Wednesday 30 December 2020

HAIWAN BERKELIARAN PUNCA KEMALANGAN MAUT

 
Jalan raya satu kemudahan asas untuk memudahkan perjalanan ke satu destinasi dengan menggunakan kenderaan berenjin mahupun basikal. Namun, kemudahan asas jalan raya banyak mengundang bahaya kepada pengguna. 
 
Jalan yang tidak diselenggara dengan baik mengundang berlaku kemalangan. Bahayanya bukan sekadar calar di muka atau lutut, bahkan boleh membawa maut. Perkara ini bukan baharu berlaku, bahkan sudah lama berlarutan. Namun, isu jalan rosak masih banyak ditemui di mana-mana jalan di negara kita. 
 
Satu lagi bahaya kepada pengguna jalan raya adalah kehadiran binatang ternakan berkeliaran di jalan raya. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di jalan kampung, bahkan juga di kawasan yang dianggap sebagai bandar atau pinggir bandar yang terdapat lalu lintas yang sesak. 
 
Sebenarnya, kehadiran haiwan di jalan raya tetap bahaya tidak kisah di mana-mana pun. Paling bahaya kepada pengguna pada waktu malam. Banyak kes kemalangan jalan raya melibatkan haiwan ternakan berlaku pada waktu malam. 
 
Diharap kepada penternak lebih bertanggungjawab mengawal pergerakan haiwan ternakan mereka agar tidak terlepas memasuki kawasan jalan raya. 
 
Banyak penternak menjadi pembunuh apabila berlaku kemalangan yang mengakibatkan kematian pengguna jalan raya berpunca haiwan peliharaan mereka dibiarkan berkeliaran di jalan raya.

Gambar hiasan: Kerbau berkeliaran di tepi jalan raya

Monday 21 December 2020

KEBERANIAN SEBAGAI NILAI HARGA DIRI

 
Keberanian adalah harga diri. Tanpa keberanian, hidup kita tiada berharga. Maka, kita perlu sentiasa memupuk dan menjaga keberanian diri. 
 
Pramoedya Anan Toer pernah berkata, dalam hidup kita hanya satu yang kita punya iaitu keberanian. Jika tidak punya itu, lantas apa harga hidup kita ini. 
 
Pemimpin terkenal Britain, Sir Winston Churchill pula pernah berkata bahawa keberanian adalah kemampuan untuk berdiri dan menyuarakan pendapat bahkan keberanian juga dituntut untuk duduk diam dan mendengar. 
 
Keberanian adalah satu nilai yang sangat berkait rapat dengan etika dan integriti mana-mana insan atau organisasi. 
 
Pun perlu ditegaskan, keberanian yang difokuskan ialah keberanian moral bukan keberanian fizikal. 
 
Penulis, Ambrose Redmoon melihat keberanian bukannya sebagai kehilangan rasa takut, tetapi lebih kepada pertimbangan ke atas sesuatu yang lebih penting daripada rasa takut. 
 
Ketika Mark Twain melihat keberanian sebagai halangan kepada rasa takut, Samuel Johnson pula menganggapnya sebagai prinsip kehidupan teragung melainkan sekiranya kita tidak mempunyai nilai ini, maka kita tidak akan berupaya memelihara prinsip kehidupan yang lain. 
 
Sekiranya kelakuan buruk tidak ditangani, ia akan terus menjadi-jadi dan akan bertambah buruk. Kita akan sukar untuk berhadapan dengan perkara sebegini sekiranya kita membenarkan diri melupakan atau tidak menghiraukannya. 
 
Oleh itu, keberanian bukan saja harus dipraktikkan di medan perang, tetapi juga dalam kehidupan dan kerjaya lazimnya. Seseorang itu mesti ada naluri menegakkan keadilan moral apabila berurusan dan berhadapan dengan kelakuan tidak beretika. 
 
Stephen Covey pernah mengatakan, kesabaran itu ibu kepada kebijaksanaan, manakala keberanian adalah bapa kepada kebijaksanaan kerana nilai ini wujud dalam harmoni bersama nilai teras lain seperti amanah dan kejujuran. 
 
Kini, kita memasuki era globalisasi dan dunia hari ini sangat berbeza. 
 
Kita menghadapi pelbagai cabaran dan kerumitan baharu, bukan saja dalam kehidupan peribadi bahkan juga dalam hubungan bersama keluarga, rakan dan komuniti terutama di tempat kerja. 
 
