Friday 31 August 2018

EKSPLOITASI ANAK YATIM MINTA BANTUAN


Apabila pergi ke pusat membeli-belah, bank dan juga masjid, kita dapati sudah menjadi trend kanak-kanak dieksploitasikan untuk membawa barang jualan. Ia bukan untuk tujuan menjual dengan harga tertentu tetapi meminta bantuan kewangan. Perkataan yang selalu digunakan kanak-kanak ini untuk merayu simpati itu adalah mereka daripada Yayasan Anak-Anak Yatim.

Angkara siapakah yang membawa anak- anak yatim berlonggok di pintu-pintu bank dan di kaki lima pusat membeli belah yang kini merebak bukan sahaja di bandar besar tetapi telah menular ke bandar kecil. Ada yang sampai meletakkan meja dengan tabung derma serta dikelilingi oleh kanak-kanak meminta bantuan kepada sesiapa sahaja yang lalu lalang di kawasan itu.

Kita tidak boleh menggunakan anak- anak yatim meminta 'sedekah' kerana terasa zalim mengerahkan tenaga mereka untuk keuntungan orang tertentu. Atau, apakah mungkin kanak-kanak ini diupah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab menggunakan kaedah derma kepada tabung anak yatim atau kebajikan.

Kaedah derma ini boleh dicurigai kerana pada zaman yang canggih dengan kelicikan dan penipuan, mereka ini sanggup berbuat apa sahaja untuk menipu orang awam asalkan menguntungkan dengan cara mudah agak selamat.

Ajaran Islam dan banyak ayat dalam kitab suci al-Quran melarang keras memakan hasil atau harta anak-anak yatim serta kita tidak boleh menzalimi mereka dalam apa juga keadaan sekali pun.

Mereka yang melakukannya akan menerima azab yang amat pedih di akhirat kelak dan itu adalah janji Allah dan Allah menepati segala janji-Nya. Berwaspadalah mereka yang menggunakan agama untuk kepentingan peribadi.

Diharapkan pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Kebajikan dan juga Penguatkuasa Jabatan Agama Islam, mengambil tindakan sewajarnya dengan segera sebelum nama baik Islam dicemari kerana kelalaian serta sikap ambil mudah yang tidak sepatutnya berlaku dan berleluasa sekarang ini.

Jika perlu adakan undang-undang di mana setiap derma yang hendak dikutip, perlukan permit dan permit itu pula jangan mudah dikeluarkan jika ia boleh mendatangkan fitnah atau tidak keselesaan kepada umat Islam itu sendiri. Peliharalah anak-anak yatim sebaik mungkin kerana ia adalah amanah Allah kepada kita semua.

FOKUS KEPADA CARA DIDIK ANAK

Kata Imam al-Ghazali, "Yang singkat itu waktu, yang menipu itu dunia, yang dekat itu kematian, yang besar itu hawa nafsu, yang berat itu amanah, yang sulit itu ikhlas, yang mudah itu membuat dosa, yang susah itu bersabar, yang sering kita lupa bersyukur."

Cuba kita renung kata-kata hikmah ahli tasawuf ini, semua yang disentuhnya adalah perkara yang berlaku dalam hidup kita, sama ada secara kita sedari atau tidak?  

Waktu yang singkat selalu membataskan kita melaksanakan tanggungjawab kita dalam mendidik anak-anak dan berasa amat berat memikul amanah itu. Kita selalu menyerahkan anak, yakni amanah Allah itu di tangan orang lain.

Hidup kita ini sejahtera kalau kita ikhlas, dan rasa keikhlasan itu datang dari hati. Sebab itu kita selalu mendengar orang berkata, "Apa-apa yang kita hendak buat mesti 'sampai ke hati', tidak pernah orang berkata 'sampai ke akal' dan itulah makna keikhlasan".

Keikhlasan memang sukar dilaksanakan bagi orang yang berpenyakit riak, sombong, menunjuk-nunjuk, dendam, marah dan takbur.

Tanyalah kepada diri kita, "Kita hendak ada anak untuk apa? Adakah kita hendak ada anak supaya anak itu dijadikan saham akhirat untuk kita, yang akan mendoakan kita apabila kita meninggal dunia nanti, atau hanya untuk memberikan kebanggaan duniawi kepada kita, ibu bapanya?

Sesiapa yang sudah ada anak, marilah merenung kembali sikap kita terhadap amanah Allah ini. Sudahkah kita mendidik anak-anak kita dengan bekalan ilmu duniawi dan akhirat yang cukup? Seandainya, kita mati hari ini agak-agaknya, apakah yang kita boleh harapkan daripada anak-anak kita? Adakah kita hanya mengharapkan anak-anak kita boleh menolong kita meneruskan perniagaan kita sahaja? Kalau perniagaan kita menjurus ke arah perniagaan yang mengajak ke arah kebaikan dan menjauhkan daripada perkara mungkar, Alhamdulillah.

Tetapi, kalau perniagaan itu hanya untuk duniawi sahaja dan kita tidak mendidik kerohanian anak kita agar menjadi "pencen kubur" kita, tentu kita menjerit-jerit menangis di dalam kubur, mengharapkan doa daripada mereka, apabila kita meninggal dunia. Adakah kita mahukan, anak-anak yang kita tinggalkan dengan harta benda yang bersusah payah kita mencarinya semasa hidup kita itu, tidak memberikan apa-apa makna buat diri kita di sana.

Ada sembilan tip untuk mendidik anak yang sejahtera dunia dan akhirat. Pertama, dalam mendidik anak-anak gunakan bahasa yang memberatkan kepada timbangan dosa atau pahala; taat atau maksiat, Allah reda atau Allah murka. Sentiasa KPI kita berfikir tentang dosa pahala. Jangan asyik risaukan anak kita tidak mahu makan dan tidak mahu belajar, tetapi lebih-lebihkan risau tentang akidah dan ibadah anak-anak kita yang tidak mencukupi. Oleh itu berikan penekanan tentang akidah dan ibadah kepada mereka.

Kedua, betulkan dan jaga kualiti solat anak-anak kita. Sebab orang yang menjaga solat, dia menjaga waktunya. Apabila anak-anak bersolat, roh dan hati anak bersih. Oleh sebab itu senang mereka mendengar kata ibu bapa.

Ketiga, tunjukkan contoh yang baik. Kawal hati dan akal anak-anak agar tindakannya betul. Anak-anak akan "ikut" apa yang ibu bapanya "buat" dan bukan "dengar" apa yang ibu bapanya "cakap". Jika kita seorang ibu dan bapa yang baik dari segi akidah dan akhlak, anak kita akan membesar dengan ketakwaan dan mengikut apa yang kita amalkan dan lakukan.

Keempat, jangan marah anak tetapi nasihatkan anak. Jangan menghukum dan melabelkan serta mencerca anak dengan kata-kata yang kesat. Marah anak merosakkan imej diri anak. Tingkatkan imej diri anak dengan puji-pujian.

Kalau sebelum ini kita suka berkeras dan memarahi anak, minta maaf kepada anak, tolong bertaubat serta ajak anak bertaubat dan sama-sama betulkan kesilapan diri. Orang yang bijak dia tidak akan menyalahkan orang tetapi dia melihat kesilapan diri sendiri.

Kelima, menjaga niat. Berapa orang daripada kita menjaga niat kita, hendak mendidik dan menjaga dengan baik kerana Allah, yakni memegang amanah Allah dengan sebaiknya. Orang yang bijak dia sentiasa menjaga niat dalam setiap kerja yang dilakukannya.

Keenam, pastikan siapakah kawan anak-anak kita? Anak kita akan pilih kawan yang sama dengan perangainya dan kita akan dapat apa yang kita buat kepada orang. Maknanya kalau anak-anak kita positif sikapnya, magnet positifnya itu akan menarik kawan-kawan yang positif sama sepertinya, dan demikianlah sebaliknya. Kalau kita membuat jahat kepada orang, kita akan mendapat balasan yang buruk juga daripada orang.

