Monday 30 September 2019

SIFAT BAIK DI HATI PERLU DIZAHIRKAN


Sifat baik itu ada pada hati dan segala kebaikan hati itu kemudiannya akan dizahirkan melalui tindakan dan perbuatan.

Biasanya jika bertemu orang, kita suka akan kebaikannya, iaitu kelebihan dari segi (EQ, kecerdasan emosi atau Emotional Quatient) bukan kerana kecerdikannya atau kecantikannya dari segi (IQ, kecerdasan minda atau Intelligence Quotient).

Kecerdasan minda atau IQ senang diukur, kerana sudah terserlah berdasarkan pencapaian akademiknya. Manusia memiliki 10 inteligensia, iaitu lima interpersonal (fahami orang) dan lima interpersonal (fahami diri).

Sebab itu sangat penting di peringkat umur kanak-kanak kosong hingga tujuh tahun ini ibu bapa menyeimbangkan mendidik dan membangunkan IQ dan EQ mereka.

Dalam kita fokus memberikan sepenuh kasih sayang, perlu juga bina minda anak-anak dengan membuatkan mereka berfikir untuk membangunkan rasa atau emosi pada hatinya.

Supaya kita boleh menjadi orang yang ‘memberi perhatian’ bukan ‘mencari perhatian’.

Orang yang ‘memberi perhatian’ sentiasa menjaga hubungan sesama manusia daripada suka menerima kepada menjadi orang yang suka memberi. Tidak suka bersaing, tetapi suka bekerjasama. Tidak perlu dihormati, tetapi menghormati orang lain. Tidak sombong dan mementingkan diri tetapi sentiasa menjaga silaturahim. Tidak suka bercakap kehebatan tentang diri sendiri dan berasa dirinya sahaja yang betul.

Sebaliknya menjadi seorang yang suka mendengar tentang kehebatan orang lain dan menerima pandangan orang.

Orang yang ‘memberi perhatian’ tidak minta dia difahami, tetapi dia menjadi orang yang memahami keadaan orang sekelilingnya. Tidak mencari kebahagiaan, tetapi ingin memberi kebahagiaan. Jika hubungan silaturahim terjaga itulah punca kebahagiaan.

Sesungguhnya, orang yang paling bahagia ialah orang yang bahagia melihat orang lain bahagia. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Petikan tulisan: Prof. Datuk Dr Muhaya Mohamad 

CARA MOTIVASI DIRI CARI PERHATIAN


Satu situasi yang pasti berlaku dalam kehidupan seorang manusia ialah sama ada dia ‘mencari perhatian’ atau ‘memberi perhatian’.

Seseorang yang dipilih sama ada dalam menjalinkan silaturahim, dalam pekerjaan atau dalam berumah tangga kerana kepandaian atau rupa paras yang tampan serta seumpamanya, mungkin ia sesuatu yang membanggakan.

Namun, harus diingat bahawa kebanggaan itu tidak akan kekal lama. Alangkah eloknya jika kita dipilih dalam setiap itu kerana akhlak dan kebaikan.

Yang sering berlaku, orang yang ‘mencari perhatian’ suka melihat dan menilai orang. Sibuk memperbetulkan sikap orang tetapi tidak suka melihat dan menilai diri sendiri. Gemar menyebar aib orang tetapi menutup aib diri sendiri.

Orang yang ‘mencari perhatian’ sentiasa hidup dalam mimpi, tidak berpijak di bumi nyata, terpesona dengan puji-pujian orang. Sesungguhnya ‘bermimpi dalam hidup’ itu lumrah tetapi ‘hidup dalam mimpi’ itulah yang salah.

Sebab itulah perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan negara daripada tadika hingga universiti yang menekankan bahawa belajar bukan untuk menjadi pandai tetapi belajar untuk menjadi baik sangat dialu-alukan.

Oleh itu besarlah harapan kita sebagai warga Malaysia sistem pendidikan negara memberi tumpuan melahirkan generasi bermoral dan beretika yang akhirnya akan membentuk masyarakat baik dan berkasih sayang, tanpa mengira warna kulit.

Petikan tulisan: Prof. Datuk Dr Muhaya Mohamad

MOTIVASI DIRI, JADILAH PEMIMPIN BUKAN PENGIKUT

Orang yang lemah atau ‘orang yang keladak’, dia akan berkata: “Kehidupan berlaku, dan dia terpaksa menghadapinya.”.

Orang yang keladak ‘hidup dari luar ke dalam’. Suasana yang mempengaruhi kehidupannya, hingga mudah orang lain memperdayakannya. Orang seperti ini tiada keyakinan diri.

Oleh itu jadilah ‘pemimpin’ dan bukan ‘pengikut’, kerana orang yang tidak mampu memimpin dirinya sendiri, pasti tidak mampu memimpin orang lain.

Hanya mereka berkeyakinan tinggi mampu ‘mempengaruhi’ orang lain. Yang pasti, orang berkeyakinan diri ialah golongan yang tinggi harga dirinya dan suka menghargai orang.

Jadilah kita orang yang suka mencipta suasana yang baik. Suka menaikkan nama orang lain dan memberi peluang kepada mereka yang berpotensi untuk sama-sama berjaya mencipta nama dan mengecap kejayaan sama seperti kita.

Jom audit diri untuk menjadi golongan yang suka memuji dan tidak suka dipuji. Jadilah kita golongan yang suka ditegur, bersedia dan tidak takut kepada teguran kerana percaya bahawa kritikan itu akan dapat membuat penambahbaikan diri dan membetulkan kesalahan diri yang tidak disedari.

Petikan tulisan: Prof. Datuk Dr Muhaya Mohamad 

GUNA AKAL KAWAL HATI

Bagaimana caranya seseorang itu menggunakan fikiran dan mengawal hati, itulah yang akan menentukan kehidupannya. Dalam konsep pemikiran ‘Reset Minda’ diperjelaskan tentang dua situasi yang pasti berlaku dalam kehidupan seorang manusia setelah dikurniakan oleh Allah SWT akal (fikiran) dan hati (perasaan).

