Thursday 27 December 2018

Perkhidmatan bas terawal di Kelantan

Di Kelantan, perkhidmatan bas terawal disediakan oleh North Eastern Transport Services (NETS) yang kini dikenali Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK). Bas yang gambarnya di atas adalah yang beroperasi di Pasir Mas.

Bas di atas mempunyai nombor pendaftaran T6163. T pada masa tersebut adalah untuk Kelantan dan Trengganu sebelum D diwujudkan khusus untuk Kelantan dan Trengganu mewarisi abjad T.

Bas itu cuma dibenarkan membawa 20 penumpang. Namun, penumpang dibawa biasanya melebih daripada jumlah itu.

Sebuah lagi bas serupa T6162 terlibat dalam satu kemalangan ngeri di persimpangan keretapi Lati Pasir Mas yang meragut 11 nyawa.  

Sebuah bas yang sarat dengan penumpang kebanyakkannya murid-murid sekolah dirempuh keretapi kerana injinnya mati di tengah landasan keretapi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.45 tengah hari, Khamis, 30 Mac 1972.

TIPS UNTUK MEREKA KENA BUANG KERJA


Apabila kena buang kerja atau berhenti kerja (pencen atau mengambil keputusan berhenti), ada perkara yang perlu anda fikirkan atau lakukan.

Apabila kena buang kerja, perkara pertama yang berlaku ialah anda berasa lekeh dan rendah diri. Pastikan anda terus berbangga dengan diri sendiri. Habiskan masa dengan buat kerja-kerja komuniti seperti menjadi sukarelawan NGO atau masjid di mana peranan dan sumbangan anda dihargai.

Sekiranya anda belum pernah buat bisnes, usah habiskan wang simpanan untuk modal bisnes. Kemungkinan untuk bisnes gagal dan habis wang simpanan terlalu besar. Elakkan sama sekali buat pinjaman peribadi atau guna kad kredit sebagai modal bisnes.

Sekiranya nak berbisnes juga, mulakan dengan menjual produk orang lain. Usah keluarkan produk sendiri. Ramai usahawan keluarkan produk dan mereka tak ada orang nak menjual. Ambil komisen. Dengan cara ini, anda tak keluarkan modal besar.

Satu lagi bisnes yang boleh dibuat dan tidak melibatkan modal besar ialah perundingan atau consulting. Atau, sediakan personalised service. Cuba senaraikan skil yang anda ada dan tawarkan skil itu kepada individu, bisnes atau organisasi yang memerlukan skil itu.

Sekiranya anda ada simpanan dan tidak memerlukan wang segera, tawar untuk uruskan bisnes orang lain tanpa gaji. Anda dibayar setelah bisnes berkembang. Bayaran boleh dibuat dalam bentuk tunggakan gaji, bonus atau agihan saham syarikat.

Mula downsizing (kecilkan) gaya hidup anda. Kurangkan makan di luar. Sekiranya perlu, tukar kereta kecil. Batalkan rancangan bercuti sehingga anda ada kerja lain.

Usah ungkit-ungkit keburukan tempat kerja lama. Usah perli. Usah sindir. Sebut pun tak payah. Sekiranya anda rasa stress kena buang kerja, orang yang buang anda lagi stress. Bukan mudah untuk dia nak terima hakikat bahawa bisnes dia jatuh merudum dan terpaksa buang pekerja.

Sentiasa jalin hubungan baik dengan kakitangan dan pengurusan tempat kerja lama. Usah buatkan mereka terentak hati. Dunia ini bulat. Mungkin suatu masa nanti mereka akan jadi majikan anda, anda jadi majikan mereka, atau mereka jadi pelanggan atau vendor bisnes anda. Usah bergaduh sekadar nak sedapkan hati.

Kalau tempat kerja anda kena tutup dan itu punca anda diberhentikan, kenanglah bahawa anda adalah sebahagiaan yang terakhir berkhidmat di situ. Berjuang sehingga yang terakhir.

Elak sebut-sebut kebaikan anda kepada staf yang masih bekerja dengan harapan mereka akan tolong anda. Apabila anda melangkah keluar pejabat untuk kali terakhir, usah pandang ke belakang lagi. Mereka tak kisah pun jasa anda. Kalau mereka peduli sekali pun, mereka tak dapat nak buat apa-apa. Pandang ke depan.

Cuba lihat pemberhentian kerja ini secara positif. Ia berikan anda peluang menerokai bidang baru. Ia juga menjadikan anda semakin berani menghadapi cabaran. Siapa tahu, masa depan anda lebih cerah di luar!

Buktikan anda hebat dan tidak sekali-kali putus asas dengan pemberhentian kerja. Melangkahlah dengan lebih laju dan menuju kejayaan lebih cemerlang.

Sunday 16 December 2018

I AM MUSLIM AND I FOLLOW JESUS


Soalan: Baru-baru ini saya ternampak di KL ada yang memakai t-shirt I am Muslim and I follow Jesus. Adakah slogan tersebut tepat?

Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Isu ini memerlukan sedikit pencerahan supaya masyarakat awam tidak terburu-buru menolaknya atau menerimanya tanpa pemahaman yang baik. Kami bahagikan kepada beberapa poin penting:

Adakah Nabi Isa dan Jesus merupakan individu yang sama?
Apakah bukti kita mengikuti Nabi ‘Isa?

Nabi Isa adalah nama yang digunakan dalam al-Quran manakala jika kita meneliti terjemahan al-Quran dalam Bahasa Inggeris oleh penterjemah seperti Abdullah Yusuf Ali, A.J. Arberry, Marmaduke Pickthall dan lain-lain kesemuanya menterjemahkan Nabi Isa sebagai Jesus.

