Friday 26 May 2017

Cara buat belacan

Belacan merupakan sejenis bahan perisa masakan yang diperbuat daripada udang kecil atau dipanggil geragau digaul bersama garam. Ia mempunyai bau agak kuat tetapi sedap dan digemari ramai.

Terdapat sesetengah orang yang gemar membakarnya sedikit sebelum digunakan kerana ini membangkitkan baunya. Orang Melayu jika tak tahu makan belacan sering kali ditertawakan atau diejek. Begitulah sinonimnya belacan dalam kehidupan orang Melayu.

Tetapi belacan kini telah diterima oleh semua peringkat usia dan bangsa di Malaysia. Bahkan ada pengeluar belacan terdiri bukan Melayu.

Proses pembuatannya agak mudah tapi memerlukan kemahiran untuk menghasilkan mutu dan kualiti belacan agar tahan lama.

Bahan asas belacan ialah udang geragau dan garam. Ada juga mencampurkan dengan gula dan sagu. Udang yang digunakan untuk diproses membuat belacan hendaklah terlebih dahulu dibersihkan daripada sebarang kotoran seperti tanah, pasir, habuk, kulat dan sebagainya. Garam yang digunakan pula ialah jenis garam halus. Jumlah garam yang digunakan biasanya ialah 10% daripada jumlah berat udang yang digunakan.

Udang yang telah dibersihkan dicampur dengan garam halus dan digaul rata.  Bahan yang telah dicampurkan itu diletakkan di atas nyiru atau tikar untuk dikeringkan separuh kering.

Udang yang bergaram yang telah dijemur separuh kering tadi dikisar atau kaedah lamanya dengan cara menumbuk di dalam lengsung supaya separuh hancur.  Bahan yang telah ditumbuk itu dibungkus dengan kain dan dimasukkan ke dalam tong dan ditekan supaya menjadi padat. Ia perlu diperam selama seminggu.

Setelah diperam selama seminggu, bahan itu dikisar sekali lagi supaya adunan hancur menjadi halus. Selepas itu dibungkus semula dengan kain dan dimasukkan ke dalam tong dan ditekan supaya menjadi padat. Kemudian diperam selama seminggu lagi.

Langkah tersebut diulang beberapa kali bagi menghasilkan belacan bermutu tinggi. 

Belacan asli diproses mengambil masa lama kerana menjamin mutu dan kualitinya.  Belacan asli tidak menggunakan kimia Rhodamine B yang digunakan sebagai pewarna mencantikkan belacan. Bahan kimia Rhodamine B berbahaya untuk kesihatan.

Petua untuk mendapatkan bekalan belacan yang asli adalah dengan membeli belacan buatan kampung dan bukannya belacan kilang. Belacan buatan kampung adalah diusahakan sendiri oleh orang kampung.

Belacan asli berwarna kelabu atau pudar. Kalau yang berwarna merah atau jingga, itu dicampur dengan pewarna. Boleh mangakibatkan barah

Menu selera kampung

Selera kampung. Biarpun rakyat Malaysia telah diperkenalkan pelbagai menu antarabangsa dari pelbagai negara seluruh dunia, namun selera kampung masih lagi memikat hati. Makanlah apa saja menu antarabangsa, tetapi selera kampung tidak ditinggalkan.

Memang susah nak dapat makanan atau menu selera kampung di restoran atau hotel hebat. Mereka lebih gemar menyediakan menu dari luar negara sebagai tarikan pelanggan.

Tetapi, ada juga restoran yang mengekalkan tradisi makanan tempatan yang terus mendapat sambutan pelanggan setia. Malah mereka mengguna nama 'selera kampung' untuk restoran dan kedai makan.

Selera kampung merujuk kepada hidangan atau menu yang menggunakan resipi tempatan yang menjadi hidangan masyarakat dulu. Penggunaan bahan tempatan seperti ikan, udang, santan dan daging serta rampah ratus seperti kunyit, halia, lengkuas dan lain-lain menjadi pilihan. Sayur-sayur tempatan seperti kacang panjang, bendir, kacang botol, taugeh dan sawi menjadi pilihan.

Tidak ketinggalan dalam menu selera kampung ialah penampilan ulam yang terdiri pelbagai jenis pucuk muda, daun, buah dan umbisi.

Paling ketara dalam selera kampung ialah pelbagai jenis pencicah seperti budu, cencalok, kuah asam dan tempoyak.

Hebatnya selera kampung kerana rasanya unik dan pelbagai. Khasiatnya amat banyak dan amat baik untuk menjaga kesihatan.  Sumber asli bebas dari racun dan kandungan yang membahayakan kesihatan.   

Saturday 20 May 2017

Masjid Telipot lawan kondominium

Kerajaan Kelantan tidak menghirau bantahan penduduk di Kejiranan Raja Dewa, Telipot berhampiran pusat bandar Kota Bharu apabila meneruskan pembinaan Apartment D'Perdana di kawasan berkenaan.

Asas bantahan penduduk terhadap pembinaan apartment setinggi 23 tingkat bernilai RM158 juta tersebut kerana kedudukannya bersebelahan dengan Masjid Telipot, yang mana kawasan tersebut dicadangkan pembesaran masjid dan tempat letak kenderaan. 

Apabila siapa, projek dimajukan oleh Jalur Saujana Sdn Bhd, anak syarikat Protasco Berhad itu merangkumi 568 unit rumah di aras 6 hingga 23, dengan pembahagian 140 unit rumah jenis A, 156 unit rumah jenis B, 136 unit rumah jenis C dan 136 unit rumah jenis C2 beserta 15 unit kedai pada aras lantai bangunan tersebut.

Pembangunan D’Perdana Telipot di atas tanah berkeluasan hampir 2 ekar ini menawarkan unit apartmen berkeluasan 460 kaki persegi sehingga 850 kaki persegi. Selain itu, turut disediakan pelbagai kemudahan dan infrastruktur seperti dewan serbaguna, Sky Garden dan Rooftop Garden, taman permainan kanak-kanak berserta kolam mandi berasingan untuk lelaki dan perempuan.

