Wednesday 30 December 2020

HAIWAN BERKELIARAN PUNCA KEMALANGAN MAUT

 
Jalan raya satu kemudahan asas untuk memudahkan perjalanan ke satu destinasi dengan menggunakan kenderaan berenjin mahupun basikal. Namun, kemudahan asas jalan raya banyak mengundang bahaya kepada pengguna. 
 
Jalan yang tidak diselenggara dengan baik mengundang berlaku kemalangan. Bahayanya bukan sekadar calar di muka atau lutut, bahkan boleh membawa maut. Perkara ini bukan baharu berlaku, bahkan sudah lama berlarutan. Namun, isu jalan rosak masih banyak ditemui di mana-mana jalan di negara kita. 
 
Satu lagi bahaya kepada pengguna jalan raya adalah kehadiran binatang ternakan berkeliaran di jalan raya. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di jalan kampung, bahkan juga di kawasan yang dianggap sebagai bandar atau pinggir bandar yang terdapat lalu lintas yang sesak. 
 
Sebenarnya, kehadiran haiwan di jalan raya tetap bahaya tidak kisah di mana-mana pun. Paling bahaya kepada pengguna pada waktu malam. Banyak kes kemalangan jalan raya melibatkan haiwan ternakan berlaku pada waktu malam. 
 
Diharap kepada penternak lebih bertanggungjawab mengawal pergerakan haiwan ternakan mereka agar tidak terlepas memasuki kawasan jalan raya. 
 
Banyak penternak menjadi pembunuh apabila berlaku kemalangan yang mengakibatkan kematian pengguna jalan raya berpunca haiwan peliharaan mereka dibiarkan berkeliaran di jalan raya.

Gambar hiasan: Kerbau berkeliaran di tepi jalan raya

Monday 21 December 2020

KEBERANIAN SEBAGAI NILAI HARGA DIRI

 
Keberanian adalah harga diri. Tanpa keberanian, hidup kita tiada berharga. Maka, kita perlu sentiasa memupuk dan menjaga keberanian diri. 
 
Pramoedya Anan Toer pernah berkata, dalam hidup kita hanya satu yang kita punya iaitu keberanian. Jika tidak punya itu, lantas apa harga hidup kita ini. 
 
Pemimpin terkenal Britain, Sir Winston Churchill pula pernah berkata bahawa keberanian adalah kemampuan untuk berdiri dan menyuarakan pendapat bahkan keberanian juga dituntut untuk duduk diam dan mendengar. 
 
Keberanian adalah satu nilai yang sangat berkait rapat dengan etika dan integriti mana-mana insan atau organisasi. 
 
Pun perlu ditegaskan, keberanian yang difokuskan ialah keberanian moral bukan keberanian fizikal. 
 
Penulis, Ambrose Redmoon melihat keberanian bukannya sebagai kehilangan rasa takut, tetapi lebih kepada pertimbangan ke atas sesuatu yang lebih penting daripada rasa takut. 
 
Ketika Mark Twain melihat keberanian sebagai halangan kepada rasa takut, Samuel Johnson pula menganggapnya sebagai prinsip kehidupan teragung melainkan sekiranya kita tidak mempunyai nilai ini, maka kita tidak akan berupaya memelihara prinsip kehidupan yang lain. 
 
Sekiranya kelakuan buruk tidak ditangani, ia akan terus menjadi-jadi dan akan bertambah buruk. Kita akan sukar untuk berhadapan dengan perkara sebegini sekiranya kita membenarkan diri melupakan atau tidak menghiraukannya. 
 
Oleh itu, keberanian bukan saja harus dipraktikkan di medan perang, tetapi juga dalam kehidupan dan kerjaya lazimnya. Seseorang itu mesti ada naluri menegakkan keadilan moral apabila berurusan dan berhadapan dengan kelakuan tidak beretika. 
 
Stephen Covey pernah mengatakan, kesabaran itu ibu kepada kebijaksanaan, manakala keberanian adalah bapa kepada kebijaksanaan kerana nilai ini wujud dalam harmoni bersama nilai teras lain seperti amanah dan kejujuran. 
 
Kini, kita memasuki era globalisasi dan dunia hari ini sangat berbeza. 
 
Kita menghadapi pelbagai cabaran dan kerumitan baharu, bukan saja dalam kehidupan peribadi bahkan juga dalam hubungan bersama keluarga, rakan dan komuniti terutama di tempat kerja. 
 