Kita perlukan keberanian untuk membawa perubahan, membuat keputusan penting yang perlu walaupun tidak popular, bersuara, berdiri berseorangan apabila berlaku salah faham untuk mengatakan 'tidak' dan juga memohon maaf. 
 
Keberanian moral adalah sesuatu yang jarang dilihat dan berasal daripada pendirian kukuh pada diri seseorang. Menegakkan prinsip kendiri memerlukan keberanian moral dan etika terutama apabila berhadapan dengan kesusahan, bahaya, ataupun ketidakpastian. 
 
Sebagai pemimpin di dalam organisasi tersendiri, kita wajib memainkan peranan yang berkesan dalam memberi tunjuk ajar kepada pekerja bagaimana keberanian itu boleh dipraktikkan. 
 
Keberanian hanya diterima sebagai nilai positif apabila ia digunakan untuk tujuan baik dan mulia seperti mempertahankan maruah dan integriti negara, ataupun untuk tujuan perkembangan dan pembangunan. 
 
Keberanian boleh menjadi sesuatu yang buruk sekiranya digunakan untuk tujuan peribadi yang jahat seperti menipu, rasuah atau mengamalkan aktiviti tidak bermoral seperti gangguan seksual, mencuri, membunuh, rogol dan sebagainya. 
 
Kesimpulannya, keberanian adalah teras kepada nilai murni dan rasional dan ia harus dipraktikkan hanya dengan keperibadian positif dan kesedaran diri yang betul. Oleh itu, sebagai pemimpin organisasi, kita harus menggunakan keberanian sebagai nilai untuk memperteguh dan mengangkat integriti perkhidmatan awam dan negara.

Tuesday 8 December 2020

CARA MUDAH TANAM POKOK KELADI HIASAN

Sekarang ini banyak orang berminat mengumpul pelbagai jenis pokok keladi hiasan. Pokok keladi hiasan banyak bentuk dan warna daun. 

Sebab itu peminatnya berlumba-lumba mengumpul pelbagai jenis koleksi pokok keladi hiasan yang berbeza dari segi bentu dan warna daun. Akibat permintaan yang tinggi terhadap pokok keladi hiasan sehingga penjual kehabisan stok.

Ketika permintaan masih tinggi, peluang untuk peminat pokok keladi hiasan membiak sendiri untuk menambahkan bilangan pokok dan seterusnya dapat dijual.

Kalaupun tidak bertujuan untuk dijual, bolehlah dijadikan pertukaran dengan peminat keladi hiasan lain untuk mendapatkan jenis yang berbeza.

Untuk membiakkan keladi hiasan tidak sukar. Sama atau lebih kurang dengan cara membiakkan pokok keladi yang biasa ditanam untuk dimakan.

Pokok keladi membiak melalui ubi. Jika dalam keadaan biasa, tunas pokok keladi baharu akan keluar dari ubi keladi induk. Ia akan keluar sama ada dari bahagian dalam tanah atau dalam kes ubi keladi berada di atas tanah ia akan keluar di atas.

Anak keladi yang besar boleh diceraikan atau dipindahkan ke pasu atau medium tanaman lain.

Namun, cara itu agak lambat kerana membesar secara semulajadi. Untuk lebih cepat dan lebih banyak hasilnya ialah dengan mengambil bahagian ubi dan dibelah-belah kecil 2cm x 2cm. Pastikan salah satu bahagian yang dibelah itu ada kulit bersama.

Ubi yang telah dibelah itu perlu disemai di atas medium yang sesuai sama ada di dalam pasu atau tanah. Jarak antara satu sama lain kira-kira 5 cm. Tempat itu hanya sementara sebelum dipindahkan ke tempat lebih sesuai kemudiannya.

Pastikan ia tidak terkena cahaya matahari secara terus yang akan menyebabkan ubi menjadi kering sebelum tunas keluar.

Anak benih itu perlu disiram dua kali sehari jika cuaca panas atau medium cepat kering.

Pastikan anak benih itu terhindar dari anai-anai dan semut yang akan merosakkan ubi.

Anak benih boleh dipindahkan yang lebih sesuai untuk tumbesaran apabila telah tumbuh setinggi lebih 10 cm yang mana akar telah tumbuh dengan banyak.

Selamat mencuba.

Friday 27 November 2020

YADIM Kelantan ziarah asnaf di Tanah Merah

26 Nov 2020, YADIM Kelantan bersama NGO Dapur Ramadhan dari Tanah Merah telah menyantuni 105 keluarga asnaf dari beberapa kampung dalam jajahan Tanah Merah.