D’Perdana Telipot turut menawarkan unit 3 bilik tidur untuk penduduk di Kota Bharu dengan harga yang amat berpatutan, sejajar dengan aspirasi negara dalam menggalakkan milikan rumah bagi kesemua rakyat.

Tanah bakal dibina apartment ini adalah tanah yang anugerahkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan semasa zaman Datuk Asri untuk dijadikan Taman Asuhan Kanak-Kanak pertama di Kelantan dan bila Zaman Tan Sri Mohamed Yaacob pula diperkemaskan dengan diletakkan di bawah jagaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) (tanah itu bukan diberi milik kepada YIK)  bermula 1978 dengan niat ia terus menjadi kawasan institusi pendidikan dan mengembangkan syiar Islam,

Kronologi polimik ini bermula apabila permohonan merancang membina kondominium 23 tingkat dengan menggunakan Lot 235, Seksyen 20. iaitu Lot Masjid itu sendiri pada 21 Julai 2014. Pada ketika ini nama YIK masih tiada dalam geran tanah tersebut.

Pada peringkat ini telah timbul persoalan bagaimana permohonan kebenaran merancang oleh sebuah badan yang tiada pemilikan ke atas tanah tersebut. 
Persoalan kedua diperingkat ini, bolehkah permohonan merancang atas lot lain tetapi telah menggunakan nama lot lain iaitu lot Masjid itu sendiri.

Pada 20 Ogos 2014 kelulusan telah dikeluarkan oleh MPKB dan mengejutkan tak sampai sebulan dari tarikh ia dihantar, malah untuk pembinaan bangunan sebesar ini di kawasan kejiranan sedia ada tiada satupun public inquiry dilakukan bersama penduduk.

Menyedari situasi tersebut Kerajaan Negeri Kelantan menganugerahkan  secara tergesa-gesa kepada YIK tanah itu pada 30 Julai 2014 iaitu selepas permohonan merancang dihantar atas lot Masjid Telipot (lot 235) menjadikan lot baru PT470 dikeluarkan geran atas nama YIK.

Kelulusan ini  secara tidak langsung melanggar apa yang telah ditetapkan oleh Rancangan Tempatan Kota Bharu 2020 (RT2020) yang mengkelaskan hanya pembangunan untuk institusi pendidikan dibenarkan di tanah tersebut.

Pada 10 Sept 2014, satu surat bantahan rasmi penduduk kawasan kejiranan sekitar Masjid Telipot iaitu kejiranan Raja Dewa telah dihantar kepada semua pihak berkepentingan termasuk kepada Adun Bunut Payong YB Dr Ramli Mamat, Ahli Parlimen Kota Bharu, YB Datuk Takiyuddin Hassan, malah kepada Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar sendiri.

Bantahan tidak diendahkan dan rentetan itu satu bantahan aman diadakan di perkarangan Masjid Telipot pada 29 Mei 2015. Namun respon Kerajaan Negeri dalam sidang Dun pula menyatakan pihak AJK Masjid tidak membantah projek itu.

Kerajaan Negeri dilihat cuba memperbodohkan penduduk Kejiranan Raja Dewa kerana Jawatankusa Masjid Telipot ini dipengerusikan oleh Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri sendiri malah beliau juga adalah Ahli Lembaga Yayasan Islam Kelantan. Jadi, mana mungkin di peringkat Jawatankusa Masjid membantah?

Setelah kelulusan diperolehi, YIK mencari beberapa pelabur dan tak kurang juga yang tidak berminat sehinggalah pada 21 Jan 2016 Syarikat Jalur Saujana Sdn Bhd yang menandatangani MOU ini untuk melaksanakan projek tersebut.

Untuk tidak menimbulkan kemarahan rakyat tentang projek itu, mereka telah menggunakan orang Islam sebagai penama dalam syarikat walau hakikatnya ia adalah milik sepenuhnya Protasco Berhad. di bawah Dato Sri Ir Chong Ket Pen. Pada masa sama mereka maklum kepada rakyat bahawa projek itu adalah apartment Patuh Syariah pertama seumpamanya di dunia.

Pihak kejiranan tidak berputus asa untuk menghalang projek itu, pelbagai usaha dilakukan termasuk pada 11 April 2017 menghantar surat bantahan kepada Jabatan Perancang Bandar. Penduduk juga  memohon kepada YIK jika wanglah yang dikejar,  mereka mohon untuk jualkan tanah tersebut kepada rakyat dan diwakafkan kembali untuk pembinaan masjid atau pusat pembelajaran Islam di sebelah masjid itu.

Namun segalanya tidak membuahkan hasil apabila, kerajaan Kelantan tetap meneruskan pembinaan apartment tersebut apabila perasmian pecah tanah telah dilakukan oleh Menteri Besar.

Malah, bagi pihak kerajaan negeri, projek tersebut dianggap satu kejayaan seperti mana satu catatan di Facebook milik agensi kerajaan Kelantan yang menyebut: KOTA BHARU 17 Mei: Selepas berjaya membangunkan beberapa apartmen antaranya Pusat Dagangan Kelantan (KTC), projek Apartmen D’ Perdana Sri Cemerlang dan apartmen elit TROIKA Kota Bharu, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) kembali mendapat tonik untuk terus membangunkan projek apartmen servis serta menjadi pelopor dalam sektor tersebut di negeri ini.

Keputusan kerajaan Kelantan meneruskan projek tersebut menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan rakyat, khususnya terhadap Menteri Besar yang tidak memperdulikan dan mengendahkan bantahan penduduk-penduduk setempat dan NGO terhadap projek ini. Malah surat bantahan rasmi penduduk telah dihantar kepada Menteri Besar sendiri pada 10 Sept 2014.

Penduduk mempersoalkan adakah Menteri Besar tidak mengetahui bahawa betapa berdosanya seorang pemimpin yang tidak memperdulikan rintihan rakyat dan tidak mengambil peduli permintaan rakyat dengan alasan-alasan yang munasabah agar tidak membina kondo mewah bersebelahan dengan Masjid Telipot ini.