Pertama, sama ada ‘dipengaruhi’ atau ‘mempengaruhi’. Orang yang bijak atau ‘orang yang jernih’, selalu berkata: “Dia melakukan kehidupan.”

Jom audit diri, jika berasakan semua yang berlaku atas diri adalah hasil daripada pilihan sendiri, datang daripada pertimbangan akal dan hati positif, itu bermakna kita seorang yang mampu ‘mempengaruhi’ orang di sekeliling.

Formula ‘Reset Minda’, ‘ada–beri–dapat’ kerana wujudnya sikap positif dalam diri seseorang. Dengan itu dia boleh memberi sesuatu yang positif kepada orang di sekelilingnya.

Hasilnya dia akan mendapat respons disebabkan kehidupannya yang positif. Orang yang ‘hidup dari dalam ke luar’ adalah seorang yang kental semangat, tidak mudah dipengaruhi tetapi mampu mempengaruhi orang lain untuk menjadi baik.

Orang yang ‘hidup dari dalam ke luar’ mempunyai kekuatan dalam jiwa dan rohnya sendiri, sehingga tidak mudah dipengaruhi oleh persekitaran. Ini bermaksud diri kita yang mencipta suasana dengan menarik orang lain ke dalam suasana yang dicipta.

Petikan tulisan: Prof. Datuk Dr Muhaya Mohamad 

PELAKU JENAYAH TIADA KAITAN DENGAN AGAMA


Umat Islam perlu menunjukkan contoh yang baik, bukan mencari salah atau mencetuskan pergaduhan. Sekiranya wujud insiden menimbulkan perselisihan, ia perlu ditangani dengan bijaksana.

Perkara salah dan dianggap jenayah sepatutnya dilihat sebagai perbuatan menyalahi undang-undang, bukan mengaitkannya dengan kaum atau agama pelaku.

Justeru, jika yang melakukan jenayah itu orang Islam atau orang bukan Islam, jangan sekali-kali dikaitkan keseluruhan bangsa kerana individu yang melakukan perbuatan itu yang perlu dihukum.

Jika pelaku jenayah itu dalam kalangan orang bukan Islam, individu terbabit yang patut dihukum dan bukan seluruh bangsanya.

Andai ada orang Islam yang sengaja melakukan perkara menyakiti orang bukan Islam, kenapa hendak menarik kemarahan terhadap semua orang Islam?

Masalah sekarang, apabila timbul sesuatu perkara termasuk jenayah, kita melihat dari sudut selain kesalahan undang-undang. Ini ditambah ada pihak sengaja memanaskan keadaan.

Rasulullah SAW melarang umat Islam menghina agama lain atau mencampuri urusan agama mereka seperti Baginda menegaskan bukan Islam tidak boleh mencampuri urusan Islam.

Islam sejak awal sudah membuat penegasan mengenai hubungan dengan penganut agama lain. Firman Allah SWT: “Untukmu agamamu, dan untukku, agamaku.” (Al-Kafirun: 6) 

JANGAN CAMPURI URUSAN AGAMA LAIN

Islam sebagai agama Rahmatan Lil Alamin (rahmat kepada seluruh alam), tidak ada masalah dengan isu bangsa atau agama. Islam telah menjelaskan secara terbaik perlu difahami umat Islam untuk berurusan sesama saudara seagama serta yang bukan Islam.

Islam sejak awal sudah membuat penegasan mengenai hubungan dengan penganut agama lain. Firman Allah SWT: “Untukmu agamamu, dan untukku, agamaku.” (Al-Kafirun: 6)

Justeru, perihal agama tidak boleh ada tawar-menawar kerana umat Islam mengakui dan meyakininya sebagai agama benar tetapi menerima hakikat pemberian hidayah dan kesesatan itu milik Allah SWT.

Persoalan sekarang, bagaimana untuk hidup dalam negara yang bukan sahaja berbilang kaum, bahkan berlainan agama.

Kita perlu menghayati apa ditekankan ulama mengenai hubungan sesama Muslim dan hubungan dengan bukan Islam.

Ajaran Islam menetapkan umat Islam menjalinkan hubungan dan mengiktiraf kewujudan bersama dengan mengamalkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi serta pengurusan.

Kita boleh bekerjasama, bertolak ansur dan berbincang mengenai pembangunan ekonomi seperti kita lakukan sebagai rakyat berbilang bangsa serta agama.

Namun dalam perkara berkaitan agama, orang Islam tidak boleh campur tangan dalam urusan agama lain dan begitulah sebaliknya. Setiap penganut perlu menghormati prinsip dan dasar dalam hidup bersama. 

Sunday 29 September 2019

TAWAKAL BERSERAH SEPENUH HATI SETELAH BERUSAHA


Umat Islam disuruh bertawakal kepada Allah dengan bersungguh-sungguh.

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Seandainya kalian bertawakal kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, Allah akan memberi kalian rezeki sebagaimana Allah memberi rezeki kepada seekor burung yang pergi dalam keadaan lapar dan kembali dalam keadaan kenyang.”

Ibnu Rajab menyatakan bahawa hakikat tawakal adalah: “Benarnya penyandaran hati kepada Allah SWT dalam meraih maslahah dan menolak mudarat berhubung urusan dunia dan akhirat, menyerahkan semua urusan kepada Allah SWT, serta pengukuhan iman bahwa tidak ada yang memberi, menghalang, memudaratkan dan memberikan manfaat kecuali Dia.”

Tawakal secara mudahnya ada berserah kepada Allah SWT sepenuh hati setelah berusaha bersungguh-sungguh. Sama ada Allah SWT mengabulkan doa yang diminta ataupun tidak, seorang hamba menerimanya dengan hati yang lapang.

PERLU BERDOA DENGAN PENUH PERASAAN

Berdoa dengan penuh perasaan adalah satu kelaziman bagi seseorang. Tambahan pula seseorang Muslim yang amat mengharapkan kepada sesuatu, takut akan terjadi sesuatu, maka berdoa kepada Allah SWT adalah langkah yang utama. 