Al-Quran menyebutkan tentang Nabi Isa dalam 71 ayat dan Islam mengiktiraf Nabi Isa sebagai seorang hamba-Nya, Nabi dan juga Rasul yang wajib diimani. Walaupun konsep ini berbeza dengan pegangan Kristian, ia tidak menafikan bahawa Nabi Isa dan Jesus adalah individu yang sama.

Mungkin ada yang berpandangan bahawa Nabi Isa dan Jesus adalah individu berbeza kerana nama Jesus berasal dari Bahasa Ibrani (Hebrew) iaitu Yeshua. Jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab, ianya adalah Yashu dan perkataan Yashu tidak ditemui dalam al-Quran.

Jawapannya, al-Azhari menyatakan bahawa Nabi Isa adalah nama bukan Arab (ajam) yang tidak mempunyai tasrif (morphology) kerana ketiadaan marifah dan bercampur antara nama ajam dan adanya marifah padanya.

Nama Nabi Isa adalah dialihbahasa daripada Aisu sebagai pandangan pakar bahasa Suryani (Syriac). (Lihat Tahzib al-Lughah, 3/60-61). Menurut al-Jauhari, Nabi Isa adalah nama Ibrani atau Suryani. (Lihat al-Sihhah, 3/955).

Manakala lafaz Nabi Isa dalam Bahasa Suryani adalah Yashu. (Lihat al-Kasysyaf, 1/188). Hujah-hujah lain yang menafikan persamaan keduanya adalah tidak jelas. Justeru, Nabi Isa dan Jesus adalah individu yang sama.

Ketikamana Nabi Isa masih bayi, Baginda diberikan mukjizat untuk berkata-kata. Baginda menjelaskan: Maksudnya: Ia menjawab: "Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka. Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)". (Surah Maryam: 30-33)

Allah SWT menegaskan: Maksudnya: “Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya.” (Surah al-Nisa: 171)

Muslim Mengikut Nabi ‘Isa?
Ya, sememangnya sebagai umat Islam kita mempercayai bahawa akidah daripada Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad adalah sama. Kesemuanya membawa ajaran tauhid yang sama iaitu mengEsakan Allah SWT. Tidak beriman seorang Muslim sekiranya tidak beriman dengan Nabi Isa.

Seruan utama Nabi Isa kepada Bani Israel adalah menyembah Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa. Baginda menyatakan: Maksudnya: "Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepadaNya. Inilah jalan yang lurus".

Ibn Kathir menjelaskan inilah perintah Nabi Isa kepada kaumnya ketika Baginda masih dibuaian untuk menjelaskan kepada mereka bahawa Allah SWT adalah Tuhan mereka dan Tuhannya. (Tafsir al-Quran al-Azim, 5/231)

Disamping itu, penelitian terhadap Bible juga menunjukkan beberapa persamaan tentang apa yang dilakukan oleh Nabi Isa yang juga dilakukan oleh umat Islam. Antaranya adalah: Lelaki Muslim berkhatan dan Nabi Isa juga berkhatan On the eighth day, when it was time to circumcise the child, he was named Jesus, the name the angel had given him before he was conceived. (Luke 2: 21)

Ucapan Assalamualaikum. While they were still talking about this, Jesus himself stood among them and said to them, Shalom Aleichem (Peace be with you).” (Luke 23: 36)

Justeru, apa yang dilakukan oleh Nabi Isa juga dilakukan oleh umat Islam sehingga sekarang. Ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi Isa juga tidak berbeza dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan diikuti oleh umat Islam. Oleh itu, ini bermaksud kita umat Islam mengikut Nabi Isa baik dari beberapa sudut perlakuannya dan juga akidahnya.

Malah, umat Islam beriman bahawa pada akhir zaman nanti Nabi Isa akan turun dan mentadbir dengan syariat yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad kerana Baginda merupakan pengikutnya. Nabi Isa tidak diutuskan dengan sebuah syariat yang baru akan tetapi Baginda merupakan salah seorang pemimpin bagi umat ini yang akan memperbaharui seruan Islam kerana agama Islam ialah penutup bagi segala agama dan tidak ada Nabi yang akan diutuskan selepas Nabi Muhammad SAW.

Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Bagaimana keadaan kalian apabila Isa putera Maryam turun pada kalian dan menjadi pemimpin kalian?” Lalu aku berkata kepada Ibnu Abu Zib bahwa al-Auzaie telah menceritakan kepada kami, dari az-Zuhri dari Nafi’ dari Abu Hurairah, “Pemimpin kalian adalah dari kalian.” Ibnu Abu Zib berkata, “Apakah kamu tahu sesuatu apa (yang dijadikan dasar) memimpin kalian?” Aku balik bertanya, “Apakah kamu akan mengkhabarkannya kepadaku?” Ibnu Abu Zib berkata, “Dia akan memimpin kalian berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Nabi kalian SAW. (Riwayat Muslim, no. 246)

Berdasarkan kenyataan di atas, kami menyimpulkan bahawa slogan I am Muslim and I follow Jesus tidaklah bersalahan dengan akidah Islam bahkan ia sebenarnya mencetuskan kepada satu perbincangan ilmiah yang baik antara penganut Islam dan Kristian.