Ketujuh, kalau ibu bapa hendak memanjakan anak, dengan memberi mainan yang dimintanya, beritahu anak, bahawa dia berhak mendapat imbuhan itu kerana sebagai penghargaan kerana sikap baiknya yang menjaga hubungan dengan sesama manusia dan Allah.

Maknanya anak-anak tahu dengan sebab dia baik serta menjaga akidah dan amalan ibadahnya, dia dapat balasan yang baik daripada ibu bapanya. "Fokus kepada akhirat dunia datang dengan sendiri," ajar selalu kepada anak konsep ini, supaya akan mendahului dan mencintai hal-hal akhirat.

Kelapan, jika ayah mendidik anak dengan tegas dan ibu pula mendidik anak dengan lembut, untuk mengelakkan anak-anak naik kepala atau keliru, ayah mesti beri tahu kepada anak, bukan dia tidak sayang anak sehingga dia memarahi anak, tetapi dia cuma marahkan perangai anak. Ibu pula mesti menjelaskan hal yang sama, yakni sama seperti ayah. Setiap kali ibu atau bapa membuat sesuatu kekasaran kepada anak, niatkan untuk mendidik bukan melepaskan kemarahan dan tekanan perasaan. Bukan menghukum anak, tetapi menegur anak.

Kesembilan, gunakan cara metafizikal. Sebelum tidur sedekahkan surah al-Fatihah kepada roh anak dan bayangkan anak kita berada di hadapan kita, dan kita cakap kepada anak apa yang kita hendak anak kita buat seperti yang kita harapkan.

Kualiti hidup kita bergantung kepada emosi kita. Emosi kita adalah di hati kita. Berikhlas hatilah menjaga anak-anak di rumah, sebagai tanda kita bersyukur dengan anugerah besar Allah itu.  

Fokuslah kepada apa yang kita ada, bukan fokus kepada apa yang kita tidak ada.  Dengan cara itu kita menjadi orang yang bersyukur. Sebenarnya emosi yang paling bagus dalam kehidupan manusia ini adalah bersyukur dan kasih sayang.

Kajian menunjukkan emosi yang paling besar di dunia ini adalah kasih sayang. Marilah kita menyemarakkan kasih sayang seisi keluarga kita. Kualiti emosi kita bergantung kepada kualiti fokus kita. Maknanya kalau kita fokus kepada perkara yang membahagiakan kita, dan apabila kita boleh bersyukur maka emosi kita lebih kepada kesyukuran.

BAPA PERLU DAMPINGI ANAK


Tanggungjawab bapa memimpin keluarga tidak mudah. Justeru, bapa perlu mendalami kemahiran kebapaan bagi membolehkan memimpin keluarga dengan sempurna. Kemahiran itu seperti mendidik, menjaga keselamatan, menyara perbelanjaan dan mempertahankan maruah. 

Amat penting bapa bergaul dengan baik dan menyuburkan perasaan kasih sayang untuk melahirkan interaksi keluarga yang harmoni. Banyak bapa mengabaikan aspek kemesraan dalam pergaulan dengan anak dengan alasan terlalu sibuk dengan tugas di luar rumah yang mesti diselesaikan. 

Malah ada yang beranggapan suasana mesra dan interaksi yang rapat dengan anak akan menyebabkan anak naik kepala. Justeru, mendidik anak dilakukan secara ditaktor yang tidak wujud langsung suasana kasih sayang.        

Sesungguhnya, bapa perlu sentiasa mendampingi anak-anak sebagai sebahagian daripada proses mendidik. Anak memerlukan masa untuk memerhati dan mencontohi apa dilakukan bapa dan ibu. 

Tanpa bimbingan, anak akan tersalah pilih jalan kehidupan kerana terlalu banyak pengaruh lain yang cuba meresapi dalam kehidupan anak. Pengaruh negatif persekitaran dan rakan sebaya mudah mempengaruhi anak yang tidak mendapat didikan daripada bapa.   

Justeru, hubungan rapat bapa dengan anak dapat mengelak perkara buruk berlaku. Jika ada perbuatan tidak baik dilakukan oleh anak, bapa mudah menyedarinya dan dapat diperbetulkan. 

Kesibukan mencari kekayaan dan kedudukan menyebabkan bapa lupa tentang tanggungjawab memberi pendidikan akhlak, agama dan kasih sayang kepada anak. 

Sebenarnya harta bukanlah penentu mutlak kebahagiaan hidup anak-anak. Hadiah paling berharga daripada bapa kepada anak ialah didikan agama dan akhlak yang menjadi pedoman bekalan menghadapi cabaran hidup pada masa hadapan  

Sesungguhnya keluarga adalah harta paling berharga dan bermakna dalam hidup. Perasaan cinta dan kasih sayang yang disulami dengan rasa tanggungjawab menjadikan kehidupan berkeluarga sebagai asas kepada kesempurnaan hidup. 

Kejayaan dan kegagalan hidup bermula di rumah. Keluarga bahagia akan melahirkan ahli masyarakat yang berkualiti dan dapat menyumbang kebaikan kepada masyarakat.

Kita wajar berpegang kepada falsafah bahawa kebahagiaan keluarga adalah segala-galanya dalam kehidupan di dunia ini. Tidak ada ertinya mencapai berbagai-bagai anugerah kejayaan dan mampu mengumpul wang yang banyak, sedangkan keluarga sendiri dalam keadaan terabai dan porak peranda.   

Anak tentu berbangga dengan bapa yang sentiasa berada di sisinya untuk menunjukkan contoh terbaik sebagai panduan hidup. Perasaan hormat dan berbangga dengan bapa adalah pengiktirafan tertinggi anak terhadap bapa mengatai penghormatan lain.  

Sesungguhnya, anak-anak menjadi inspirasi kepada bapa untuk berusaha lebih gigih dan sentiasa mengutamakan keluarga. Keletihan dan tekanan kerja hilang apabila melihat wajah anak-anak serta layanan mesra isteri. 

Amat dangkal apabila ada bapa menganggap anak dan isteri sebagai menambah tekanan perasaan. Inilah punca mengapa berlaku banyak kes di mana anak dan isteri dijadikan mangsa melepas geram disebabkan tekanan tempat kerja dan hal lain yang berkaitan.

Sebab itu, bapa bermasalah lebih suka berada di luar rumah bersama rakan. Cara itu dikatakan dapat menenangkan fikiran. Bapa hanya pulang ke rumah untuk menukar pakaian dan tidur. Rumah dianggap tidak ubah seperti hotel penginapan. 

Hakikatnya, tindakan itu tidak menyelesaikan masalah, bahkan semakin menjadi kusut. Interaksi dan kasih sayang keluarga menjadi rapuh dan kehidupan menjadi lebih tertekan. 

Kebiasaannya, banyak suami terlibat dalam aktiviti kurang sihat apabila lebih lama masa dihabiskan di luar rumah. Lanjutan itu, kebajikan keluarga semakin terabai, dan akibatnya banyak rumahtangga berada dalam kucar kacir. Anak-anak menghadapi masalah sosial yang kritikal sehingga tidak terkawal.

Kejadian ini membawa kepada hilang rasa hormat dan kasih sayang anak kepada ayah. Anak lebih mudah melemparkan rasa simpati kepada ibu yang menjadi mangsa kepada sikap bapa yang tidak bertanggungjawab.  

KEMBANG BAKAT KEPEMIMPINAN ANAK

Semua ibu bapa ingin anak mereka berjaya dalam pelajaran dan menjadi pemimpin apabila dewasa nanti. Menjadi pemimpin dianggap lambang kejayaan, keupayaan melebihi individu lain dan bijaksana. Justeru, status pemimpin amat dihormati dan menjadi kebanggan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Erti pemimpin bukan saja apabila menjadi jadi ahli politik. Jawatan ketua dalam kerjaya juga dikira pemimpin. Sebenarnya banyak antara kita yang layak dipanggil pemimpin. 

