Thursday 23 December 2021

CETAK GAMBAR BUKAN PADA TEMPATNYA

  
Ahli politik memang ingin dikenali. Kalau belum ada jawatan, mengharapkan akan mendapat jawatan disebabkan dia dikenali. Kalau yang sudah berjawatan, ingin terus kekal atau meningkat lebih tinggin dan hebat lagi. 
 
Sebab itu, setiap perkara yang dilakukan, mesti dihebahkan kepada orang ramai. Biar rakyat tahu dia telah melakukan sesuatu yang dipandang baik. 
 
Selain gambar dan nama dicetak dikain rentang, ia turut dicetak di apa sahaja yang boleh dijadikan menghebahkan bahawa dia telah melakukan atau terlibat dalam perkara baik itu. 
 
Biasanya jika serahan sumbangan, gambar dan nama akan terpapar di sampul surat, bekas plastik, botol, kotak dan sebagainya. 
 
Melekatkan atau mencetak gambar pemimpin di kotak atau pembungkus bukan satu tindakan yang bijak. 
 
Kotak itu pastinya akan dibuang ke dalam tong sampah. Mungkin juga dijadikan alas tempat duduk, dipihak dan sebagainya. 
 
Betapa hinanya pemimpin tersebut yang gambarnya tidak dihormati, samalah diri dia sendiri tidak dihormati.

Tuesday 7 December 2021

Punca Piagam Muafakat Nasional gagal

 
Berikut diperincikan kronologi berfakta berpandukan Minit Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional (MN) bagi menyangkal tuduhan bahawa UMNO mengkhianati Piagam Muafakat Nasional:

Setiap keputusan besar politik dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional.

Dalam Piagam Muafakat Nasional tidak disebut secara khusus bahawa MN dikhaskan hanya kepada parti-parti politik tertentu, namun haruslah selaras dengan aspirasi yang dibawa oleh kedua-dua parti teras yang membentuknya iaitu UMNO dan PAS.

UMNO menyatakan pendirian tidak bersetuju untuk Perikatan Nasional didaftarkan sebagai parti politik apabila idea tersebut kali pertama dibentangkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada kepimpinan Biro Politik UMNO pada 1 Jun 2020 di kediaman beliau. Alasan UMNO, BN masih lagi relevan dan biarlah PN kekal sebagai satu kerjasama politik longgar 13 parti-parti yang membentuk kerajaan pada 1 Mac 2020.

UMNO membawa cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional pada 4 Jun 2020 dan menyatakan pendirian UMNO yang menolak cadangan tersebut. PAS bersetuju dan menyatakan pendirian yang sama dengan UMNO.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Induk MN pada 17 Jun 2020, sekali lagi isu pendaftaran PN ditimbulkan. Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk MN merangkap Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan pendirian PAS masih kekal tidak bersetuju untuk menyertai Parti Perikatan Nasional sebagaimana UMNO dan menegaskan apa jua keputusan akan dibuat secara bersama.

Dalam mesyuarat yang sama pada 17 Jun itu juga telah disepakati bahawa MN juga tidak perlu didaftarkan sebagaimana PN. MN harus kekal sebagai gagasan permuafakatan dan penyatuan ummah melangkaui parti. Semua parti adalah sama rata kedudukannya.

Mesyuarat pada 8 Julai 2020, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sekali lagi menegaskan bahawa “Kalau UMNO tidak setuju pendaftaran PN dan BERSATU tidak setuju pendaftaran MN, pandangan PAS kita tidak perlu daftar kedua-dua”.

Dalam minit mesyuarat juga Dr Asyraf Wajdi menyatakan pandangan balas terhadap cadangan Dr Zuhdi untuk mendaftarkan MN, “Saya cadang kita kekalkan MN sebagai satu gagasan atau etos dan konsep permuafakatan melangkaui parti. Untuk ia dijadikan parti perlu banyak masa itu. Lebih baik perkasakan dahulu MN”.

Mesyuarat pada 6 Ogos 2020 mencadangkan untuk menjemput PPBM secara rasmi untuk menyertai MN. Dicadangkan juga kedua-dua Presiden UMNO dan PAS mengutuskan surat rasmi jemputan kepada PPBM.