Kami juga mendapat makluman yang ianya adalah usaha dakwah yang dilakukan oleh aktivis Islamic Education and Research Academy (iERA) yang berpengkalan di United Kingdom dan mempunyai cawangan di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Nabi Isa adalah antara Nabi yang istimewa dalam Islam kerana digolongkan dalam Ulul Azmi malah nama ibunya Maryam juga dirakamkan dalam surah yang khusus dalam al-Quran. Cuma, kami mencadangkan ia diperincikan menjadi I am Muslim and I follow Jesus as my Prophet. Ini kerana, inilah pendirian kita selaku umat Islam yang tidak mengiktiraf Isa sebagai Tuhan ataupun anak Tuhan.

Kami berpendirian sebagaimana yang dinyatakan oleh Jafar bin Abu Talib kepada Raja Najasyi berkenaan Isa bin Maryam. Dikisahkan Raja Najasyi yang beragama Kristian pernah bertanya kepada Jafar berkenaan ajaran Rasulullah SAW. Lalu Jafar menceritakan satu persatu sehinggalah apabila beliau membaca Surah Maryam ayat ke-14, Raja Najasyi menitiskan air mata.

Baginda bertitah: “Sesungguhnya, agama yang dibawa oleh nabi kalian dan agama kami berasal dari sumber yang satu.”

Ditanya lagi: ”Apa yang kalian katakan tentang Isa bin Maryam, dan juga tentang ibunya?”

Jafar ibn Abi Talib menjawab,”Kami mengatakan sebagaimana Allah berfirman,Isa adalah manusia (yang diciptakan oleh Allah dengan) kalimat dan roh dari Allah yang disampaikan kepada Maryam, seorang gadis perawan yang tidak pernah disentuh manusia’.”

Mendengar jawapan ini, Raja Najasyi mengangkat sebuah tangkai kayu dari atas tanah, lalu baginda berseru: “Wahai orang-orang Habsyah! Wahai para pendeta! Demi Allah! Mereka tidak menambahkan perkataan apapun pada keyakinan kita tentang Isa. Kami mengucapkan selamat kepada kalian dan kepada orang yang mengutus kalian. Aku bersaksi, bahawa dia adalah Rasulullah. Dialah orang yang kami temukan di dalam kitab Injil. Dialah rasul yang dikabarkan oleh Isa bin Maryam. Tinggallah kalian di manapun yang kalian inginkan! Demi Allah, kalau bukan kerana kekuasaan yang ada padaku, maka sungguh aku datangi dia (Rasulullah), sehingga aku menjadi orang yang membawakan sandalnya. (Lihat Sirah Nabawiyyah, 2/10)

Semoga kehidupan bermasyarakat di Malaysia yang berbilang kaum dan agama dapat terus dimaknai dengan harmoni dan kasih sayang.

Sumber:

Tuesday 11 December 2018

BAHAYA LEMAK TEPU


Jumlah lemak tepu berlebihan dalam diet anda boleh menyebabkan penyakit jantung dan strok. Menurut WHO, penyakit jantung koronari dan strok menuntut lebih daripada 14.1 juta nyawa setahun.

Lemak tepu adalah lemak yang berasal dari lemak haiwan atau dari anggota haiwan. Lemak tepu adalah makanan berlemak yang padat pada suhu bilik.

Minyak lemak, krim, dan keju adalah beberapa contoh makanan dengan lemak tepu.

Lemak tepu menjejaskan tubuh dengan meningkatkan jumlah kolesterol jahat atau LDL di dalamnya. Tahap tinggi lemak tepu dari burger, pizza, mentega, lemak haiwan, dan sebagainya mengarah kepadanya.

Kolesterol LDL akan didepositkan di dinding arteri, dengan itu menghalang aliran bebas darah ke dan dari jantung ke pelbagai bahagian badan. Sekiranya tahap kolesterol LDL tidak dipantau, ia boleh menyebabkan arteri tersumbat yang boleh menyebabkan serangan sakit jantung.

Sebenarnya tidak salah makan makanan yang ada lemak tepu. Namun, yang disarankan ialah mengawal kadar pengambilannya. Memang di kalangan rakyat Malaysia amat gemar memakan jenis menu dari sumber daging dalam jumlah yang banyak.

Berhati-hati dalam soal pengambilan makanan. Jangan ikut hati nanti mati. Jangan ikut rasa nanti badan binasa. Kalau ikut nafsu akan jadi lesu.

Makanlah dalam kuantiti sederhana dan sekadar memenuhi keperluan untuk kesihatan.

DAGING TUPAI BOLEH DIMAKAN

Bolehkah daging tupai dimakan? Sebilangan besar ulama menghukum dan menfatwakan tupai sebagai binatang yang halal dimakan. Oleh itu, memakan daging tupai itu adalah halal dan tidak memudaratkan kesihatan. Lebih-lebih lagi, tupai bukanlah binatang buas, biarpun bertaring.

Menurut imam an-Nawawi, Ibnu Qudamah al-Maqdisi, Khalil, dan al-Mawardi, pendapat yang rajih adalah makan daging tupai adalah boleh, dagingnya halal. (Fatawa asy-Syabakah al-Islamiyah, 8/210)

Berdasarkan hujah itu, adalah harus atau dibolehkan orang Islam makan tupai. Ia bergantung kepada citarasa atau 'liur' seseorang sama ada ingin makan atau tidak.

Ada pendapat menyatakan bahawa daging tupai ini lebih berkhasiat daripada daging ayam. Jika dilihat dari faktor pemakanan tupai, ia lebih baik dalam pemilihan makanan iaitu tupai ini hanya memakan tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan sahaja manakala ayam pula makan apa sahaja yang ada di sekelilingnya. Dengan itu, jika dilihat dari segi logiknya, benarlah daging tupai lebih elok dari daging ayam.

