Tuesday 31 October 2017

Sebab bertukar kerjaya

Kerjaya profesional seperti peguam, doktor, akauntant, arkitek dan sebagainya menjadi idaman pelajar. Kursus berkenaan di pusat pengajian tinggi mendapat permohonan tinggi.

Namun, realiti kerjaya itu bukan satu mengembirakan semua orang. Ada yang sudah berjawatan tinggi dalam kerjaya masing-masing, memilih untuk beralih kepada kerjaya lain. Kebanyakan mereka memberi alasan tidak tahan dengan tekanan kerja dan tidak bebas.

Mereka berani beralih kerjaya atau memilih kerja sampingan dengan harapan untuk memperoleh kehidupan yang lebih seimbang. Bagi mereka, masa bersama keluarga dan untuk diri sendiri perlu diseimbangkan dengan masa yang diperuntukkan untuk mencari pendapatan.

Mereka cuba mengubah tanggapan bahawa kejayaan dan ketenangan dalam kerjaya bukan ditentukan melalui gaji tetap bulanan hasil penggajian menjadi pejawat awam mahupun pekerja di syarikat swasta. 

Beralih menjadi agen insuran, perniagaan online, perunding kewangan, pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dan ada memilih menjadi pemandu UBER yang dianggap lebih bebas dan tiada tekanan semakin mendapat tempat di kalangan mereka yang pernah menjadi profesional yang dipandang tinggi.

Apa pun langkah yang diambil, pastikan mendapat maklumat tepat mengenai kerjaya baru itu. Jangan pakai agak-agak dan ikut-ikut saja. Pastikan tidak membuat keputusan meninggalkan kerjaya asal hanya kerana terpengaruh melihat kejayaan orang lain. Setiap orang ada kemampuan dan peluang masing-masing.

Dalam banyak keadaan, mencuba secara sambilan adalah langkah bijak. Terus bekerja dengan tugas sedia ada, tetapi mula berjinak dengan peluang baru. Kebanyakan memang boleh dilakukan secara sambilan. Namun, perlu disedari jika melakukan dua kerja, kenalah bersabar dan sanggup melakukan kerja lebih.

Ambil pengalaman dan pastikan pendapatan kerjaya baru itu telah sampai satu tahap tertentu yang diyakini dapat terus meningkat dan lebih tinggi berbanding kerjaya sekarang pada masa hadapan.

Jika keadaan itu telah dipenuhi, baru ambil keputusan sama ada beralih kerjaya sepenuhnya atau kekal membuatnya secara sambilan.

Produk pilihan pembeli

Aspek pemasaran amat penting bagi memastikan produk atau perkhidmatan menjadi pilihan pengguna. Banyak jenama gagal dipasarkan kerana bercerita tentang mengapa mereka perlu dipilih oleh pengguna dan menggunakan produk atau perkhidmatan mereka.

Sedangkan, pengguna sebenarnya perlukan jawapan kenapa jenama itu perlu dibeli dan bukannya jenama lain. Pengguna melihat iklan kerana ingin membuat pilihan. Rata-rata pengguna telah tahu fungsi produk. Jadi, pengguna ingin tahu adalah mengapa produk yang diiklan itu lebih baik berbanding yang lain.

Pengguna kurang berminat mengetahui apa dan bagaimana menggunakan produk. Perkara itu boleh diketahui setelah pengguna membeli atau pengguna memang telah tahu tentang penggunaan sesuatu produk.

Maklumat perlu dijelaskan adalah mengapa produk itu perlu menjadi pilihan atau diguna. Ceritakan tentang kehebatan dan manfaat mengguna produk. Mengapa pengguna 'mesti' beralih kepada produk itu berbanding produk lain. 

Rawang Bypass merentasi Taman Warisan Selangor


Mendekatkan jarak dan mengurangkan masa perjalanan menjadi matlamat sesuatu projek lebuh raya mahupun jajaran jalan raya baru. Begitu juga pembinaan Rawang Bypass menghubungkan Serendah ke Rawang sejauh 23 kilometer.

Projek pembinaan lubuh raya ini merupakan antara yang terkompleks di dalam sejarah pembinaan leburu raya di Malaysia dan juga merupakan yang paling kompleks dari pada segi penentuan bahagian ketinggian jajaran.

Menariknya projek ini kerana di sepanjang laluan ini, pengguna lebuh raya akan berada separas puncak pokok atau lebih tinggi bergantung pada kawasan dan selain itu juga akan melalui bawah talian kabel pencawang elektrik.

Laluan ini penting memendek waktu perjalanan pada waktu puncak ke Kuala Lumpur dari 2 jam kepada 30 minit sahaja. Ia juga bakal menaik pembangunan di Serendah, Batang Kali dan Tanjung Malim.

Laluan ini dibina merentasi Taman Warisan Selangor, yang padat dengan hutan. Ia unik kerana ditiang sehingga 60 meter tinggi dan dibina tidak lurus bagi meminimakan impak kerosakan terhadap ekosistem Taman Warisan Negeri Selangor di mana setiap pokok perlu dielak seberapa banyak yang mungkin daripada terkorban. Antara spesis pokok terpenting terdapat di kawasan ini ialah merawan kanching

Merawan kanching atau giam kanching merupakan khazanah bumi negara yang hanya tumbuh di negara kita dalam satu kelompok kecil di sebuah hutan di Selangor. Pokok ini tidak terdapat di negara-negara lain, dan bilangannya yang kecil, menjadikannya di antara spesis flora dunia yang terancam.

Maksud wala dan walaun

Dalam memperkatakan tentang ketaatan dan patuh kepada pemimin parti, pengikut PAS menggunakan perkataan wala.

Wala bererti taat dan patuh kepada arahan, menaruh percaya kepada perancangan dan strategi serta berazam mempertahankan pimpinan selagi mana tidak bertentangan dengan syariat Islam (Mustafa T, 2016).