Proses mendidik anak untuk menjadi pemimpin yang berjaya perlu dilakukan sejak kecil lagi. Bakat kepimpinan seseorang biasanya telah dapat dikesan sejak usia kanak-kanak. Justeru, bakat yang dimiliki anak itu perlu dipupuk dan dikembangkan sepenuhnya.  

Pemimpin adalah individu yang berwibawa, berketerampilan, berdaya tahan dan berkarisma. Proses membentuk dan melahirkan pemimpin yang terbaik memerlukan masa yang lama. Ia dilakukan secara berperingkat-peringkat mengikut tahap aktiviti atau kedudukan.

Sebab itu, untuk melahirkan pemimpin yang baik memerlukan satu perancangan awal, sebaik-baiknya sejak usia kanak-kanak. Ibu bapa patut memerhatikan bakat kepimpinan yang dimiliki oleh anak. Mungkin anak anda mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin ternama suatu hari nanti.

Bakat ini perlu diasuh atau dibina secara berterusan bersesuaian mengikut peringkat umur anak. Ibu bapa tidak sepatutnya melepaskan peluang untuk membentuk bakat kepimpinan anak yang ada dalam diri. Ia satu aset yang amat berharga untuk kejayaan hidup anak pada masa depan.   

Didapati pemimpin yang hebat sekarang ini bukannya dilahirkan sebagai pemimpin secara semulajadi. Sebaliknya seseorang pemimpin dibentuk melalui proses pembinaan ciri-ciri kepimpinan yang berterusan. 

Bakat kepemimpinan itu perlu diasuh sejak kecil, dikembangkan pula di alam persekolahan dan seterusnya di pusat pengajian tinggi. Bakat kepemimpinan juga boleh dikembangkan melalui persatuan, aktiviti berkumpulan dan paling jelas apabila menyertai politik. 

Untuk mengesan bakat kepimpinan anak ialah dengan memerhati tingkah lakunya. Cuba perhatikan, ada kanak-kanak yang berlagak sebagai ketua di kalangan rakan sebaya. Dia menjadi lebih dominan di kalangan rakan sebaya. Itulah namanya anak yang ada bakat kepemimpinan.

Bakat kepimpinan itu lebih terserlah apabila rakan sebaya menerima atau menuruti apa yang dilakukan olehnya. Dia berkemampuan merancang, melaksanakan dan mengambil keputusan berkaitan aktiviti yang dilakukan bersama-sama rakan sebaya.

Bakat seumpama itu tidak dimiliki oleh semua kanak-kanak. Dia lebih berkebolehan berbanding kanak-kanak sebaya. Itu tanda ada bakat terpendam yang perlu dicungkil dan disuburkan.

Biarpun bakat kepemimpinan asalnya kelihatan secara semulajadi, hakikatnya mempunyai banyak kaitan bagaimana ibu bapa mewujudkan persekitaran kepemimpinan untuk anak. Ia berkaitan dengan peluang dan pendedahan secara berterusan.    

Bakat itu perlu dipupuk dan dikembangkan lagi kepada aktiviti mendatangkan kebaikan. Ibu bapa patut menggalakkan anak melakukan aktiviti dengan rakan sebaya yang berpewatakan baik. Dengan cara itu mereka memperoleh pengalaman yang lebih.

Sebenarnya anak perlu diberikan sedikit kebebasan dalam pergaulan. Itu bukan saja baik untuk melatih bakat kepemimpinan, tetapi dalam aspek lain yang diperlukan oleh kanak-kanak untuk menimba pengalaman hidup. Justeru, ibu bapa jangan terlalu banyak mengungkapkan perkataan ‘jangan’ kepada anak. 

Selain membina bakat kepemimpinan, aktiviti berkumpulan dapat meningkatkan kemampuan berkomunikasi, kerjasama dan membina ketahanan minda dan fizikal. Ini juga dapat membantu anak menjadi lebih cergas dan bijak.   

Namun, perlu diperhatikan agar bakat kepimpinan yang dimiliki anak tidak disalahgunakan kepada aktiviti berbentuk negatif. Ada kanak-kanak yang menunjukkan bakat memimpin rakan sebaya kepada perbuatan tidak senonoh, menipu, malas, keras kepala dan nakal. 

Jadi, elok diperhatikan dengan siapa anak kita berkawan. Kanak-kanak mudah terpengaruh apa yang dilakukan oleh rakan sebaya yang lebih dominan dalam kumpulan mereka. Dengan kata lain, kebebasan yang perlu diberikan adalah bersyarat. 

Bakat kepimpinan anak akan lebih menyerlah apabila berada di alam persekolahan. Alam persekolahan bukan sekadar mengajar pelajar mengenai pelajaran akademik semata-mata. Aktiviti di sekolah banyak membantu membentuk daya kepimpinan pelajar.  

Di sekolah pelajar berpeluang menyertai secara berkumpulan, kegiatan sukan dan kokurikulum. Di sinilah bakat kepimpinan semakin berkembang dan memerlukan pembinaan yang lebih teratur. 

Dalam aktiviti di sekolah itu pastinya ada pelajar yang dilantik menjadi ketua, pengerusi, setiausaha, ahli jawatankuasa, pengawas, ketua darjah dan sebagainya. Semua jawatan itu adalah sebagai pemimpin. Jadi, ia adalah medan terbaik untuk pelajar membina dan memperkukuhkan bakat kepimpinan.   

Jika disoroti kejayaan pemimpin di pelbagai peringkat kerjaya, didapati bermula ketika alam persekolahan lagi. Pengalaman memimpin ketika di sekolah digunakan untuk meletakkan mereka terbaik antara yang terbaik dalam bidang masing-masing. 

Ketika orang lain baru hendak mengilap bakat kepimpinan, bekas pemimpin pelajar telah memacu jauh di hadapan dalam kelasnya tersendiri. Mereka dapat menggunakan pengalaman menjadi pemimpin ketika alam persekolahan untuk terus berjaya dalam bidang yang diceburi. 

Justeru, penyertaan dalam kokurikulum dan memegang jawatan semasa di sekolah bukan satu usaha sia-sia. Belajar menjadi pemimpin adalah sebahagian daripada matlamat pendidikan negara. Kita tidak mahu melahirkan pelajar yang hanya cemerlang dalam akademik, tetapi tidak mampu menjadi pemimpin yang baik. 

Sikap ibu bapa yang melarang anak mereka akif dalam persatuan dengan alasan tidak mahu prestasi pelajaran anak terganggu sebenarnya mengambil langkah tidak bijak. Tidak ada bukti yang menunjukkan pelajar yang aktif berpersatuan akan menurun prestasi akademiknya.

Sebenarnya kejayaan akademik semata-mata tidak bermakna tanpa keupayaan memimpin. Banyak pelajar yang cemerlang di alam persekolahan, tetapi ketinggalan dalam kerjaya. Mereka gagal menjadi pemimpin yang baik.

Sesiapa menjadi pegawai di sektor awam maupun swasta tidak terlepas daripada tanggungjawab memimpin. Inilah hakikat yang terpaksa dilalui setiap pegawai. Tugas memimpin bukan satu tanggungjawab yang mudah.

Walaupun banyak pegawai cuba mempelajari teknik kepimpinan, tetapi tidak dapat dicapai dengan mudah. Daya kepimpinan turut menggabungkan sikap, pekerti, minda, emosi, minat, keikhlasan dan fizikal. Hal ini tidak lahir dengan mudah dalam diri, melainkan telah diamalkan dalam diri sejak awal lagi.

Semangat kepimpinan pelajar juga adalah sebahagian daripada menyemai semangat patriotisme. Pelajar yang menjadi pemimpin memperlihatkan semangat positif terhadap isu-isu yang dibincangkan di peringkat negara dan global. Kematangan fikiran menghadapi isu-isu semasa begitu kuat dalam diri. 