Banyak persoalan ditimbulkan bukan saja di kalangan penduduk setempat, bahkan orang ramai yang mengikuti isu pembinaan apartmen ini.

Antara perkara yang diperkatakan ialah bukankah lebih baik kalau kondo itu dibina di tempat lain untuk tidak merosakkan persekitaram "elit" di Talipot itu. Tindakan meneruskan pembinaan itu dianggap satu penghinaan dan hipokrasi oleh kerajaan Kelantan hari ini.

Keadaan itu dilihat antara ciri-ciri kelemahan dan kebobrokan kerajaan Kelantan hari ini dan juga teknokrat Kelantan yang ada hari ini. Tindakan berkenaan menunjukkan cara 'berfikir' yang tidak ubah seperti 'binatang' yang mendapatkan makanan dengan apa juga cara.

Tindakan itu sudah melanggari konsep 'Merakyat Membangun Bersama Islam' oleh kerajaan negeri Kelantan. Ternyata Kerajaan Kelantan telah hilang kompas akhlak dan konsep Merakyat Membangun Bersama Islam hanya slogan penglipur lara semata-mata.

Turut dipertikaikan adakah kondo di atas lot bersebelahan masjid lebih aula dari pembesaran masjid, sedangkan itu sahaja tanah kosong yang ada. Ini jelas menunjukkan projek komersial bermatlamatkan keuntungan lebih diutamakan dari pembesaran masjid yang diketahui umum telah sesak, baik dari segi ruangan solat mahu pun kawasan letak kereta.

Kalaulah wang yang diutamakan, jawatankuasa penduduk mencadangkan membuat kutipan derma untuk membayar harga tanah setimpal dengan nilai pasaran.

Bantahan penduduk telah tidak diambil kira. Menggambarkan Kerajaan yang ada tidak mengikut prinsip Islam yang mengutamakan permesyuaratan dan mendengar pandangan kedua pihak-pihak yang terlibat seperti yang dikehendaki oleh Islam.

Pembinaan kondominum itu melanggar beberapa peraturan seperti tidak membatalkan semula penggazetan sebagai zon pendidikan seperti mana Rancangan Tempatan Kota Bharu 2020.

Penggazetan semula itu memerlukan pameran awam untuk tujuan bantahan.  Urusan ini tidak dilakukan.

Kemungkinan wujudnya pertindihan kepentingan kerana Ahli Lembaga YIK yang menjadi tuan punya tanah selepas Kerajaan menganugerahkan kepadanya adalah orang yang sama yang duduk dalam Lembaga PKINK

Biarpun telah berlangsung pecah tanah projek, terdapat pihak yang masih ingin memperjuangkan agar projek itu dibatalkan. Sama-sama kita nantikan keputusan seterusnya. 

Thursday 18 May 2017

Nafsu saling kuasai manusia

Nafsu ada dua sifat iaitu membawa kebaikan (mahmudah) dan mendorong melakukan keburukan (mazmumah). Kedua-dua jenis nafsu ini saling menguasai diri seseorang. Jika mahudah yang lebih kuat, maka kebaikan yang lebih banyak dilakukan. Sedangkan jika mazmumah yang lebih berkuasa, maka terjelmalah keburukan dan durhaka lebih banyak dilakukan.               

Sifat mahmudah dan mazmumah dalam diri manusia lahir dari kebiasan yang diamalkan. Ia berkait rapat dengan tahap keimanan. Mereka yang benar-benar bertakwa kepada Allah akan menjauhkan segala sifat tercela, kerana mereka sedar apa yang dilakukan di dunia ini akan menerima pembalasan di akhirat kelak.

Sesunguhnya manusia berdepan dengan musuh yang akan sentiasa mengajak melakukan keburukan dan penderhakaan terhadap Allah. Musuh yang dimaksudkan ialah syaitan. 

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu. Maka itu musuhilah dia, kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongan yang terpedaya supaya sama-sama menjadi penghuni neraka." (surah Fathir, ayat 6).

Demi cita-cita menyesatkan manusia, syaitan akan menyusup dan menyelinap dalam semua aktiviti kehidupan manusia. Semua golongan tidak kira beriman atau tidak, kaya atau miskin, cedik atau bodoh, kuat atau lemah, alim atau jahil dan tua atau muda tidak terkecuali didampingi oleh syaitan.

Perlu ditegaskan, syaitan yang wajib dijauhi bukan saja berupa dalam bentuk kejadian asalnya yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera manusia biasa. Malah, syaitan juga datang dalam bentuk manusia biasa yang hidup di alam nyata, yakni manusia yang telah terpengaruh dengan tipu daya syaitan menjalankan tugas-tugas syaitan. Syaitan menguasai golongan ini menjadi agen untuk menyesatkan manusia.                                                       

Ingatlah firman Allah yang bermaksud: “(Aku berlindung kepada Allah) daripada kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan (menghembuskan) bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) daripada jin dan manusia.” (Surah an-Nas, ayat 4-6)

Sebab itu berhati-hatilah dalam sebarang tindakan. Jangan mudah terpengaruh dengan nafsu yang membawa kepada keburukan. Kebaikan yang diperoleh hasil melakukan kejahatan tidak akan membawa kesenangan atau kebahagiaan hidup.

Sebaliknya, biarpun kita tidak kaya dan tidak terkenal, jika perkara baik yang kita sering lakukan, maka itulah kebahagiaan hidup sebenar yang perlu dicari setiap orang. Kita mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. 

Ikut syariat tanda keimanan

Syariat Islam dibina di atas akidah yang benar kepada Allah, serta menjadi teras kepada pengabadian kepada Allah. Sesiapa mematuhi atau mengikut apa yang ditetap dalam syariat, maka bersaksilah bahawa dia adalah seorang Muslim sejati.  Mereka itu layak menerima pembalasan syurga dan kekal selama-lamanya.  

Sebaliknya sesiapa yang tidak mengendahkan apa yang dinyatakan syariah, maka hidupnya sesat tanpa panduan.  Apa yang dilakukan di dunia ini adalah berdasarkan kepada kehendak nafsu semata-mata.  Kehidupan di akhirat nanti akan berakhir di neraka dan menerima azab pedih yang tidak terhingga.