Satu yang menarik mengenai penggunaan perkataan atau gelaran, orang Melayu cukup kreatif mencipta perkataan baru. Sejak persengketaan pengikut PAS sehingga lahirnya Parti Amanah Negara (Amanah) istilah walaun menjadi popular dan digelar kepada kumpulan yang mempertahankan konsep wala kepada kepimpinan ulama dalam PAS.

Istilah walaun diterbitkan daripada perkataan wala, yang kononnya bermaksud orang-orang yang wala (plural). Perkataan walaun yang salah dari segi maksud sebenar, ditujukan kepada para pewala ulama dan presiden PAS. Maka, jika disebut walaun, itulah tafsiran yang difahami di kalangan mereka.

Walaun ditujukan kepada ahli PAS telah tercandu dengan wala sehingga sanggup bermatian demi mempertahankan kepimpinan dan organisasi. Gelaran walaun boleh diertikan sebagai orang yang 'bodoh' dan taksub membabi buta, tidak memahami istilah jihad sebenar yang perlu dilakukan untuk memastikan dapat berkuasa.

Dengan kata lain, perkataan atau gelaran walaun khusus kepada ahli PAS yang masih setia kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Jika perkataan ini terus digunakan dan difahami kebanyakan orang, mungkin satu ketika nanti perkataan ini akan digunakan sebagai salah satu perkataan 'sah' dalam Bahasa Melayu sebagai merujuk kepada orang yang masih taat setia kepada pemimpin biarpun sudah wujud gerakan besar-besaran menarik kesetiaan kepada seseorang pemimpin itu.

Pantau ubat terlarang

Cawangan Penguatkuasa Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan di setiap negeri sentiasa membuat pemantauan terhadap produk kesihatan dan kosmetik terlarang dan membuat rampasan.  

Antara jenis produk kesihatan dan kosmetik yang dirampas itu termasuk produk yang disyaki tidak berdaftar dan produk yang disyaki dicemari racun.

Antara kategori produk kesihatan ialah pelangsing badan yang mengadungi racun terlarang Sibutramine serta produk penahan sakit yang mengandungi Corticosteroid.  

Manakala, kosmetik pula yang mengandungi Hydroquinone, Tretinoin dan Mercury.  Mereka yang melakukan kesalahan disiasat di bawah Peraturan 30(1) dan 18A(15) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Antara premis yang diserbu termasuk kedai runcit dan kedai ubat, farmasi, rumah kediaman, pengamal tradisional, setor dan gudang serta salun kecantikan.

Pihak jabatan sentiasa menjalankan pemantauan dan aktiviti penguatkuasaan ke atas individu dan perniagaan yang menjalankan penjualan secara atas talian.

Pemantauan dijalankan bagi memastikan produk kesihatan dan kosmetik terlarang tidak dijual dan diedarkan sewenang-wenangnya.

Bagi memastikan usaha ini dapat dijalankan dengan lebih berkesan, pihak jabatan bekerjasama dengan Cyber Security Malaysia (CSM) dalam aktiviti serbuan dan siasatan bagi kes-kes yang melibatkan peralatan dan peranti digital.

Dengan kata lain, mereka yang memasar melalui media sosial juga tidak terkecuali dipantau dan jika didapat mengiklankan produk terlarang, akaun akan ditutup atau disekat daripada terus beroperasi.

Sebarang pertanyaan berkenaan status pendaftaran produk dan notifikasi kosmetik atau mereka yang ingin membuat aduan, boleh layari laman rasmi Bahagian Regulatarori Farmasi Negara (NPRA) di npra.moh.gov.my, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan di pharmacy.gov.my atau hubungi Cawangan Pernguatkuasa Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan negeri.

Iklan secara bercerita mudah menarik minat pelanggan

Iklan secara bercerita semakin mendapat perhatian. Iklan secara bercerita dikatakan menarik minat pembaca untuk terus membaca dan akhirnya tertarik dengan produk yang diiklan. Atau, iklan bercerita dapat membina indentiti dan kepopularan individu di media sosial. Ia dipanggil cara menjual diri atau menarik perhatian khalayak ramai.
Di sini disalin satu contoh iklan cara bercerita di Facebook:

Saya Fatin, berumur 24 tahun, manakala suami berumur 44 tahun.
Saya nak kongsi pengalaman saya dengan suami, memandangkan jarak umur saya dan suami agak jauh, di usia suami sekarang keadaan kesihatan suami tidak menentu, tambahan pula suami mengidap kencing manis.
Untuk pengetahuan admin, hubungan saya dan suami baik, dia melayan saya dengan begitu baik dan saya pun begitu.
Cuma masalah kesihatan suami agak menggangu hubungan kami bersama. Ikhlas cakap, dalam usia saya 24 tahun ini saya amat dahagakan layanan suami, cuma di atas faktor kesihatan suami dia gagal tunaikan sebaiknya.
Suami pernah suarakan, jika perlu kami berpisah dan kehendak saya suami sanggup lepaskan saya. Dia cakap dia faham apa yang dalam fikiran saya.
Tapi saya tak sampai hati, buat masa ni saya mampu bersama biarpun naif segi nafkah batin saya tidak mendapat yang secukupnya. Saya lebih sayangkan hubungan kami. Saya yakin susah nak jumpa lelaki sebaik suami saya sekarang...
Dah banyak duit bawa suami berubat dan beli macam-macam produk, dari jenis sapu sampailah jenis pil. Suami dah jadi macam tikus makmal. Kesian dia. Macam-macam ubat dia cuba, tapi langsung tak berkesan.
Bukan nak cakap putus asa ke apa, saya ni walaupun beli guna tak jadi. Kalau nampak ada je produk lain saya akan beli, tak kira lagi yang suami beli sendiri.
Kadang saya yang minta suami stop ambil apa-apa ubat kuat lagi, saya risau apa-apa effect lagi teruk suami kena.