Justeru, pemimpin pelajar lebih memahami dan sedaya upaya untuk menjayakan inspirasi kerajaan. Kehendak dan impian mereka selari dengan apa yang dicanangkan oleh kerajaan kerana mereka sudah menjiwai semangat pemimpin sepertimana pemimpin negara.

Kerajaan sentiasa menerima cadangan dan cetusan minda yang dilahirkan oleh kepimpinan pelajar. Mereka bakal mengambil alih kepimpinan negara pada masa akan hadapan. Misi dan visi pelajar adalah untuk kehidupan mereka pada masa akan datang.

Pemimpin pelajar sentiasa menumpukan perhatian kepada perkara yang berfaedah. Ini secara langsung mengelak mereka terjebak dengan masalah disiplin dan moral. Bahkan, pemimpin pelajar sering terlibat membantu rakan sebaya agar tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat.

Bilangan pelajar yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah, salah laku seks, samseng, mencuri, ponteng sekolah dan merosak harta benda awam semakin meningkat. Antara punca yang dikenal pasti ialah pelajar itu tidak mengikuti aktiviti persatuan dan kokurikulum di sekolah, sebaliknya menghabiskan masa dengan melakukan aktiviti tidak berfaedah. 

Di sinilah kita memerlukan lebih banyak pelajar yang mempunyai semangat kepimpinan dan bersedia untuk berada selari dengan arus perdana negara. Pemimpin pelajar menjadi contoh kepada pelajar lain dan memimpin rakan sebaya ke arah menjadi pelajar berdisiplin, bermotivasi, berwawasan dan berjaya.

Justeru, ibu bapa perlu menggalakkan anak mereka menyertai aktiviti berkumpulan untuk membentuk daya kepimpinan dan menimba sebanyak pengalaman dan pengetahuan melaluinya. Negara memerlukan generasi pemimpin pelapis yang lebih berkebolehan dan mampu melaksanakan misi negara dengan jayanya.  

MAKSUD "BALA LALU DIBAWA SINGGAH"

Peribahasa, "bala lalu dibawa singgah", menggambarkan kefahaman masyarakat Melayu bahawa sesuatu bala boleh dielakkan. Bala atau kecelakaan memang ada di mana-mana dianggap sekadar 'lalu', tetapi mengapa pula kita mengajak 'singgah'. Itu dikira kita sendiri yang mencari dan menjemput bala terjadi kepada diri sendiri.

Kemalangan adalah bala yang boleh dielak sekiranya individu pengguna jalan raya mengambil tindakan berhati-hati berhemah di jalan raya.

Setiap tibanya musim perayaan, pengguna jalan raya sering diingatkan supaya tidak mengalami bala kemalangan. Tentulah menyedihkan sekiranya kemeriahan hari raya yang disambut dimusnahkan oleh tragedi yang mengundang kedukaan kehilangan orang tersayang atau kecederaan menyebabkan kecacatan seumur hidup. 

Kerajaan mengadakan langkah pemantauan untuk mendidik pengguna jalan raya agar lebih berhemah mengelak kemalangan. Peringatan ini penting memandangkan setiap kali musim perayaan, kadar kemalangan jalan raya meningkat dengan mendadak, sekaligus mencatatkan jumlah kematian, kecederaan dan kerugiaan harta benda lebih tinggi berbanding hari-hari biasa.

Keadaan ini berlaku semasa perantau berpusu-pusu pulang ke kampung halaman untuk merayakan hari mulia bersama-sama ibu bapa, sanak saudara dan rakan. Perjalanan jauh yang memenatkan, laluan jarang dilalui dan ditambah pula keadaan jalan raya yang sibuk, menyebabkan kemalangan mudah berlaku jika tidak berhati-hati dan berhemah di jalan raya. 

Berdasarkan kepada laporan kes kemalangan jalan raya yang berlaku di negara kita, punca utama malapetaka terjadi kemalangan jalan raya disebabkan sikap pemandu sendiri. Inilah disebut menempah maut sendiri. Perbuatan itu bertentangan dengan tuntutan agama.

Lebih 90 peratus kemalangan berlaku disebabkan faktor kemanusiaan. Peraturan jalan raya tidak dipatuhi, sedangkan mereka mengetahui peraturan yang sebenarnya. Antara kesalahan paling kerap dilakukan pemandu ialah memandu laju, memotong di garisan berkembar, tidak bertimbang rasa, tidak mematuhi lampu isyarat dan cuai. 

Ramai pemandu suka mengambil resiko ketika berada di jalan raya dengan melakukan perbuatan yang jelas mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain. Sikap ego dan mementingkan diri di jalan raya dianggap mendatangkan kepuasan.       

Ajaran Islam memerintahkan agar umatnya mematuhi undang-undang jalan raya untuk tujuan kebaikan. Sesiapa melanggar undang-undang ditetapkan kerajaan, bermakna melanggar perintah Allah dan Rasulullah.

Sesungguhnya mentaati pemerintah yang merangkumi segenap peraturan dan undang-undang yang ditetapkan adalah wajib ke atas setiap orang Islam. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Wajib ke atas setiap orang Muslim mentaati pemerintah sama ada dalam perkara disukai atau tidak, selagi tidak diperintahkan melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintah melakukan maksiat, maka janganlah kamu patuh dan mentaatinya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Memandangkan perjalanan di jalan raya memungkin berlaku kecelakaan tanpa diduga, Islam menganjurkan agar setiap Muslim memulakan perjalanan dengan bacaan doa. Doa memohon keselamatan dalam perjalanan adalah termasuk usaha mengelak kemalangan. 

Setiap kali sebelum memulakan perjalanan jauh, Rasulullah bertakbir sebanyak tiga kali. Selepas bertakbir, Rasulullah teruskan pula dengan doa bermaksud: “Maha Suci Tuhan yang memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum ini tidak berdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kami akan kembali.”

Selepas doa permulaan, Rasulullah membaca doa seterusnya. Doa tersebut bermaksud: “Ya Allah, ya Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kebaikan dan takwa dalam pelayaran kami ini dan amal yang soleh yang Engkau redai. Ya Allah, ya Tuhan kami permudahkanlah pelayaran kami ini, dan dekatkanlah jarak jauhnya (supaya kami segera sampai ke tempat ditujui). Ya Allah, ya Tuhan kami, Engkaulah rakan di dalam pelayaran, dan wakil pengganti yang menjaga keluarga kami (yang ditinggalkan).”

“Ya Allah, ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesukaran (yang lazim berlaku) dalam pelayaran dan (daripada keadaan yang menyebabkan aku) berupa hodoh dan muram, juga (daripada sebarang peristiwa yang menyebabkan aku) kembali dalam keadaan yang buruk mengenai harta benda, keluarga dan anak pinak.” (Hadis riwayat Muslim).

Sesiapa berdoa memohon keselamatan sebelum memulakan perjalanan bererti dia merasakan satu tanggungjawab untuk menjaga keselamatannya. Secara tidak langsung, doa itu memberi peringatan agar tidak melakukan perbuatan yang boleh membahayakan keselamatan diri sendiri, ahli rombongan dan orang ramai.

Sesungguhnya doa orang musafir atau dalam perjalanan adalah doa mustajab. Allah memberkati dan merahmati doa itu. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tiga macam doa yang tidak dapat diragui pasti mustajab. Doa orang teraniaya. Doa orang dalam musafir. Doa ayah terhadap anaknya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Ajaran Islam menekankan agar setiap penganutnya berusaha mengelak diri daripada sebarang kecelakaan. Sesungguhnya, sesuatu yang mendatangkan bahaya wajib dijauhi. 

Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195).

Maka dengan itu, sesiapa sengaja melakukan perbuatan mendatangkan bahaya keselamatan jalan raya tergolong mereka yang melakukan perbuatan dosa. Orang itu bukan sahaja terdedah kepada bahaya, bahkan bakal menerima balasan dosa yang dilakukan itu.