Risau dan takut ketika berdoa dan ketika memikirkan dosa adalah perkara biasa bagi seorang manusia, bahkan itulah antara sifat seorang Mukmin.

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Sesungguhnya seorang Mukmin itu melihat dosa-dosanya seolah-olah dia berada di kaki sebuah gunung, dia khuatir gunung itu akan menimpanya. Sebaliknya, orang yang derhaka melihat dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, dia mengusirnya dengan tangannya, maka lalat itu terbang.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no, 6308)

Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya mereka itu (para Nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan. Dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap dan rasa takut. (Surah al-Anbiya, ayat 90)

Ayat di atas ini sebelumnya menceritakan berkenaan beberapa orang para Nabi dan juga permintaan yang mereka lakukan. Nabi Ayyub berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan kesembuhan kepada penyakit yang menimpanya, lalu Allah mustajabkan.

Nabi Yunus  berdoa supaya diselamatkan dari musibah yang menimpa dirinya ketika berada di dalam perut ikan Nun, kemudian Allah mustajabkan doanya.

Berikutnya, Nabi Zakaria  juga berdoa supaya dikurniakan zuriat, lalu Allah SWT memustajabkannya dengan mengurniakan Nabi Yahya sebagai anak.

Ketiga-tiga para Nabi ini dimustajabkan doa mereka kerana berdoa dalam keadaan penuh harap dan takut kepada Allah SWT.

AMBIL PELUANG LAKUKAN KEBAIKAN BIARPUN KECIL


Allah memberi peluang kepada hamba-Nya baik miskin atau kaya, yang memiliki kesempatan melakukan amal kebajikan dan mendapat keredaan.

Sesuatu amal tidak dilihat daripada sudut kuantiti, sebaliknya kualitinya, iaitu motivasi dan niat.

Saat paling berbahaya kepada akal manusia adalah apabila tidak yakin untuk melakukan kebaikan. Perasaan takut akan gagal dan tidak dihargai pihak lain merupakan musuh utama untuk seseorang melakukan kebaikan.

Jika perasaan itu terus dibiarkan bersarang di dalam fikiran, seseorang akan terjerat dalam kelalaian dan kemalasan. Kemalasan dalam melakukan kebaikan tidak pernah membawa kepada kebaikan, sebaliknya membawa lebih banyak keburukan.

Apabila diri terus dikuasai perasaan malas, maka hati terus keras dan jauh dari kebaikan. Sebaliknya, perkara buruk akan lebih mendampingi diri sehinga hidup dipenuhi dengan perkara buruk.

Ubatilah ia dengan kerja keras, segera dan ikhlas supaya waktu kita dilimpahi berkat dan rahmat Ilahi. Kuburkan waktu terluang dengan kesibukan dan amalan salih berterusan. Sesiapa sahaja berhak melakukan kebaikan biarpun kecil.

FITNAH TERHALANG JIKA BANYAK MELAKUKAN KEBAIKAN


Fitnah berlaku tanpa diketahui sebabnya dan merebak dalam kehidupan tanpa disedari. Apabila wabak fitnah menular dalam masyarakat, maka ia akan menjadi-jadi sehingga menjadi satu budaya.

Ketika itu, fitnah sudah dianggap sebagai senjata untuk melawan dan mempertahankan diri. Masyarakat tidak dapat lagi menghalang perbuatan itu dan berasakan sesiapa sahaja perlu melakukannya.

Ketika itu, manusia sibuk menghadapi fitnah hingga terhenti amalan kebaikan yang sepatutnya dilakukan demi menjamin kejayaan dunia dan akhirat.

Dahsyatnya fitnah dan malapetaka hingga Muslim menjadi Mukmin sebelah pagi dengan menunaikan solat dan ibadat serta mendirikan syiar Islam tetapi petangnya, kufur kepada Allah SWT.

Kelemahan iman menyebabkan seseorang menjual agama semata-mata ingin mendapatkan habuan dunia sementara.

Akhirnya, neraca penilaian dalam diri menjadi songsang hingga melihat dunia sebagai matlamat utama, sedangkan akhirat seolah-olah tiada nilai.

Dahsyatnya hal itu menyebabkan iman Muslim berbolak-balik kerana fitnah amat berbahaya dan bergerak pantas.

Sekali kita membiarkannya, ia akan terus bertapak dan berkembang dalam diri dan masyarakat.

Pintu fitnah boleh ditutup dengan segera bertaubat. Perbanyakkan amal salih dan membenci apa juga bentuk amalan buruk biarpun kecil.

SEGERA LAKUKAN KEBAIKAN TANPA BERTANGGUH


Manusia diperintahkan melakukan kebaikan dan menjauhkan perbuatan mendatangkan keburukan. Amalan itu perlu disegerakan jika ada kesempatan melakukannya.

Allah SWT berfirman: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal baik untuk mendapat) keampunan Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang keluasannya segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa”. (Ali Imran: 133)

Allah SWT memberi panduan supaya Muslim tetap mengisi masa selepas menunaikan sesuatu amalan dengan amalan lain yang berfaedah dan berkebajikan.

Firman-Nya: “Kemudian apabila engkau selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih lain). (Al-Insyirah: 7)

Dengan kata lain, kita tidak hanya berpuashati dengan kebaikan yang telah dilakukan. Sebaliknya akan terus berusaha melakukan kebaikan itu berulang-ulang dan meningkatkan tahap kebaikan itu.

Sesungguhnya, masa tidak menanti kita. Kita perlu mengisi masa dengan melakukan kebaikan. Apabila berpeluang melakukan kebaikan, maka bersegeralah.