Sesungguhnya pengertian iman adalah pengakuan dengan lidah, membenarkan pengakuan itu dengan hati dan mengamalkan dengan anggota.  Juteru itu, apa yang diucap hendak menyamai dengan apa yang dilakukan.  

Amatlah besar dosa mereka yang hanya mengaku beriman di mulut, sedangkan apa yang dilakukan menyamai tindakan mereka yang tidak beriman.  Mereka itu mempersenda-sendakan hukum agama dan menjual agama demi kenikmatan hidup di dunia.

Syaitan sentiasa berusaha merosakkan manusia agar di akhirat nanti akan bersama-samanya di dalam neraka.

Ingatlah firman Allah yang bermaksud: “(Aku berlindung kepada Allah) daripada kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam.  Yang melemparkan (menghembuskan) bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) daripada jin dan manusia.” (Surah an-Nas, ayat 4-6)

Untuk menyempurnakan keimanan, maka perlulah dibuktikan dengan perlaksanaan seperti yang ditetapkan oleh syariah. Iman bukan sekadar ilusi, tetapi sebenarnya merupkan realiti.  Apa yang dikata mesti dibuktikan. 

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa manusia memerlukan syariat dalam memandu kehidupan yang sempurna.  Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang diperlukan oleh manusia.  Syariah Islam lengkap sepenuhnya untuk dijadikan panduan kepada manusia sepanjang zaman hingga ke hari kiamat.

Sesuai dengan kedudukan syariah sebagai panduan hidup, maka sudah pasti ia mampu untuk menyelesaikan permasalahan sosial masyarakat.  Sebenarnya masalah sosial yang dihadapi manusia sekarang adalah berpunca daripada tidak mengikut apa yang ditetapkan oleh syariah. 

Manusia tidak mampu untuk menyelesaikan sendiri masalah yang dihadapi, melainkan memerlukan panduan dan peraturan yang ditetapkan sendiri oleh Allah.  

Syariah yang ditetapkan sepertimana terkandung dalam al-Quran, hadis, ijmak dan kias adalah penduan sempurna yang mampu menyelesaikan segala permasalahan manusia.


Hilang taraf kewangan

Antara tindakan atau keadaan yang menyebabkan seseorang warganegara kehilangan taraf kewarganegaraan ialah apabila individu itu mendapat kewarganegaraan negara lain. Perlembagaan negara menetapkan seorang individu hanya boleh memegang satu taraf kewarganegaraan saja.

Terdapat negara lain yang membenarkan rakyatnya memperoleh atau memegang dua kewarganegaraan atau lebih pada satu-satu masa.

Perkara 24. Pelucutan kewarganegaraan kerana memperoleh atau menggunakan kewarganegaraan asing, dsb.
(1) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan), maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.

(2) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah menuntut dan menggunakan dengan sukarela di mana-mana negara di luar Persekutuan apa-apa hak yang terdapat untuknya di bawah undang-undang negara itu, iaitu hak-hak yang diberikan secara khusus kepada warganegara negara itu, maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.

(3) (Dimansuhkan).

(3A) Tanpa menjejaskan keluasan Fasal (2), penggunaan hak undi dalam mana-mana pemilihan politik di sesuatu tempat di luar Persekutuan hendaklah disifatkan sebagai penuntutan dan penggunaan yang sukarela suatu hak yang terdapat di bawah undang-undang tempat itu; dan bagi maksud Fasal (2), seseorang yang, selepas tarikh yang ditetapkan* oleh Yang di-Pertuan Agong melalui perintah bagi maksud Fasal ini--
(a) memohon kepada pihak berkuasa sesuatu tempat di luar Persekutuan supaya pasport dikeluarkan atau dibaharui; atau

(b) menggunakan pasport yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa itu sebagai dokumen perjalanan,
hendaklah disifatkan dengan sukarela menuntut dan menggunakan suatu hak yang terdapat di bawah undang-undang tempat itu, iaitu suatu hak yang diberikan secara khusus kepada warganegara tempat itu.

(4) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana perempuan yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Fasal (1) Perkara 15 telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan oleh sebab perkahwinannya dengan seseorang yang bukan warganegara, maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan perempuan itu.

Adalah menjadi hak individu untuk memilih mana-mana kewarganegaraan jika dia berpeluang berbuat demikian.  Tidak terkecuali di kalangan warganegara Malaysia yang memilih memohon menjadi warganegara negera lain.

Jika itu pilihan mereka, biarkan. Mereka sudah tidak sayangkan negara ini.

Jika benar mereka sebagai warganegara yang amat cintakan Malaysia, sudah pasti tidak akan timbul langsung niat atau tindakan untuk cuba mencari kerakyatan di negara lain.

Justeru, biarkan sahaja mereka berbuat demikian dan pergi mencari mana-mana negara lain yang lebih baik berbanding Malaysia mengikut pandangan mereka sendiri.

Sejumlah 56,576 rakyat Malaysia melepaskan kerakyatan mereka antara 2006 hingga April 2016. Seramai 49,864 daripada jumlah itu ialah orang Cina, 1,833 (India) dan 844 (Melayu). Baki 4,044 orang daripada kaum lain.

Malaysia tidak memerlukan rakyat yang tidak setia kepada negara. Kalau terus tinggal di Malaysia mereka akan menjadi perosak kepada perpaduan dan nilai patriotisme rakyat lain.  


Monday 15 May 2017

Akibat buruk perut penuh makanan

Selalu isi perut penuh makanan beri kesan buruk untuk kesihatan dan malapetaka kepada diri. Islam ajar umat agar sederhana dalam soal makan. Banyak kebaikan dari segi rohani dan jasmani jika tidak makan berlebihan.  

Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada bekas yang dipenuhi oleh manusia lebih teruk dari perutnya. Cukuplah manusia itu memakan beberapa suapan yang menegakkan tulang tulang sulbinya. Jika dia tetap nak jugak makan banyak maka satu pertiga perutnya untuk makanan, satu pertiga minuman dan satu pertiga lagi dikosongkan."(Hadis riwayat Tirmizi dan Abu Daud) 

Lapar menyukarkan syaitan mempengaruhi menusia melakukan kejahatan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya syaitan lalu di dalam tubuh manusia seperti lalunya darah. Sempitkan laluan syaitan dengan lapar dan dahaga."(Hadis  Ibnu Abi ad-Dunya).

Kenyang di dunia memungkinkan seseorang menjadi lapar di akhirat. Nabi SAW bersabda: "Maka sesungguhnya orang yang paling lama lapar pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak kenyang di dunia."(Hadis  riwayat Baihaqi dan Tirmizi) 

Lapar adalah sunnah Nabi SAW. Abu Hurairah berkata: "Nabi SAW dan ahli keluarganya tidak pernah kenyang selama tiga hari berturut dengan roti gandum sehinggalah baginda meninggal dunia."(Hadis riwayat Muslim).

Perut yang boroi tidak disukai Nabi SAW. Suatu hari Nabi SAW melihat kepada lelaki yang boroi perutnya. Maka Nabi SAW menunjukkan ke arah perut lelaki itu dengan jarinya, seraya bersabda: "Kalaulah makanan-makanan ini (yang menyebabkan perut boroi) diberikan kepada orang yang memerlukan adalah lebih baik."(Hadis riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi)

Orang yang kuat makan tidak ada nilai di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: "Maka didatangkan pada hari kiamat seorang yang besar, panjang, kuat makan dan kuat minum tetapi apabila ditimbang amalannya tidak ada sebesar nilai sayap nyamuk pun di sisi Allah."(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Abu Sulaiman ad-Darani telah menyebut beberapa keburukan akibat kekenyangan. Pertamanya kehilangan kemanisan bermunajat dan susah hendak mengahafal mutiara ilmu. Kekenyangan juga akan menyebabkan rasa kurang kasihan pada manusia lain kerana menganggap orang lain pun semuanya kenyang. 

Selain itu ia menyebabkan rasa malah beribadat serta bertambah nafsu syahwat. Orang-orang beriman sentiasa duduk di masjid dan orang-orang yang kenyang duduk di tempat-tempat kotor dan maksiat.

Lapar latih diri tidak kedekut

Layan nafsu makan. Apa nak makan, kedai makan terkenal, hidangan paling lazat, apa menu, tempat makan mana dan sedap seraing bermain di fikiran. Hawa nafsu adalah mata-mata Iblis. Hawa nafsu selalu memenuhi keinginan Iblis dan syaitan yang selalu ingin memuaskan keinginan hawa nafsu. 

Hawa nafsu juga selalu meminta bantuan Iblis untuk memudahkan apa yang diinginkannya dan Iblis selalu mengembuskan bisikannya ketika menggoda seseorang melalui hawa nafsu. Rasa lapar menutup gejolak hawa nafsu sehingga ia tidak mampu menyampaikan keinginannya kepada Iblis.

Setelah hawa nafsu tidak berdaya kerana ditaklukkan oleh lapar, mucullah semangat spritual yang menerima limpahan cahaya Ilahi dan pengajaran yang berguna. 

Ali bin Abi Thalib bercerita: “Suatu hari aku masuk ke rumah Rasulullah.  Aku melihat baginda bertelungkup di atas tikar sambil menyembunyikan wajah. Tubuhnya kelihatan lemah kerana menahan lapar. Ketika itu Rasulullah berdoa, ‘Dengan lapar dan dahagaku, ampunilah umatku atas dosa-dosa mereka’.”

Aisyah meriwayatkan: “Rasulullah dan para sahabatnya biasa menahan lapar.”

Abu Hurairah berkata: “Kamu lihat, aku merintih di antara kuburan Nabi dan mimbar kerana lapar, sehingga orang mengatakan aku gila. Aku bukan gila, melainkan lapar.”

Pernah suatu kali, ketika Rasulullah SAW mengimami sembahyang, beberapa sahabat tidak sanggup berdiri kerana lapar.

Selesai sembahyang, Rasulullah SAW menoleh ke arah mereka dan bersabda: “Seandainya kalian tahu apa yang akan kalian dapatkan di sisi Allah (kerana lapar kalian), nescaya kalian akan menambah (lapar kalian).”

Keadaan lapar melatih dan memelihara kepekaan kepada orang yang selalu menanggung lapar dan penderitaan akibat kesulitan hidup.  Nabi Yusuf  sewaktu menjadi bendahara kerajaan di Mesir, ditanya mengapa ia tidak pernah mengenyangkan diri dengan makanan. Beliau menjawab: “Aku takut jika aku kenyang aku lupa kepada orang yang lapar.”

Dikhabarkan, Hatim Al-Thai mempunyai seorang ayah yang banyak harta. Ia menyuruh Hatim supaya tidak banyak memberi, tetapi Hatim malah tidak berhenti memberi.

Seseorang menyarankan kepada ayah Hatim:  “Jika tuan ingin Hatim berhenti, tuan harus mengurungnya di dalam rumah selama beberapa hari. Selepas itu, dia tidak akan memberi lagi.”

Ayah Hatim pun melaksanakan nasihat itu mengurung Hatim di dalam rumah. Setelah sebulan dikurung, barulah Hatim dilepaskan.

Si ayah yakin bahawa, setelah dikurung, Hatim tidak akan mengulangi kebiasannya lagi. Dia memberi Hatim dua ratus unta. Sangkaan si ayah tidak tepat.  Hatim memanggil penduduk kampung seraya berkata: “Barang siapa mengambil unta di antara unta-unta ini dengan tali, unta itu menjadi miliknya.”

Lalu, seorang demi seorang mengambil unta dan habislah semua unta di tangan Hatim. Sepulangnya ke rumah, Hatim menceritakan hal itu kepada ayahnya. Si ayah bertanya, mengapa dia masih berbuat seperti itu. Hatim menjawab: “Rasa lapar telah mendorongku untuk tidak kedekut dengan apa yang aku miliki.”