Ziarah ini di samping menyantuni golong yang kurang bernasib baik atau terjejas sumber pendapatan keluarga terutama di musim tengkujuh, ianya juga mengambil peluang menziarahi warga yang diuji oleh Allah SWT dengan ujian kesihatan maupun ujian kesempitan hidup.

Semoga Allah memberi pahala yang berganda kepada semua yang bersabar serta reda dengan ujian dari Nya.

FB: Mahadi Al-Besuty
Pengarah YADIM Kelantan.

Wednesday 18 November 2020

KENANGAN KERETA NISSAN SUNNY B11

 
Berpegang dengan kata kata "Jua tok kayo sipe tok rugi " maka kereta ini masih dalam jagaan keluarga walaupun ada yang bagi cadangan agar dijual dan ada juga yang datang bertanya untuk beli. 
 
Versi paling baru Nissan Sunny B11 extra 2 tahun 1993. Dikenali juga Datsun Sunny / Tsuru / sentra B11. Kebanyakan masih dipakai oleh bangsa Cina Malaysia. 
 
Kereta ini Arwah ayah beli second pada tahun 1996 dengan harga RM37 ribu. Market sekarang dengan RM1500-3500 dan dapat. 
 
Setelah Arwah meninggal pada tahun 1999 kereta ini diguna oleh Bonda, dan 10 tahun terkebelakang dari tahun 2020 kereta ini kebanyakan hanya dihidupkan enjin sahaja, dan diguna pakai oleh abang ipar. Pernah juga diguna oleh abang untuk ulang alik dari rumah ke sekolah SMIP sewaktu menduduki peperiksaan STPM. 
 
Pernah masuk air dalam kereta sewaktu banjir tetapi berjaya dipindahkan sebelum tenggelam sampai ke peringkat enjin. 
 
Saya tidak mempunyai memori yang banyak bersama arwah dengan kereta ini hanyasanya apa yang saya ingat sewaktu pulang dari Taski Alhilal pada tahun 1998 saya bertanya nombor telefon rumah kepada bonda pada ketika arwah sedang memandu kereta pulang ke rumah arahan dari guru sewaktu itu. 
 
Semoga Allah merahmati roh Arwah dan masukkan dalam golongan orang yang mendapat nikmat di sana. 
 
Ala kullihal, Alhamdulillah pada tahun ni kereta dibaik pulih kembali dan mampu digunakan di jalan raya dengan baik dan masih perlu kepada servis yang lebih baik lagi. 
 
Giye anok mmuloh ni pulok paka. Wak hungga gi mari gimari munggoh Rutho. 
 
Slow slow kito buat. Paka hok mano ado piye payoh khijo payoh nok cari make ni. Skoda, tepek skeping wak obak sbelum dio bruboh lagi. 
 
FB: Muhammad Ali Imran Ismail

Wednesday 4 November 2020

KEPENTINGAN ZAKAT KEPADA UMAT ISLAM

 
Kepentingan zakat kepada umat Islam tidak dinafikan apabila di dalam al-Quran disebut sebanyak 82 kali berkaitannya. Jelas sekali, ia satu ibadat yang penting.  
 
Setiap syariat Islam bertujuan mendatangkan kebaikan. Allah SWT tidak mewajibkan sesuatu melainkan ada kebaikan dan pada masa sama menolak perkara buruk. Ini tidak terkecuali dengan pensyariat zakat. Apatah lagi, zakat adalah Rukun Islam, tentunya mempunyai peranan dan kebaikan yang besar.  
 
Antara faedah diwajibkan zakat ialah menguatkan hubungan persaudaraan, kerjasama, tolong menolong dan kasih sayang melibatkan golongan kaya dengan golongan miskin.  
 
Sesungguhnya Allah SWT menjadikan manusia berlainan darjat dan kekayaan dengan penuh hikmah. Antaranya adalah untuk mewujudkan kasih sayang dan saling berhubung.  
 
Ikatan kasih sayang amat dituntu dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang itu sekiranya dia tidak mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). 
 
Hubungan persaudaraan amat penting dijaga dan dieratkan kerana melaluinya akan menyerlahkan lagi kesempurnaan ajaran Islam. Gambaran itu dapat menarik minat bukan Islam untuk menganut agama Islam. 
 