Pada 13 Ogos 2020, satu surat rasmi Jemputan kepada PPBM untuk menyertai MN diutuskan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Presiden PPBM. Surat ini ditandatangani oleh kedua-dua Presiden UMNO dan PAS.

Dalam masa yang sama secara senyap-senyap UMNO mendapat perkhabaran bahawa sebuah Jawatankuasa Penaja Parti Perikatan Nasional telah ditubuhkan yang disertai PPBM, PAS, MIC dan STAR.

9 Ogos 2020, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan media di Awani menafikan PAS menyertai Parti PN dan mengeluarkan sebarang surat sokongan yang menamakan Datuk Seri Samsuri dan Datuk Seri Takiyuddin sebagai wakil PAS dalam Jawatankuasa Penaja Parti PN.

17 Ogos 2020 diumumkan Pilihan Raya Negeri Sabah.

19 Ogos 2020 Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin dilaporkan media bahawa “PAS akan sertai Parti Perikatan Nasional”.

27 Ogos 2020, MIC menarik diri daripada Parti Perikatan Nasional untuk kekal sebagai komponen dalam Barisan Nasional. MIC menulis surat kepada pihak ROS mengenai pendiriannya.

18 November 2020 dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN, UMNO menyatakan rasa terkilan namun menghormati keputusan PAS untuk menyertai Parti PN walaupun berkali-kali menafikan dalam beberapa mesyuarat sebelum ini dan dalam kenyataan media.

Mesyuarat juga bersetuju untuk terus mencari jalan untuk memperkukuhkan kerjasama UMNO-PAS dalam MN yang dibina atas linangan air mata di PWTC.

Kesimpulannya:

1. UMNO tidak pernah mengkhianati MN, jauh sekali untuk mengkhianati mana-mana parti.

2. Benar UMNO dan PAS menjemput secara rasmi PPBM untuk menyertai MN, namun setelah PPBM secara senyap-senyap menubuhkan PN dengan menarik PAS bahkan parti komponen BN sendiri MIC untuk menjadi penaja kepada parti PN, maka penyertaan ke dalam MN sudah menjadi akademik dan tidak lagi relevan.

3. Muafakat Nasional adalah gagasan besar yang dijelmakan untuk memenuhi hasrat penyatuan ummah yang melangkaui sempadan politik kepartian, tidak mengikat, jauh sekali hanya sekadar untuk memenuhi citarasa politik mana-mana pihak.

4. Mana-mana permuafakatan yang hendak dibina mesti berteraskan kepada kejujuran, ketelusan dan keikhlasan, barulah mampu kekal bertahan lama. – UMNO ONLINE

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Wednesday 1 December 2021

MENARA MERDEKA 118 BANGUNAN KEDUA TERTINGGI DI DUNIA

 
Insya-Allah, dalam sedikit masa lagi, Merdeka 118 akan dilancarkan sepenuhnya dan akan memberikan impak langsung postitif kepada rakyat dan ekonomi Malaysia. 

Banyak benda yang menarik mengenai menara ini. Merdeka 118 adalah menara tertinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa. 

Selain itu, Menara Merdeka 118 akan dilengkapi dengan sistem lif yang antara terpantas di dunia dan sistem lif yang boleh digunakan semasa kecemasan seperti kebakaran. Jadi tidak perlu menggunakan tangga lagi. 

Selain dari dikelilingi bangunan warisan yang dibaik pulih. Presint Merdeka 118 juga akan dilengkapi dengan kemudahan lain seperti Masjid Merdeka, pusat beli belah 118 Mall, kediaman dan pusat penjagaan kanak-kanak. 

Semuanya bagi memastikan komuniti setempat dapat terus diperkasa, terutamanya komuniti perniagaan yang berdekatan.  
 
Gambar: Pemandangan bandar raya Kuala Lumpur dari tingkat 116 Menara Merdeka 118

Friday 26 November 2021

KLINIK KESIHATAN TELUK RENJUNA DAERAH SUNGAI PINANG

  
Malaysia merupakan antara negara terbaik di dunia dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. Di mana sahaja ada penampatan penduduk, maka di situ akan wujud perkhidmatan Klinik Desa atau Klinik Kesihatan untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk. 
 