Sikap menangguhkan tugas yang perlu dilakukan akan membawa kepada kesan buruk. Semakin lambat menyelesaikan masalah, kemajuan akan terencat, sedangkan semakin cepat menerajui aktiviti, kemajuan segera berada di depan mata.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang suka melambat-lambatkan pekerjaannya, maka tidak akan disegerakan hartanya”. (HR Muslim)

Dalam hadis lain, perintah bersegera melaksanakan kebaikan disampaikan Baginda: “Segeralah melakukan amal salih (kebajikan), (kerana) akan berlaku fitnah seumpama malam gelap-gelita. Dalam keadaan itu, terdapat seseorang pada paginya mukmin, petangnya menjadi kafir. Begitu juga sebaliknya seseorang yang petangnya kafir, kemudian paginya, menjadi Mukmin. Dia menjual agamanya demi kepentingan dunia sedikit.” (HR Muslim)

CARA TEKNIK BERDOA


Satu panduan yang cukup baik daripada Imam al-Qurtubi berkaitan 'teknik' dan 'cara' berdoa. Menurut beliau: "Adalah wajar bagi seseorang individu menggunakan doa-doa di dalam Al Quran dan hadis-hadis yang sahih serta meninggalkan selainnya.

Janganlah dia mengatakan, ‘Saya telah memilih doa sendiri.’. Ini kerana Allah SWT telah memilihkan pelbagai doa kepada nabi dan para wali-Nya dan mengajarkan kepada mereka bagaimana sewajarnya mereka berdoa.”

Jika ada teknik berdoa yang tepat yang menjamin kemakbulan doa, ini bermakna kaedah berdoa Nabi SAW adalah tidak tepat kerana pernah doa Nabi SAW tidak dimakbulkan.

Maksudnya: Nabi pernah melakukan solat yang amat panjang. Melihat hal tersebut para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah. Engkau solat bukan seperti biasa.”

Baginda menjawab, “Ya, benar. Solatku itu adalah shalat raghbah (penuh harap) dan rahbah (takut kepada-Nya). Dalam solatku itu aku memohon kepada Allah 3 perkara, Dia mengabulkan dua perkara sedangkan satunya lagi tidak dikabulkan.

 Aku memohon agar umatku tidak binasa oleh bencana kelaparan, maka Dia mengabulkan permohonan ini. Aku memohon agar umatku tidak dikuasai oleh musuh dari luar mereka, Dia pun mengabulkannya. Namun ketika aku memohon agar umatku tidak merasakan kekejaman sesama mereka sendiri, Dia tidak mengabulkannya.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 2175)

Nasib yang berlaku dalam hidup manusia tidak berlaku dengan usaha manusia semata-mata sebaliknya ia adalah kehendak Allah SWT. Manusia hanya mampu berusaha dalam keadaan mengakui potensi dan kelemahan diri tetapi yang menentukannya adalah Allah SWT.

Inilah sebagai yang dijelaskan oleh Imam al-Sanusi dalam al-Muqaddimat dan inilah kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ketakutan Nabi SAW ketika berdoa lebih jelas ketika peristiwa Perang Badar.

Saidina Umar al-Khattab menceritakan: “Ketika Perang Badar, Rasulullah SAW melihat kepada kaum musyrikin dan mereka berjumlah 1000 orang sedangkan para sahabatnya berjumlah 319 orang, lalu Nabi SAW menghadap ke kiblat, mengangkat tangan berdoa kepada Tuhannya:

‘Ya Allah, penuhilah bagiku apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, datangkanlah apa yang telah engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, jika Engkau hancurkan golongan Muslim, Engkau tidak akan disembah di muka bumi ini.’

Maka terus Rasulullah SAW berdoa kepada Tuhanya dengan mengangkat kedua tangan menghadap kiblat, sampai terjatuh selendangnya dari kedua bahunya.

Maka datanglah Abu Bakar dan mengambil selendangnya serta memakaikan kembali di atas bahunya dan menguatkan di belakangnya sambil berkata, “Wahai Nabi Allah, cukuplah permohonanmu kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia akan memenuhi bagimu apa-apa yang telah dijanjikan kepadamu.’

Lalu turunlah ayat: “(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: ‘Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut.” (Surah al-Anfal: 9)

Maka Allah mendatangkan bantuannya dengan kedatangan para malaikat. (Riwayat Muslim, no. 1763)

Jelas dalam doa Nabi SAW, kerisauan dan kebimbangan Baginda akan kekalahan tentera Islam. Dengan izin-Nya, doa tersebut makbul dan tentera Islam beroleh kemenangan. 

Saturday 28 September 2019

PEMILIK JENAMA MAHKOTA PENGELUAR PRODUK MASAKAN

Mahkota adalah jenama produk masakan yang terdiri daripada kicap pekat, kicap cair, sos cili, sos tomato, sos tiram, minyak bijan dan perencah.

Jenama Mahkota dimiliki Syarikat Edaran Mahkota Sdn Bhd yang berpengkalan di Sungai Buloh, Selangor. Syarikat Edaran Mahkota Sdn Bhd dimiliki oleh orang bukan Islam. 

Jadi, jenama Mahkota bukan keluaran pengusaha Muslim. Biarpun pada pelekat di botol jenama Mahkota terdapat tulisan jawi, ia tidak mencerminkan ia produk Muslim. 

LARANGAN PENYERUPAAN DENGAN AGAMA LAIN


Terdapat dua bentuk maksud larangan penyerupaan dengan agama lain. Adakalanya ia bermaksud haram dan adakalanya bermaksud makruh.

Berkata Imam Ibn Salah (w.643H) rahimahullah: “Maka sesungguhnya barangsiapa yang menyerupai satu kaum itu maka dia seakan-akan sebahagian daripada mereka. Penyerupaan dengan orang kafir, terkadang menjadi makruh, dan terkadang menjadi haram. Perkara tersebut kembali kepada keketaraan yang ada pada penyerupaan itu, sama ada sedikit atau banyak. Wallahua`lam."

Contoh bagi penyerupaan yang haram adalah berakidah dan beribadah dengan cara Nasrani atau Yahudi.

