Thursday 29 November 2018

SEJARAH FESYEN TUNIC

Jenis pakaian memang banyak, terutama yang digayakan oleh wanita. Kita biasa mendengar pelbagai jenis baju kurung, kebaya, blouse, jubah dan sebagainya. 
 
Kini satu lagi jenis pakaian diminati wanita muda ialah tunic atau tunik (dalam Kamus Dewan belum tersenarai perkataan tunik - namun dalam carian istilah ada menjelaskan mengenai perkataan tunik).

Tunik yang longgar di hadapan dan berpesak di belakang, berlengan, berlambang dan bersulam di belakangnya. Pakaian bentara semasa upacara pertandingan atau perlawanan pahlawan-pahlawan Barat pada abad ke-13 hingga ke-16. Mantel pendek yang dibuat daripada fabrik tebal dan kasar yang dipakai di luar rumah oleh lelaki dan wanita pada abad ke-19.

Tunik atau dalam bahasa Inggeris dieja tunic adalah pakaian adalah pakaian longgar yang menutupi dada, bahu dan punggung. Baju ini sama ada berlengan atau tanpa lengan, dan panjangnya sampai di punggung atau hingga di atas lutut.

Pada zaman sekarang, tunik yang panjangnya hanya di sampai punggung sering dipakai wanita sebagai blouse longgar untuk pakaian santai. Dalam masyarakat Barat, khususnya ahli agama wanita akan mengenakan tunik yang panjangnya sampai di penggelangan buku lali untuk acara keagamaan.

Asal usul tunik adalah pakaian yang disebut tunica. Pakaian ini dikenakan orang Yunani Kuno dan pahlawan Rom. Di Rom Kuno, tunik adalah pakaian kebanggaan lelaki dewasa dan kanak-kanak. Lelaki muda dan prajurit akan memakai tunik berwarna putih yang panjangnya hanya sampai di atas lutut.

Manakala lelaki dewasa, bangsawan dan hakim memakain tunik hingga sampai di pergelangan kaki.Rakyat biasa mengenakan tunik yang dibuat dari kain wol berwarna putih. 
 
Tidak ada seorang pun dari kalangan rakyat biasa yang diizinkan mengenakan tunik berwarna ungu. Peraturan ini dijalankan dengan ketat. Warna ungu adalah warna raja.

Sekarang ini tunik menjadi pilihan di kalangan wanita, terutama untuk pakaian santai dan ketika berada di rumah. Fesyen pakaian tunik ringkas dan mudah disesuaikan dalam semua acara.

Wednesday 28 November 2018

SIKAP PENIAGA TURUN HARGA MELAMPAU


Satu masalah dihadapi oleh peniaga sekarang ialah persaingan harga. Masing-masing ingin memberi tawaran harga termurah kepada pelanggan. Kononnya untuk melariskan jualan. Adakah ini cara terbaik untuk meraih untung sehingga harga diturunkan keparas paling rendah. Yang untung adalah pelanggan.

Berniaga mesti ingin mendapat untung. Berniaga mesti ada persaingan. Berniaga mesti ada kalanya tiada pembeli. Itu sudah adat dalam berniaga. Namun, menurunkan harga gila-gila sehingga tidak mendapat untung itu memang peniaga 'bodoh'. Itu bukan strategi mendapat pelanggan, tetapi menghancurkan perniagaan.

Amalan ini bukan perkara baru. Paling ketara sekarang ini ialah pemasaran di atas talian atau online. Harga yang ditawarkan kadangkala diketahui lebih rendah dari harga modal. Mengapa terjadi begini? Ada yang ingin menghabiskan stok dan tidak kurang juga itu adalah barang tiruan atau tidak berkualiti. Jadi, kepada pembeli jangan mudah terpedaya dengan harga tawaran terlalu murah berbanding harga biasa pasaran.

Di sini disalin catatan seorang yang mempersoalkan tentang tawaran harga murah atau dikenali buang harga.