Sekadar saya mampu bersabar saya akan sabar. Nak jadikan cerita, saya tak ingat saya jumpa dalam wall atau dalam group, Ada satu page dia jual xxxx.
Saya mula-mula  agak ragu juga nak beli, sebab sebelum ni yang harga beratus pun saya dah beli bagi suami tapi tak de kesan. Kalau ada pun awal-awal pakai je, lama dah hilang.
Tapi memandangkan harga tak la mahal sangat, saya tanya pendapat suami, kalau dia setuju saya nak order, takpe la iktiar kalau tak jadi nak buat macam mana. Lagi pun lagi murah apa. Salahnya.
14/08/2017, saya buat tempahan.
Menakjubkan...
Saya dan suami minum separuh sachet (ikut cadangan penjual). Alhamdulillah, perubahan ketara sangat dari sebelum ni. Saya puas hati sangat pretasi suami baik dari sebelum ni...
Cuma saya tak boleh cerita detail kat sini..takut budak-budak  baca. Perkongsian saya ini untuk mana-man akak yang mengalami masalah macam saya dan suami pengidap kencing manis, saya cadangkan beli kopi ni bagi suami.
Dalam rumah tangga apa-apa masalah cari jalan penyelesaian dulu. insyaallah ada. Jangan fikir tergopoh dan ikut perasaan. Anggap sahaja ujian dari Allah.
Saya dah minta izin dekat penjual untuk promot dekat jiran-jiran. Jadi kalau admin setuju tolong kongsi pengalaman saya ini sebagai tanda terima kasih saya untuk penjual.
Ramai lagi yang lalui apa yang saya pernah lalu. Jadi tak salah kita membantu mereka.
Semoga Allah membalasnya.
Ingin mencuba XXXX
Nak whatsapp sekarang? Klik link ini.

Monday 30 October 2017

Merokok tempat awam

Individu di sekeliling berhak membantah perbuatan perokok kerana kesan buruknya turut ditanggung oleh orang lain. Perokok mengganggu hak orang lain untuk hidup lebih selamat dan selesa. 

Asap rokok yang dibebaskan oleh perokok dipanggil asap tembakau persekitaran (ETS). Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati ETS mengandungi 4,000 bahan beracun, di mana termasuk 22 bahan kimia, 12 agen penyebab barah dan 10 logam berat.

ETS memberi kesan rokok kepada perokok pasif lebih tinggi berbanding perokok sendiri. Di mana, perokok pasif mengalami tiga kali ganda kesan tar, sekali ganda jumlah karbon manoksida, tiga kali ganda nikotin dan 50 kali ganda bahan menyebabkan kanser.

Orang yang tidak merokok terpaksa menanggung akibat tabiat buruk perokok. Satu keadaan yang tidak adil dan menceroboh hak orang lain.  

Sebab itu kita patut menyokong tindakan kerajaan mewartakan tempat awam seperti restoran berhawa dingin, kawasan sekolah, dalam kenderaan awam, kawasan hospital dan tempat orang ramai sebagai kawasan larangan merokok. 

Perbuatan merokok bukan lagi lambang status atau kepuasan seperti ketika pengaruh merokok mula menular di negara kita.  

Masyarakat Barat yang memperkenalkan industri rokok kini telah menolak amalan yang pada satu ketika dulu menjadi kegilaan ramai. Masyarakat kini memandang perbuatan merokok sebagai menyalahi matlamat ingin hidup dengan sihat dan ceria.

Peratusan permintaan rokok di negara Barat kini menurun. Oleh itu, strategi pemasaran rokok kini ditumpukan kepada negara sedang membangun dan mundur yang taraf kesedaran penduduknya terhadap bahaya rokok masih rendah.  

Kerajaan di negara sedang membangun dan mundur sanggup menerima pelaburan besar syarikat rokok melalui pengiklanan dan sumbangan, biarpun sedar ia merugikan rakyat.

Perbuatan merokok adalah satu jenayah terhadap diri sendiri. Perokok menjermuskan diri dalam jurang kebinasaan. Melakukan amalan membinasakan diri bermakna melakukan dosa terhadap diri sendiri. Tanpa rokok seseorang dapat menikmati kehidupan lebih baik dan selamat.  

Orang yang berjaya dalam hidup biasanya tidak merokok dan benci kepada rokok. Merokok menyebabkan banyak aktiviti seharian terganggu. Mereka terpaksa berhenti daripada melakukan tugas seketika semata-mata untuk merokok.  

Perokok sanggup melanggar peraturan melarang merokok di tempat awam, membuat kotor, tidak menghormati orang yang tidak merokok dan tidak sayangkan diri sendiri.  

Sudah tiba masanya seluruh rakyat memandang benci terhadap tabiat merokok sepertimana perasaan benci terhadap dadah. Malah terbukti 99 peratus penagih dadah adalah dari kelangan perokok. Dadah dan rokok adalah musuh negara.

Blai Cerap Kota Bharu

Balai Cerap Kota Bharu terletak di Kampung Kubang Rawa, Salor dibangunkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dengan kerjasama Persatuan Astronomi (Falak) Amatur Kelantan.

Pembinaan fasiliti berserta kelengkapan teleskop dilaksanakan di bawah Projek Inovasi Sosial (MSI) MOSTI bagi memupuk kesedaran dan minat masyarakat negeri ini kepada ilmu astronomi dan angkasa.

Projek seumpama itu merupakan yang ketiga sejak 2015 selepas pembinaan Balai Cerap Persatuan Sabah Stargazer di Papar, Sabah dan perkhidmatan Observatori Solar Atas Talian untuk masyarakat Orang Asli di Dengkil, Selangor.