Firman Allah SWT bermaksud: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 120)

Begitu juga dengan penyerupai kelakuan dan pakaian ahli muzik yang lazim dengan maksiat seperti minum arak.

Manakala contoh penyerupaan yang makruh ialah jika penyerupaan itu sedikit, atau daripada sudut yang kecil sahaja, penyerupaan itu dihukumkan makruh.

Contohnya seperti melakukan qaza’ (memotong atau bercukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain).

Perbuatan makuruh yang lain ialah melumurkan kepala bayi selepas bercukur dengan darah aqiqah kerana mengikut adat Jahiliyyah.

Begitu juga puasa secara tunggal pada hari Jumaat kerana orang Nasrani dan Yahudi mengkhususkan ibadah pada hari Khamis dan Jumaat.

Ada pengecualian bagi larangan ini apabila suatu pakaian atau perbuatan itu tidak lagi melambangkan bukan Islam dan fasiq. Kesannya, suatu perlambangan itu boleh berubah menjadi harus.

Berkata Imam al-Bujairimi dalam isu membayar kafarah dengan memberikan kain tailasan/tayalisah: “Dan disebabkan pemakaian al-tayalisah pada masa kini bukan lagi menjadi syiar mereka (Nasrani dan Yahudi), bahkan sudah diangkat pada zaman kita dan berubah menjadi salah satu yang termasuk dalam perkara umum yang diharuskan.

Betapa perkara ini telah disebut oleh Ibn Abd al-Salam dalam bidah-bidah yang dibenarkan. Berkata Ibn Hajar: Apabila sudah menjadi simbol bagi suatu kaum (yakni golongan yang baik-baik seperti ulama) maka dengan meninggalkannya pula akan menghilangkan maruah.”

Daripada sudut sejarah, pemakaian tayalisah dalam Bahasa Arab atau tallit dalam Bahasa Ibrani iaitu kain penutup kepala ini, adalah syiar kaum Yahudi.

Maka hukum asalnya adalah makruh, seperti kata Syeikh al-Samhudi al-Syafie. Namun apabila kebanyakan mereka sudah meninggalkan pakaian ini sebagai simbol agama, ia berubah menjadi pakaian yang umum sehingga sebahagian ulama menjadikannya sebagai simbol mereka yang boleh mengajar dan berfatwa, dan diijazahkan pemakaiannya.

Pakaian jenis ini adalah harus dan tidak termasuk dalam larangan syarak meniru kaum lain. Pada hari ini, contohnya pemakaian baju berkot dan tali leher tidak lagi dianggap sebagai peniruan bersifat agama atau kefasikan. Hukum memakainya adalah harus.

Di sini, dapat kita fahami bahawa penyerupaan dalam bentuk ibadah atau keagamaan dengan agama-agama lain adalah haram.

PERAYAAN SAI PREET MASYARAKAT SIAM

Setiap kaum ada amalan agama atau kepercayaan mereka. Salah satu perayaan untuk masyarakat Siam sama ada di Selatan Thailand mahupun yang tinggal di Malaysia ialah perayaan Sai Preet dan Song Preet.

Ikuti catatan Beng Khieu di FB:

PERAYAAN SAI PREET DAN SONG PREET NI BUKANLAH AJARAN BUDDHA. TAPI TAK SALAH DIAMALKAN KERANA IANYA BERBENTUK MEMBERI DANA PADA MAKHLUK-MAKHLUK HALUS YANG MENERIMA HUKUMAN ATAS APA YANG MEREKA LAKUKAN MASA HIDUP JADI MANUSIA.

IANYA UMPAMA PERAYAAN CHENG BENG BAGI KAUM CINA. UNIKNYA HANYA DIAMALKAN DI MALAYSIA DAN SELATAN THAI SAHAJA JIKA TAK SILAP AMO.

MASA KECIK DULU AMAT SUKA BILA TIBA PERAYAAN INI. LEPAS PARA BIKKHU BERSANTAP, MULALAH ACARA MENGUKAH TIANG-TIANG GERAI YANG DILETAKKAN PERSEMBAHAN UNTUK PARA PREET INI.

LAZIMNYA BUKAN MAKANAN YANG DICARI TAPI DUIT YANG DILETAKKAN BERSAMA. DAPAT 20 SEN PUN MASA TU DAH BESAR NILAI BAGI KITA BUDAK-BUDAK NI.

SEMINAR MOTIVASI TIDAK MENEPATI DISIPLIN ILMU AKIDAH


Lambakan motivator yang membawakan tema keagamaan dari satu sudut, memberikan impak positif kepada suasana beragama di Malaysia.

Walaubagaimanapun, ada beberapa kelompangan daripada sudut yang lain terutamanya daripada aplikasi sumber yang kurang menepati disiplin ilmu terutamanya dalam akidah dan syariah.

Antara contohnya adalah Fatwa Berkenaan Dengan Kursus ESQ Leadership Training Dan Fahaman Yang Seumpama Dengannya yang telah diwartakan pada tahun 27 Ogos 2009 oleh Majlis Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan dalam Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-75.

Mendakwa sesuatu sebagai ajaran agama tidak boleh dilakukan sewenangnya. Apa sahaja yang disandarkan kepada agama, hendaklah dibawakan buktinya sebagaimana kaedah menyebut: “Sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti.”

Perlunya pihak-pihak berwajib seperti Pertubuhan Perunding Latihan & Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN) untuk duduk semeja bagi menyelaraskan dan mengemaskini modul-modul latihan dan motivasi agar ianya berada atas landasan al-Quran dan al-Sunnah serta apa sahaja yang bersesuaian tanpa bercanggah dengan kedua-duanya.

Masalah-masalah berhubung Syariat Islam dalam seminar motivasi dan pembangunan diri, tidak hanya tertumpu kepada seminar tertentu sahaja, tetapi mungkin juga berlaku dalam seminar-seminar yang lain.

Dalam membahaskan sesuatu isu hukum, memahami hakikat dan realiti semasa sesuatu yang ingin dihukumkan itu adalah amat penting. Kaedah fiqh menyebutkan: “Menghukum sesuatu perkara adalah cabang daripada gambaran mengenainya.”