----------

Wahai peniaga, kenapa BUANG HARGA?
Setiap peniaga tak kira lama atau baru pasti akan berhadapan dengan
peniaga *Pailang Sailang* yang suka buang harga.
Diskaun melampau, jual murah, potong harga, cantas sana, cantas sini dan yang sewaktu dengannya.
Kenapa buat ni semua?
“Nak bersaing dengan peniaga lain.”
Selain daripada buang harga, apa cara lain untuk bersaing?
"Burukkan peniaga lain. Cakap bukan2 kat peniaga lain. Motif dialah peniaga terbaik.
Haa itulah realitinya. Malas nak fikir. Malas nak belajar. Ambil cara mudah. Buang harga!
Untung ke buat cara ni?
“Untunglah. Dapat jual banyak.”
Sekejap je untungnya ni.
Pelanggan rasa untung sebab dapat beli murah. Peniaga rasa untung sebab dapat jual banyak.
Tapi akan datang macam mana?
Peniaga mungkin kena tutup bisnes sebab margin tak cukup untuk tampung kos bisnes.
Pelanggan pula akan rugi sebab peniaga dah tak berniaga.
Kalau yang masih berniaga pun produk dan servis mereka dah macam sampah sebab nak jual murah.
Itu yang dapat pisang goreng celup plastik. Cendol span. Nasi lemak telur transparent.
“Alah takpelah. Lagi pun dapat bantu pelanggan yang tak mampu.”
KALAU BETUL NAK BANTU, SEDEKAHKAN TERUS. JANGAN JUAL.
Ramai peniaga, terutamanya peniaga baru sanggup ambil untung seringgit dua. Lepas tu komplen kenapa bisnes tak maju?
Cuba kira betul-betul semua kos bisnes tu. Cukup ke untung yang diambil?
Nak bayar gaji sendiri pun tak lepas kan?
Pastikan untung bisnes anda berbaloi dengan modal masa, modal tenaga, modal duit dan segala macam modal yang anda laburkan.
Kau nak jadi Hero. Peniaga yang jual paling murah di dunia?
Bila anda buang harga, mesti ada ramai peniaga lain yang berbulu.
Kalau yang berbulu tu lawan cara bijak tak apa juga. Ini dia pun sama b***h buang harga.
Si A jual RM100. Si B lawan jual RM80. Si C lawan jual RM50. Si D lawan jual RM30.
Akhirnya semua jual pada harga kos. Meninggal bersama.
Ingat margin untung sampai 90%. Tapi bila dikira 10% pun tak sampai. Nangis!
Untung dah la nipis. Ada hati lagi nak bagi diskaun.
Donut 10 sen dulu tu pun dah berkubur.
Mydin raja harga murah tu pun dah istihar rugi .
Tak sedar lagi?
Baik tambah nilai. Sampel percuma. Free gift. Mata ganjaran. Khidmat nasihat. Servis selepas jualan dan sebagainya.
Support sesama rakan peniaga lain baru boleh maju bersama.
Kalau anda peniaga yang baik, mesti anda nak pelanggan dapat produk dan servis bernilai tinggi.
Kalau anda pelanggan yang baik, mesti anda nak beli daripada peniaga yang mampu beri nilai diingini.
Peniaga untung dan pelanggan untung.
Kira lah kos dengan betul. Tetapkan harga berdasarkan nilai. Jual dengan harga berpatutan. Tanpa menjejaskan peniaga lain.
Anda akan sedar betapa bahagia dan untungnya berniaga tanpa buang harga.
"Siapa makan tahi dia rasa tahi"

Sekian by:
Pakcik Papaya

KENANGAN STESEN BAS KOTA BHARU

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat melepak dan bertemu kekasih. Setiap tempat tumpuan tentu sekali menjadi ingatan kepada mereka yang pernah ada peristiwa dan kenangan di situ. Di Kota Bharu, Kelantan satu tempat yang menjadi lokasi atau destinasi kenangan bagi kebanyakan rakyat Kelantan ialah Stesen Bas Kota Bharu.