Salah satu Klinik Kesihatan yang dianggap mafestasi kepada kecaknaan kerajaan menyediaan pekhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat ialah Klinik Kesihatan Teluk Renjuna, Tumpat. 
 
Dalam konteks perkhidmatan, di sesuatu klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, maka di situ ada penempatan doktor, selain staf perubatan lain seperti Pembantu Perubatan, jururawat, Pembantu Perawatan Kesihatan dan farmasi serta bahagian sokongan. 
 
Jika disebut Pulau Teluk Renjuna, pastinya bagi mereka yang mengetahuinya akan tergambar satu kampung di delta Sungai Kelantan. 
 
Klinik Kesihatan Teluk Renjuna terletak di Pulau Teluk Renjuna, salah satu daripada 33 buah pulau yang terletak di delta Sungai Kelantan, sebelah pentadbiran jajahan Tumpat. 
 
Daripada 33 pulau tersebut, hanya 13 pulau berpenghuni. Antara pulau yang berpenghuni ialah Pulau Pantai Haji Nik Mat, Pulau Seratus, Pulau Beluru, Pantai Suri, Pulau Teluk Renjuna, Pulau Dollah, Pulau Aur, Pulau Tongkang dan Pulau Pantai Baru. 
 
Dengan kata lain, khidmat yang disediakan oleh Klinik Kesihatan Teluk Renjuna bukan sahaja untuk penduduk Pulau Teluk Renjuna, tetapi juga penduduk-penduduk dari pulau-pulau lain. 
 
Mereka yang ingin mendapatkan khidmat di Klinik Kesihatan Teluk Renjuna perlu menaiki bot. Justeru, kedudukan klinik hanya sekitar 70 meter dari jeti memudahkan pengguna. 
 
Kalau di klinik kesihatan lain terdapat ambulan atau kenderaan darat lain, Klinik Kesihatan Teluk Renjuna ada bot untuk kegunaan staf dan pesakit. 
 
Jeti terdekat di tanah besar ialah Jeti Kok Majid yang hanya mengambil masa 5 hingga 10 minit perjalanan. Manakala masa ke Jeti Kuala Besar di jajahan Kota Bharu pula mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit. 
 
Kemudahan khidmat kesihatan yang disediakan di Klinik Kesihatan Teluk Renjuna memang amat berguna kepada penduduk di pulau-pulau delta Sungai Kelantan. 
 
 

Thursday 11 November 2021

BAGAIMANA TERBENTUK PANTAI KACA

  
Bahan berasal kaca seperti botol, pinggan dan sebagainya yang dibuang di pantai dan dihakis secara konsisten oleh ombak akan bertukar bentuk menjadi sesuatu yang menarik. 
 
Untuk menjadikan satu-satu kaca tu pecah dan terbentuk cantik, ianya mengambil masa lebih kurang 30 tahun, bergantung juga pada jenis pasir pantai dan konsistensi hempasan ombak. 
 
Terdapat banyak tempat di seluruh dunia yang dapat ditemukan hamparan kaca di pantai yang cantik. Terdapat sekurang-kurangnya 12 tempat di seluruh dunia yang dicatatkan sebagai pantai kaca yang cantik. 
 
Salah satu tempat yang dikenali pantai kaca ialah di Okinawa Jepun yang unik dan dianggap antara yang tercantik di dunia. 
 
Dahulunya kawasan tersebut merupakan tempat pembuangan dan pelupusan sampah semasa Perang Dunia Kedua, kini Pantai Gelas Okinawa bertukar menjadi pantai yang cantik, dengan kilauan kaca berwarna-warni seperti kuning, merah, ungu, hijau dan sebagainya.
 
Gambar: Kaca cantik yang ditemui di Pantai Kaca Okinawa, Jepun

Sunday 7 November 2021

SMK PANGGUNG JAYA SEKOLAH ORANG ASLI

  
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya yang terletak di Kampung Panggung Lalat menjadi sekolah pertama untuk anak Orang Asli di Kelantan. 
 
Pembinaan sekolah ini bermula pada Oktober 2016 dan siap 2020, terletak di laluan utama Gua Musang – Lojing di Kampung Panggung Lalat, Mukim Batu Papan, daerah Galas, berhampiran Kampung Kuala Betis. 