Ertinya, mana-mana pihak tidak boleh menjatuhkan hukum terhadap suatu perkara melainkan setelah pihak tersebut memahami gambaran sebenar akan perkara yang dibincangkan itu.

Nasihat Kepada Penggemar Motivator dan Perunding Latihan Muslim
Motivator dan agamawan bukanlah berada pada kelompok yang sama.

Begitu juga jika dilihat dengan lebih teliti, pendakwah juga ada yang berlatarbelakangkan agama dan sebaliknya. Tahap kefahaman dalam agama juga adalah berbeza bergantung kepada latarbelakang pendidikan, pengalaman dan usaha mereka sendiri dalam memahami ilmu agama.

Justeru, tidak wajar bagi audien untuk menerima segala-galanya tanpa menilai semula apa yang didengari daripada motivator dan perunding latihan. semata-mata kerana mereka menggunakan ayat-ayat al-Quran dan Hadith.

Kaedah ini difahami daripada nas-nas al-Quran, antaranya sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Isra ayat 36 bermaksud: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

Syeikh Muhammad Amin al-Syanqiti menjelaskan bahawa dalam ayat ini Allah SWT menegah manusia daripada mengikuti sesuatu tanpa ilmu.

Syeikh Abdurrahman al-Sa’di pula mengatakan ia bermaksud supaya manusia tidak melakukan sesuatu tanpa ilmu, bahkan perlu memastikan kebenaran setiap apa yang dikata dan dilakukan. Sesungguhnya itu merupakan petanda kepada pendapat yang baik dan kekuatan berfikir.

Hal inilah yang memerlukan satu usaha awal daripada orang awam yang berminat dan seminar dan kursus sebegini untuk memantapkan asas-asas agama terlebih dahulu sebelum mengikut mana-mana seminar motivasi dan pembangunan diri.

ikuti kupasan panjang lebar di sini: 

TAMBAH ILMU UNTUK BERDAKWAH


Sesiapa sahaja perlu lebih berhati-hati dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Elok kita berkongsi satu kisah.

Kisah ini berkenaan dengan anak murid Imam Abu Hanifah yang amat cemerlang iaitu Imam Yaqub bin Ibrahim al-Ansari yang mashyur dengan panggilan Abu Yusuf.

Pada suatu hari, Imam Abu Yusuf merasakan ilmu yang dimilikinya sudah mencukupi. Sudah sampai masanya beliau keluar berhadapan dengan masyarakat bagi menjawab persoalan-persoalan agama.

Beliau meninggalkan majlis ilmu Imam Abu Hanifah dan membuka majlis ilmunya sendiri. Dalam majlis ilmu itu, Imam Abu Yusuf  mempersilakan setiap orang untuk menimba ilmu atau mengajukan soalan kepadanya.

Mengetahui perkara ini, Imam Abu Hanifah berniat untuk menyedarkan muridnya itu. Beliau mengutuskan seseorang ke majlis Imam Abu Yusuf dengan beberapa soalan untuk mengujinya.

Orang itu bertanya kepada Imam Abu Yusuf: “Saya menyerahkan sepotong kain ini kepada seorang penjahit untuk dijadikan baju. Apabila saya tanyakan, penjahit itu mengingkari pernah menerima kain daripada saya. Namun keesokannya, dia memberikan saya kain itu yang dijahit menjadi baju. Soalan saya, apakah ia berhak menerima upah?”

Abu Yusuf menjawab: “Dia berhak menerima upah.” Orang itu berkata: “Jawapanmu salah.” Abu Yusuf mengubah jawapannya: “Dia tidak berhak menerima upah.” Orang itu kembali berkata: “Jawapanmu salah.”

Abu Yusuf menjadi sangat keliru. Orang yang dilatih oleh Imam Abu Hanifah ini lalu berkata: “Jawapan yang benar adalah, jika baju itu dijahit sebelum dia menolak untuk menerima kain, maka dia berhak menerima upah. Namun jika kain itu dijahit setelah dia menolak untuk menerima kain, maka dia tidak berhak.”

Orang ini terus mengajukan beberapa soalan lain. Setiap kali Abu Yusuf menjawab, dia menyatakan bahawa jawapan itu salah lalu mengemukakan jawapan yang tepat.

Perbincangan tersebut berjaya menyedarkan Abu Yusuf akan kejahilan dirinya. Dirinya ternyata belum layak menjadi seorang ulama, malah masih banyak yang perlu belajar lagi daripada gurunya.

Akhirnya, beliau memutuskan untuk kembali ke majlis ilmu Imam Abu Hanifah untuk melanjutkan pengajiannya.

Imam Abu Yusuf menyedari kekurangannya lalu Imam Abu Hanifah menegurnya: “Kamu telah menjadi kismis sebelum menjadi anggur.”

Semoga kisah yang ringkas dengan makna mendalam ini, dapat difahami oleh kita semua agar tidak tergesa-gesa untuk menyampaikan ilmu dalam keadaan tidak betul-betul bersedia.

Thursday 26 September 2019

BERAPA PERLU BAYAR KOS OKSIGEN


Seorang lelaki berumur 78 tahun jatuh akibat dari keletihan dipindahkan ke hospital swasta di Riyadh dan diberi bantuan oksigen selama 24 jam.

Setelah beberapa jam keadaannya bertambah baik, doktor menyerahkan bil 600 Riyal kepadanya.

Bila dia lihat bil tersebut dia mula menangis. Doktor pujuk dia supaya jangan menangis atas sebab bil itu..

Orang tua itu menjawab: "Saya tidak menangis atas sebab bil, saya boleh bayar jumlah bil tersebut. Saya menangis sebab menggunakan oksigen selama 24 jam saya perlu bayar 600 Riyal sedangkan menyedut oksigen kepunyaan Tuhan selama 78 tahun saya tidak buat sebarang bayaran... awak tahu berapa saya hutang Dia?