Stesen Bas Kota Bharu antara bangunan batu tertua di Kota Bharu. Lama sungguh stesen bas ni, sejak tahun 1947 lagi. Sejarah stesen ini bermula bila North Eastern Transport Services (NETS) milik bumiputera buka syarikat pengangkutan untuk Kelantan.

Mula-mula laluan bas ini beroperasi kawasan berhampiran bandar Kota Bharu sahaja. Perkhidmatan antara bandar yang terletak jauh tidak dapat dilakukan kerana keadaan jalan yang tidak elok.

Antara jenis bas terawal yang digunakan ialah "mosquito bus". Jenis itu dianggap terbaik pada ketika itu. Masa berubah, pekhidmatan basa semakin penting untuk membawa penumpang ke Kota Bharu. Syarikat semakin berkembang dan bilangan bas ditambah selari dengan peningkatan penggunaan.

Pada 1967, nama NETS ditukar kepada nama Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK). SKMK masih kekal sehingga sekarang.

Biarpun operasi bas di Kota Bharu telah bertambah dan memerlukan stesen bas lebih luas dan selesa, Stesen Bas Kota Bharu masih kekal untuk kegunaan antara bandar dalam Kelantan.

Stesen bas ekspres untuk perjalanan jarak jauh pernah beroperasi di Langgar dan Jalan Hamzah. Kedua-dua stesen bas itu telah ditutup dan kini hanya beroperasi di Stesen Lembah Sireh.

Stesen Bas Kota Bharu masih beroperasi sehingga sekarang biarpun tidak lagi popular seperti dahulu. Sekarang ramai orang ke Kota Bharu menggunakan kenderaan sendiri sama ada kereta atau motosikal. Ini berbeza pada masa dahulu kebanyakan orang ke bandar Kota Bharu hanya menggunakan perkhidmatan bas.

Dahulu, stesen bas itu menjadi tumpuan untuk bertemu. Turun dari bas, mereka akan berada di situ untuk menunggu rakan. Bahkan, ada yang sengaja berada di situ untuk mencuci mata. Sebab itu, biarpun ada bas untuk pulang, ada yang sanggup menangguhkan perjalanan dan menanti trip seterusnya.

Stesen Bas Kota Bharu menjadi saksi pertemuan kekasih dan ada yang mula bertemu di situ. Kedudukan stesen bas itu di tengah-tengah bandar Kota Bharu. Jadi, pengguna mudah untuk melakukan urusan seperti membeli belah, urusan bank dan pejabat kerajaan dengan hanya berjalan kaki dari stesen bas itu.

Pada masa dahulu, hari paling sibuk di Stesen Bas Kota Bharu ialah pada hari Khamis dan Sabtu. Pada hari Khamis kerana kerja separuh hari. Manakala pada hari Sabtu, biarpun hari kerja tetapi untuk golongan muda yang masih belum bekerja, hari Sabtu adalah hari berhibur.

Pada hari Sabtu di bandar Kota Bharu meriah macam pesta. Masing-masing mengambil peluang turun ke Kota Bharu. Perkhidmatan bas memang penuh. Ada yang sanggup turun awal semata-mata agar tidak terlepas untuk berada di bandar Kota Bharu pada masa dijanjikan.

Sesiapa yang sesat di dalam bandar Kota Bharu dan sukar untuk mencari stesen bas, petuanya mudah sahaja. Dongok di atas dan carilah menara pemancar kepunyaan Telekom Malaysia yang kedudukannya berhampiran dengan stesen bas. Masa dahulu pemandan tidak terhalang kerana tidak terdapat banyak bangunan tinggi.

Bangunan Stesen Bas Kota Bharu yang masih kekal dan tidak berubah seperti mula dibina dahulu kini dianggap sebagai 'monumen sejarah' denyut nadi Kota Bharu dan menjadi ingatan seluruh warga Kelantan terutama generasi lama yang pernah menggunakan perkhidmatan bas.