Perkara ini dapat dilihat bagaimana pengorbanan dilakukan oleh kaum Ansar terhadap kaum Muhajirim ketika peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Sikap tolong menolong dan tidak mementingkan diri sendiri telah membantu terbentuk umat Islam yang kuat dan menarik minat bukan Islam memeluk Islam.  
 
Pada masa sama zakat mewujudkan budaya suka bersedekah, membelanjakan harta ke jalan Allah dan berkorban harta membantu golongan miskin.  
 
Allah SWT melebihkan pemberian kekayaan kepada invividu bukan bermakna darjatnya di sisi Allah SWT tinggi. Sebaliknya, Allah SWT tidak memandang kepada kekayaan atau pangkat. Sebaliknya, di sisi Allah SWT yang dipandang terhadap manusia adalah takwanya. 
 
Maka antara nilaian takwa ialah melalui pematuhan kepada hukum ditetapkan Allah SWT dan Rasulullah SAW. Ini termasuklah mengeluarkan zakat yang mana sanggup membelanjakan harta untuk membantu orang lain. Golongan yang tidak kedekut, bahkan rela membantu sesama Islam, maka mereka itu golongan berjaya.  
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Oleh itu bertakwalah sedaya upaya kamu, dan dengarlah (pengajaran-Nya) serta taatlah (perintah-Nya), dan belanjalah harta kamu (serta berbuatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi tabiat bakhil, merekalah orang yang berjaya.” (Surah al-Taghabun, ayat 16). 
 
Hasil dari didikan zakat akan mendorong pula sikap suka bersedekah dan membantu sesama Islam biarpun perkara itu bukan wajib dilaksanakan. Pada hakikatnya, zakat, sedekah dan hadiah adalah sama biarpun dari segi hukumnya berbeza. Maksud sama ialah kesemuanya melibatkan pengeluaran harta dimiliki diserahkan atau diberikan kepada pihak lain. 
 
Gambar buah sacha inchi sekadar hiasan.

Thursday 22 October 2020

Rakyat menanti sidang media khas Ismail Sabri

 
Dalam keadaan serangan wabak Covid-19 yang masih bertali arus, rakyat sentiasa menanti perkembangan terkini apa yang berlaku, terutama tindakan yang perlu diambil atau dilakukan oleh rakyat untuk melawan musuh yang tidak nampak tetapi ada di mana-mana itu. 
 
Rakyat juga ternanti-nanti apa tindakan kerajaan untuk menyelamatkan nyawa seluruh penduduk dan perkembangan berkaitan ekonomi, pekerjaan dan apa-apa yang telah, sedang dan akan dilakukan demi kesejahteraan rakyat. 
 
Untuk itu, kerajaan perlu mempunyai saluran khusus dalam menyebarkan maklumat terkini mengenai keadaan semasa. Memandangkan isu Covid-19 melibatkan keseluruhan sistem pentadbiran dan aktiviti kehidupan rakyat dari segi pekerjaan, sosial, keagamaan, ekonomi dan sebagainya, apa-apa tindakan dari pihak kerajaan dan rakyat perlu diseragamkan agar tidak berlaku kesilapan arahan dan tindakan disebabkan masing-masing kementerian atau jabatan memberi arahan dan rakyat pula mengambil tindakan tanpa mengikut prosuder yang sepatutnya diikuti. 
 
Melihat kepada keseluruhan isu ini, maka kabinet telah menetapkan atau melantik individu tertentu dalam menyampai berita situasi semasa, arahan dan apa-apa keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan untuk makluman kepada rakyat dan apa tindakan yang perlu dilakukan. 
 
Dalam hal ini, kabinet telah menugaskan Dato Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Keselamatan yang juga Menteri Pertahanan dalam menyampaikan berkaitan isu dan dasar kerajaan dalam menangani isi Covid-19. 
 
Manakala, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan pula bertanggungjawab perkembangan terkini mengenai wabak dan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan. 
 
Memandangkan wabak Covid-19 tersebar begitu cepat dan sebarang tindakan juga perlu dilakukan dengan cepat kerana melibatkan nyawa rakyat, maka sebarang perkembangan mengenainya perlu dilakukan dengan pantas. 
 
Dan, bagi memastikan setiap perkara yang disampaikan kepada rakyat adalah tepat dan sahih, maka pendekatan mengadakan sidang media rasmi harian adalah kaedah paling tepat. 
 