Doktor menundukkan kepalanya, dia menangis. Berapa tahun sudah kita menyedut oksigen tanpa membayar bil pujian dan berterima kasih setaraf dengan kemulian Nya dan keesaan kuasa Nya.

Ambillah sedikit masa untuk sedar perlunya berterima kasih kepada Allah. 

TAWAS HILANGKAN BAU BADAN


Tawas adalah kelompok garam berhidrat berupa kristal sebagai bahan yang mampu menghilangkan masalah bau badan secara alami.

Antara kegunaan tawas ialah;
- Untuk mengatasi masalah bau badan, terutama bawah ketiak.
- Mencerahkan kulit bawah ketiak dan celah paha.
- Melembutkan bahagian bawah ketiak dan celah paha.
- Menghilangkan bulu-bulu halus di badan.
- Mengurangkan rasa gata di bahagian badan.
- Antibakteria

Penggunaan tawas bukannya terus kerkesan 100 peratus. Kalau hendak mencerah kulit bawah ketiak dan melembutnya, perlu mengambil masa. Ia perlu diguna secara berterusan.

Namun tidak sukar untuk diamalkan. Niat untuk mencerahkan dan menghaluskan kulit bawah ketiak sebenar dilakukan bersama-sama tujuan untuk mengatasi masalah bau ketiak dan badan yang tidak menyenangkan.

Begitu juga untuk mengurangkan bulu ketiak, dapat dilakukan untuk tujuan menghilangkan bau badan, menghaluskan dan memutihkan bawah ketiak dan menghapuskan bakteria.

Jadi, ia memberi kesan berganda untuk pelbagai tujuan.

Cara penggunaan:
Tawas ketul digunakan dengan cara membersihkan kawasan yang ingin ‘dirawat’ atau membasahkan. Sebab itu, sesuai diamalkan selepas mandi. Tidak perlu lapkan kawasan yang ingin disapukan tawas. Basahkan tawas dan terus disapukan kepada bahagian berkenaan. Biarpun ia kering dengan sendiri.

Dapatkan tawas secara dalam talian. 
Mudah cepat murah. 
Klik pautan di bawah.


Wednesday 25 September 2019

PROPOLIS DAMAR KELULUT KAYA KHASIAT


Propolis atau damar kelulut mempunyai banyak kebaikan untuk kesihatan jika diamalkan. Propolis mempunyai dua fungsi iaitu sebagai makanan tambahan dan perawatan.

Sebagai suplemen, propolis membekal zat, vitamin dan mineral lengkap, pada tubuh, yang mungkin tidak mencukupi pada diet pemakanan kita setiap hari. Zat, vitamin dan mineral yang terdapat pada propolis akan memenuhi kekurangan tersebut.

Untuk tujuan perawatan, propolis berfungsi sebagai pembunuh kuman, virus, bakteria dan anti-oksidasi yang terdapat pada propolis membantu merawat berbagai penyakit-penyakit merbahaya pada masa kini.

Propolis dihasilkan oleh kelulut sama seperti madu yang dihasilkan oleh lebah. Ia semulajadi dari tumbuhan. Sesuai untuk bayi, kanak-kanak remaja, dewasa dan tua. Sekiranya anda ragu-ragu, sebaiknya, merujuklah pada doktor dan pakar pemakanan anda terlebih dahulu.

Keberkesanan penggunaan propolis bergantung kepada individu. Tidak ada satu tubuh yang serupa. Dari laporan yang diterima, ada pengguna yang mendapat kesan serta-merta, ada keesokan hari, ada yang selepas 3 hari, ada setelah 1 minggu, ada yang selepas 2 minggu, ada juga selepas 1 bulan.

Bagi kes-kes penyakit yang telah lama dan kronik, ada 3 bulan hingga 6 bulan, Ada juga laporan, segelintir pengguna yang tidak mendapat apa-apa kesan.

Antara kebaikan pengambilan propolis ialah membantu masalah tenaga seks bagi kaum lelaki. Punca tiada keghairahan untuk melakukan seks adalah disebabkan kelemahan libido hormon.

Propolis amat membantu meningkatkan libido hormon dan menyusun atur hormon-hormon lain.

Ketika mengamalkan pengambilan propolis, bagi individu yang perlu bergantung kepada ubat tertentu yang dibekalkan doktor, perlu meneruskan pengambilan ubat tersebut dengan cara menjarakkan pengambilan antara kedua-duanya selama kira-kira dua jam.

Pengambilan propolis secara berterusan tidak mendatangkan kesan bahaya. Malah, jika diambil melebihi sukatan ia tidak membahayakan.

Sekiranya berlebihan dari yang diperlukan dari keperluan masalah tubuh, sistem perkumuhan badan akan membuangnya.

Selain untuk diminum, propolis boleh digunakan untuk kegunaan luaran. Propolis telah digunakan untuk kegunaan luaran sejak 2000 tahun yang lalu. Umumnya ia digunakan untuk merawat luka, masalah kulit, jerawat, pendarahan, dan banyak lagi. Untuk kegunaan khusus, gunakan pada cotton bud dan sapukan pada tempat yang bermasalah.

Salah satu faedah kesihatan terbesar bagi propolis ialah kerana ia memiliki anti-radang dan anti-microbe yang berkesan. Ia boleh digunakan setiap hari untuk membasuh mulut bagi mengelakkan pertumbuhan bakteria; mencegah pembentukan plak pada gigi dan ia amat berguna juga dalam merawat ulser mulut dan gingivitis. Ia juga akan memperkuatkan gusi anda.

Propolis juga sesuai untuk pengidap diabetis. Ia dapat menyembuhkan luka apabila digunakan dengan kerap dan menguatkan sistem imun badan serta mencegah daripada sebarang jangkitan. Sesetengah penghidap diabetis melaporkan penyakit diabetis mereka menunjukkan kesan yang amat positif selepas pengambilan propolis.