Ingatlah, ketika berlebih-lebihan dalam soal makan, ada insan lain kelaparan. Ada yang terpaksa mencari sisa makanan dalam tong sampah. Amalkan bersyukur dan bersederhana dalam soal makan.

Rezeki berkat orang lain

Allah membuka rezeki seluas-luasnya kepada seluruh hamba-Nya. Sesiapa yang berusaha, insya-Allah akan memperoleh apa yang diharapkan. Namun, dalam usaha mencari rezeki ada kejayaan dicapai adalah hasil keberkatan adanya orang lain bersama-sama kita. 

Diriwayatkan dalam satu hadis bermaksud: “Ada dua orang bersaudara pada zaman Rasulullah. Salah seorang datang kepada Nabi (untuk belajar), sedangkan yang seorangnya lagi bekerja (menanggung nafkah saudaranya). Maka orang yang bekerja ini mengeluhkan kepada Nabi tentang saudaranya. Nabi pun bersabda, “Boleh jadi kamu diberi rezeki kerananya (ia menuntut ilmu agama).” Hadis Riwayat Tirmizi no. 2345.

Maksud hadis jelas menunjukkan kaitan kewujudan orang lain sebagai punca kepada rezeki yang kita peroleh. Rezeki itu biarpun kita yang berusaha mendapatnya, sedangkan keberkatan atau anugerah Allah adalah akibat hubungan kita dengan orang lain.  

Kita sering mendengar tentang rezeki anak-anak. Biarpun bapa yang berusaha mencari rezeki, hakikatnya Allah memberikannya rezeki itu untuk anak-anaknya. Begitu juga dengan hubungan adik beradik, majikan dengan pekerja, sahabat dengan sahabat dan sebagainya. 

Kemajuan sesebuah syarikat atau organisasi banyak dijayakan oleh orang bawahan. Tidak wujud organisasi tanpa adanya ahli atau pekerja.  

Contohnya, majikan jangan merasa mereka memberi pekerjaan dan pendapatan kepada pekerja. Sebaliknya mungkin rezeki majikan diberi oleh Allah menerusi pekerja. Hakikatnya majikan berkongsi rezeki dengan pekerjanya. . 

Allah beri rezeki pekerja dan anak pinak mereka menerusi usaha niaga. Maka berkongsilah dengan pekerja, bayar upah dan gajinya seperti dijanjikan dan berilah bonus sebagai tambahan berkongsi rezeki dari Allah. Jangan menyombong diri seolah pekerja yang menumpang rezeki kita, mungkin kita yang menumpang rezeki mereka.  Jadi jangan tamak dan angkuh. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Bukankah kamu ditolong dan diberi rezeki kerana (berbuat ihsan) kepada kaum dhu’afa (orang-orang lemah) di antara kamu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Ingatlah, firman Allah SWT bermaksud: “Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dia-lah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” (Surah Saba, ayat 39)

Manakala Rasulullah SAW: “Tidak ada satu hari pun, di mana seorang hamba melalui pagi harinya kecuali dua malaikat turun, yang satu berkata, “Ya Allah, berilah ganti kepada orang yang berinfak”, sedangkan malaikat yang satu lagi berkata, “Ya Allah, timpakanlah kerugian kepada orang yang bakhil.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Berkongsilah rezeki dengan orang lain. Bersyukurlah dengan apa yang kita miliki.

Wednesday 10 May 2017

Kenapa makanan jadi racun

Islam mengajar agar kita bersederhana dalam soal makan dan perkara lain. Perlulahlah kita lebih berhati-hati jika sudah mengalami masalah kesihatan. Makanan yang bagus bagi orang sihat, tetapi berbahaya kepada orang menghadapi masalah fungsi organ.   

Berhati-hati dalam mengambil makanan. Anda sendiri yang kenal makanan mana yang memberi kesan buruk kepada kesihatan berdasarkan kepada pengalaman masing-masing. Bersederhana dan berpantang adalah langkah terbaik untuk kesihatan.

Dalam bidang toksikologi, terdapat prinsip asas yang dipanggil sola dosis facit venenum, bermaksud "the dose makes the poison."

Manakala dalam bidang farmakologi, sebuah subbidang khas dipanggil farmakokinetik yang mengkaji tentang bagaimana tubuh badan manusia memproses setiap bahan khususnya ubat-ubatan.

Setiap tubuh badan manusia secara individu, mempunyai keupayaan tersendiri memproses setiap bahan yang ada. Sebab itu kesan pengambilan sesuatu ubat dan pemakanan tambahan atau memakan sesuatu jenis makanan memberi kesan berbeza kepada setiap individu.

Hal ini lebih-lebih lagi kepada mereka yang mengidap penyakit berbahaya. Contohnya, nasi yang menjadi makanan asasi atau ruji kepada rakyat Malaysia, tidak baik untuk pesakit kencing manis jika dimakan dengan kuantiti yang banyak. 

Begitulah juga dengan jenis-jenis makanan lain. Jadi, jangan mudah terpedaya dengan khasiat makanan tertentu kerana mungkin juga berbahaya kepada individu tertentu.

Cara terbaik untuk mengelak penyakit ialah mencegah dari awal. Amalkan cara hidup sihat dan bersederhana dalam soal makan. Jangan asal ada saja ingin makan. Asal sedap saja terus dibedal. Nafsu makan memang sukar dikawal jika kita tidak berpegang kepada prinsip diajar Rasulullah iaitu makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.

Punca kebanyakan penyakit ialah berdasarkan kepada apa yang kita makan. Pencegahan awal ialah mengawal perut agar tidak diisi dengan terlalu banyak makanan. Perlu diingat sekarang ini banyak makanan, terutama makanan segera dan makanan ringan yang sebenarnya bersifat 'racun' yang jika diambil secara berterusan dan dalam kuantiti banyak akan membahayakan kesihatan.

Jika sudah dikenalpasti mengidap penyakit, lakukan langkah pengubatan secara yang betul. Dapatkan nasihat dari doktor atau pakar pemakanan untuk pulih atau terhindar daripada menjadi semakin buruk. 

