Friday 25 September 2020

TUGAS MANUSIA JAGA ALAM SEKITAR AGAR TIDAK TERCEMAR

 
Manusia ditugaskan memakmurkan (menjaga dan menggunakan) alam ini dan bukannya mendatangkan kerosakan. Telah banyak pembalasan yang Allah turunkan kepada kaum yang tidak bersyukur dengan apa yang disediakan untuk mereka. 
 
Di dalam al-Quran disebut di antara kaum yang tidak bersyukur ialah kaum Saba. Saba (negeri) mengalami pembangunan hasil pengeluaran pertanian yang subur. Namun disebakan mereka tidak bersyukur dan kufur dengan nikmat Allah, maka Allah mendatangkan banjir besar sebagai balasan yang memusnahkan keseluruhan Saba. 
 
Perkara ini dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya bermaksud: “Tetapi mereka membelakangkan (tidak bersyukur), lalu Kami kirimkan kepada mereka banjir besar.” (Surah Saba, ayat 16). 
 
Sesungguhnya tiada lagi wahyu Allah untuk peringatan manusia sekarang. Namun, al-Quran itu sesuai dijadikan panduan untuk sepanjang zaman sehinggalah ke hari kiamat. Mereka yang memahami kandungan al-Quran mudah mentafsir apa yang berlaku sekarang ini.  
 
Bencana-bencana alam yang berlaku sekarang merupakan amaran daripada Allah terhadap perbuatan manusia yang tidak menghargai alam sekitar. Masalah banjir kilat, tanah runtuh dan malapetaka lain yang terjadi hasil perbuatan manusia tidak akan berlaku jika semua pihak menjadi makhluk yang memakmurkan alam ini.  
 
Kejadian banjir kilat antara lain disebabkan sungai dipenuhi sampah sarap yang menghalang pengaliran air dengan sempurna. Siapakah harus dipersalahkan dalam soal ini? Jawapannya tentulah penduduk yang tinggal atau menjalankan aktiviti di sekitar sungai itu.  
 
Tetapi, kesan akibat banjir kilat itu bukan hanya ditanggung oleh mereka yang melakukan angkara itu, sebaliknya semua yang berada di kawasan tersebut terlibat sama. Bahkan ada pengunjung yang kali pertama datang ke kawasan tersebut terus mengalami nasib malang terperangkap dalam banjir kilat sehingga menyebabkan kerugian besar. 
 
Justeru amat tepat dikatakan soal menjaga alam sekitar merupakan tugas semua pihak tidak kira di mana tempat tinggalnya. Sampaikan apa-apa jua sokongan kepada usaha pemulihan alam sekitar biarpun di mana aktiviti tersebut dilakukan.  
 
Begitu juga jangan sekali-kali melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan kerosakan alam sekitar biarpun berada di puncak tertinggi, maupun jurang paling dalam atau hujung dunia sekalipun. Semua tempat di muka bumi ini dicipta untuk ‘dijaga’ oleh manusia.