Friday 20 January 2017

Pengajaran kisah Luncai akibat celupar

 
Bangsa Melayu kaya dengan cerita penglipurlara seperti Mat Jenin, Pak Kadok, Lebai Malang, Pak Andih, Luncai dengan labu-labunya dan banyak lagi. Cerita berkenaan mengandungi unsur kelucuan, tetapi terselit pengajaran yang berguna.

Kisah Si Luncai dengan labu-labunya berkisar kepada nasib Si Luncai seorang miskin yang dihukum oleh raja supaya dibuang ke tengah laut akibat tersilap cakap mengatakan wajah sultan sama seperti arwah bapanya.

Sepertimana juga cerita penglipurlara lain, banyak versi penceritaan yang ada. Pelbagai versi ini tidak menjadi kesalahan kerana kisahnya berkisar kepada cerita rekaan dan tidak ada pengarang asal. Tambahan pula, pada masa lalu ia disampaikan dari satu generasi kepada satu generasi secara lisan. Jadi, tentu sekali penyampaian cerita berbeza-beza.

Di sini diceritakan kisah Si Luncai secara yang ringkas. Akisahnya, Si Luncai seorang miskin dari hujung kampung begitu ingin menatap sendiri wajah rajanya. Namun, biarpun telah beberapa kali mencuba, hasratnya gagal disebabkan wajahnya yang buruk serta tidak mempunyai pakaian yang sesuai untuk mengadap raja.

Namun, pada suatu hari, dia berjaya juga masuk ke istana dan mengadap raja. Malangnya, dia ditimpa malang. Apa tidaknya, ketika menghadap raja, terluncur kata dari mulutnya bahawa muka raja mirip wajah arwah bapanya.

Raja yang zalim itu terasa dipersendakan. Baginya, mukanya tidak sekali-kali boleh disamakan dengan rakyat biasa … apatah lagi dengan muka arwah bapa Si Luncai yang miskin dan dipandang hina itu.

Tanpa mempertimbangkan perkara ini dengan adil dan teliti, raja pun menjatuhkan hukuman. Penghinaan Si Luncai mesti dibayar dengan nyawa. Dan untuk itu, Si Luncai dihukum bunuh secara dicampakkan ke tengah laut.

Pesuruh raja pun bersiaplah membawa Si Luncai ke dalam perahu untuk dibawa ke tengah laut kerana Si Luncai akan dibuang ke dalam laut itu nanti. Si Luncai telah dimasukkan ke dalam sebuah guni dan dipikul ke pangkalan.

Apabila sekaliannya telah siap, maka perahu itu pun dikayuhlah ke tengah laut. Dari dalam guni itu Si Luncai dapat melihat beberapa biji labu air terdapat di dalam perahu. Setelah lama mereka berkayuh, maka Si Luncai berkata; “kasihan benar aku melihat kamu semua terlalu teruk berkayuh. Mahukah kamu semua jika aku ajarkan lagu untuk menghilangkan penat kamu semua itu?”

Salah seorang daripada mereka berkata; “Diamlah kamu, sebentar lagi kamu akan dicampakkan ke dalam laut ini”. Mendengar kata-kata yang sedemikian itu, maka Si Luncai pun menyanyilah. “Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan!”

Mendengar Si Luncai menyanyi itu, pesuruh raja itu mula tertarik dan beberapa orang pekayuh mula menyanyi: “Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”

Maka beberapa orang yang lain pun menjawablah: “Biarkan! Biarkan!” Akhirnya mereka menjadi dua kumpulan menyanyikan lagu itu.

“Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”
“Biarkan! Biarkan!”

Demikian lagu itu dinyanyikan berulang-ulang hingga lekalah mereka semuanya.

Melihatkan keadaan itu, maka Si Luncai pun keluar dari guni dan dia mengisikan beberapa biji labu ke dalam guni itu dan kemudian dia mengambil dua biji labu yang lain lalu terjun dari perahu itu.

Perbuatan Si Luncai terjun dengan labu-labunya dilihat oleh sekumpulan pendayung di bahagian belakang dan berteriak ‘Si Luncai terjun dengan labu-labunya” untuk memberitahu bahawa Si Luncai telah berjaya melepaskan diri.

Namun, teriakan itu pula disambut dengan ‘biarkan biarkan’ oleh pendayung di hadapan kerana menyangka bahawa itu adalah sebahagian lirik lagu yang mereka nyanyian.

Si Luncai berenang ke tepian menggunakan pelampung labu air yang dua biji itu.

Apabila sampai ke tengah laut, kumpulan pendayung di hadapan baru menyedari bahawa Si Luncai telah berjaya melepaskan diri. Maka kembali ke darat dan mencari Si Luncai.

Mesej yangg mendalam tersirat di sebalik hikayat ini itulah yang terjadi pada Si Luncai mengenai nasib keceluparan yang membawa bencana. Tetapi Si Luncai bukan orang sembarangan, yang miskin cuma harta, bukan minda dan ketangkasan fikirannya. 

Otaknya bergeliga dengan pelbagai taktik licik untuk menyelesaikan masalah. Walaupun telah dihukum mati, Si Luncai tidak panik dan masih mampu berfikir untuk melepaskan diri.

Kita jangan mudah menyerah kalah apabila berdepan situasi genting atau mencabar. Cubalah cari jalan untuk menghadapi masalah itu dengan baik. Akal yang bijak dan hati yang tenang akan membantu kita mencapai kejayaan. 

Satu lagi mesej yang boleh dikaitkan dengan cerita Si Lucai ialah jangan mudah percaya kepada helah seseorang. Masyarakat hari ini lebih mudah percaya kepada seseorang dan membiarkan orang berkenaan melakukan perbuatan salah dan mengkhianati amanah.  

Banyak situasi atau perlakuan yang dilakukan oleh sesetengah individu atau kumpulan yang boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara. Namun, perbuatan itu dibiarkan saja atas alasan itu hak mereka. Sesungguhnya, perkara yang turut melibatkan kepentingan orang ramai tidak boleh dianggap sebagai hak seseorang. Yang buruk perlu dihalang. 

3 comments:

  1. Nice morally story..

    ReplyDelete
  2. I really love this cerita rakyat. I t would be good i lf you post many moreπŸ˜ŠπŸ˜ŠπŸ˜ŠπŸ˜ŠπŸ™‚πŸ™‚πŸ™‚

    ReplyDelete
  3. Sent about nunuk ragang

    ReplyDelete