Tuesday 19 February 2019

IKLAN MAKANAN SEGERA

Pengaruh iklan adalah punca utama makanan segera diminati ramai di negara kita.  Iklan makanan segera banyak disiarkan di media elektronik dan media cetak. Iklan makanan segera adalah jenis iklan paling banyak menyumbang pendapatan iklan kepada stesen televisyen.

Iklan banyak mempengaruhi pengguna membuat pilihan dan secara tidak sedar mereka ‘terikat’ dengan sesuatu jenama. Pengeluar makanan segera terpaksa membuat iklan secara besar-besaran memandangkan terdapat persaingan. Kos iklan sebenarnya ditanggung oleh pengguna melalui kenaikan harga jualan.  

Iklan juga bertujuan memecah ‘tembok’ pemikiran penduduk di negara kita tentang makanan segera yang secara total bertentangan dengan amalan biasa pemakanan rakyat di negara kita.     

Tentulah sesuatu yang dianggap keterlaluan jika makan hidangan ayam goreng tanpa dimakan dengan nasi. Begitu juga dengan daging hancur yang dibentuk semula dimakan dengan roti, salad, keju dan sebagainya. Malah ada yang ragu-ragu hendak makan hot dog yang dikatakan mempunyai kandungan daging anjing berdasarkan perkataan ‘dog’ yang bermaksud anjing.

Iklan makanan segera di media elektronik menggambarkan betapa hebatnya dapat menikmati makanan segera. Keceriaan tidak terkata sehingga menjilat jari, perbuatan ekstrem, tanpa sedar dan impian fantastik banyak ditampilkan dalam iklan-iklan makanan segera di negara kita.

Tidak kurang juga iklan makanan segera menampilkan suasana hidup mewah dan gaya hidup moden. Satu gambaran hidup cukup ‘sempurna’ dan serba menjadi. Iklan seperti ini meletakkan satu status bagi sesiapa menikmati makanan segera.   

Iklan itu secara langsung mendorong seseorang untuk turut merasai status itu dengan hanya perlu membayar sejumlah wang dan menikmati hidangan yang lazat. 

Selain itu didapati majoriti iklan makanan segera menampilkan model kanak-kanak. Pendekatan itu dapat mempengaruhi kanak-kanak yang mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat dan didengari dilakukan oleh rakan sebaya. 

Kanak-kanak akan mengajak dan memujuk keluarga berkunjung ke restoran makanan segera untuk menikmati dan mengalami sama apa yang dilihat di dalam iklan. 

Desakan kanak-kanak biasanya mudah dipenuhi oleh ibu bapa, terutama di kalangan keluarga yang mampu menunaikannya. Sekali merasa makanan segera, kanak-kanak mudah terpikat dan ingin mengulanginya.  

Malah ibu bapa sering menjadikan ‘tawaran’ makan di restoran makanan segera sebagai hadiah, saat gembira, majlis keluarga dan sempena sambutan tertentu. Begitu besar sekali pengaruh makanan segera yang dianggap amat istimewa. 

Di sebalik kehebatan makanan segera, masyarakat kita sekarang ini berada dalam keadaan delima apabila makanan segera didapati memberi kesan buruk kepada kesihatan penggemarnya. Makanan segera dianggap sebagai pembunuh senyap.

Kementerian Kesihatan berusaha menyedarkan masyarakat tentang kesan buruk akibat budaya makanan segera. Malah, kementerian itu pernah mencadangkan kepada kabinet supaya mengharamkan penayangan iklan makanan segera di televisyen sebagai usaha untuk mengurangkan minat orang ramai terhadap makanan segera.

Namun, sekarang ini penayangan iklan makanan segera masih dibenarkan di televisyen dan seperti yang dijangka minat orang ramai terhadap makanan segera semakin bertambah. Budaya makanan segera akan terus menguasai minda masyarakat kita selagi iklan makanan segera menguasai dunia pengiklanan di negara kita.   

No comments:

Post a Comment