Kita perlukan keberanian untuk membawa perubahan, membuat keputusan penting yang perlu walaupun tidak popular, bersuara, berdiri berseorangan apabila berlaku salah faham untuk mengatakan 'tidak' dan juga memohon maaf. 
 
Keberanian moral adalah sesuatu yang jarang dilihat dan berasal daripada pendirian kukuh pada diri seseorang. Menegakkan prinsip kendiri memerlukan keberanian moral dan etika terutama apabila berhadapan dengan kesusahan, bahaya, ataupun ketidakpastian. 
 
Sebagai pemimpin di dalam organisasi tersendiri, kita wajib memainkan peranan yang berkesan dalam memberi tunjuk ajar kepada pekerja bagaimana keberanian itu boleh dipraktikkan. 
 
Keberanian hanya diterima sebagai nilai positif apabila ia digunakan untuk tujuan baik dan mulia seperti mempertahankan maruah dan integriti negara, ataupun untuk tujuan perkembangan dan pembangunan. 
 
Keberanian boleh menjadi sesuatu yang buruk sekiranya digunakan untuk tujuan peribadi yang jahat seperti menipu, rasuah atau mengamalkan aktiviti tidak bermoral seperti gangguan seksual, mencuri, membunuh, rogol dan sebagainya. 
 
Kesimpulannya, keberanian adalah teras kepada nilai murni dan rasional dan ia harus dipraktikkan hanya dengan keperibadian positif dan kesedaran diri yang betul. Oleh itu, sebagai pemimpin organisasi, kita harus menggunakan keberanian sebagai nilai untuk memperteguh dan mengangkat integriti perkhidmatan awam dan negara.

Tuesday 8 December 2020

CARA MUDAH TANAM POKOK KELADI HIASAN

Sekarang ini banyak orang berminat mengumpul pelbagai jenis pokok keladi hiasan. Pokok keladi hiasan banyak bentuk dan warna daun. 

Sebab itu peminatnya berlumba-lumba mengumpul pelbagai jenis koleksi pokok keladi hiasan yang berbeza dari segi bentu dan warna daun. Akibat permintaan yang tinggi terhadap pokok keladi hiasan sehingga penjual kehabisan stok.

Ketika permintaan masih tinggi, peluang untuk peminat pokok keladi hiasan membiak sendiri untuk menambahkan bilangan pokok dan seterusnya dapat dijual.

Kalaupun tidak bertujuan untuk dijual, bolehlah dijadikan pertukaran dengan peminat keladi hiasan lain untuk mendapatkan jenis yang berbeza.

Untuk membiakkan keladi hiasan tidak sukar. Sama atau lebih kurang dengan cara membiakkan pokok keladi yang biasa ditanam untuk dimakan.

Pokok keladi membiak melalui ubi. Jika dalam keadaan biasa, tunas pokok keladi baharu akan keluar dari ubi keladi induk. Ia akan keluar sama ada dari bahagian dalam tanah atau dalam kes ubi keladi berada di atas tanah ia akan keluar di atas.

Anak keladi yang besar boleh diceraikan atau dipindahkan ke pasu atau medium tanaman lain.

Namun, cara itu agak lambat kerana membesar secara semulajadi. Untuk lebih cepat dan lebih banyak hasilnya ialah dengan mengambil bahagian ubi dan dibelah-belah kecil 2cm x 2cm. Pastikan salah satu bahagian yang dibelah itu ada kulit bersama.

Ubi yang telah dibelah itu perlu disemai di atas medium yang sesuai sama ada di dalam pasu atau tanah. Jarak antara satu sama lain kira-kira 5 cm. Tempat itu hanya sementara sebelum dipindahkan ke tempat lebih sesuai kemudiannya.

Pastikan ia tidak terkena cahaya matahari secara terus yang akan menyebabkan ubi menjadi kering sebelum tunas keluar.

Anak benih itu perlu disiram dua kali sehari jika cuaca panas atau medium cepat kering.

Pastikan anak benih itu terhindar dari anai-anai dan semut yang akan merosakkan ubi.

Anak benih boleh dipindahkan yang lebih sesuai untuk tumbesaran apabila telah tumbuh setinggi lebih 10 cm yang mana akar telah tumbuh dengan banyak.

Selamat mencuba.