GAJI KECIL TAPI BERKAT

Secara literal kita mengukur gaji kita melalui angka yang kita peroleh pada setiap bulan. Tetapi kenapa ada yang bergaji RM5,000 tapi tak mampu menyimpan, manakala yang bergaji RM2,000 pula mampu menabung untuk masa depan?

Apabila tiada keberkatan gaji, datanglah bermacam-macam dugaan. Walau gaji besar, dicampakkan ke dalam hatinya nafsu untuk bergaya dan joli merata-rata. Kereta mahal tetapi sering rosak kena baiki. 

Gaji besar atau banyak mana sekalipun, jika seseorang pekerja itu tidak jujur, culas dan menyalahgunakan kuasa, akan hilang keberkatan dalam gajinya. Sebab itu kita banyak mendengar keluhan atau rungutan dari rakan-rakan sekerja dalam apa jua sektor sekalipun yang gaji mereka tak cukup walaupun sudah mencecah lima angka. 

Keberkatan rezeki antara perkara utama yang mesti dan perlu dititikberatkan dalam hidup. Rezeki bukan sekadar wang, harta, makanan dan minuman. Sebaliknya jodoh, anak, pangkat, nama baik, kedudukan dan sebagainya juga boleh disebut sebagai rezeki.

Rezeki yang dicari dan diusahakan itu pula dibuat belanja untuk beli makanan atau bagi yang sudah berkeluarga dibawa pulang ke rumah untuk diberi makan anak isteri.

Ada orang memandang ringan isu keberkatan rezeki ini. Pada mereka ia hanya isu kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Mereka tidak sedar wujudnya hubungan langsung antara keberkatan rezeki dan setiap aspek kehidupan kita.

Ada beberapa sebab yang boleh menyebabkan rezeki tidak berkat. Pertama adalah yang kita nampak akan hukumnya dalam Islam iaitu rezeki yang datang daripada sumber pendapatan yang haram seperti berjudi, rasuah, mencuri, menipu dan seumpamanya.

Tidak kurang juga bahayanya adalah apabila kita tidak menyedari bahawa secara halus rezeki itu boleh hilang keberkatan apabila kita yang dibayar upah atau digajikan untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau memikul sesuatu tugasan tetapi tidak melakukannya dengan bersungguh-sungguh atau melakukannya dengan tidak sempurna.

Lazimnya ia berlaku di tempat kerja seperti curi tulang, datang lewat, malas, menipu majikan, kerja tidak bersungguh-sungguh, melakukan kerja lain dalam waktu bekerja, tidak serius ketika bekerja, dengki, iri hati dan seumpamanya.

Carilah keberkatan dalam urusan mencari rezeki semoga dipermudahkan dan mendapat kebahagiaan atas apa yang diperoleh itu.

Monday 10 December 2018

BAGAI SEPERTI ANJING DENGAN KUCING

Pepatah atau peribahasa  'seperti anjing dengan kucing' bermaksud dua orang atau kumpulan yang sentiasa bertengkar. Kedua-dua pihak tidak mahu mengaku kalah dan berlagak sebagai jaguh. Kedua-duanya tidak boleh berada dekat, pasti akan berlaku perlawanan dan saling menguji menunjukkan kekuatan.

Namun, pepatah itu seakan tidak tepat lagi. Secara realitinya kini anjing dan kucing semakin akrab. Malah dalam banyak situasi, anjing dan kucing boleh dianggap kawan rapat. Boleh tinggal di tempat atau persekitaran yang sama, berkongsi tempat makan dan saling mesra dengan aksi masing-masing.

Kalau binatang boleh berubah pada sikap dan tingkahlaku disebabkan dibiasakan hidup bersama, mengapa pula manusia yang dikurniakan akal tidak boleh bersatu.

Kalau dahulu bergaduh dan saling berlawan, mengapa sekarang tidak boleh bersama demi untuk kebaikan. Sebenarnya, pergaduhan tidak mendatangkan manfaat.

Bak kata pepatah, menang jadi arang, kalah jadi abu. Kedua-dua pihak mengalami kerugian. Pihak lain pula yang mengambil kesempatan mendapat keuntungan.  

KIASAN PERLU TEPAT UNTUK JAGA IMAN


Untuk mengkiaskan manusia adalah seperti Malaikat  dan mengatakan bahawa Malaikat boleh buat silap sebagaimana manusia boleh buat silap adalah sesuatu kenyataan yang salah dari segi akidah.

Malaikat adalah makhluk yang paling taat kepada Allah, tidak pernah membangkang perintah Allah ataupun melakukan perbuatan dosa. Mereka adalah hamba yang dimuliakan, selalu memuji Allah, bertasbih serta mengagungkan nama-nama Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Lalu diperlihatkan kepadaku Baitul Makmur, lalu aku bertanya kepada Jibril, maka dia berkata, ‘Itu adalah Baitul Makmur, di dalamnya setiap hari ada 70 ribu Malaikat melakukan solat; jika mereka keluar, tidak ada yang kembali yang paling akhir daripada mereka.” (Sahih Bukhari, no. 3207 dan Sahih Muslim, no. 164)

Manusia berbeza dengan para Malaikat yang tidak ada nafsu dalam diri mereka, sehingga malaikat mampu melakukan ibadah yang tidak mampu dilakukan oleh manusia.