Objektif utama projek MSI adalah untuk mengembangkan ilmu sains dan teknologi termasuk astronomi yang merupakan bidang fokus negara dan diletakkan dalam kokurikulum di sekolah.

Balai Cerap Kota Bharu adalah balai cerap rasmi pertama di negeri Kelantan memberi manfaat terutamanya kepada pelajar dan penggemar astronomi untuk datang dan mengambil maklum perkembangan terkini bidang ini.

Balai cerap yang bersaiz 800 kaki persegi (74.5 meter persegi) ini dilengkapi dengan empat sistem teleskop; kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) yang disesuaikan untuk pengimejan astrofoto; ruang pencerapan dan pembelajaran.

Menurut Presiden Persatuan Astronomi (Falak) Amatur Kelantan, Dr Mahomarawi Omar, pihak persatuan memohon geran MSI MOSTI itu pada 2015 dan ia diluluskan pertengahan tahun 2016  bagi pembinaan sebuah balai cerap di atas tanah miliknya di Kampung Kubang Rawa. 

Sunday 29 October 2017

Perlu jujur buat pilihan

Seorang Profesor melakukan kajian  pada mahasiswa yang sudah berkeluarga. Dia lalu meminta seorang mahasiswa untuk ke depan papan putih.

Profesor: Tuliskan 10 nama orang yang paling dekat denganmu!

Lalu mahasiswa itu menulis 10 nama, ada nama ibu, bapa, isteri, jiran, teman sekerja, anak dan adik beradik.

Profesor: Sekarang silakan pilih tujuh orang di antara 10 nama tersebut yang kamu benar-benar ingin hidup terus bersamanya. Padam tiga nama.

Lalu mahasiswa memadam tiga nama seperti diarahkan.

Profesor: Silakan buangkan 2 nama lagi! Tinggakan 5 nama sahaja.

Mahasiswa itu dengan yakin memadamkan dua nama lagi.

Seterusnya, Profesor menyuruhnya dibuang dua nama lagi yang supaya hanya tinggal tiga nama sahaja iaitu nama ibu, isteri dan anak. 

Suasana kelas jadi hening. Mereka menyangka semuanya sudah selesai dan tak ada lagi yang harus dipilih.

Tiba-tiba Profesor berkata: Silakan buang 1 nama lagi!

Mahasiswa itu berfikir untuk sementara waktu, lalu dengan perlahan ia mengambil pilihan yang amat sukar iaitu memadamkan nama ibunya.!!!

Suasana kelas semakin hening. Profesor sekali lagi bersuara mengarahkan: Silakan buangkan satu nama lagi!

Hati si mahasiswa makin bingung..Suasana kelas makin tegang. Mereka semua juga berfikir mencari pilihan yang terbaik. Mahasiswa itu kemudian  dengan sangat lambat dia memadam nama anaknya.!!!"

Bersamaan dengan itulah sang mahasiswa tidak tahan lagi menahan air matanya, dan ia pun menangis. Suasana kesedihan menyelinap seluruh jiwa rakan sekuliah. Setelah suasana lebih tenang, akhirnya sang Profesor bertanya.

Professor: Kenapa kamu tidak memilih orang tua yang membesarkanmu.. tidak juga memilih anak yang adalah darah dagingmu. Kenapa kamu memilih isteri?  Isteri boleh dicari ganti.

Semua orang di dalam dewan kuliah terpaku menunggu jawaban dari mulut mahasiswa itu.

Lalu mahasiswa itu berkata perlahan: Isteri saya ada di dalam kelas ini, Prof..."

Cari bekal akhirat

Hidup manusia di dunia ini bertujuan untuk melakukan ibadat dan mengabdikan diri kepada Allah SWT.  Sesungguhnya setiap perbuatan di dunia ini tidak kira kecil atau besar akan mendapat pembalasan yang setimpal.  

Amalan kebaikan atau pahala tidak hanya dicapai apabila melakukan ibadat khusus semata-mata.  Semua perbuatan, percakapan mahupun gerakhati dikira mendatangkan pahala sekiranya diniatkan untuk kebaikan serta mencari keredaan Allah SWT.  

Rasulullah SAW menjelaskan terdapat tiga golongan di sisi Allah SWT.  Perkara ini dijelaskan sepertimana sabda Baginda SAW kepada sahabat yang bermaksud: “Mahukah aku ceritakan pada kalian mengenai tiga golongan manusia. Pertama, mereka yang sentiasa berusaha mendampingi Allah SWT dengan melakukan kebaikan lalu mereka didampingi Allah SWT. Kedua, mereka malu kepada-Nya untuk melakukan kejahatan lalu Allah SWT malu untuk menolak permohonan mereka dan ketiga, mereka yang menyimpang terus daripada Allah SWT apabila bergelumang dengan maksiat lalu Allah melupakan mereka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Dua golongan pertama dikira bertuah kerana mendapat perhatian daripada Allah SWT dan hidup mendapat keredaan.  

Dua golongan disebut melakukan kebaikan dan menjauhkan kejahatan dianggap membantu agama Allah SWT dan mendapat pertolongan. Mereka yang melakukan sesuatu untuk Allah SWT mendapat ganjaran terbaik. 

Firman Allah bermaksud: “Jika kamu menolong agama Allah SWT nescaya kamu akan mendapat pertolongan.” (Surah Muhammad, ayat 7) 

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Kamu tidak akan meninggalkan sesuatu untuk Allah selain digantikan dengan yang lebih baik daripada itu.” (Hadis riwayat Ahmad) 

Manakala golongan ketiga ini dikategorikan sebagai durhaka terhadap perintah dan amanah yang telah diserahkan kepada mereka. Mereka bukan saja merosakkan imej Islam, bahkan memusnahkan kehidupan diri sendiri.    