Kedudukan SMK Panggung Jaya adalah yang paling jauh dari Kota Bharu berbanding sekolah-sekolah lain. Sekolah rendah paling jauh pula adalah SK Pos Brooke yang terletak di Lojing.
 
Sekolah yang mempunyak 24 bilik darjah in mampu memuatkan sehingga 700 pelajar dan kemudahan 400 pelajar di asrama, asalnya dibina atas nama Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Betis, kemudiannya ditukar nama secara rasmi kepada SMK Panggung Jaya. 
 
Nama ‘Panggung Jaya’ adalah dari nama Kampung Panggung Lalat yang hanya mengambil perkataan ‘panggung’ dan ditambah perkataan ‘jaya’ yang menjadikan nama ‘panggung jaya’. 
 
Pembinaan sekolah yang menelan kos sehingga RM50 juta dapat menyelesaikan masalah penempatan pelajar Orang Asli dari kampung pedalaman. Sekolah "moden" itu setaraf dengan sekolah-sekolah yang baharu dibina di tempat-tempat lain. 
 
Sebelum ini anak-anak Orang Asli di kawasan pedalaman terpaksa dipecahkan kepada beberapa sekolah menengah lain iaitu SMK Tengku Indera Petra 1, SMK Tengku Indera Petra 2, SMK Seri Wangi, SMK Tengku Bendahara, SMK Bandar Chiku dan SMK Chiku 2. 
 
Pembinaan SMK Panggung Jaya adalah langkah penyelesaian kerajaan dalam memastikan anak-anak Orang Asli dapat memberikan tumpuan penuh kepada pelajaran tanpa memikirkan jarak jauh dari keluarga. 
 
Kebanyakan mereka tinggal di kampung sekitar Pos Tohoi, Simpor, Belatim, Bihai, Gob, Brooke, Hendrop, Pasik, Pulat, Hau, Blau dan Kuala Betis. 
 
Kewujudan SMK Panggung Jaya mampu mengelakkan masalah pelajar kaum berkenaan tercicir pelajaran.

Pelajar SMK Panggung Jaya cipta sensasi


Wednesday 27 October 2021

TAPAK PELUPUSAN SANITARI, SUNGAI UDANG, MELAKA

  
Sistem Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang telah digunakan semenjak tahun 2014 lagi dan merupakan satu-satunya pusat pelupusan di Negeri Melaka. 
 
Dengan keluasan seluas 64 ekar, kapasiti sampah yang dihantar mencecah 1000 tan setiap hari. 
 
Proses pelupusan yang lengkap dengan sistem kawalan gas methane dan rawatan leachate yang sistematik akhirnya menjadi air bersih dan mesra alam. 
 
Tapak Pelupusan Sungai Udang bakal menjadi projek rintis di bawah KPKT yang menggunakan sistem WTE (waste to energy) dijangka dapat menerima kapasiti 1,000 tan metrik sisa pepejal setiap hari dan berupaya menghasilkan 20 Megawatt (MW) hingga 25MW tenaga hijau.
 
 

Monday 18 October 2021

UBI ITIK TIDAK BERMUSIM

 
Kebanyakan jenis ubi tidak bermusim. Tumbuh apabila ditanam dan menghasilkan ubi atau isi apabila sampai tempoh berisi. 
 
Namun, kebanyakan ubi ditanam secara bermusim apabila selesai tanaman tertentu atau bersesuaian dengan tempoh musim seperti musim panas dan musim tengkujuh. 
 
Di Malaysia memang kaya dengan kepelbagaian jenis ubi seperti ubi keledek, ubi kayu, ubi kemili, ubi badak dan ubi itik. 
 
Ubi itik antara jenis ubi terkenal di Kelantan. Ubi itik juga jenis tidak bermusim. Namun, ia mudah ditemui pada musim tengkujuh. 
 
Ini kerana biasanya ia dituai pada musim tengkujuh untuk mengelak ubi menjadi carak atau rosak jika terendam lama di dalam air. 
 
Tambahan pula, pada musim tengkujuh permintaan terhadap pelbagai jenis ubi, termasuk ubi itik agak tinggi. 
 
Ubi itik tidak sama dengan ubi torak, biarpun ada sedikit persamaan. Bentuk ubi itik seakan kaki itik. Dari tangkai ia akan berkembang membentuk seperti kaki itik. Manakala ubi torak bentukya seakan buah binjai. 
 