Para ulama berpendapat bahawa para Malaikat lebih mulia dan lebih baik daripada manusia, kerana mereka lebih dekat kepada Allah SWT dan Allah SWT juga telah meninggikan kedudukan serta derajat mereka. Di samping itu, Allah juga tidak menjadikan syahwat ada pada diri mereka.

Para Malaikat sentiasa bertasbih pada waktu siang dan malam dan mereka tidak pernah merasa letih dan jemu. Mereka semua sentiasa bersujud kepada Allah SWT sehingga pada hari kiamat datang. Ada juga Malaikat yang memiliki pelbagai keistimewaan yang sangat menakjubkan.

Para Malaikat memang lebih dekat kepada Allah SWT, tidak pernah berbuat salah dan juga tidak pernah berbuat maksiat kepadaNya, kerana memang dalam diri mereka tidak ada nafsu serta bebas dari godaan syaitan.

Justeru, amat biadab serta berbahaya pada iman seseorang itu jika ia mempermain-mainkan kedudukan Malaikat walaupun dalam bentuk kiasan. Wajar orang Muslim yang melakukan sedemikian supaya segera bertaubat.

Kalau ingin membuat perumpamaan ataupun analogi, carilah perbandingan yang lain. Jika membuat perumpamaan kepada perkara baik itu adalah harus. Allah mengarahkan Malaikat dalam melakukan perkara-perkara untuk kebaikan manusia.

Sesungguhnya, kepada makhluk yang telah disahkan tentang sifatnya oleh Allah, tiada perkara buruk yang dilakukan, melainkan ketaatan melakukan apa yang diperintahkan.

Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka (malaikat-malaikat) tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." (Surah At-Tahrim, ayat 6). 

USAHA MELAKUKAN KEBAIKAN PADA HUJUNG USIA

Dalam kehidupan ini, kita mesti menggunakan setiap kesempatan yang ada untuk mengajar orang menjadi baik tidak kira dalam apa bidang kepakaran kita sekalipun. Pendeknya, setiap detik adalah kehidupan sebagaimana yang diakui oleh Barat, iaitu masa itu emas, manakala Hassan al Banna mengatakan masa itu kehidupan. Ini menunjukkan kepada kita, tiada satupun yang akan dapat menilai masa. Setiap saat yang kita lakukan walaupun kecil berkemungkinan membawa kebaikan pada hujung usia kelak.

Bagaimana pula tentang diskaun-diskaun yang Allah beri selepas kita meningkat usia lanjut seperti 60 hingga 70 tahun ke atas?

Sekiranya seseorang itu beriltizam dengan perkara-perkara sunat dengan syarat perkara yang wajib tidak ditinggalkan, maka perkara sunat ini dianggap sebagai kelebihan atau bonus.

Apabila perkara sunat sentiasa menyokong perkara wajib. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Aku sentiasa sayang kepada hamba-hamba-Ku yang mana mereka ini sentiasa melakukan perkara-perkara nafilah (sunat). Apabila Aku mencintainya kerana dia melakukan perkara sunat, maka Aku akan jadi telinganya yang dengannya dia mendengar dan Aku menjadi matanya yang dengannya dia melihat dan Aku menjadi tangannya yang dengannya dia mengambil dan Aku menjadi kakinya yang dengannya dia melangkah."

Hadis ini yang dibincangkan oleh para ulama, contohnya, Imam Nawawi mengatakan bahawa semua anggota yang Allah berikan kepada kita berada di dalam kawalan Allah SWT atau ia adalah gambaran bagaimana Allah menyayangi mereka yang melakukan ibadah sunat.

Menurut al-Butrusi dalam tafsirnya, Ruh al Bayan bahawa perkara-perkara sunat ini apabila dibuat secara istiqamah (konsisten) pada waktu kita sihat, nanti pada waktu kita tidak sihat atau sampai pada usia yang kita tidak ingat atau nyanyuk, Allah SWT menganggapnya masih berjalan lagi walaupun kita sudah tidak larat melaksanakannya, sama ada akibat usia tua ataupun sakit terlantar.

Yang pastinya, perkara baik ini jangan ditangguh-tangguh melakukannya walaupun kecil mana sekalipun dan ia mestilah dilakukan secara konsisten, berterusan dan mengikut kemampuan.

Sabda Rasulullah SAW: "Sebaik-baik benda yang dibuat oleh manusia ialah yang konsisten, berterusan walaupun sedikit." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Firman Allah SWT dalam Surah al-Fussilat ayat 30 bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu."

Selain itu, Imam al-Qurtubi menjelaskan, umur 10 hingga 25 tahun, Allah beri pelbagai nikmat, umur 25 hingga 40 tahun, Allah mula mengurniakan pelbagai tanggungjawab, umur 51 sampai usia 63 tahun, Allah mula meringankan beban dan Allah pun mula menarik nikmat sedikit demi sedikit, dan pada usia 64 hingga 70 tahun, Allah melihat mereka dengan penuh kasih sayang, dan pada usia 71 ke atas Allah memberi bonus serta kelebihan. Di sinilah cantiknya Islam.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Umur umatku antara 60 hingga 70 tahun dan hanya segelintir sahaja yang melepasi umur itu." (Hadis riwayat Ahmad)

BERUBAH JADI BAIK APABILA USIA MENINGKAT


Umumnya, apabila usia meningkat, manusia berubah kepada nilai-nilai peribadi lebih baik. Perbuatan maksiat yang sebati dalam diri ketika usia muda ditinggalkan selari dengan keupayaan diri yang semakin terbatas dari segi kekuatan fizikal dan membataskan diri untuk terus melakukan apa yang biasa dilakukan pada usia muda.