Mereka menganggap perbuatan itu mendatangkan keuntungan dan kebaikan.  Bahkan mereka dengan bangga melakukan perbuatan itu sehingga merasa bongkak dan besar diri seolah-olah dirinya paling berkuasa dan tidak ada pihak lain dapat menghalang dirinya melakukan apa yang diingini.  

Sesungguhnya, golongan ketiga ini menipu Allah SWT apabila berasa dapat menyembunyikan atau melanggar apa yang tidak sepatutnya dilakukan.  Namun, apa yang dilakukan itu semuanya sia-sia.  

Mereka berasa telah berjaya menipu Allah SWT, sedangkan merekalah yang telah tertipu.  Perkara ini seperti disebut dalam Al-Quran yang bermaksud: “Mereka menipu Allah SWT dan mereka akan tertipu.” (Surah An-Nisa’, ayat 142) 

Sesungguhnya, Islam dan iman menjadi syarat utama untuk menerima ganjaran di akhirat dan diharamkan sama sekali bagi orang kafir mendapat balasan baik di sana. 

Mereka hanya mendapat kesenangan dan penghormatan dunia manakala Muslimin mendapat kedua-dua manfaat daripada kebaikan mereka. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mereka yang kafir tiada apa yang dapat mereka hasilkan di akhirat manakala orang yang beriman akan menuai hasil yang banyak di akhirat dan kurniaan rezeki yang melimpah dalam kehidupan dunia.” (Hadis riwayat Muslim) 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka yang kafir dan sesat akan menerima balasan berganda di akhirat kelak sebagai balasan atas kesesatan dan kerosakan yang mereka lakukan.” (Surah an-Nahl, ayat 88) 

Ulama bersepakat mengatakan orang kafir yang mati tidak membawa apa-apa kebaikan. Mereka hanya mendapat sedikit penghormatan ketika di dunia daripada kebaikan dilakukan seperti berbuat baik sesama manusia, menderma dan memuliakan tetamu.

Maksud walaun digunakan di media sosial

Lama juga ambo mencari maksud walaun yang kerap digunakan di media sosial. Bahkan, ambo juga ditanya oleh seorang sahabat tentang maksud walaun dan tentulah ambo jawab tidak tahu.

Hari ini (29-10-2017) baharu ambo faham maksud walaun apabila membaca satu catatan seorang yang mencatatkan nama Alang Ibn Shukrimun di media sosial.

Di sini ambo salin dan tampal catatan itu.

AKU WALAUN

1. Mereka melabel orang-orang Pas yang masih istiqamah dengan perjuangan sebagai walaun. Kononnya ahli Pas telah tercandu dengan wala sehingga sanggup bermatian demi gerakan tercinta ini.

2. Sebaliknya mereka menggambarkan tindakan berani keluar jemaah adalah tindakan terpuji. Melawan jemaah lama pula dianggap sebuah kebijaksanaan.

3. Mereka mempermainkan istilah wala yang sebenarnya menjadi prinsip Islam. Wala adalah tuntutan Allah dari al-Quran. Ia juga terkandung dalam hadis-hadis Nabi. Bahkan ulama Islam membicarakan tajuk wala zaman berzaman. Ia salah satu dari signature agama Islam.

4. Melabel ahli Pas dengan gelaran walaun tidak membuatkan imej Pas tercalar. Bahkan imej mereka yang merudum akibat mempermainkan ajaran Islam. Orang Islam yang sebenar tidak tergamak menggunakan istilah agama sebagai bahan sendaan.

5. Ahli Pas tidak perlu bersedih dilabel walaun sebaliknya perlu berbangga dengannya. Mereka telah mengiktiraf kita sebenarnya berpegang teguh dengan prinsip agama. Semoga kita bertemu tuhan terus dengan gelaran ini.

6. Dari sudut yang lain, mereka dahulu keluar Pas sebab dilabel macam-macam oleh orang Pas. Kata mereka budaya melabel bukan budaya sihat. Tapi nyata hanya lidah sahaja yang manis. Teori sendiri pun tak mampu dipatuhi.

7. Dengan bangganya diisytiharkan, aku walaun!

(Alang Ibn Shukrimun)

#istiqamah...

Apakah hukum sertai perniagaan jualan langsung

 
Fatwa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-72 yang bersidang pada 23 Jan 2006 telah membincangkan Hukum Sistem Jualan Langsung (MLM) Menurut Islam.

Muzakarah telah memutuskan bahawa konsep, struktur dan undang-undang perniagaan Multi Level Marketing (MLM) yang diluluskan Kerajaan adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam.

Fatwa Negeri Sembilan:
Setelah meneliti setiap pandangan ahli muzakarah dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 06/2016-1437H yang bersidang pada 28 Julai 2016 bersamaan 23 Syawal 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-72 berkenaan Hukum Sistem Jualan Langsung (MLM) Menurut Islam dengan sighah seperti berikut:

-Muzakarah telah memutuskan bahawa konsep, struktur dan undang-undang perniagaan Multi Level Marketing (MLM) yang diluluskan Kerajaan adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam. 

- Sekiranya terdapat unsur-unsur Skim Piramid yang mengandungi unsur-unsur penindasan dan penipuan dalam sistem jualan MLM maka hukumnya adalah haram. 

- Mana-mana orang yang ingin terlibat dengan perniagaan MLM ini hendaklah merujuk kepada Garis Panduan Jualan Langsung Secara Pemasaran Berbilang Tingkat (Multi Level Marketing) Menurut Syariah. (Garis Panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Bilangan 1/2013).

Lesen Jualan Langsung

Sesiapa berminat menyertai jualan langsung, pastikan syarikat yang disertai mempunyai lesen sepertimana dikehendaki Akta Jualan Langsung (AJL) 1993 dan Peraturan-peraturan Jualan Langsung 1993.  

Akta tersebut bertujuan menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan aktiviti jualan langsung yang beretika; dan melarang segala kegiatan berbentuk piramid serta skim cepat kaya.