Hukum sambut Hari Ibu

Hari Ahad kedua dalam bulan Mei setiap tahun diiystiharkan Hari Ibu. Semua insan bergelar ibu tentu bangga ada satu hari digelar Hari Ibu. Ia disambut segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan negara.  

Persoalannya apakah menghargai jasa ibu sekadar sehari dalam setahun? Memadaikah hanya sehari ibu diraikan dan disebut jasa serta pengorbanan ibu? Itulah tradisi dan kita tidak perlu pertikaikan perkara itu. 

Apa yang penting ialah kita perlu tanam dalam diri setiap anak (kita semua, kerana kita adalah anak kepada seorang ibu biarpun apa status kita sekarang) bahawa menghormati ibu adalah tanggungjawab sepanjang masa.  

Tidak ada hari, melainkan setiap hari sepanjang tahun ibu mesti diraikan pada kedudukan dan perhormatan tertinggi dengan penuh kasih sayang, ihsan dan cinta.

Bahkan, satu yang perlu dihayati dan difahami ialah perkara yang sama juga mesti diberikan kepada bapa. Dalam Islam kedudukan ibu lebih tinggi berbanding bapa dari segi penghormatan yang perlu diberikan oleh anak.  

Namun hakikatnya, kedua-dua ibu dan bapa mempunyai hak dan mesti dihormati oleh anak biarpun dalam apa keadaan sekalipun, melainkan dalam urusan yang bertentangan dengan hukum agama dan undang-undang negara.

Tidak salah bagi umat Islam turut merayakan Hari Ibu biarpun bukan dari tradisi atau perayaan dalam Islam. Sesuatu yang tidak ada nas atau perintah mengharamnya, maka termasuk dalam kategori harus.  

Sambutan Hari Ibu bukan berkaitan perayaan agama lain, biarpun dicetuskan oleh orang bukan Islam. Memang pun, perayaan yang disambut di seluruh dunia, tidak termasuk yang berkaitan dengan agama Islam, adalah ‘dicipta’ oleh bukan Islam.     

Sebenarnya sambutan Hari Ibu telah bermula sejak zaman empayar Roman purba beribu-ribu tahun lalu. Penghormatan yang diadakan pada setiap musim bunga itu asalnya ditujukan kepada Dewi Rhea yang dianggap oleh orang Greek purba sebagai ibu kepada tuhan. 

Di kalangan orang Kristian, sambutan Hari Ibu dibuat ketika perayaan Lent (40 hari sebelum perayaan Easter) sebagai tanda penghormatan kepada Mary, ibu kepada Christ.

Sambutan Hari Ibu moden bermula pada 8 Mei 1914 di Amerika Syarikat hasil usaha Anna M Jarvis yang begitu mengkagumi usaha dilakukan oleh ibunya, Anna Jarvis dalam kerja-kerja membantu orang miskin dalam masyarakatnya. 

Untuk menghargai jasa ibunya, Anna M Jarvis telah melobi pelbagai pihak di Amerika Syarikat, termasuklah Presiden Taft dan Roosevelt untuk menamakan dan merayakan satu hari sebagai Hari Ibu. Walaupun sambutan Hari Ibu untuk seluruh insan bergelar ibu, hakikatnya Anna M Jarvis ingin mengabadikan jasa ibunya untuk dikenang sepanjang masa.

Presiden Woodrow Wilson telah mengisytiharkan hari Ahad kedua pada setiap Mei sebagai Hari Ibu. Bermula saat itu sambutan telah meluas ke seluruh dunia dan menggunakan tarikh sambutan di Amerika Syarikat sebagai rujukan.

Dalam Islam, jasa ibu bukan sekadar dikenang dan dihargai, tetapi satu perintah daripada Allah agar setiap anak wajib mentaati, mengasihi, berbakti dan mengutamakan ibu dalam segenap perkara sepanjang masa. 

Perintah agama lebih menyeluruh dan lebih bermakna daripada sambutan Hari Ibu. Sambutan Hari Ibu sekadar satu tradisi, sedangan perintah Allah menjadi hukum yang mesti dilaksanakan. 

Jadikan hari ibu sepanjang tahun, dan berusahalah mengembirakan hati ibu tanpa perlu menunggu Hari Ibu sekali setahun.

Bahaya makan durian

Pengemar durian berdepan bahaya kesihatan jika makan durian berlebihan. Kesan buruk atau keburukan makan durian berkaitan kandungan mineral yang terdapat dalam durian. 

Tidak dinafikan mineral itu diperlukan oleh badan, tetapi jika diambil dalam jumlah yang banyak akan mendatangkan bahaya kepada organ dalam badan. 

Ada banyak jenis mineral dan garam galian yang diperlukan oleh badan manusia. Kalsium, fosfat, magnesium, potassium, sodium adalah di antaranya. 

Kesemua galian dan garam mineral ini, dikawal kandungan dan kuantitinya oleh buah pinggang kita. Tidak boleh terlalu kurang, dan tidak boleh terlalu lebih.

Potassium adalah sejenis bahan galian dan unsur elemen yang penting bagi tubuh manusia. Ia bertanggungjawab ke atas fungsi otot untuk mengepam darah.  

Kekurangan potassium, dipanggil hypokalemia, contohnya disebabkan muntah atau cirit birit yang berterusan boleh menyebabkan seseorang menjadi lemah, sengal dan lenguh seluruh badan, kejang otot dan sakit otot.

Terlebih potassium pula, dipanggil hyperkalemia, boleh membahayakan nyawa kerana ia mengganggu fungsi pengucupan otot jantung.

Hyperkalemia adalah kes kecemasan yang perlu dirawat segera. Ia boleh menyebabkan gangguan kadar denyutan jantung bahkan boleh menyebabkan denyutan jantung terhenti.

Bagi orang yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang, khususnya peringkat yang bergantung kepada dialisis, mereka ini tidak lagi boleh menghasilkan air kencing.