Rancanganlah perjalanan agar tidak memandu tergesa-gesa. Pilih waktu yang dirasakan lebih sesuai dan keadaan diri yang bersedia untuk melakukan perjalanan jauh. Elakkan memandu dalam keadaan tertekan dan badan letih. Ramai yang memaksa diri memandu dalam keadaan keletihan dan tidak cukup rehat. 

Ambillah masa rehat yang secukupnya dengan berhenti di perhentian rehat dan rawat atau di mana-mana tempat yang difikirkan sesuai. Biar lambat sampai, jangan tidak sampai langsung. Pastikan juga kenderaan dalam keadaan selamat dan berfungsi dengan baik. 

Sesungguhnya jika pengguna jalan raya di negara kita mengubah sikap dan cara pemanduan lebih berhemah dan selamat, kadar kemalangan jalan raya akan dapat dikurangkan. Hakikatnya, kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap pemandu sendiri.

Allah tidak mendatangkan sesuatu malapetaka atau kecelakaan terhadap hamba-Nya, melainkan berpunca daripada manusia sendiri.   

Allah berfirman dalam surah an-Nisa, ayat 40 bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seorang) sekalipun sebesar zarah. Dan kalaulah (amal seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi di sisi-Nya pahala yang amat besar.”

Semoga perjalanan pulang ke kampung halaman atau ke mana juga destinasi ditujui selamat pergi dan balik. Kematian bagi individu yang meninggal dunia tidak memberi kesan kepada dirinya, tetapi yang menderita akibat kematian itu ialah orang tersayang dan seluruh ahli keluarga, masyarakat dan negara. 

Jangan biarkan keluarga dan orang tersayang menanti dalam tangisan. Kegembiraan yang diharapkan, sebaliknya kedukaan menimpa gara-gara kecuaian diri sendiri.

KITA BERSALAH PUNCA BANJIR KILAT


Kenapa kerap berlaku banjir kilat? Pertamanya tentu disebabkan hujan lebat. Itu jawapan bocor yang telah lama digunakan. Jawapan kedua, banyak pihak tidak senang dengan jawapan ini, aliran air atau sungai tersekat.

Punca tersekat banyak sebab. Biasanya disebabkan proses urbanisasi yang tidak terancang. Pembangunan pesat dan tidak mengikut rancangan asal pembangunan. 

Aliran sungai tersekat disebabkan sampah sarap dibuang merata-rata. Sungai tidak dijaga dari aspek kebersihan hingga sampah sarap menghalang laluan air. Tidak terkecuali menyekat aliran air ialah pokok renek serta rumput yang tumbuh subur di laluan air.  

Penjagaan sungai di negara kita agak teruk, terutama yang melalui kawasan bandar dan penempatan. Kebersihan sungai tidak dijadikan keutamaan disebabkan perbelajaan agak besar, sedangkan ia sekadar untuk mengalirkan sisa domestik dan air kotor. Lebih-lebih lagi kedudukan sungai di bahagian belakang bangunan atau tersembunyi ditutup oleh pokok serta rumput di tebingnya. Tidak ada siapa yang pedulikannya.

Masyarakat sedar kesilapan dan mula memikirkan soal sungai apabila berlaku bencana akibatnya. Ketika itu sudah banyak berlaku kerosakan harta benda dan mungkin juga melibatkan nyawa. 

Namun, pengalaman itu tidak memberi pengajaran. Sungai masih berada di takuk lama, tidak diseliakan dengan baik. Kalau ada sedikit usaha untuk melancarkan aliran air, ia hanya ketika musim banjir itu saja. Itupun, setelah banjir kilat berlaku dan bertujuan menambah kadar aliran agar cepat surut.

Itu soal sungai tidak diselengara dengan baik. Satu lagi masalah ialah tidak ada laluan air seperti longkang atau parit disediakan. Ini berlaku di kawasan perumahan baru dibina. Pemaju sekadar membina longkang di kawasan perumahan yang dibina. Sedangkan aliran air itu sepatutnya dialirkan sehingga ke longkang lebih besar atau sungai. 

Banjir kilat yang berlaku di kawasan itu biasanya tidak melibatkan kawasan rumah yang baru dibina. Dengan kata lain, pemaju boleh lepas tangan. Ini biasa berlaku. Kawasan yang tidak pernah mengalami banjir terpaksa berdepan dengan musibah dicipta akibat kerakusan pihak lain untuk mendapat keuntungan.

Pihak berkuasa tempatan perlu peka kepada masalah ini. Sebarang kelulusan memajukan kawasan perumahan, perindustrian, kompleks beli belah dan sebagainya perlu mengambil kira semua aspek, termasuk soal pengaliran air di kawasan itu ketika hujan lebat. 

Adalah tidak adil, ketika pihak lain mendapat keuntungan dan bersenang lenang, pihak lain pula menerima kesan buruk akibat pembangunan itu. Jika perlu dikeluarkan kos tambahan untuk membina longkang besar, perbelanjaan itu mesti disediakan. Bahkan, jika pemaju tidak mampu menyediakan longkang besar seperti diperlukan, wajar projek itu tidak diteruskan.

Sebenarnya, isu sungai bukan timbul ketika musim banjir semata-mata. Cerita sungai kotor dan air tidak selamat untuk kegunaan umum tidak berpenghujung walaupun pelbagai kempen dan usaha telah dilakukan.  

Inilah hakikat yang terpaksa diakui. Bilangan sungai yang ‘sudah mati’ akibat terlalu kotor dan tercemar semakin bertambah. Memalukan apabila sungai yang dulunya air jernih dan banyak hidupan air mendiaminya yang menjadi punca pendapatan nelayan, kini hanya layak dipanggil longkang besar. 

Kajian hidrologi mengkategorikan tiga sumber pencemaran sungai iaitu pencemaran fizikal seperti sampah sarap, pencemaran biologi seperti najis binatang dan pencemaran kimia yang terdiri daripada bahan kimia terlarut.

Pemandangan sungai yang tercemar hilang daya tarikan. Sungai yang dikaitakan dengan kedamaian dan keindahan telah bertukar kepada menyakitkan mata dan mendatangkan bau busuk. Sungai tidak lagi menjadi daya tarikan dan rebutan golongan kaya untuk dijadikan laman rumah. 

Sedangkan pada masa lalu, tebing sungai dijadikan penempatan golongan kaya. Banyak istana dibina berhampiran dengan sungai. Begitu juga, penempatan di sesuatu tempat bermula di tebing sungai seperti dapat dilihat kebanyakan bandar besar di negara kita dan di luar negara.       

Sebaliknya kini, sungai menjadi rebutan bagi golongan tidak berada. Kawasan tebing sungai menjadi penempatan setinggan yang tidak menghiraukan soal bau busuk dan pemandangan tidak elok sungai kerana mereka tidak ada banyak pilihan untuk mencari tempat yang lebih selesa.   

Penghuni tebing sungai mengambil jalan mudah membuang sampah sarap ke dalam sungai yang dijadikan seperti tong sampah. Tidak hairanlah jika sungai di kota dipenuhi oleh sampah yang menyebabkan aliran air bergerak perlahan membawa sampah sehingga ke laut.  

Kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan yang besar untuk membersihkan sungai yang tercemar. Peruntukan itu sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan lain, jika sungai-sungai di negara kita sedia dalam keadaan bersih. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat. 

Alasan pihak yang mengatakan keadaan itu tidak dapat dielakkan memandangkan perkara itu sebahagian daripada proses urbanisasi sebenarnya tidak boleh diterima kerana banyak sungai di negara maju yang mengalir di tengah kota besar berada dalam keadaan bersih.

Contohnya, Sungai Thames di kota London kekal bersih dan menjadi satu daya tarikan pelancong. Paling dekat dengan kita, sungai-sungai di kota Singapura juga bersih, biarpun kadar urbanisasinya lebih pesat di sana. 