SEKSYEN 4(1) AJL 93
"Tertakluk kepada seksyen 14 dan 42, tiada seorang pun boleh menjalankan apa-apa perniagaan jualan langsung melainkan jika ia suatu syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dan memegang lesen yang sah yang diberikan di bawah seksyen 6".

SEKSYEN 2 AJL 93
Bagi maksud garis panduan  ini :
(a)   "Jualan Langsung" ertinya jualan pintu ke pintu dan pesanan pos mengikut pengertian akta ini

(b)  "Jualan Pintu ke pintu" ertinya atau perkhidmatan yang dijalankan dengan cara berikut:

Seseorang atau mana-mana yang diberikuasa olehnya:
i)  pergi dari satu tempat ke satu tempat selain daripada satu tempat perniagaan yang tetap; atau
ii) membuat panggilan telefon mencari orang yang bersedia untuk membuat kontrak sebagai pembeli bagi penjualan barang atau perkhidmatan.
Orang yang mula-mula disebut itu atau mana-mana orang lain selepas itu atau kemudiannya membuat perundingan dengan bakal pembeli dengan mewujudkan kontrak itu

(c)  "Jualan Pesanan Pos" ertinya jualan barang atau perkhidmatan yang dijalankan oleh seseorang, samada sendiri atau melalui mana-mana orang yang diberikuasa olehnya, denga menerima tawaran bagi kontrak jualan melalui pos.

JENIS PELAN PEMASARAN DI BAWAH PERNIAGAAN JUALAN LANGSUNG

Terdapat tiga jenis pelan pemasaran di bawah perniagaan jualan langsung seperti berikut:

BERBILANG TINGKAT (MULTI LEVEL MARKETING PLAN)
Syarikat akan mengambil/melantik individu sebagai ahli/pengedar untuk mengedar barangan syarikat;
ii.  Ahli/pengedar yang berkenaan pula akan melantik individu lain (downline) bagi membentuk rangkaiannya menjual barangan syarikat. Proses pengambilan ahli/pengedar baru boleh diteruskan sehingga satu peringkat yang munasabah.
iii. Setiap ahli/pengedar akan mendapat komisen/ bonus / insentif daripada jualan peribadi dan jualan ahli / pengedar di bawah rangkaiannya (over-riding bonus).

SATU TINGKAT (SINGLE LEVEL MARKETING PLAN)
i.    Syarikat akan melantik wakil jualan/ejen jualan dan membayar gaji/komisen/gabungan gaji dan komisen alas jumlah jualan yang dibuat; dan
ii.   Wakil jualan/ejen jualan berkenaan tidak dibenarkan untuk melantik/menaja wakil jualan/ejen jualan lain.

JUALAN MELALUI PESANAN POS (MAIL ORDER)

Jualan barang atau perkhidmatan yang dijalankan oleh seseorang, sama ada sendiri atau melalui mana-mana orang yang diberi kuasa melalui pos.

Wednesday 25 October 2017

Siapa tidak suka Islam di Malaysia

Tiada asas untuk Malasyia dianggap negara Islam. Itu kenyataan diucap seorang penceramah undang-undang dari sebuah universiti tempatan dalam sebuah forum anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) bertajuk, “Is Reason a Threat to Faith and Society?”, di Notthingham University, Kuala Lumpur pada hari Ahad 22 Oktober 2017.

Individu itu juga mendakwa Raja-Raja Melayu tidak menginginkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan seperti yang tertera di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya, katanya Islam sebagai agama bagi Persekutuan telah diletakkan oleh lelaki Pakistan (Hakim Abdul Malik - salah seorang hali Suruhanjaya Reid). Tegasnya lagi, tindakan itu telah menimbulkan masalah buat selama-lamanya.

Dakwa lelaki itu, tidak ada asas untuk mendakwa Malaysia sebagai negara Islam, namun terdapat asas sekiranya Malaysia dikatakan sebagai sebuah negara sekular.

Jika Malaysia dikatakan negara sekular, semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang. Adakah Malaysia dikatakan negara sekular?

Mengapa seorang Islam bertindak 'membenci' Islam sebagai agama bagi Persekutuan? Kegilaan pemikiran apakah telah melanda bijak pandai Islam sehingga menganggap apa yang menguntungkan Islam dari segi undang-undang sebagai perkara yang tidak sepatutnya dibuat.

Apa yang berlaku sebenarnya fahaman liberal yang ditanam melalui kaedah serangan pemikiran yang dilakukan oleh orentalis Barat. Meraka berjuang di atas dasar hak asasi yang didakwa bahawa semua manusia perlu dilayan secara saksama dalam semua keadaan.  Hukum agama hanya diperakui sebagai hak idividu sama ada ingin dipatuhi atau sebaliknya. Tiada paksaan terhadap penganut Islam dalam soal agama.

Pemikiran ini dijadikan senjata ampuh oleh musuh Islam untuk menghancurkan Islam. Pakar strategik musuh Islam telah menetapkan dasar bahawa untuk menghancurkan Islam tidak semestinya memaksa orang Islam meninggalkan Islam, tetapi cukup sekadar jika orang Islam meninggalkan apa yang ditetapkan dalam ajaran Islam.

Juteru, umat Islam perlu berhati-hati dengan sikap pihak ayam berbulu musang. Mereka lebih berbahaya dalam perancangan memusnahkan Islam berbanding dilakukan oleh bukan Islam secara terus.

Lihatlah bagaimana orang Islam sendiri bersetongkol dalam menghakis kedudukan Islam di Malaysia. Mereka menjadi jaguh mempertahankan hak bukan Islam. Mereka berjuang bersama-sama bukan Islam dalam menuntut hak yang sebenarnya telah dijelaskan oleh Perlembagaan Persekutuan sama ada boleh atau tidak.

