Friday 20 March 2020

TIADA JAWATAN TIMBALAN PERDANA MENTERI

Pembentukan Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diumumkan pada 9 Mac 2020 mengambil pendekatan berbeza berbanding acuan konvensional yang sebelum ini apabila menyaksikan tiada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Tindakan itu dilihat pelik bagi kebanyakan rakyat yang dikaitkan dengan kesukaran untuk memilih individu mengisi jawatan kedua tertinggi itu.

Sebenarnya, jawatan Timbalan Perdana Menteri memang tidak pernah wujud dalam Perlembagaan Persekutuan. Jawatan itu diwujudkan untuk membantu Perdana Menteri, namun tidak dimasukkan di dalam mana-mana Perkara Perlembagaan Persekutuan.

Keberadaan Timbalan Perdana Menteri dalam kabinet adalah berdasarkan kepada jawatan menteri yang disandang. Setiap Timbalan Perdana Menteri 'wajib' dilantik menjawat jawatan mana-mana kementerian ataupun Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bagi melayakkan dia hadir secara sah mesyuarat kabinet.

Muhyiddin tidak melantik Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya digantikan dengan empat menteri kanan yang bakal memangku atau melaksanakan tugas yang biasa dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri secara bergilir-gilir.

Muhyiddin ketika mengumumkan barisan Jemaah Menteri dilaporkan berkata menteri kanan akan membantunya menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri, termasuk mempengerusikan mesyuarat Kabinet ketika ketiadaannya dalam negara, sekali gus menyaksikan tiada keperluan untuk melantik Timbalan Perdana Menteri.

Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang Dipertuan Agung hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatkan dalam hal menjalankan tugas-tugasnya. Jemaah Menteri atau Kabinet menjalankan kuasa eksekutif mentadbir negara yang diketuai Perdana Menteri dengan dibantu oleh menteri-menteri.

Kabinet merupakan jawatankuasa kerajaan yang tertinggi serta mempunyai ciri-ciri Perlembagaan yang penting dan seterusnya ia menyalurkan tugasan Perlembagaan melalui peruntukan-peruntukan yang am berkaitan dengan perkara-perkara tertentu dalam pandangan awam.

Semua undang-undang yang diluluskan di Parlimen dibuat hanya selepas ia dibentang dalam sesi Kabinet terlebih dahulu.

Keputusan-keputusan yang dibuat oleh Kabinet memberi kesan ke atas kehidupan rakyat. Ia memutuskan undang-undang yang bakal dikuatkuasakan melalui kuasa Parlimen. Ia menentukan cukai yang akan dikenakan mengikut bajet yang disediakan oleh Perbendaharaan.

Keputusan-keputusan Kabinet memberi kesan kepada cara hidup, kesejahteraan, ekonomi dan mempengaruhi cara berbelanja dan simpanan rakyat.

Justeru, Kabinet secara idealnya harus membuat keputusan dan tindakan berdasarkan hati nurani rakyat. Pendapat awam harus memberi kesan dan mempengaruhi keputusan Kabinet. Biarpun pada hakikatnya, Kabinet mentadbir berdasarkan kekuasaan dan kewibawaan sendiri.

Namun, penting difahamkan bahawa bukan semua yang dicitakan rakyat boleh diterjemahkan ke dalam tindakan menepati kehendak yang popular.

Kemenangan Tunku Abdul Rahman dan rakan-rakan beliau dalam Parti Perikatan pada Pilihan Raya Perundangan Persekutuan 1955 menjadi titik kemunculan kerajaan berkabinet di Malaysia. Bersama rakan-rakan gabungan daripada UMNO, MCA dan MIC, mereka diberi mandat dengan majoriti 52 kerusi daripada 53 kerusi yang dipertandingkan.

Namun hanya apabila memenangi Pilihan Raya Persekutuan 1959, Tunku yang sekali lagi dilantik Perdana Menteri, baharulah membentuk Kabinet yang mempunyai 12 menteri.

Bilangan menteri dalam Kabinet bukanlah satu perkara yang ditetapkan. Selain 12 orang dalam Kabinet pertama Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn mempunyai anggota Kabinet di antara 20 hingga 24 orang. Tun Dr. Mahathir Mohamad  mempunyai 28 ahli Kabinet sebelum beliau bersara pada Oktober 2003.

Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi membentuk kerajaan pada 27 Mac 2004, beliau mempunyai 33 anggota Kabinet.