SUSUR KELUAR LEBUHRAYA PESISIR PANTAI BARAT (WCE)

Panduan susur keluar bagi laluan Lekir-Beruas. 
Exit 3230: Kg Lekir (Ke Lekir dan selatan)
Exit 3231: Sitiawan (Ke Sitiawan, Seri Manjung, Lumut)
Exit 3232: Sitiawan Utara (Ke Sitiawan, Seri Manjung, Lumut)
Exit 3233: Changkat Chermin (Ke Ayer Tawar, Seri Iskandar, Ipoh)
Exit 3235: Beruas (Ke Beruas, Pantai Remis, Parit)

KISAH TUTUPNYA SEBUAH GROUP WHATSAPP

Bermula ketika chatting antara ahli lama dengan ahli baharu di kumpulan WhatsApp.

- Abg Din:  Helo Sari, selamat datang ke grop ini
- Sari: Hello juga, saya ahli baru ni.. mohon bimbing ya..
- Abg Chak:  Ya Sari, jangan khuatir sayang, saya akan bantu apapun buat sayang.
- Raof: Hello Sari, kalu  perlu bantuan bgi tau saja.. anytime
- Ibrahim: Hello Sari, saya sedia jadi teman ke mana saja.. hanya bagi tau ya sayang.
- Abg Mi: Hello Sari... saya sentiasa available...boleh membantu.. bila-bila masa..
- Sari: Terima kasih rakan-rakan semua di atas perhatian yang diberi, Abang-abang semua memang baik-baik belaka...
- Pak Rahim: Nak tau jugak, nama penuh adik apa ya?
- Sari:Sarifudin asli Jawa....

@ Abg Din keluar group
@ Abg Chak keluar
@ Raof keluar
@ Ibrahim keluar
@ Abg Mi keluar
@ Pak Rahim sbg Admin keluar

Cuma Soleh yang masih 'online'

- Sari: Abang Soleh kenapa tidak ikut keluar???
- Soleh: Laaaa.. saya orang yag sabar, semua ni mesti ada hikmahnya
- Sari: Untuk makluman abang Soleh...nama lengkap saya Indah Puteri Sarifudin. Sarifudin  nama ayah saya, Saya bekas ratu cantik Malaysia tahun 2015
- Sari: Saya janda ditinggal mati, suami saya meninggal selepas selesai akad nikah, jadi kami belum sempat berbulan madu
- Sari: Mudah-mudahan abang Soleh berkenan menjadi imam saya.
- Soleh: Alhamdulillah..... Masya-Allah
- Sari: Nama lengkap abang Soleh apa ya????
- Soleh: Siti Solehah

@ Sari keluar group.

Jangan ketawa sendiri ya..minta maaf kalu nama kebetulan sama.

Semoga terhibur.

Gambar sekadar hiasan

NABI BERDOA AGAR HIDUP MISKIN

Ada satu doa yang dibacakan oleh Rasulullah SAW seperti mana maksud hadis: "Ya Allah! Hidupkanlah aku dalam keadaan miskin, dan matikanlah aku dalam keadaan miskin, dan kumpulkanlah aku (pada hari kiamat) di dalam rombongan orang-orang miskin”. (Hadis riwayat Ibnu Majah - nombor 4126)

Al-Albani mengatakan bahawa hadis ini darjatnya hasan (Lihat perbahasannya di dalam kitab beliau: Irwaul Ghalil No. 861 dan Silsilah Shahihah No. 308)

Apakah maksud sebenar 'miskin' dalam doa tersebut? Adakah maksud 'miskin' itu “orang-orang yang tidak cukup di dalam hidupnya atau orang-orang yang kekurangan harta”?.

Maksud sebenar  'miskin' dalam doa Nabi itu ialah “orang yang khusyuk dan tunduk merendah diri kepada Allah SWT.

Sebagaimana hal ini telah diterangkan oleh:
- Imam Ibnul Atsir di kitabnya An-Nihaayah fi Gharibil Hadits (2/385) mengatakan: “(dengan miskin tersebut) ialah tawaduk dan khusyuk dan supaya tidak menjadi orang-orang yang sombong dan takabur”.

- Di kitab Qamus Lisanul Arab (2/176) oleh Ibnu Mandzur diterangkan asal erti miskin di dalam lughah/bahasa ialah 'Al-Khaadi’ (orang yang tunduk), dan asal erti 'faqir' ialah "orang yang memerlukan". Maka maksud 'miskin' doa itu ialah tawaduk dan khusyuk.

- Imam Baihaqi mengatakan: “Menurutku bahawa Nabi tidaklah meminta keadaan miskin yang maknanya kekurangan tetapi beliau meminta miskin yang maknanya tunduk dan merendahkan diri. (Lihat kitab: Sunatul Kubra al-Baihaqi 7/12-13 dan Taklhisul-Habir 3/109 No. 1415 oleh Al-Hafidz Ibnu Hajar).

- Demikian juga maknanya telah diterangkan oleh Imam Ghazali dalam kitabnya yang mashur Al-Ihya’ 4/193. (baca juga syarah Ihya’ 9/272 oleh Imam Az-Zubaidy)

- Ibnu Taimiyah mengatakan: “Hidupkanlah aku dalam keadaan  khusyuk dan tawaduk’“. (Majmu’ Fatawa Ibnu Taimiyah 18/382 bahagian kitab hadits). Beliau juga mengatakan (hal.326) : “…. bukanlah yang dikehendaki dengan miskin (di dalam hadis ini) tidak mempunyai harta".

Setelah kita mengetahui keterangan ulama-ulama kita tentang maksud miskin dalam doa Nabi di atas, baik secara lughah/bahasa mahupun maknanya, maka hadis tersebut ertinya menjadi:

“Ya Allah, hidupkanlah aku dalam keadaan khusyuk dan tawaduk, dan matikanlah aku dalam keadaan khusyuk dan tawaduk, dan kumpulkanlah aku (pada hari kiamat) dalam rombongan orang-orang yang khusyuk dan tawaduk”.