Berhati-hatilah dengan sikap golongan ini. Tolak mereka agar tidak berada dalam kedudukan kepimpinan negara. 

Akta kawal anugerah palsu

Akta Lambang dan Nama (Pindaan) 2016 dan Akta Anugerah 2016 mula berkuatkuasa pada 25-10-2017.  Kedua-dua Akta tersebut diyakini mampu mengekang aktiviti berhubung penyalahgunaan anugerah dan darjah kebesaran yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri.

Pindaan Akta ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memelihara institusi Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri daripada dicemari oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Melalui akta berkenaan, hukuman penalti dinaikkan dan hukuman penjara dimasukkan untuk mencerminkan keseriusan kesalahan dan sebagai faktor pencegahan kepada masyarakat.

Penguatkuasaan Akta itu diharap mampu menangani kes-kes penipuan yang melibatkan orang awam.

Justeru itu, bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan, orang awam boleh melayari laman web protocol Persekutuan www.istiadat.gov.my untuk menyemak senarai daftar semua anugerah di peringkat Persekutuan dan peringkat negeri-negeri.

Gaduh berebut rumah buruk

Kisah penyokong dua parti berebut hak terhadap bangunan yang didakwa milik mereka patut jadi pengajaran. Tidak perlu difikir siapa sebenar berhak, tetapi pengajaran itulah akan berlaku jika kita berpecah dan saling bermusuhan.

Itulah akan berlaku jika kita berpecah dan berbalah sehingga boleh menbahayakan kedudukan bangsa terhadap negara ini. Kita akan kehilangan hak jika bergaduh sesama sendiri. Bangsa kita akan kehilangan kuasa akibat berpecah.  

Kegagalan mengambil pengajaran daripada sejarah silam hanya akan menyebabkan kita mengulangi kesilapan, kegagalan, dan kemunduran yang pernah dilalui generasi terdahulu. Amat dibimbangi bahawa kemusnahan yang perlu ditanggung akibat daripadanya adalah lebih besar dan lebih memudaratkan.

Betapa hebat kita bergaduh sesama sendiri hanya kerana untuk satu perkara yang dianggap hak dan milik. Mengapa kita tidak ambil pengajaran bahawa perbuatan itu akan melemahkan orang Islam.

Jika keadaan itu berterusan, kedudukan umat Islam akan lemah biarpun ada pihak yang mengaku beroleh kemenangan.

Itulah kisah Pak Kadok menang sorak kampung tergadai. Bersorak beroleh sedikit kemenangan, tetapi tidak sedar nasib bangsa dan agama tergadai akibatnya.

Sikap macam Pak Kadok mudah terpedaya perlu dielakkan

Jadikan kisah Pak Kaduk sebagai pengajaran. Cerita mengenai akibat kebodohan dan mudah terpedaya dengan tawaran pihak lain sehingga diri menanggung kerugian. 
 
Dongeng Pak Kadok berkisar kepada sikap orang berjudi sabung ayam sehingga kampung tergadai. Ayam sabung miliknya yang handal dan hebat ditukarkan dengan ayam sabung raja.

Kisah Pak Kaduk dicerita dalam versi secara jenaka, tetapi penuh pengajaran. Namun berapa ramai antara kita ingin mengambil pengajaran daripada kisah tersebut? 
 
Siapa lupa pada sejarah dan kisah pengajaran akan mengulangi kesalahan sama berulang kali dan mengalami kerugian besar.

Kisah Pak Kaduk antara lain, memberi isyarat tentang pentingnya akal dan kebijaksanaan dalam menjalani kehidupan. Jelas bahawa insan yang menggunakan akalnya dan dikurniai kebijaksanaan akan memperoleh manfaat yang besa. 
 
Firman Allah SWT bermaksud: "Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak." (Surah al-Baqarah ayat 269).

Mengapa tidak menggunakan kebijaksanaan akal untuk menentukan baik dan buruk. Tidak sukar untuk mengambil keputusan berdasarkan kepada apa yang telah dan sedang berlaku. Ambil pengajaran untuk halang perkara buruk sama berulang.

Banyak watak Pak Kaduk yang dapat disaksikan berada di sekeliling kita. Antaranya termasuklah individu yang sentiasa dimanipulasi orang lain akibat kejahilan diri sehingga tergadai milik serta kepentingan peribadi.

Hal inilah yang sering dapat dilihat berlaku. Lebih dibimbangi jika kelak ia membabitkan urusan yang jauh lebih besar dan penting seperti kepemimpinan negara. Misalnya jaminan Perlembagaan negara yang melindungi sebahagian besar kepentingan umat Islam.

Mengapa ada orang Islam masih menyokong bukan Islam semata-mata demi kuasa? Kuasa kepimpinan Islam di Malaysia bakal hancur jika bukan Islam lebih berkuasa di Parlimen. 
 
Memang perkara ini tidak terus berlaku, tetapi mengambil masa berperingkat-peringkat yang dirancang secara teliti pihak musuh.

Mereka menggunakan orang Islam sendiri untuk menghancurkan Islam. Seperti Pak Kadok, ayam miliknya ditukar dengan milik raja yang kemudiannya kalah dalam pertarungan. Kalau tidak terpengaruh dengan tawaran raja, sudah pasti yang menang itu adalah ayam Pak Kadok. 
 
Berhatilah dengan tawaran pihak musuh menggunakan kekuatan orang Islam untuk meruntuhkan kedudukan orang Islam.  
 
Kalau sudah runtuh, tidak ada ertinya lagi penyesalah. Kekalahan Kesultanan Melayu Melaka disebabkan sikap pemimpin Melayu Melaka sendiri yang terpengaruh dengan fitnah dan ingin mendapat kepentingan diri sendiri.