Apa yang disampaikan itu adalah keputusan yang dibuat di peringkat tertinggi pihak yang dipertanggungjawabkan mengendalikan acaman Covid-19 ini iaitu Majlis Keselamatan Negara yang dianggotai oleh Perdana Menteri, menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan yang berkaitan. 
 
Malang sekali apabila tindakan tepat pihak kerajaan mengadakan sidang media khas yang disampaikan oleh Dato Sri Ismail Sabri Yaakob dianggap sebagai tidak perlu dan perlu dihentikan. 
 
Malah, tindakan penting kerajaan itu diminta agar diberhentikan kerana didakwa semakin banyak penjelasan diberikan, rakyat menjadi semakin keliru. 
 
Saranan dangkal Hannah Yeoh, ahli Parlimen DAP, menganggap sidang media harian dibuat oleh Dato Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai mempromosi baju dan pameran rak, bukti nyata pemimpin pembangkang tidak memahami denyut nadi rakyat yang inginkan maklumat terkini dari pemimpin negara berkaitan wabak Covid-19. 
 
Kalau boleh, rakyat ingin sidang media itu dilakukan dua tau tiga kali sehari untuk mendapat maklumat terkini. 
 
Hannah seperti ciapan di akaun Twitter beliau pada 21 Oktober menganggap sidang media Dato Sri Ismail Sabri Yaakob tidak memberi substantif membantu rakyat. 
 
Hannah sebenarnya lupa ketika Covid-19 baharu merebak dahulu dalam era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) apabila rakyat menjadi haru biru dan cemas disebabkan tidak ada penyatuan maklumat dari pihak kerajaan. 
 
Ketika itu, pemimpin PH masing-masing sibuk ingin bercakap mengenai Covid-19 mengikut kementerian masing-masing sehingga banyak berlaku percanggahan fakta dan arahan. 
 
Sebaliknya, pada era Perikatan Nasional (PN) hanya seorang menteri dipertanggungjawabkan bercakap mengenai Covid-19, menjadikan ia lebih bersasar, tepat dan berautoriti. 
 
Tugas itu diserahkan kepada Dato Sri Ismail Sabri Yaakob, selari dengan kedudukan beliau sebagai Menteri Kanan (Keselamatan). 
 
Kepada Hannah berpada-padalah dalam berpolitik. Jangan jadikan perkara betul menjadi salah hanya mengikut kaca mata sempit pihak pembangkang. 
 
Pemimpin pembangkang sepatutnya berganding bahu dengan pihak berwajib dalam memerangi wabak Covid-19, bukannya mencipta dakwaan yang mencerminkan kedangkalan pemikiran pemimpin pembangkang.

Monday 12 October 2020

YAKIN BETUL, KEMUDIAN BAHARU TAWAKAL

 
Tulisan ringkas kali ini bukan ingin memperkatakan tentang buah durian biarpun gambarnya adalah buah durian. 
 
Apa yang ingin dicatatkan di sini ialah mengenai keyakinan dan cara atau kaedah. Apa sahaja yang kita lakukan perlu ada keyakinan atau yakin apa yang dilakukan. Ia perlu ikut kaedah dan cara yang betul. 
 
Perhatikan bagaimana yakinnya pemilik durian mengikat buah tersebut. Dengan hanya menggunakan tali yang kecil, tetapi dia yakin buah durian diikat itu tidak akan jatuh. Ada cara atau kaedah yang dilakukan untuk memastikan durian itu tidak terlepas atau tali putus. 
 
Apapun yang kita lakukan, kena yakin dan ikut kaedah yang betul. Lepas itu kena tawakal. Berserah kepada Allah agar apa yang dilakukan itu mencapai matlamat atau berjaya.

Friday 25 September 2020

TUGAS MANUSIA JAGA ALAM SEKITAR AGAR TIDAK TERCEMAR

 
Manusia ditugaskan memakmurkan (menjaga dan menggunakan) alam ini dan bukannya mendatangkan kerosakan. Telah banyak pembalasan yang Allah turunkan kepada kaum yang tidak bersyukur dengan apa yang disediakan untuk mereka. 
 
Di dalam al-Quran disebut di antara kaum yang tidak bersyukur ialah kaum Saba. Saba (negeri) mengalami pembangunan hasil pengeluaran pertanian yang subur. Namun disebakan mereka tidak bersyukur dan kufur dengan nikmat Allah, maka Allah mendatangkan banjir besar sebagai balasan yang memusnahkan keseluruhan Saba. 
 