Ubi ini rasanya manis dan tekstur gembur. Jadi, ia sesuai untuk direbus dan dibuat pengat. 
 
Namun, dalam kes tertentu, rasanya sedikit rasa pahit dan isinya juga sedikit berurat. Ia biasanya berlaku kepada ubi yang terbantut tumbesarannya. Ubi dalam kategori ini sukar menjadi empuk apabila direbus. 
 
Pokok ini hidup menjalar dan memerlukan kayu pancang untuk menjalar. Daun seakan daun sirih dan mempunyai batang yang berduri.
 


Thursday 14 October 2021

PENEMUAN RANGKA TENGKORAK DI BUKIT KETERI

  
Penemuan rangka tengkorak dan gigi di Bukit Keteri, membuktikan Perlis pernah menjadi kawasan penempatan masyarakat prasejarah dan proto sejarah, ribuan tahun dahulu. 
 
Penemuan ini adalah bukti-bukti terbaharu selain bahan sejarah lain seperti candi di Lembah Bujang di Kedah serta di Kelantan. 
 
Justeru, Jabatan Warisan Negara (JWN) akan mewartakan kawasan di Bukit Keteri, Chuping sebagai tapak warisan susulan penemuan fosil tulang dan tengkorak manusia dipercayai dari zaman prasejarah. 
 
Fosil tulang dan tengkorak manusia itu dianggarkan berusia antara 5,000 hingga 10,000 tahun. 
 
Usaha yang sama juga akan dilakukan di Gua Semadong dekat sini berikutan penemuan lukisan dinding gua zaman proto sejarah. 
 
Penemuan terbaharu itu adalah hasil daripada eksplorasi JWN, kerajaan negeri dan Persatuan Pendaki Negeri Perlis. 
 
Lukisan di dinding Gua Semadong berbentuk haiwan seperti lembu, gajah, ular, mawas dan manusia menunjukkan ada pengaruh Hindu-Buddha yang dianggarkan sekitar abad kelima hingga ke-10 Masihi. 
 
Lukisan-lukisan ini dipercayai adalah untuk pemujaan dan simbol sembahyang.
 
Gambar: Fosil tengkorok manusia. Sumber media maya.

Sunday 10 October 2021

KIJANG DIKENALI ZON WARISAN BUDAYA

  
Kijang adalah lambang negeri Kelantan. Ada nama kampung dinamakan ‘kijang’ iaitu Kampung Kijang. Ada satu kem terkenal untuk aktiviti pengakap dan perkhemahan iaitu Kem Kijang. 
 
Satu lagi nama 'kijang' yang lebih besar ialah nama kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Kijang. 
 
Pemasangan papan tanda 'Kijang Zon Warisan Budaya' di bulatan Gok Kapor diharap dapat menarik lebih banyak lagi pengunjung ke destinasi menarik di dalam DUN Kijang ini. 
 
Sememangnya DUN Kijang sudah terkenal dengan kawasan pelancongan dan kraf tangan di negeri Kelantan. 
 
Bermula dari Zon Songket di Kampung Penambang, deretan gerai jagung di Kampung Redang, Pusat Riadah Keluarga di Pantai Kundur dan Pantai Mek Mas, Zon Batik di Kedai Buloh dan kraf tangan membuat wau. 
 
Pantai Cahaya Bulan (PCB) yang juga destinasi pelancongan yang terletak di dalam DUN Kijang ini merupakan salah satu tarikan utama pelancong tempatan mengunjungi kawasan ini atas faktor pantainya yang mampu memukau mata para pelancong yang hadir.
 
Gambar Bulatan Gok Kapor.

Tuesday 5 October 2021

TEMBAKAU ROKOK DAUN DITANAM DI BACHOK

  
Bachok pernah menjadi pengeluar utama tembakau negara. Bagaimanapun, selari dengan dasar kerajaan ingin mengurangkan tabiat merokok di kalangan rakyat, pengeluaran tembakau dikurangkan secara berperingkat-peringkat sehingga industri tanaman tembakau hampir mati. 
 
Lembaga Tembakau Negara (LTN) yang berperanan memajukan industri tembakau telah ditukarkan kepada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) sebagai badan berkanun di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC). 
 
