Saturday 7 September 2019

BUKAN KEMPEN BOIKOT PRODUK NON MUSLIM

Tiada kempen boikot produk bukan Muslim. Kempen dijalankan ialah utamakan produk Muslim atau beli barang Muslim dahulu.

Sebenarnya tiada kempen boikot produk bukan Muslim secara serius seperti didakwa segelintir pihak.

Kempen yang dijalankan adalah menyokong produk muslim. Kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) membawa pengertian bahawa jika ada dua produk yang sama tapi ada pilihan produk dikeluarkan oleh orang Islam, utamakan produk Muslim dahulu.

Jadi, mengapa pula ada pihak termasuk di kalangan pemimpin negara yang bercakap mengenai kesan kempen boikot produk bukan Islam atau bukan Bumiputera?

Orang Islam tidak disuruh memboikot produk bukan Islam, selagi produk itu halal.

Apa yang diminta dilakukan oleh orang Islam ialah mengutamakan produk muslim. Mengutamakan ialah mendahulukan atau membuat pilihan pertama terhadap produk muslim.

Memilih produk muslim dahulu bukan sebagai protes terhadap barang bukan Islam. Sebaliknya dengan mengutamakan produk muslim, ia dapat memperkasakan dan memperkuatkan ekonomi ummah.

Islam menggalakkan supaya membantu sesama muslim. Ia boleh dianggap sebagai jihad ekonomi untuk kekuatan muslim.

Bahkan, jika cara itu dapat memulih dan mengelak maruah muslim daripada dihina, ia satu fardu ain kepada setiap umat Islam.

Orang muslim hanya boleh membeli barang keperluan buatan bukan muslim jika tiada produk muslim.

Maka itu, teruskan kempen utamakan produk muslim, tanpa perlu melaungkan slogan boikot barang bukan Islam.

Apabila kita membantu peniaga Muslim, rantaian ekonomi itu turut dirasai dalam pelbagai sektor lain.

Contohnya zakat, sumbangan pembinaan masjid, pembinaan madrasah, memberi peluang pekerjaan kepada orang Islam kerana ia dilakukan oleh para usahawan Muslim.

Mustahil sama sekali syarikat bukan Muslim yang keluarkan produk halal mengeluarkan zakat korporat, menyumbang kepada pembinaan masjid, surau dan madrasah.

Kempen utamakan membeli produk Muslim adalah suatu tindakan yang inklusif dan kompetitif dalam konteks perniagaan dan harus dilihat secara positif.

Kempen itu bukan bersikap perkauman atau rasis dan jauh sama sekali untuk mewujudkan perbalahan atau permusuhan antara agama.

No comments:

Post a Comment