Di negara Eropah, mereka sepakat mengadakan kempen ‘European Framework Directive’ yang menetapkan sasaran bagi membaik pulih semua sungai di Eropah sehingga mencapai tahap piawaian yang seragam.

Penglibatan orang ramai secara sukarela atas dasar kesedaran dalam usaha memulihara sungai dapat memberi kesan baik jangka panjang. Kesedaran ini dapat membentuk satu ‘kebiasaan’, yang kemudiannya menjadi satu budaya yang diikuti semua orang.   

USIA TUNGGU SAAT MATI KETIKA UMUR BERAPA?


Kematian pasti dihadapi oleh setiap orang. Firman Allah dalam surah al-Anbia ayat 34 bermaksud: “Setiap yang bernyawa pasti akan mati.” Dalam ayat lain pula Allah menjelaskan bahawa apabila tiba masa ajalnya, maka ia tidak dapat dipercepatkan atau diperlambatkan walaupun sesaat. 

Setiap hari di sekeliling kita terdapat saudara, kawan, jiran dan lain-lain diketahui meninggal dunia. Akan tiba masanya kita pula meninggal dunia. Justeru, manusia tidak selama-lamanya akan hidup di dunia ini.

Buktinya, perhatikan sekeliling kita. Sekarang ini kita tidak dapat lagi menemui orang yang berumur lebih 150 tahun. Semuanya sudah meninggal dunia sebelum mencapai umur tersebut. 

Secara puratanya, umur 60 tahun sudah dikira memasuki ‘usia menunggu kematian’. Rasulullah telah mengingatkan usia umatnya tidak panjang seperti usia umat nabi-nabi terdahulu yang mencecah usia ratusan tahun. Rasulullah sendiri wafat ketika usia 63 tahun. 

Namun perlu juga diingatkan, saat kematian sebenarnya tidak mengira usia. Bukan hanya apabila telah melepasi usia tua sahaja baru kematian akan berlaku. Kematian boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia, tidak kira bayi dalam kandungan, kanak-kanak, remaja dan tambah-tambah lagi orang yang sudah tua. Sebab itu setiap orang perlu sentiasa mengingati kematian yang akan dihadapi. 

Pesanan agar mengingati saat kematian bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan atau menyebabkan kesan negatif. Sebaliknya ia bertujuan mengingatkan kita tujuan hidup ini dan di mana akan berakhir. Setiap orang perlu mengetahui tujuan sebenar hidup ini. Allah menjadikan manusia bukan sekadar untuk menikmati kehidupan dengan di dunia ini dan kemudian dimatikan seperti mana makhluk-makhluk lain. 

Manusia diciptakan dan diturunkan ke muka bumi sebagai khalifah dan hamba yang ditetapkan tugas atau peraturan hidup yang perlu dilakukan. Firman Allah dalam surah al-Dzariyat ayat 56 bermaksud: “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia telah menyatakan persetujuan untuk taat kepada Allah. 

Maksud menyembah dan beribadat kepada Allah adalah dalam maksud yang luas meliputi segala detik kehidupan manusia. Ia meliputi ibadat khusus seperti sembahyang, menunaikan haji dan ibadat yang dinyatakan secara jelas sebagai perlu dilakukan. Manakala yang lainnya dalam bentuk ibadah tidak khusus.

Manusia yang melakukan segala apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang dikira telah melakukan ibadah. Panduan atau peraturan kehidupan manusia di dunia ini terkandung dalam al-Quran dan al-Hadis. Sesiapa yang mengikut kedua-duanya pasti akan bahagia hidup di dunia dan akhirat.

Setiap perbuatan manusia akan dicatatkan di dalam rekod yang dijaga oleh dua melaikat; catatan perbuatan baik dan perbuatan buruk. Kedua-duanya tidak akan sedikitpun tertinggal atau berlaku kesilapan. Rekod itu kemudian akan dibentangkan di hadapan Allah di akhirat nanti selepas berlaku kiamat. 

Setiap amalan akan dihisab dan ditimbang pahalanya biarpun sekecil mana perbuatan yang telah dilakukan sepanjang hidupnya di dunia. Firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang melakukan kebaikan walaupun sebesar zarah akan tetap diberi pembalasan. Dan barang siapa yang melakukan kejahatan walaupun sebesar zarah, maka dia juga tetap akan diberi pembalasan.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7 dan 8). 

Sesiapa yang mendapat himpunan pahala yang lebih banyak daripada dosa, maka dimasukkan ke dalam syurga dan berbahagialah dia hidup di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya syurga itu tempat yang tiada tandingan nikmatnya yang disediakan kepada orang yang bertakwa. 

Firman Allah dalam surah ar-Raad ayat 35 bermaksud: “Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takut kepada Allah, di dalamnya mengalir sungai-sungai, buah-buahnya tetap dan (juga) naungannya. Itulah kesudahan orang-orang yang bertakwa kepada Allah, manakala kesudahan orang-orang kafir (engkar) pula ialah nereaka.”

Dengan selalu mengingati kematian, manusia akan sedar ke mana akhirnya hidupnya nanti. Dia akan mengingati hari pembalasan terhadap setiap apa yang dilakukan. Dengan itu, setiap amalannya adalah untuk kebaikan seperti yang dikehendaki oleh ajaran agama dengan mengira-gira sudah berapa banyak kebaikan yang telah dilakukan.

Insan yang mengharapkan balasan baik tidak akan merasa cukup dengan apa yang telah dilakukan. Sebaliknya dirasakan sentiasa masih terlalu kurang dan ingin dilipat-gandakan lagi amalan baik yang telah dilakukan sebelum tiba saat kematian yang tidak diketahui bila masanya. Sesungguhnya semakin banyak amakan kebaikan dilakukan, maka semakin dekat dirinya dengan Allah dan semakin takut dia kepada Allah.

Perasaan takut orang beriman menyebabkan mereka sentisa mengingati hari kematian. Dua kemungkinan mereka fikirkan tentang kematian. Pertamanya adalah kesediaan mereka untuk menemui Allah pada bila-bila masa. Segala-galanya dirasakan begitu mengembirakan. 

Bagi orang beriman saat kematian amat manis ketika mana perjalanan untuk menghadap Allah semakin hampir. Mana kala kemungkinan keduanya yang sering bermain di benak fikiran orang beriman ialah adakah amalan mereka sudah cukup untuk mendapat balasan baik daripada Allah. Justeru, mereka terus menerus tanpa jemu melakukan amal ibadat kepada Allah sambil terus menghitung saat kematian.

Jika disedari mereka telah melakukan kesalahan atau dosa, maka terus diperbetulkan kesalahan itu. Lalu ia diikuti dengan taubat atau memohon keampunan daripada Allah. Taubat bagi orang yang beriman dilakukan tanpa ditangguh-tangguh. Sesungguhnya taubat itu memberi erti atau diterima sebelum tiba saat kematian. 

Rasulullah mengingatkan umatnya agar sentiasa bertaubat kerana Allah maha menerima taubat. Namun taubat itu ada batasan waktunya. Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya selagi nyawanya belum sampai di halkum (yakni belum sakaratulmaut).” – (Hadis riwayat Tirmizi).

PEDIH HADAPI SAAT KEMATIAN


Allah akan menerima taubat mereka yang benar-benar insaf terhadap apa yang telah dilakukan. Biarpun sebesar mana kesalahan yang dilakukan, Allah bersedia menerima taubat hamba-Nya, kecuali kesalahan syirik. Kesalahan syirik hanya ‘dibersihkan’ dengan mengucap kalimah tauhid semula sebagai mengakui ‘tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh-Nya’.