LKTN telah ditubuhkan dengan berkuatkuasanya Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 pada 1 April 2010 bagi menggantikan LTN. 
 
LKTN diberi tanggungjawab untuk membangunkan tanaman kenaf sebagai tanaman komoditi baharu dan tanaman alternatif kepada penanam tembakau selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan tanaman kenaf sebagai tanaman 'Sumber Pertumbuhan Baru' di Malaysia. 
 
Namun, kerajaan tidak berhasrat menghapuskan terus penanaman tembakau dalam negara ini kerana yakin kajian mendalam perlu dilakukan bagi melihat potensi komoditi tersebut dalam bidang lain dan bukan hanya tertumpu terhadap pembuatan rokok. 
 
Potensi daun tembakau sebagai bahan dalam bidang farmaseutikal dan kesihatan adalah satu alternatif yang sedang dikenal pasti di peringkat antarabangsa. 
 
Justeru, penanaman tembakau masih diteruskan oleh sebahagian kecil petani di Bachok secara kecil-kecilan. 
 
Jenis tembakau yang ditanam adalah ‘jenis kampung’ yang telah lama ditanam di kalangan penduduk kampung. 
 
Daun tembakau jenis ini dijadikan bahan dalam rokok daun. 
 
Daun tembakau segar yang baharu dipetik akan dipotong halus halus. Ia kemudian akan dijemur di bawah sinar matahari.

Thursday 30 September 2021

TUJUH BENTUK HUKUMAN TATATERTIB PENJAWAT AWAM

  
Semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [PU(A) 395/1993]. 
 
PU(A) 395/1993 memperuntukkan tujuh hukuman tatatertib yang boleh dikenakan kepada pegawai awam yang didapati melakukan kesalahan, iaitu amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja. 
 
Penjawat awam yang dikenakan tatatertib juga, tidak layak untuk dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman, seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan). 
 
Penjawat awam dianggap melakukan kesalahan tatatertib jika tidak melaksanakan tugas sepertimana ditetapkan atau melanggar mana-mana arahan yang dikuatkuasakan. 
 
Sebagai contoh, jika kerajaan menetapkan bahawa setiap penjawat awam wajib mengambil suntikan vaksin Covid-19, maka sesiapa yang tidak mahu atau enggan, ia dianggap telah melakukan kesalahan tatatertib dan boleh dipertimbangkan dikenakan hukuman mengikut mana-mana jenis hukuman yang ditetapkan.

Saturday 25 September 2021

EMPANGAN BUKIT KWONG RANTAU PANJANG

 
Salah satu fungsi empangan ialah membekalkan air untuk aktiviti pertanian, khususnya penanaman padi. Penanaman padi memerlukan sumber air yang berterusan dari mula proses semaian sehinggalah buah padi masak dan sesuai untuk dituai.
 
Di Rantau Panjang, terdapat sebuah empangan yang dikenali Empangan Bukit Kwong. Dinamakan Empangan Bukit Kwong kerana ia terletak di kawasan berhampiran Bukit Kwong.
 
Bukit Kwong terletak berhampiran dengan sempadan Malaysia – Thailand. Sempadan negara hanya kira-kira 2 km sahaja dari Bukit Kwong. Kawasan yang berdekatan di kawasan Thailand ialah Waeng. 

Empangan Bukit Kwong terletak kira-kira 8.5 kilometer dari barat daya pekan Rantau Panjang. 

Kawasan tadahannya adalah lebih kurang 11km persegi yang disalirkan oleh Sungai Tandak Liang. 

Empangan terdiri daripada satu benteng timbusan tanah homogen, satu alur limpah tidak berpintu berabung lebar separa bulat jatuh tegak dan satu struktur pengambilan pintu skru gelongsor tegak. 

Pembinaan empangan ini bermula pada bulan September 1976 dan siap pada bulan Julai 1979. Kapasiti takungan empangan adalah lebih kurang 14.3 juta meter padu pada aras kolam biasa. 

Berdasarkan saiz dan klasifikasi potensi bahaya empangan oleh US Army Corps of Engineers, empangan ini berada pada kategori saiz pertengahan dengan potensi bahaya tinggi. 