Menang sorak kampung tergadai

Kisah Pak Kaduk bernasib malang, menang sorak kampung tergadai wajar dijadikan pengajaran. Kisah bermula, di sebuah negeri di mana raja dan rakyat suka berjudi dengan sabung ayam. 

Pak Kaduk memiliki seekor ayam sabung handal. Apabila diketahui raja juga ingin menyabung ayam baginda, maka Pak Kaduk turut serta.

Apabila sampai di tempat sabung ayam, si raja yang telah mengenali Pak Kaduk terus menyapa dan bertanya khabar. Raja mengetahui ayam sabung Pak Kaduk handal, lalu baginda mengusulkan agar dilakukan pertukaran ayam sabung di antara mereka.

Setelah dipersiapkan ayam sabung masing-masing yang telah bertukar tangan itu, lalu kedua-dua ekor ayam itu telah dilepaskan ke gelanggang atau bong yang dikelilingi sekalian rakyat jelata menonton.

Ayam asal milik Pak Kaduk ternyata handal di tengah-tengah bong. Habis ayam asal raja yang kini telah menjadi milik Pak Kaduk ditaji. Pak Kaduk yang terlalu gembira telah lupa bahawa ayam miliknya telah bertukar tangan kepada raja.

Setelah ayam milik Pak Kaduk tewas dan mati, Pak Kaduk terus melompat kegembiraan kerana menyangka ayam yang mati itu milik raja. Namun, setelah disedarkan oleh jurubong atau pengadil sabung ayam bahawa ayamg yang mati itu sebenarnya milik Pak Kaduk setelah setuju ditukarkan dengan raja, maka Pak Kaduk berhenti bersorak dan mula meraung menyesal.

Tidak tertanggung penyesalan Pak Kaduk kerana bukan saja kalah pertarungan, tetapi kampung tempat tinggal turut tergadai. Sebelum perlawanan, Pak Kadok telah bersetuju menjadikan kampung halaman sebagai pertaruhan yang mana jika dia kalah, maka kampung itu akan jadi milik raja.

Itulah kisah pengajaran apabila kita menyerahkan hak kita kepada orang lain, dan bersorak kegembiraan apabila hak milik asal kita itu telah memberi kebaikan kepada pemilik baru dan pada masa sama kita pula menanggung kerugian.

Orang yang memiliki hak kita itu pula telah melakukan sesuka hati perbuatan kejam terhadap kita setelah memiliki hak yang asal milik kita. Kita bukan saja hilang hak, bahkan menjadi mangsa kepada kealpaan diri sendiri. Apa yang hilang sukar untuk ditebus kembalik. Menyesal tidak berguna lagi.

Jadi, sementara kita masih memiliki apa yang selama ini menjadi milik kita, hargai dan pertahankan hak itu.

Umpamanya kuasa politik dan pemerintahan yang dimiliki Melayu di negara ini perlu dipertahankan. Jangan dilepaskan kerana ada orang yang menawarkan sesuatu dianggap lebih baik dan hebat. Jangan kerana terpengaruh dengan janji-janji manis, kita sanggup menyerahkan hak yang selama ini kita miliki.

Jadikan pengajaran kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka untuk dijadikan tauladan. Sekali kalah dan hilang kuasa, Melayu hilang hak politik dan kuasa selama lebih 446 tahun.

Gagal kuasai bahasa kebangsaan

Semua negara mengiystiharkan bahasa kebangsaan masing-masing. Di Malaysia, Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

Kedudukan ini diperakui melalui peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan: 
Perkara 152. Bahasa kebangsaan.
(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen: Dengan syarat bahawa—
(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan
(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

Bahasa kebangsaan menjadi asas perpaduan hubungan di antara rakyat. Hakikat itu diterima semua pihak. Semua rakyat perlu mampu menguasai bahasa kebangsaan dengan fasih. Ini penting terutama apabila melakukan urusan rasmi melibatkan individu berlainan kaum.

Biarpun, kerajaan tidak menghalang pengajaran mana-mana bahasa di sekolah atau institusi pendidikan, kelonggaran itu tidak seharusnya diambil kesempatan sehingga mengabaikan penguasaan bahasa kebangsaan.

Malang sekali, pengoperasian sekolah vernakular dilihat sebagai punca kaum tertentu gagal berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan.

Sepatutnya, sekolah vernakular, selain mementingkan bahasa kaum, mesti memastikan pelajarnya fasih atau mampu berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia. Mereka perlu melihat kepen­tingan nasional dalam sistem pendidikan negara yang mana matapelajaran bahasa kebangsaan perlu diutamakan.

Penguasaan bahasa kebangsaan amat penting kerana ia berperanan menyatukan seluruh rakyat yang berbilang kaum. Jika masing-masing kaum mengguna bahasa ibunda, bagaimana bangsa lain untuk memahaminya.

Kaum lain perlu menghargai peluang diberikan kerajaan dalam membenarkan sekolah vernakular terus beroperasi dengan cara menjayakan matlamat kerajaan untuk memastikan setiap rakyat mampu berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan.

Untuk mengatasi masalah penguasaan bahasa kebangsaan di kalangan bukan Melayu, Kementerian Pendidikan digesa mengambil langkah proaktif dengan segera bagi mengatasi masalah kelemahan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar bukan Melayu, khususnya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Kementerian perlu mencari jalan bagi mengatasi masalah itu. Bayangkan, walaupun sudah berada di peringkat sekolah menengah, ada antara mereka tidak dapat menguasai dan memahami Bahasa Melayu.

Mahu tidak mahu sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menguasai Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan. Hal ini bergantung kepada kemahuan dan kehendak untuk belajar bahasa kebangsaan dan bukannya berkaitan ketidakmampuan kerana bahasa Melayu sukar untuk diamalkan.

Buktinya, banyak rakyat asing yang datang ke Malaysia mampu bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu setelah beberapa bulan atau tahun tinggal di Malaysia. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.