Ketika peluang masih ada, bertaubatlah sebelum terlambat. Sesunggguhnya tiada siapa yang tidak pernah melakukan dosa. Rebutlah rahmat yang disediakan oleh Allah yang Maha Pengampun. Sesungguhnya tiada penguasa melainkan Allah yang ‘melepaskan’ kesalahan tanpa denda atau hukuman setelah pesalah mengaku salah dan memohon maaf. Allah memberi jaminan menerima taubat setiap hamba-Nya yang benar-benar memohon taubat. 

Firman Allah: “Katakanlah (kepada manusia): “Wahai hamba-Ku yang telah merasa berdosa atas diri mereka, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah dapat memberi ampun-Nya terhadap dosa seluruhnya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun dan Pengasih” – (Surah az-Zumar, ayat 53).

 Setiap dosa yang disedari telah dilakukan perlu terus dilakukan taubat. Ini kerana manusia tidak tahu mengetahui bila ajalnya akan tiba. Sebab itu jangan sekali-kali mengamalkan sikap bertangguh-tangguh kepada perbuatan baik. Dengarlah pesan Rasulullah melalui sabdanya bermaksud: “Binasalah orang-orang yang suka bertanguh-tangguh.”

Bahkan mereka yang mengingati kematian akan sentiasa beringat-ingat melakukan taubat terhadap perbuatan yang tidak disengajakan atau tidak disedari. Mereka ingin menghadap Allah dengan keadaan yang sebenar-benarnya bersih daripada dosa. Mereka yang sentiasa lalai mengenai saat kematian diingatkan oleh Allah dalam surah al-Makminun ayat 99 hingga 100 yang bermaksud:

“Sehingga ketika maut telah datang kepada seseorang di antara mereka, maka diapun berkata: “Wahai Tuhanku (hidup semula)! Supaya dengan itu aku akan dapat mengerjakan perbuatan baik yang telah aku tinggalkan itu. Tidak. Sesungguhnya perkataan itu hanya sekadar dapat diucapkan. Di hadapan mereka ada Barzah yang dindingnya membatasi sampai hari mereka dibangkitkan.”

Setelah tiba kematian untuk seseorang, tidak akan dapat diubah atau dilambatkan walaupun sesaat. Maka terputuslah hubungan dan peluangnya untuk kembali hidup sehinggalah dibangkitkan di akhirat nanti untuk menerima pembalasan. Segala amalan yang dilakukan sepanjang hidup akan menjadi bekal menentukan untung nasib di akhirat nanti.

Segala hubungan dengan dunia terputus kecuali tiga perkara yang masih memberi kebaikan biarpun selepas saat kematian. Tiga perkara itu ialah sedekah jariah yang berterus-terusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada ibu bapanya.

Biarpun Allah menyediakan pelbagai tawaran untuk memasuki syurganya, namun itu bukan satu perkara yang mudah. Sesungguhnya syaitan yang telah berjanji di hadapan Allah akan menyesatkan seluruh keturunan Nabi Adam sentiasa berusaha menjalankan propaganda dan hasutan agar manusia sentiasa melakukan kejahatan agar turut sesat dan menerima nasib yang sama denganya.

Sebagai peringatan tentang tauhid dan sikap syaitan bacalah surah an-Nas ayat satu hingga 6 yang bermaksud: “Katakanlah: Aku berlindung kepada Tuhan manusia. Raja manusia. Sembahan manusia. Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi. Yang membisikan (kejahatan) ke dada manusia. Daripada jin dan manusia.”

Justeru berpegan teguhlah dengan ikrar yang diucapkan seperti maksud firman Allah dalam surah al-Anam, ayat 162: “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”

Saat kematian bagi setiap orang merupakan saat yang paling pedih dan negeri sekali, lebih-lebih lagi bagi mereka banyak melakukan dosa. Mereka benar-benar beriman dan memahami hakikat betapa pedih dan ngerinya kematian akan kecut hati dan segera akan memperbanyakkan amalan kebaikan dan bertaubat atas dosa yang dilakukan.

Ada riwayat mengatakan, Sufian al Thauri seorang ahli ibadat, ketika dia mengingati dan membicarakan tentang saat kematian, maka dia tidak dapat berbuat apa-apa sampai beberapa hari  seperti orang tidak sedarkan diri. Apa-apa ditanyakan kepadanya akan dijawab tidak tahu.

Begitulah betapa takutnya orang yang mengetahui siksanya menghadapi saat kematian. Dia takut bukan kerana sayangkan kehidupan dunia yang akan ditinggalkan, tetapi kerana merasakan amalan kebaikan yang dilakukan masih kurang dan takut tergolong dalam kumpulan mereka yang rugi di akhirat nanti.

Adapun rasa pedih dan negerinya saat kematian diumpamakan seperti pohon berduri dimasukkan ke dalam badan, yang setiap durinya berkait dengan urat, lalu ia ditarik keluar dengan kuatnya sehingga memutuskan apa yang terputus dan meninggalkan apa yag masih tertinggal.

Kesakitan ketika menghadapi malikutmaut dirasakan seperti tidak akan hilang-hilang.  Diceritakan, Nabi Isa ketika bertanya kepada orang mati yang dihidupkan semula dengan katanya: “Berapa lama kamu telah mati? Lalu dijawab oleh yang mati itu: “sejak empat ribu tahun lalu, tetapi belum hilang rasa pedihnya maut.

SISTEM KEWANGAN BERASASKAN EMAS


Emas logam berharga menjadi simbol kepada kekuasaan, kemewahan dan kecantikan. Bersandarkan kepada faktor itu, emas amat berharga di dunia, mempunyai nilai paling kukuh meskipun berdepan dengan apa juga situasi termasuk krisis ekonomi.

Sejarah menunjukkan emas diguna pakai sebagai alat pertukaran dalam perdagangan. Sebelum kedatangan Rasulullah SAW, emas digunakan kerajaan Rom Byzantine dan pada zaman awal kedatangan Islam, syiling daripada kerajaan Rom dan Parsi juga digunakan secara meluas orang Islam.

Emas dan perak dijadikan sebagai ukuran kepada unit timbangan kepada harga dan upah. Sistem barter atau pertukaran barang dengan barang adalah tidak digalakkan seperti dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, maksudnya, "Bahawa Rasulullah mengutus saudara Bani Adi Al-Anshari sebagai wakil beliau di Khaibar. Kemudian ia datang membawa kurma janib (kurma bermutu baik).

Rasulullah bertanya kepadanya: "Apakah semua kurma Khaibar seperti ini? Dia menjawab: Tidak, demi Allah, wahai Rasulullah, kami membeli satu sha`kurma ini dengan dua sha` kurma yang kurang baik mutunya. Rasulullah bersabda: Janganlah kamu berbuat demikian. Tetapi tukarlah dengan yang sejenis, atau juallah ini (kurma yang kurang baik mutunya) lalu belilah kurma yang baik dengan wang penjualannya dan demikian juga dengan timbangan.

Demi keadilan, barangan yang hendak didagangkan adalah sebaiknya dijual terlebih dulu dan tidak ditukarkan secara terus dengan barangan lain. Dengan ini emas dan perak dijadikan perantara dalam sistem perdagangan Islam.

Hanya bertahun selepas kewafatan Rasulullah, orang Islam tidak lagi menggunakan syiling Rom dan Parsi apabila pada 77 Hijrah (696 Masihi) ketika zaman pemerintahan Khalifah Abul Walid Abd al-Malik ibn Marwan, emas pertama ditempa.

Gambaran manusia dan binatang yang ada pada syiling Rom dan Parsi digantikan dengan perkataan la ilaha ill' Allah. Syiling emas ini digunakan secara meluas di jajahan Islam sehingga keruntuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Pada masa ini perantara kepada perdagangan berubah daripada emas kepada wang kertas. Terpisahnya emas daripada sistem kewangan dunia bermula dengan berakhirnya sistem Bretton Woods. Runtuhnya kerajaan Turki Uthmaniyyah menandakan tamatnya era perdagangan dan sistem kewangan Islam yang adil dan jujur.