Bagaimanakah pula sekiranya peningkatan usia ini tidak membawa perubahan yang baik, malah kecenderungan seseorang itu kepada perkara maksiat atau berunsur negatif semakin menjadi-jadi. Adakah ini petanda atau penentu sikap ini berkekalan atau ada `cahaya’ yang tidak diketahui manusia?

Jika pada usia tersebut tidak menjadi satu titik tolak ke arah perubahan yang baik, maka dibimbangi selepas itu memang sukar hendak berubah.
Walau bagaimanapun, kita sewajarnya melihat hal ini dari sudut optimistik.

Sebenarnya jika perkara ini dilihat dari sudut Islam, ia lebih kepada hidayah Allah SWTt. Hidayah ini tidak terbatas dan diterima oleh orang tertentu sahaja, ia adalah milik Allah.

Apabila menyentuh perubahan manusia sama ada ia perlu berlaku atau tidak perlu berlaku, bila ia berlaku, hakikatnya ia di luar pengetahuan akal manusia.

Pun begitu, berasaskan pengalaman semasa, kajian menunjukkan kepentingan berlaku pada usia tersebut tetapi ini juga tidak menafikan kebarangkalian seseorang untuk berubah menjadi baik selepas usia 40 tahun atau hampir dengan kematian.

Ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW bermaksud: "Manusia dihimpunkan di dalam rahim ibunya selama 40 hari sebagai setitis mani, 40 hari segumpal darah, 40 hari sebagai seketul daging, 40 hari berikutnya ditentukan jantina, amalan, rezeki, syurga atau neraka." 

Dan di hujung hadis tersebut, Baginda bersabda: "Kamu kena ingat, ada di antara kamu yang beramal di dalam hidupnya sebagai seorang ahli syurga sehingga orang melabelnya ahli syurga. Tiba-tiba pada penghujung hidupnya, dia telah melakukan satu perkara yang Allah murka kepada-Nya menyebabkan ia mati dalam kemurkaan Allah. Dan ada juga di kalangan kamu yang berlaku sebaliknya". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi pengajaran yang dapat diambil daripada hadis ini, ialah bahawa kehidupan kita ditentukan oleh husnul khatimah. Di antara doa yang tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi dan perlu kita amalkan iaitu, Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati manusia, tetapkanlah hatiku dalam ketaatan kepada-Mu.

Jelaslah di sini bahawa perubahan pada usia 40 tahun itu penting dan kita kena sentiasa mengawasi usia kita dan waktu yang diamanahkan kepada Allah kepada kita.

Sebenarnya, perubahan boleh berlaku dengan syarat: Pertama, perubahan berlaku sebagai hidayah daripada Allah. Kedua, perubahan boleh berlaku dengan sebab kita membudayakan ilmu di dalam hidup kita dan ia boleh berlaku dengan pelbagai cara sejajar dengan kecanggihan. Ketiga, perubahan ini penting dengan sebab pergaulan kita. Keempat, kita kena sentiasa mengamalkan apa yang kita tahu, walaupun ia kecil.

Maka dalam soal melakukan perubahan ini, janganlah kita suka bertangguh-tangguh kerana banyak kerugiannya. Ini dibuktikan dan diperkukuhkan lagi dengan surah Ali Imran ayat 133 bermaksud: "Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhanmu dan kepada syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa."

PERUBAHAN HIDUP PADA USIA 40 TAHUN


Orang Barat mengatakan kehidupan bermula pada usia 40 tahun. Sementara dalam Islam, penentu kepada kebaikan atau sebaliknya ialah pada usia 40 tahun. Manakala dari sudut psikologi pula, usia 40 tahun merupakan fasa kedua remaja.

Sesungguhnya, dalam kehidupan ini Allah SWT menjadikan sesuatu itu mengikut peringkat-peringkatnya, bagaimana sebatang pokok daripada benih kemudian membesar dan sehinggalah menjadi pohon yang tegap dan besar. Itulah lumrah kehidupan yang mana makhluk diciptakan oleh Allah juga menerusi beberapa peringkat.

Firman Allah SWT dalam surah ar-Rum ayat 54 bermaksud: "Dialah yang menciptakan kamu daripada keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban."

Menurut tafsiran al-Qurtubi, ayat ini menjelaskan secara khusus mengenai dua perkara utama. Pertama, masa dan usia adalah milik mutlak Allah. Kedua, falsafah membayangkan bahawa manusia ini tidak statik, mahu tidak mahu, akan mengalami perubahan dalam kehidupan, daripada bayi menjadi kanak-kanak, remaja, dewasa, tua dan mati.

Lantaran itu, Nabi Muhammad SAW sentiasa berdoa dan berpesan kepada umatnya agar sentiasa meminta perlindungan daripada Allah SWT mengenai beberapa perkara.

Pertama, meminta perlindungan daripada sifat pengecut atau takut tidak bertempat. Kedua, dilindungi daripada rasa sedih, risau, bimbang kerana ia menjadi komponen kepada kemerosotan pencapaian manusia, dan ketiga, memohon perlindungan daripada sampai ke usia nyanyuk. Jadi nyanyuk ini merupakan satu peringkat penghabisan usia manusia.

Imam Abu Hamid Mohammad bin Mohammad al-Ghazali ada menulis sebuah buku bertajuk Ayyuhal Walad yang bermaksud, Wahai Anak. Buku kecil ini hakikatnya mempunyai banyak anekdot-anekdot yang indah dan episod hebat mengenai pengalaman Imam al-Ghazali.

