Wednesday 5 February 2020

AK 20 - MAKLUMBALAS PANTAS KUMPULAN PENGURUSAN AKSB

Peristiwa 06 Feb 2020.

02.12 pagi
- Hantar whatsapp kepada bekas Ketua Jabatan Operasi AKSB, Mohd Safrurazi Salleh yang kini menjawat jawatan Ketua Jabatan Kualiti berkaitan masalah gangguan air. Pegawai yang banyak membantu sebelum ini semasa menjadi Ketua Jabatan Operasi. Beliau satu-satunya pegawai Kumpulan Pengurusan AKSB yang ambo ada nombor telefon. Sebenarnya ambo tidak pernah berjumpa dengan beliau.

03.01 pagi
- Safrurazi membalas whatsapp, saya cuba push jajahan utk hantar air dgn tanker.

06.29 pagi
- Menerima whatsapp daripada Pemangku Ketua Jabatan Operasi, Wan Khairuddin Wan Omar, Mohon jasa baik tuan kepilkan alamat lengkap supaya senang staff saya ke premis tuan dan mengenalpasti masalah/punca masalah.
- Beliau memberi nombor telefon Pengurus Jajahan Kota Bharu Timur, Shahrir.
- Beliau memaklumkan mendapat nombor telefon ambo dari Tuan Mohd Noor Tuan Yahya, staff di AKSB yang ambo hantar whatsapp kepadanya mengenai masalah bekalan air yang dihadapi. Terima kasih Tuan Noor telah majukan perkara itu kepada Khairuddin.
- Khairuddin memaklumkan pukul 09.00 pagi dijangkan lori tangki air akan sampai.

Ambo menulis "AK" ini sebagai pengkongsian mengenai urusan dan pengalaman berkaitan masalah bekalan air dengan AKSB. Ia diharapkan menjadi dokumentasi untuk dijadikan rujukan.

Siri 1 dicatatkan pada 19 Mei 2019 dengan tajuk Tidak Pernah Gagal Hantar Bil Air. Bermula tarikh itu sehingga 'siri' ini sudah ada 20 tajuk diutarakan.

Whatsapp Khairuddin, Tuan aktif blog yer. Bagus tu

Ya... memang ambo menulis blog, tetapi tidaklah aktif sangat. Menulis sekadar untuk berkongsi cerita.

Apapun, terima kasih kepada Safrurazi dan Khairuddin yang memberi maklumbalas dan kerjasama awal pagi.

09.41 pagi. 
Pengurus Besar AKSB, Datuk Ir Dr Azuhan Mohamed menelefon ambo. Panggilan atau percakapan selama 19 minit 50 saat memberi peluang kami saling bertukar pandangan berkaitan halatuju AKSB dan masalah yang dihadapi pengguna air.  Perbualan berlangsung mesra biarpun pada peringkat awal agak 'tegang'. Semoga 'persahabatan' dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Terima kasih Datuk. 

10.10 pagi. 
Pergi ke tempat tangki statik untuk memastikan kehadiran lori tangkai air. Lori tangki air telah sampai dan proses memindahkan air sedang berlangsung. Lori dikatakan telah sampai pukul 09.45 pagi ketika ambo sedang bercakap dengan Datuk Pengurus Besar. 

10.19 pagi - 10.32 pagi. 
Menghantar whatspp kepada Khairuddin, Datuk Pengurus Besar, Safrurazi dan Mohd Noor mengenai lori tangki air telah sampai. Juga ucapan terima kasih kepada mereka semua. 

11.00 pagi. 
Mula tugas memunggah air dari tangki statik ke rumah. Punggah ulang alik menggunakan motosikal mengambil masa 40 minit untuk memenuhi keperluan terdesak. Akan sambung pula petang atau malam ini. 

01.15 tengah hari. 
Dapat mandi setelah tertangguh dua hari. 

Terima kasih semua. 

AK 19 - TANGKI STATIK KOSONG


Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) ada menempatkan tangki air statik untuk kegunaan kecemasan di tempat-tempat yang sering berlaku gangguan bekalan air.

Air yang dimasukkan ke dalam tangki untuk kegunaan kecemasan itu dikongsi penduduk di kawasan berkenaan.

Namun, penduduk sering menjadi cemas apabila bekalan air di tangki tersebut kehabisan. Bukan kehabisan sejam dua, bahkan masuk hari kedua pun masih kosong.

Bayangkan nasib malang menimpa penduduk di kampung berkenaan? Isu ketiadaan air bukan perkara kecil. Air satu keperluan. Segala-galanya memerlukan air.

Orang yang tidak menghadapi situasi itu akan memberi menasihat 'bersabarlah'. Ya... terima kasih dengan nasihat itu. Nak tahu boleh sabar atau tidak, anda kena alami sendiri. Ketika itu baharu tahu erti kesabaran.

Pada tahun 2019 ambo berdepan masalah bekalan air tidak masuk tangki di rumah selama 66 hari. Sepanjang tempoh tersebut terpaksa memunggah air dari tangki statik yang disediakan AKSB. Tidak kira pukul dan masa terpaksa ulang alik memunggah air.

Peristiwa itu termasuk pada bulan Ramadan. Untuk mengelak keletihan pada siang hari, kenalah punggan air pada waktu malam. Keluar rumah punggah air pukuk dua tiga pagi itu sudah biasa. Sebelum bersahur kena punggah air. Selepas berbuka kena punggah air juga.

Semalam (04 Feb 2020) bekalan air dalam tangki statik kering sejak pagi lagi. Pada pukul 12.03 pagi 05 Feb 2020, tangki masih kosong lagi. Sejak pagi semalam, ambo telah menjengok ke tangki itu sebanyak enam kali. Amat kecewa... berterusan kosong.

Di rumah memang sudah tiada bekalan air...... anda boleh bayangkan sendiri. Apa akan terjadi jika tiba-tiba perlu buang air besar. Soal tidak mandi pagi tidak perlu difikirkan lagi.... itu tidak penting lagi. Semoga kes tangki statik kosong tidak berterusan. 

Tuesday 4 February 2020

AK 18 - HARAPAN KEPADA PENGURUSAN BAHARU

Melawat laman sesawang Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) ada memaparkan senarai kumpulan pengurusan baharu yang diketuai Datuk Ir Dr Azuhan Mohamed sebagai Pengurus Besar. Selain mendapat Pengurus Besar baharu, terdapat penyusunan semula pegawai-pegawai sedia ada berkhidmat di AKSB.

Bila dilakukan perlantikan kumpulan pengurusan baharu ini dibuat tidak diketahui. Namun, beberapa bulan sebelum ini ada terdengar mengenai perkara itu. Kalaupun bukan beberapa bulan, sekurang-kururangnya sebulan itu boleh dianggap sebagai pasti.

Daripada dengar-dengan cakap orang ramai, kumpulan pengurusan ini dikatakan yang terbaik dengan Pengurus Besar dikatakan individu berpengalaman luas dalam pengurusan air.

Banyak pihak berharap agar kemelut masalah air di Kelantan dapat diselesaikan atau sekurang-kurangnya menjadi lebih baik berbanding sebelumnya.

Rata-rata rakyat ditemui meletakkan harapan tinggi kepada kumpulan pengurusan baharu ini.

Setelah sekurang-kurangnya sebulan berlalu, tidak dilihat kemajuan yang berlaku. Masalah bekalan air berlarutan dan di sesetengah tempat semakin kritikal.

Harap pihak AKSB terus bertindak dan mencari jalan terbaik untuk mengatasi masalah gangguan bekalan air kepada pengguna.