Tubuh badan mereka tidak lagi boleh mengeluarkan bahan-bahan kumuh yang antaranya terdiri daripada garam mineral dan zat yang berlebihan ini. Dalam kes ini, potassium.

Antara jenis makanan mempunyai kandungan potassium yang tinggi ialah durian, nangka dan pisang. Bagi 100 gram durian mengandungi 436 mg potassium, nangka (448 mg) dan pisang 358 mg potassium.   

Atas sebab itulah, mereka yang menghidapi penyakit kerosakan fungsi buah pinggang, khususnya yang bergantung kepada dialisis, agar berpantang buah-buahan ini. Ia boleh meragut nyawa mereka.

Berpantang dalam erti kata mengurangkan atau kalau boleh, berhenti terus pun tak apa. Mungkin sekali sekala hanya dalam kuantiti yang sedikit, bukannya sekaligus.  

Secara kasarnya, pesakit buah pinggang tetap memerlukan dietary potassium yang mencukupi, iaitu sekitar 1500 ke 2000 mg sehari. Pendek kata jika pesakit mahu makan durian, maka kurangkan makanan high potassium lain.

Contohnya, pagi makan durian, tengah hari makan nangka dan malam pula makan pisang.  Makan pula dalam jumlah yang banyak. Memang kesannya amat berbahaya.

Islam mengajar agar kita bersederhana dalam soal makan dan perkara lain. Perlulah kita lebih berhati-hati jika sudah mengalami masalah kesihatan. Makanan yang bagus bagi orang sihat, tetapi berbahaya kepada orang menghadapi masalah fungsi organ.   

Berhati-hati dalam mengambil makanan. Anda sendiri yang kenal makanan mana yang memberi kesan buruk kepada kesihatan berdasarkan kepada pengalaman masing-masing. Bersederhana dan berpantang adalah langkah terbaik untuk kesihatan.

Saturday 6 May 2017

Buah mertajam rasa kelat manis

Buah terajan atau mertajam rasanya kelat-kelat manis. Pokok ini banyak tumbuh sekitar kawasan kampung. Buah terajan (nama di Kelantan dan mungkin juga di tempat-tempat lain ikut dialek masing-masing) dengan nama sainstifiknya Erioglossum rubiginosum memang mudah tumbuh di kawasan rumah. 

Pokok ini mencapai ketinggian antara 5 hingga 12 meter. Ia mempunyai daun pinat 4 hingga 6 pasang. Saiznya besar iaitu lebih kurang 5cm dan mempunyai reramput halus serta peruratan pinat.

Bunganya berwarna putih, bentuknya bulat dan berpetal 4. Buahnya kecil, berwarna kuning semasa muda dan bertukar menjadi merah dan kundang gelap bila matang.

Diakui kini pokok mertajam semakin sukar ditemui dan dikategorikan sebagai pokok nadir. Justeru, generasi muda hari ini mungkin tidak pernah melihatnya, apatahlagi memakain buah yang 'lazat' dan mendapat sambutan pada masa dahulu. 

Selain buahnya yang enak dimakan, daun mertajam dikatakan boleh hilangkan jerawat dan tidak meninggalkan sebarang kesan parut. Ia juga digunakan untuk merawat luka tanpa meninggalkan parut.

Halang laluan kawasan masjid

Umat Islam dituntut bersembahyang lima waktu sehari secara berjamaah di masjid atau surau. Manakala setiap Jumaat, menjadi fardu ain orang lelaki menunaikan sembahyang Jumaat.

Diperhatikan, banyak jemaah yang ambil mudah dalam soal meletak kenderaan masing-masing. Ada yang meletakkan kenderaan menghalang laluan masuk ke pintu pagar masjid. Bahkan ada yang meletaknya terlalu hampir dengan pintu masjid sehingga mengganggu kelancaran untuk memasuki masjid.

Itu tidak termasuk lagi soal yang letak kenderaan secara tidak berhemah di tepi jalan raya hingga menyebabkan jalanraya terhalang. Ada yang juga menyebabkan terhalang pemandangan pengguna lain untuk keluar dari cabang dan sebagainya.

Hendaklah kita sedar bahawa bagi jalanraya itu haknya yang diajar oleh Islam. Jalanraya bukan sahaja digunakan oleh kita, mereka yang lain juga ada hak menggunakannya dengan cara yang mematuhi peraturan.

Mereka mungkin ada urusan kecemasan ataupun bukan muslim yang mahu ke tempat lain ataupun muslim yang tidak terlibat dengan solat berkaitan seperti wanita, musafir dan seumpamanya.

Rasulullah SAW pernah mengingatkan kalangan sahabat baginda agar tidak mengganggu pengguna jalan.

Maksud sabda: "Jangan kamu duduk di jalan". Mereka menjawab: "Kami terpaksa. Ia majlis kami. Kami berbicara di situ".

Sabda Nabi: "Jika kamu enggan melainkan mahu duduk juga hendaklah kamu memberikan hak jalan". Mereka bertanya: "Apakah itu hak jalan?".

Jawab Nabi SAW: "Tundukkan pandangan (jangan melihat aurat dan keaiban orang), cegah diri sendiri dari menyakiti pihak lain, jawab salam, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran". - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Menghalang kenderaan pengguna jalan raya yang lain itu boleh memudaratkan terutama apabila pengguna itu sakit, ataupun mahu ke suatu tempat yang perlu sampai pada masanya seperti airport dan seumpamanya.

Kenderaan hendaklah diletakkan di tempat yang tidak menghalang lalulintas kenderaan mahupun penjalan kaki. Letakkan kenderaan biarpun jauh dari masjid dan berjalan kaki. Sesungguhnya setiap langkah menuju masjid adalah pahala.

Kita ke masjid kerana hendak menambah pahala berbanding bersembahyang di rumah, untuk sembahyang lima wakut, manakala wajib pada waktu Jumaat.  

Tetapi, jika kita melakukan perbuatan yang ditegah dengan menghalang lalulintas, maka itu sudah menjadi sebahagian perbuatan dosa. Menyusahkan dan membahayakan orang lain adalah perbuatan ditegah. 

GAMBAR SEKADAR HIASAN