Wednesday 13 February 2019

BILA BOLEH LAWAT KUBUR?


Kehidupan di dunia hanya sementara, sedangkan kehidupan di akhirat yang kekal selama-lamanya.  Dunia adalah persinggahan untuk mencari bekalan kehidupan di akhirat. Peluang hidup mesti dimanfaatkan untuk melakukan kebajikan dan pahala.

Manusia bersifat mudah lupa dan lalai menjalankan tanggungjawab. Tambah lagi hidup dalam dunia yang kian materialistik dan hedonis. Tumpuan diberikan kepada usaha mencari kekayaan, biarpun dengan cara yang menyalahi syariat.

Manusia menjadi terlalu cintakan dunia dan takutkan mati. Sekarang ini sainstis bukan Islam berusaha mencipta alat atau ubat yang dapat menjadikan manusia hidup lebih lama. 

Allah SWT telah menjelaskan tentang usia manusia yang sepenuhnya berada di tangan-Nya. Allah SWT telah menetapkan usia setiap hamba-Nya tanpa dapat diubah lagi. Tidak siapa yang dapat mempercepatkan atau melambatkan saat datangnya ajal. 

Hal ini dijelaskan sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Tiap-tiap umat mempunyai batas masa, maka apabila telah datang ajalnya, mereka tidak dapat lambatkannya barang sesaat pun, dan tidak dapat (pula) mempercepatnya.” (Surah al-Araf, ayat 34).

Justeru, amalan menziarahi kubur dapat mengingatkan kepada kematian dan tidak lalai daripada menjalankan tugas beribadat kepada Allah SWT.   

Ketika berada di tanah perkuburan hendaklah memberi salam serta mendoakan kepada penghuni kubur.  Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Salam sejahtera ke atasmu wahai ahli kubur, semoga Allah SWT mengampunkan dosa kami dan dosa kamu, kamu adalah golongan perintis dan kami akan menuruti jejakmu.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Wanita dibenarkan melawat kubur biarpun Rasulullah SAW pernah melarangnya. Larangan hanya pada permulaan Islam kerana wanita masih terbawa-bawa amalan ketika kafir, yakni meratapi, meraung dan menjerit ketika menziarah kubur.

Terdapat hadis nasikh iaitu hadis yang datang kemudian membatalkan hukum yang ditetapkan oleh hadis yang terdahulu.

Diriwayatkan oleh Sulaiman bin Buraidah dari bapanya: “Rasulullah bersabda, dulu aku melarang kamu untuk berziarah kubur. Maka telah diizinkan bagi Muhammad untuk menziarahi kubur ibunya. Maka sekarang berziarahlah kamu, kerana hal itu akan mengingatkan pada hari akhirat.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Amalan menziarah kubur tidak hanya dilakukan pada hari hari. Ia boleh dilakukan bila-bila masa ada kelapangan. Kubur diziarahi tidak hanya terhad kepada kaum keluarga saja.

Elok jika kita lahirkan perasaan ingatkan mati setiap kali melalui kawasan perkuburan. Ingatkan kematian setiap kali melalui kawasan perkuburan juga satu terapi ketika memandu agar memandu dengan selamat. 

Kawasan perkuburan dikaitkan dengan seram dan menakutkan perlu diubah. Pengurusan kawasan perkuburan agar kelihatan bersih dan menyenangkan mesti dilakukan. Suasana ini akan mendorong amalan menziarah kubur dihidupkan. 

No comments:

Post a Comment