Empangan ini adalah merupakan sumber air bagi kawasan pertanian sawah padi iaitu menyalirkan air ke Kampung Telaga Mas, Kok Pauh dan sehingga tamat di kawasan Kampung Parit Air, Rantau Panjang. Air dari empangan ini disalirkan menggunakan tali air.

Kawasan di sekitar empangan ini juga sesuai untuk dijadikan sebagai kawasan tarikan pelancong dengan mempunyai daya tarikan yang tersendiri iaitu tasik dan bukit bukau yang menarik.

Friday 10 September 2021

JALAN PINTASAN BENTONG BERI KESELESAAN

Masalah kesesakan kronik pada setiap kali musim perayaan atau cuti sekolah yang berlaku di bandar Bentong, Pahang dapat diatasi dengan siapnya Jalan Pintasan Bentong (Bentong Bypass Road). .

Jalan Pintasan Bentong merupakan sebahagian daripada fasa pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) membolehkan pengguna dari Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak tidak perlu memasuki bandar Bentong untuk ke Raub dan seterusnya.

Projek Jalan Pintasan Bentong sepanjang 22.7 kilometer (Km) dengan dua lorong itu menjadi alternatif baharu kepada pengguna jalan raya untuk tidak lagi melalui pekan Bentong yang kerap sesak.

Jalan pintasan yang bermula selepas Plaza Tol Bentong (susur keluar Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak) berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan melalui kawasan Benus dan Kampung Lebu.

Baca juga:

Pintasan Raub 

Tuesday 31 August 2021

KHASIAT BUAH BIDARA KERING

  
Buah bidara kering dihasilkan dari buah bidara segar yang dikeringkan. Buah bidara kering juga dikenali kurma merah dan kurma cina.   
 
Buah bidara kaya khasiat, manfaat dan kebaikan kepada sesiapa amal makan secara berterusan.  
 
Buah kurma merah boleh dijadikan sebagai snek atau dimasukkan ke dalam pelbagai jenis pencuci mulut. 
 
Kurma cina ini juga menyediakan nutrien penting dalam diet hariani seperti vitamin A, vitamin C, vitamin E, vitamin K, vitamin B6, zat besi, karotena, kalsium dan sebagainya. 
 
Kandungan vitamin C di dalam buah bidara adalah lebih tinggi dari limau atau epal.   
 
Buah bidara kering boleh dimakan terus atau direbus dengan campuran beberapa bahan lain seperti biji selasih, kembang semangkuk, kundur, biji lotus dan sebagainya untuk dijadikan laici kang.  
 
Kalau tanpa campuran bahan lain pun sudah memadai buah bidara kering sahaja. Ia amat baik untuk menyejukkan badan.  
 
Ibu sedang menyusu anak elok amalkan bidara kering untuk tambahkan pengeluaran susu. 
 
Buah bidara yang kering boleh digunakan sebagai julap ringan. Buah bidara juga boleh dibuat makanan bertepung, mentega atau pes seperti cheese dan digunakan sebagai perasa.  
 
Ianya juga digunakan untuk membuat gula-gula dan jeruk.
 
Antara kebaikan dan manfaat buah bidara:
- Bersifat antibakteria
- Sumber kaya antioksidan mengatasi serangan radikal bebas
- Menjaga tubuh tetap sihat dan sistem imun lebih kuat
- Mempercepat pengeringan dan penyembuhan luka pada kulit.
- Mengatasi masalah perut dan usus seperti ulser perut dan gastrik
- Mengawal kadar gula dalam darah
- Mengatasi bibir pecah-pecah
- Bersifat antikanser
- Membentuk kembali sel-sel organ tubuh yang rosak
- Mengembalikan stamina lelaki
- Mempercepat pengecutan bisul
- Melancarkan sistem pencernaan
- Mengatasi masalah panas badan
- Menjaga kesihatan tulang, gigi dan sendi dari gejala osteoporosis
- Mengatasi gejala keputihan
- Menghilangkan bau tidak sedap pada organ kewanitaan
- Melancarkan haid
- Melancarkan perjalanan darah
- Antioksida
- Mengekalkan fungsi hati
- Memulihkan tenaga
- Mengecutkan rahim 
- Tambah susu badan ibu.
- Cantikkan kulit