Lompang kewangan ditinggalkan itu sedikit demi sedikit mula diisi oleh sistem ekonomi kapitalis yang kejam dan zalim dengan riba dijadikan senjata untuk meruntuhkan struktur kewangan sedunia yang dibangunkan sekian lama.

Uniknya, emas tidak dimiliki oleh mana-mana negara, pertubuhan, parti politik, mahupun individu. Ia diterima dan diiktiraf di kalangan semua negara, agama dan bangsa sebagai sesuatu yang bernilai dan berharga.

Sifat emas itu sendiri yang sukar ditemui dan dihasilkan menjadikan ia amat sesuai dijadikan sandaran nilai bagi sesuatu. Justeru, ia sukar itu untuk dimanipulasi atau untuk tujuan spekulasi.

Ketika ini banyak kedengaran suara supaya diwujudkan kembali sistem kewangan berasaskan emas. Suara penentangan juga didengari daripada komuniti Islam sehinggakan Dr Umar Ibrahim Vadillo menfatwakan haram menggunakan wang kertas.

Walaupun tidak semua bersetuju dengan fatwa itu, ia tidak menafikan wang kertas ada masalah dari segi praktikal dan aplikasi, lebih-lebih lagi perkara yang sudah nyata haram iaitu riba, adalah pemangkin kepada sistem kewangan berasaskan wang kertas.

Sama ada masalah terbabit sudah cukup menjadi penyebab kepada pengharaman wang kertas perlu kepada kajian dan penelitian lebih lanjut dan mendalam. Apa yang nyata, emas sentiasa menjadi alternatif kepada sistem kewangan dunia masa kini.

Krisis ekonomi di Amerika Syarikat hari ini adalah petanda bahawa sistem kapitalis yang diagungkan oleh mereka selama ini adalah sistem yang pincang dan menyebabkan kemusnahan serius terhadap ekonomi.

Malangnya, itulah sistem yang cuba diserapkan oleh mereka ke dalam pemikiran seluruh masyarakat dunia sebagai satu sistem yang sempurna dan wajib diguna pakai. Mana-mana negara yang cuba keluar daripada sistem itu dianggap sebagai tidak mematuhi tatacara kewangan antarabangsa dan boleh dikenakan tindakan.

Penjajahan pemikiran bentuk baru seperti ini adalah penjajahan moden di dalam meneruskan tradisi imperealisme mereka, selain pelbagai penjajahan bentuk lain seperti hiburan, fesyen, gaya hidup, dan lain-lain.

SISTEM EKONOMI ISLAM MILIK SEJAGAT


Secara konsepnya, Islam telah menetapkan garis panduan dalam pengurusan ekonomi. Semua negara, syarikat, keluarga dan individu dilindungi daripada sebarang penindasan dan ketidakadilan ekonomi yang dilakukan oleh pihak lain.  Semua bentuk penindasan ditegah dalam Islam.   

Islam mementingkan hubungan baik sesama manusia bertujuan mewujudkan suasana hidup yang selesa, selamat dan sejahtera. Kesempurnaan iman seseorang tidak sekadar melakukan ibadat yang menghubungkan diri dengan Allah. Sebaliknya, Islam turut mementingkan soal hubungan manusia dengan manusia untuk melengkapkan tanggungjawab sebagai khalifah. 

Urusan ekonomi adalah salah satu urusan sesama manusia yang paling penting. Ekonomi merangkumi semua aktiviti yang bermaksud mencari keuntungan. Setiap individu moden tidak terlepas daripada aktiviti ekonomi. Selaku pengguna juga seseorang termasuk dalam kategori menjalankan aktiviti ekonomi. 

Konflik ekonomi tercetus apabila masyarakat Barat mentakrifnya sebagai sains sosial yang mengkaji usaha-usaha manusia menggunakan sumber-sumber ekonomi yang terhad untuk memenuhi kehendak-kehendak manusia yang tidak terbatas. Kehendak yang tidak terbatas melibatkan sifat tamak, tidak bersyukur dan cintakan dunia. 

Sesungguhnya, Allah mencipta dunia ini untuk manusia mendapat apa yang dihajati. Namun, perkara itu perlu dipenuhi mengikut batasan yang dibenarkan syariat. Sesiapa menjadikan kesenangan hidup di dunia sebagai matlamat utama di dunia ini, akan menghadapi kesesatan untuk memahami tujuan sebenar hidup. Mereka tertipu dengan keindahan dunia dan melupai janji Allah untuk kehidupan akhirat.

Kesenangan hidup di dunia adalah ujian bagi menentukan kekuatan iman seseorang. Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada sesiapa yang berjaya menahan dirinya daripada melakukan perbuatan dusta berkaitan kekayaan.

Individu di Barat percaya kepada kebebasan mekanisma ekonomi. Sistem ekonomi kapitalis memberi hak kepada sesiapa sahaja mengaut keuntungan, melakukan penindasan sesama manusia, atau melakukan apa sahaja untuk tujuan mendapat keuntungan.  Matlamat akhir dalam sistem ekonomi kapitalis ialah keuntungan dan kepuasan.     

Doktrin ekonomi bukan Islam menjadikan nafsu sebagai raja. Sebab itu, apa sahaja diingini dilakukan walaupun bertentangan dengan norma kemanusiaan. Perniagaan judi, arak, hiburan keterlaluan, urusan berbentuk spekulasi dan monopoli menjadi urusniaga mengaut keuntungan besar. Sedangkan masyarakat menanggung kerugian akibat urusniaga tersebut. 

Berdasarkan kepada kepincangan ekonomi Barat, pakar ekonomi bukan Islam semakin percaya hanya sistem ekonomi diasaskan berdasarkan kepada akidah lebih baik dan sesuai diamalkan dalam semua keadaan kehidupan, tidak kira zaman dan tahap ekonomi sesebuah negara.

Dalam surah al-Qashash ayat 77 pula firman-Nya bermaksud: “Dan carilah kebahagiaan di akhirat yang telah Allah janjikan kepada kamu. Tetapi, janganlah pula kamu lupa akan habuan kamu di dunia.”  

Allah memberi peringatan agar hamba-Nya tidak terlalu mengejar kebahagiaan dunia sehingga melakukan perkara-perkara yang menyalahi tuntutan syariat dan adab-adab kemanusiaan. Mencari rezeki termasuk dalam ibadat yang terdapat peraturan yang perlu dipatuhi. 

Hakikat sebenar, tugas manusia sebagai khalifah adalah bukan untuk memiliki harta atau sumber dunia, tetapi mengurusnya. Manusia diberi hak untuk mengurus dan menggunakan segala sumber yang ada mengikut peraturan yang ditetapkan. 

Manusia bukanlah pemilik kekayaan yang ada di dunia ini. Sebaliknya, manusia hanyalah pengurus. Seperti peraturan di sebuah syarikat, sesiapa yang dilantik menjadi pengurus perlu mengikuti peraturan kerja dan kehendak pemilik syarikat. Syarikat itu bukan menjadi miliknya.   

Kekayaan yang diuruskan oleh manusia tidak kekal kerana semua itu akan ditinggalkan apabila meninggal dunia. Justeru, perkataan mengurus harta atau kekayaan adalah lebih tepat dalam menerangkan tugas manusia di dunia ini. 

Sesiapa mengurus kekayaan dengan melakukan kebaikan, maka kekayaan mendatangkan yang dimilikinya memberi kebaikan baginya di akhirat.   

Allah telah mencipta bumi ini dengan penuh kedamaian, cukup sumbernya dan sejahtera untuk kehidupan manusia. Namun, sikap rakus manusia telah menyebabkan dunia rosak. Keadaan tersebut adalah pembalasan dan peringatan kepada manusia akibat perbuatan yang dilakukan.

Firman Allah dalam surah ar-Rum, ayat 41 bermaksud: “Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut, disebabkan usaha tangan manusia, kerana Tuhan hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, supaya mereka kembali.”