Tuntasnya, semua Perdana Menteri mempunyai bilangan anggota Kabinet berbeza dalam tempoh pentadbiran kerajaan mereka.

Tiada Perdana Menteri yang pernah memberi penjelasan mengapa Kabinet beliau mempunyai bilangan anggota tertentu, kerana ia adalah hak keistimewaan subjektif dan pilihan bagi seorang ketua eksekutif.

Tiada siapa yang akan mempersoalkan jika beliau hendak membentuk kementerian baru atau memberi tugas sebagai menteri kedua di kementerian tertentu. Sebagai contoh, Kementerian Kewangan mendapat Menteri Kedua semasa kepimpinan Dr. Mahathir.  Begitu juga di bawah kepimpinan Abdullah dan Najib.

Kebiasaannya Perdana Menteri melantik menteri-menteri mengikut keperluan kerajaan beliau. Dan kriteria pemilihan ini termasuklah populariti politik selain bakat dan tuah seseorang.

Bagi Timbalan Menteri, istilah jawatan ini mula digunakan selepas pindaan Perlembagaan pada 1971 (Perkara 43A) di bawah pemerintahan Tun Abdul Razak. Sebelum itu ia dikenali sebagai menteri muda. Istilah menteri muda digugurkan kerana pengertian 'membantu' tidak sama dengan 'memangku'. Oleh itu jika seseorang itu hanya pembantu, ia tidak boleh diiktiraf sebagai timbalan. Perkara ini mengehadkan bidang seseorang menteri muda untuk menandatangani sesuatu dokumen rasmi.

Satu perkara atau tugas yang tidak boleh dilakukan oleh seorang timbalan menteri ialah menghadiri mesyuarat Kabinet walaupun semasa ketiadaan menteri. Jika menteri atas apa jua sebab tidak dapat menghadiri mesyuarat Kabinet mingguan, seorang menteri lain akan ditugaskan bagi pihak beliau, bukan timbalannya. 

Bagaimanapun sebelum 1977, timbalan menteri dibenarkan memangku jawatan menteri dalam mesyuarat Kabinet.

Dalam pentadbiran Najib, beliau memilih alternatif tidak melantik setiausaha Parlimen (Perkara 43B) dalam pentadbiran. Alasan diberikan terhadap keputusan itu adalah ia lebih baik bagi setiap menteri dibantu terus oleh timbalan menteri terutama kerja-kerja Parlimen.

Pelantikan setiausaha Parlimen berbeza daripada pelantikan timbalan menteri yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong. Setiausaha Parlimen dilantik oleh Perdana Menteri dan mengangkat sumpah pelantikan di hadapannya.

Tugas seorang setiausaha Parlimen 'hendaklah membantu menteri dan timbalan menteri dalam menjalankan tugas dan fungsi mereka dan bagi maksud itu diberi kuasa seperti seorang menteri dan timbalan menteri'. Mereka boleh mewakili menteri atau timbalan menteri dalam apa-apa fungsi atau majlis jika diarahkan oleh menteri.

Thursday 12 March 2020

ANWAR PEGANG FALSAFAH LIBERAL - TUN M

Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pegangan politik liberal yang dipegang Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi punca orang Melayu menolak Presiden PKR itu.

Bekas Perdana Menteri percaya, orang Melayu bimbang kedudukan mereka terancam jika menerima ideologi liberalisme, memandangkan kelebihan dimiliki kaum itu hanyalah kuasa politik.

“Kalau kita toleh ke belakang, bila dia terkeluar daripada UMNO ketika saya jadi Perdana Menteri (pada 1998), dia cuba tubuh sebuah parti menentang saya.

“Dulu sebelum ini Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) keluar parti dan tubuh parti Semangat 46 (Parti Melayu Semangat 46), tetapi itu parti Melayu.

“Anwar keluar-keluar (UMNO), dia buat parti liberal. Dia nak dapat sokongan daripada DAP, maka dia ajak DAP masuk, PAS masuk. Falsafah dia liberal,” katanya.

Mengenai persepsinya terhadap Anwar, Dr Mahathir mengaku mempunyai masalah dengan Ahli Parlimen Port Dickson itu, namun terpaksa mengenepikannya demi menumbangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional (BN).

“Bila kita nak lawan dan nak jatuhkan Najib, saya berpendapat bahawa antara Najib dengan Anwar, saya rasakan Najib lebih bahaya.

“Jadi saya sanggup rujuk kembali dengan Anwar, bahkan saya turut bekerjasama dengan DAP. Kalau tidak kita tidak boleh kalahkan BN (pada Pilihan Raya Umum ke-14),” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini..