Kehebatan al-Ghazali ialah kerana beliau adalah seorang tokoh yang berjaya mengkombinasikan teori dengan amali sebagaimana yang dibuktikan dalam bukunya, Ensiklopedia Tasawuf.

Imam al-Ghazali mengatakan, tanda-tanda Allah SWT melupakan kita ialah apabila kita sibuk kepada perkara yang tidak mendatangkan sebarang pulangan kepada kita.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang berusia 40 tahun, amalan kebajikannya belum mengatasi amalan kejahatannya, maka bersedialah ia ke neraka Allah. (Riwayat Tabrani)

Apabila kita membandingkan atau membuat satu kajian berdasarkan kepada pengalaman, hadis ini ada logiknya. Mungkin ulama hadis mengatakan hadis ini daif, tetapi maknanya sahih atau dari sudut praktikal, amalannya tidak bercanggah dengan akidah dan dalam banyak hal, membuktikan ia betul.

Kenapa betul? Pertama, Nabi Muhammad sebelum menerima wahyu, hidup dalam keadaan tidak beragama tetapi menerima hidayahnya pada usia 40 tahun. 

Di sini, menjadi satu contoh yang baik untuk direnung bersama dan perkara ini tidak berlaku secara kebetulan kerana Allah SWT tidak melakukan sesuatu perkara melainkan ada hikmah dan falsafah tertentu di sebaliknya.

Selain itu, sekiranya dilihat dari segi putaran hidup manusia, boleh dikatakan pada usia 40 tahun menjadi detik penentu tentang hala tuju masa hadapan. 

Kalau sebelum ini kehidupannya sentiasa happy go lucky tetapi pada saat usia mencecah 40 tahun, pastinya sudah terdetik di dalam fikiran dan hatinya untuk membina keteguhan dalam banyak hal kehidupan. Contohnya, pendidikan anak-anak, pengumpulan harta dan sebagainya.

Jika kita lihat kepada tokoh-tokoh Islam selepas Baginda seperti Fakhrul Razi, merupakan seorang yang lara, hidup dalam kelalaian tetapi pada usia 40 tahun, beliau tersedar dan kesedarannya berlaku apabila beliau melihat bagaimana berhadapan dengan kematian, dan yang memeranjatkan pada usia tersebut beliau berubah dan bertukar menjadi seorang yang alim dalam ilmu tafsir.

Titik tolak perubahan yang berlaku kepada hidup seseorang itu boleh berlaku walaupun pada usia 40 tahun tetapi tidak mustahil selepas itu tidak mahu berubah, maka ia akan terus lalai dan menghabiskan usia kehidupan dengan perkara yang tidak bermanfaat kepada diri juga kepada orang sekeliling.

Malah di Barat juga, mereka mengkaji seperti di dalam buku The Magic of Thinking Big yang ditulis oleh Dr. David Schaward, ahli psikologi dan profesor di sebuah universiti. 

Buku beliau ini terjual lebih 10 juta cetakan. Ia membahaskan tentang proses kejayaan manusia sewal usia 20 tahun. Tetapi dari sudut kajian, menerusi beberapa orang tokoh korporat, didapati mereka berjaya dan kukuh kedudukannya adalah pada usia 40 tahun.

Kajian-kajian kemanusiaan ini secara tidak langsung menyumbang kepada pembuktian terhadap kebenaran apa yang disebut di dalam hadis tadi. Bertepatan juga dengan satu teori dalam masyarakat Barat iaitu Life begins at 40 atau permulaan hidup berlaku pada usia 40 tahun.

Selain itu, orang Barat juga menganggap kecantikan seorang perempuan juga bukan pada usia 20an tetapi kecantikannya sampai pada usia 40 tahun. Kenapa? Ini kerana kecantikan tersebut dilihat dari segi holistik atau menyeluruh, iaitu bukan sahaja dari segi penampilan fizikal tetapi ia merangkumi sikap, misi dalam hidup, kejayaan mendidik anak-anak dan banyak lagi.

Oleh itu mengikut Barat pada usia 40 tahun inilah tahap atau klimaks kecantikan seseorang wanita kerana ia datang secara pakej atau sempurna.

Bahkan, budaya kerja di Perancis dan Eropah, di mana mereka sedang mencari satu penyelesaian kepada masalah kerja yang semakin menekan dan membebankan. 

Di antaranya, mencadangkan empat hari bekerja dan tiga hari rehat. Alasannya, hari pertama cuti untuk tujuan servis kenderaan, hari kedua untuk menguruskan rumah dan ketiga untuk keluarga.

Cetusan idea ini sebenarnya menjadi modal kepada satu pertubuhan hak asasi manusia yang dianggotai oleh mereka yang berusia lebih 40 tahun. 

Hakikatnya tidak ada sesiapa yang menolak idea ini, malah ia telah dibentangkan di Parlimen Perancis. Ini membuktikan usia 40 tahun adalah usia yang matang fikiran, tindakan dan perubahan yang membawa natijah yang baik.

Maka dalam hal ini dapat digarapkan kebenaran dan ketelusan isu yang dibincangkan. Pertama, sejarah pelantikan Baginda Rasulullah SAW, kejayaan tokoh Islam, kajian-kajian moden berasaskan analisis, statistik dan negara maju juga mengakuinya.

