Tuesday 15 October 2019

ATM TIDAK PERLU KELUARKAN MORTAR SENDIRI

Kementerian Pertahanan sedang melaksanakan projek pembangunan senjata mortar 120 milimeter (mm) secara usahasama dengan beberapa pihak termasuk Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride).

Menterinya Mohamad Sabu berkata, prototaip daripada projek penyelidikan dan pembangunan itu akan diberikan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi keselamatan terpilih bagi penilaian kualiti dan prestasi.

Selepas menepati piawaian serta kehendak pengguna, prototaip ini akan ditawarkan kepada syarikat pertahanan terpilih bagi tujuan penghasilan dan pemasaran.

Kementerian akan terus berusaha untuk mencari inisiatif relevan bagi meningkatkan keupayaan pemain industri pertahanan negara dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada industri antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapannya kepada soalan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) berkaitan tahap teknologi senjata buatan Malaysia sama ada masih bergantung kepada bantuan luar dan usaha dilakukan.

Mortar adalah salah satu aset senjata dalam ATM yang digunakan dalam Tentera Darat. Terdapat beberapa ukuran mortar (merujuk kepada ukuran luas laras) yang digunakan iaitu 60mm, 81mm dan 120mm.

Ukuran lebih besar membolehkan jarak tembakan lebih jauh dan kawasan berkesan letupan juga lebih luas. Di peringkat Batalion Infantri, mortar dianggap sebagai senjata bantuan.

Mortar 60mm senjata bantuan kompeni yang biasanya beroperasi atau ditempat di platun. Manakala mortar 81mm pula adalah senjata bantuan peringkat batalion.

Mortar 120mm pula digunakan oleh Batalion Infantri Mekanise yang dioperasikan bersama kereta perisai Adnan.

Memandangkan keperluan kegunaan mortar 120mm agak terhad atau bilangannya tidak banyak diperlukan, rasanya tidak perlu kita membuat sendiri senjata tersebut.

Selama ini pun, secara umum kemampuan industri persenjataan negara kini masih terhad kepada pemasangan dan penghasilan sebahagian daripada komponen senjata raifal yang dibekalkan kepada ATM dengan rekaan milik syarikat persenjataan antarabangsa.

Jumlah permintaan tidak mencapai pulangan pelaburan (ROI) dan kegagalan syarikat tempatan untuk meyakinkan negara luar membeli senjata buatan Malaysia.

Daripada memberi tumpuan kepada mortar, lebih baik ATM memberi tumpuan kepada menyediakan kelengkapan lain yang lebih banyak diperlukan dan lebih ekonomik seperti pengeluaran raifel sendiri berbanding sekarang sekadar hanya memasang komponen rekaan milik syarikat antarabangsa.

No comments:

Post a Comment