Wednesday 4 March 2020

Jika diumpama sebagai gelas, jauhi sikap sombong

Jika kita diumpamakan sebagai gelas, jangan sekali-kali kita menjadi gelas yang tertutup yang tidak sudi menerima apa-apa disebabkan sikap ego dan sombong. 

Atau, jangan kita menjadi gelas yang terbuka pada bahagian atasnya, tetapi ada pula lubang di sisi yang lain yang mengeluarkan apa yang dimasukkan.

Begitu juga, diharapkan kita tidak menjadi gelas yang sudah penuh sehingga melimpahkan apa-apa yang dimasukkan ke dalamnya. 

Sebaliknya, hendaknya kita semua menjadi gelas yang bersedia menerima segala bentuk kebaikan yang dicurahkan dan kemudian disimpan untuk tujuan kebaikan. 

Setiap kata tidak sempurna. Masih memerlukan pertolongan dan nasihat daripada orang lain. Jadi amalkan sikap terbuka ingin mempelajari sesuatu dan bersedia menerima teguran dari orang lain untuk menjadi lebih baik. 

Marilah kita bersama-sama bertekad untuk berubah menjadi lebih baik. Cuba kita renungkan kata-kata Saidina Umar yang bermaksud: Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk dari hari semalam dan hari esoknya lebih buruk dari hari ini." 

Sunday 1 March 2020

MAKSUD URF, AL-ADAH

Al-adah muhkkamah secara bahasa diambil dari kata al-aud atau al-muawadah yang bermaksud berulang. Dengan kata lain, al-adah muhkkamah membawa erti perbuatan atau amalan yang diulang-ulang yang menjadi budaya dan kebiasaan yang dapat diterima dalam masyarakat.

Manakala uruf (urf) pula memberi maksud sesuatu perkara yang telah diketahui oleh individu atau masyarakat yang tinggal di sesuatu kawasan dan menjadi kebiasaan mereka mematuhinya sama ada dalam bentuk perkataan ataupun perbuatan. Urf juga berkaitan perkara-perkara yang mereka tidak lakukan kerana kefahamannya mengenainya. 

Biarpun difinisi al-adah dan uruf nampak berbeza, namun kebanyakan ulama meletakkan ia sebagai satu perkara sama dalam membincangkan kedudukannya sebagai satu cabang daripada lima kaedah fiqh yang digunakan sebagai rujukan hukum.  

Cara mudah al-adah dan urf boleh dirumuskan sebagai adat, kebisaan atau budaya yang diamalkan dalam sesuatu kelompok manusia atau masyarakat.

Adat telah disepakati majoriti ulama sebagai salah satu kaedah fiqh daripada lima kaedah utama yang digunapakai untuk mensabitkan sesuatu hukum syarak. Perkara ini banyak diamalkan dalam masyarakat. Banyak di kalangan masyarakat tidak mengetahui bahawa amalan agama yang dilakukan itu sebenarnya adalah adat yang telah diserap dan diterima sebagai hukum.

Namun, adat hanya dijadikan rujukan untuk tujuan mensabitkan hukum syarak ketika tidak terdapat nas yang jelas bagi sesuatu hukum yang hendak disabitkan. Jika telah ada nas jelas, suruhan atau larangan, maka perlu dipatuhi nas itu. Contohnya, haram berjudi bagi orang Islam walaupun tinggal di negara yang rata-rata rakyatnya berjudi.

Maknanya, tidak harus menjadikan adat sebagai sumber hukum yang berkaitan dengannya jika telah ada nas yang jelas meletakkan hukumnya. Adat sedemikan dipanggil adat batil atau salah. Jika diteruskan diamalkan adat yang batil itu, maka termasuklah dalam perbuatan ditegah dan berdosa.

Para ulama sepakat menjadikan adat sebagai salah satu asas menentukan hukum. Penerimaan kaedah ini antara lain berdalil dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Terimalah yang mudah dilakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik." (Surah al-Araf, ayat 199)  

Ayat itu dapat difahami perkara baik yang sudah diterima dan diamalkan dalam sesuatu masyarakat hendaklah diteruskan, sesuai dengan matlamat Islam yang ingin kepada kebaikan. Islam itu mudah dan memberikan kemudahan kepada penganutnya.  

Turut dijadikan hujah berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apa-apa yang didapati dan yang dilihat oleh orang-orang Islam sebagai sesuatu yang baik, maka ia juga baik di sisi Allah."