Perkara ini dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya bermaksud: “Tetapi mereka membelakangkan (tidak bersyukur), lalu Kami kirimkan kepada mereka banjir besar.” (Surah Saba, ayat 16). 
 
Sesungguhnya tiada lagi wahyu Allah untuk peringatan manusia sekarang. Namun, al-Quran itu sesuai dijadikan panduan untuk sepanjang zaman sehinggalah ke hari kiamat. Mereka yang memahami kandungan al-Quran mudah mentafsir apa yang berlaku sekarang ini.  
 
Bencana-bencana alam yang berlaku sekarang merupakan amaran daripada Allah terhadap perbuatan manusia yang tidak menghargai alam sekitar. Masalah banjir kilat, tanah runtuh dan malapetaka lain yang terjadi hasil perbuatan manusia tidak akan berlaku jika semua pihak menjadi makhluk yang memakmurkan alam ini.  
 
Kejadian banjir kilat antara lain disebabkan sungai dipenuhi sampah sarap yang menghalang pengaliran air dengan sempurna. Siapakah harus dipersalahkan dalam soal ini? Jawapannya tentulah penduduk yang tinggal atau menjalankan aktiviti di sekitar sungai itu.  
 
Tetapi, kesan akibat banjir kilat itu bukan hanya ditanggung oleh mereka yang melakukan angkara itu, sebaliknya semua yang berada di kawasan tersebut terlibat sama. Bahkan ada pengunjung yang kali pertama datang ke kawasan tersebut terus mengalami nasib malang terperangkap dalam banjir kilat sehingga menyebabkan kerugian besar. 
 
Justeru amat tepat dikatakan soal menjaga alam sekitar merupakan tugas semua pihak tidak kira di mana tempat tinggalnya. Sampaikan apa-apa jua sokongan kepada usaha pemulihan alam sekitar biarpun di mana aktiviti tersebut dilakukan.  
 
Begitu juga jangan sekali-kali melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan kerosakan alam sekitar biarpun berada di puncak tertinggi, maupun jurang paling dalam atau hujung dunia sekalipun. Semua tempat di muka bumi ini dicipta untuk ‘dijaga’ oleh manusia.

Sunday 30 August 2020

KHASIAT MINUM AIR KELAPA MUDA

 
Air kelapa terkandung di dalam tempurung kelapa muda. Secara semula jadi air kelapa berasa manis namun mempunyai nilai kalori yang rendah. 
 
Kandungan air kelapa adalah 94% air dan mengandungi karbohidrat ringkas yang mudah dicernakan dalam bentuk gula dan elektrolit. Selain daripada itu ia juga mengandungi pelbagai jenis hormon tumbuh-tumbuhan, enzim, asid amino, vitamin c dan boleh menjadi sumber yang baik untuk garam potasium (k+). 
 
Air kelapa selalunya diambil sebagai minuman untuk melegakan kehausan atau kekurangan air dalam tubuh yang disebabkan oleh cirit birit atau selepas senaman. 
 
Air kelapa juga juga pernah digunakan dalam situasi kecemasan sebagai pengganti kepada air yang digunakan untuk dehidrasi tubuh. 
 
Terdapat juga beberapa kajian yang menunjukkan air kelapa boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dalam kalangan pesakit hipertensi (darah tinggi). 
 
Walau bagaimanapun lebih banyak kajian pembuktian diperlukan untuk mengesahkan khasiat air kelapa terhadap manfaat kesihatan tubuh. 
 
Kajian klinikal peringkat awal menunjukkan minum air kelapa mungkin boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dalam kalangan pesakit hipertensi (darah tinggi). 
 
Air kelapa sekiranya diambil secara minuman dengan jumlah yang berpatutan adalah selamat. Tiada kerisauan terhadap faktor keselamatan dalam pengambilan air kelapa. 
 
Begitu juga sekiranya air kelapa diambil oleh kanak-kanak. Setakat ini tiada maklumat berkaitan pengambilan air kelapa dalam kalangan wanita mengandung dan menyusukan anak. 
 
Air kelapa adalah selamat untuk diminum. Walau bagaimanapun bagi pesakit hipertensi yang sedang menerima ubat-ubatan perlu berhati-hati dalam pengambilan minuman air kelapa ini. Ia berpotensi mempunyai kesan tambahan dalam pengurangan tekanan darah. Begitu juga bagi pesakit yang mempunyai masalah kekurangan fungsi buah pingang.