UMAT ISLAM MENJADI SEPERTI BUIH DI LAUTAN

Bangkitlah umat Islam. Jangan biarkan musuh-musuh terus menekan dan melakukan sesuatu yang berniat jahat terhadap umat Islam. Bangkit bukan sekadar berhimpun dan membantah, tetapi lakukan sesuatu yang mendatangkan kebaikan dan keuntungan.

Era dunia kini mementingkan penguasaan ilmu dan ekonomi. Kedua-dua perkara ini perlu dibangkitkan agar umat Islam terus perkasa dan hebat. Apabila menguasai kedua-dua aspek ini, sukar untuk musuh melakukan sesuatu yang buruk kepada umat Islam.

Satu lagi perkara yang perlu diutamakan ialah persaudaran sesama Islam. Setiap orang Islam adalah bersaudara. Justeru, jauhkan sebarang bentuk perbalahan dan persengketaan yang membawa kepada kesan buruk.

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW telah menggambarkan umat di akhir zaman seperti buih.

“Akan datang umat-umat yang berkerumunan ke atas kalian seperti kerumunannya orang-orang yang makan pada satu pinggan.” Maka seorang bertanya: “Apakah jumlah kami pada ketika itu sedikit?” 

Baginda SAW menjawab: “Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai. Akan tetapi keadaan kamu seperti buih-buih di lautan. Dan sesunguhnya Allah akan mencabut dari (hati) musuh-musuh kamu rasa takut terhadap kamu serta akan ditimpakan (penyakit) al-Wahn di dalam hati-hati kamu.” 

Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah al-Wahn?” Baginda SAW menjawab: “Cinta kepada dunia dan takut mati.”(Hadis riwayat Abu Daud).

Hadis di atas memaparkan perkhabaran Rasulullah SAW mengenai keadaan umat Islam di akhir zaman. Menarik untuk diperkatakan di sini bahawa jika diamati hadis yang tertera di atas maka kita akan dapati Rasulullah SAW menyebut “... Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai..” bagi menjawab soalan yang diajukan oleh salah seorang sahabatnya.

Sebagaimana menurut penjelasan Baginda SAW ianya adalah disebabkan oleh sikap umat Islam sendiri yang tidak lagi berpegang teguh kepada jati diri Islam yang tulen. Sebaliknya lebih cenderung kepada sifat terlalu cintakan dunia dan takutkan mati (al-Wahn).

MASIH MENCARI REZEKI KETIKA USIA TUA


Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. (Surah al-Asr, ayat 1-3).

Ini adalah satu daripada banyak ayat yang berkait rapat bagaimana seharusnya manusia memanfaatkan usia dan masa yang diamanahkan oleh Allah SWT dan tidak ada pengecualiannya kepada setiap hamba-Nya di muka bumi ini.

Apatah lagi, dirasakan masa semakin cepat berlalu dan pergi tanpa menunggu. Maka rugilah mereka yang tidak menghargai salah satu nikmat anugerah Ilahi ini. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah di `ambang senja’.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang berusia 40 tahun, amalan kebajikannya belum mengatasi amalan kejahatannya, maka bersedialah ia ke neraka Allah. (Riwayat Tabrani)

Apabila usia tua, ramai beranggapan waktu untuk beribadat dan bermain dengan cucu. Itulah biasa yang dilakukan kebanyakan orang, terutama mereka yang menikmati pencen atau telah mempunyai simpanan yang cukup untuk memenuhi keperluan hidup waktu tua.

Namun, tidak semua bernasib baik. Ada orang masih perlu bekerja dan mencari rezeki biarpun usia telah lanjut. Keperluan harian tidak dapat dipenuhi jika tidak terus mencari rezeki.

Sesungguh soal rezeki itu adalah urusan Allah. Ada yang berkerja dari muda hingga ke usia emas, namun apa yang diperoleh sekadar cukup untuk keperluan semasa. Lalu, selagi hidup mereka masih perlu meneruskan kerja.

Seharusnya, masyarakat perlu memandang kepada golongan ini. Jika mereka masih meneruskan kerja sebagai buruh atau bekerja dengan orang lain, berikan kemudahan untuk mereka. Tenaga dan kemampuan sudah tentu berkurangan. Mereka bukan mengharap ihsan, tetapi berikan ihsan kepada mereka.

Jika mereka membuat perniagaan kecil-kecilan, belilah barang dangangan mereka tanpa banyak soal. Belilah dengan harga yang lebih mahal untuk memberi mereka keuntungan lebih. Atau belilah apa yang mereka jual dan kemudian kembalikan barang itu kepada mereka untuk dijualkan kepada orang lain. Amalan itu bukan sahaja membantu mereka, tetapi juga satu kebajikan yang memberi kita kebaikan.

Namun, ada juga yang terus menerus mencari rezeki biarpun usia telah lanjut, bukan kerana dia tidak memiliki wang yang cukup untuk keperluan hari tua, tetapi dia minat bekerja dan tidak ingin mensia-siakan masa yang diberikan Allah.

Dia bukan tamak kepada harta, sebaliknya dia ingin menjadikan urusan mencari rezeki itu sebagai ibadat. Rezeki yang diperoleh diberikan atau disedekahkan kepada jalan yang mana dia bakal memperoleh keuntungan di akhirat.

Sesungguhnya, ibadat untuk bekalan akhirat bukan hanya ibadat khusus seperti sembahyang dan membaca al-Quran, sebaliknya bekerja juga satu ibadat. Dan, lebih lagi ganjaran pahalanya apabila wang itu disedekahkan kepada yang memerlukan. Jadi, dia beroleh dua pahala ialah bekerja dan bersedekah.