan menyebabkan seseorang sanggup berkorban melakukan sesuatu untuk mempertahankan orang dikasihi daripada perkara buruk.      

Orang yang mempunyai perasaan kasih sayang secara kolektifnya akan mewujudkan persekitaran hidup yang selamat untuk orang lain. Natijah daripada itu juga dirinya sendiri akan mendapat pengiktirafan keselamatan daripada orang lain.

Allah SAW menumbuhkan perasaan kasih sayang dalam hati setiap orang beriman sebagai benteng mencegah daripada melakukan perbuatan buruk. Kehidupan yang dibayangi dengan penderaan diumpamakan seperti berada di tepi jurang neraka.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janglah kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu dan janganlah bermusuh-musuhan.” (Surah Ali-Imran, ayat 103).

No comments:

Post a Comment