SEEKOR KERBAU BAWA LUMPUR SEMUA TERPALIT

Peribahasa tentang kerbau. Seekor kerbau membawa lumpur, semua terpalit . Peribahasa itu membawa maksud sebagai hanya disebabkan seorang yang melakukan kesalahaan, maka yang lain pun dikatakan bersalah juga.

Ini adalah satu peribahasa yang amat bermakna bagi sesebuah negara, masyarakat atau kelompok dan ianya perlu sentiasa diberikan perhatian oleh semua pihak. Kesalahan yang mungkin dilakukan oleh individu atau seklompok kumpulan kecil jika didapati bersalah akan menyebabkan kumpulan atau golongan tersebut dituduh sama. 

Tentulah tidak adil jika kesalahan dilakukan oleh orang lain, individu lain pula dipersalahkan. Jangan bebankan kesalahan individu atau kumpulan kepada keseluruhan yang lain. Mereka bukan sahaja tidak bersalah, bahkan tidak setuju dan menentang perbuatan orang yang melakukan kesalahan itu.

Jadi, berhati-hatilah agar tidak mudah melabelkan atas nama kaum atau agama jika ada seseorang melakukan kesalahan. Hukum dan ambillah tidakan sewajarnya kepada orang yang melakukan kesalahan itu, bukannya kepada orang lain.

Di Malaysia, isu kaum dan agama amat sensitif. Ia umpama bom jangka yang boleh meletup bila-bila masa mencetuskan kesan yang amat buruk. Jangan mainkan api perkauman dan agama.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata parah akibatnya.

PERIBAHASA BAGAI KERA MENDAPAT KERETA

Peribahasa, bagai kera mendapat bunga bermaksud seseorang yang tidak menghargai pemberian orang lain. Bagaimana pula jika diubah menjadi bagai kera mendapat kereta? Biarpun mendapat kereta, tetapi mana mungkin kera dapat memandu kereta. Kera tidak tahupun hendak duduk di dalam kereta.

Sifat kera ialah suka untuk 'menyerang' dan 'menguasai' sesuatu. Dalam kelompok yang terdapat banyak ekor kera, biasa akan terjadi kera akan menyerang dan menguasai sesuatu. Keadaan ini biasanya dikuasai oleh ketua kera yang lebih dominan dalam kumpulan kera itu.

Apa yang menariknya, apa yang diingini itu akan dikuasai dan menjadi seperti milik kelompok kera itu. Namun, setelah 'puas' dan tidak mendapat manfaat, kumpulan kera itu akan meninggalkannya.

Sifat kera itu seperti samseng. Hendak tunjuk 'pongoh' atau bengis. Kononnya aku yang berkuasa.

Sifat seperti kera ini juga ada pada manusia. Sikap ingin tunjuk lagak dan berkuasa. Dengan dipimpin oleh abang long, mereka akan melakukan sesuatu di luar kawalan. Apa jadi pun tidak kisah. Kewarasan fikiran tidak lagi jadi pertimbangan.

Apabila yang diingini diperolehi atau dikuasai, mereka tidak tahu hendak buat apa. Tugas yang perlu dilakukan diabaikan. Kegagalan diri sendiri akan diletakkan pada bahu pihak lain.

Golongan seperti kera ini tidak layak diberikan sebarang amanah kepada mereka. 

Monday 26 November 2018

POLITIK LIBERAL ROSAK AGAMA BANGSA

Agama adalah asas. Manakala siasah (politik) adalah penjaganya. Barang yang tidak ada asas ia akan runtuh dan barang yang tidak ada penjaga akan hilang. (Imam al Ghazali)

Adalah penting untuk kita faham bahawa agama (Islam) tanpa kuasa politik yang menjaganya akan hilang. Manakala politik tanpa asas agama adalah politik yang runtuh dan meruntuhkan.

Pada saat ini kita menyaksikan perdebatan dan penghujahan politik yang panas di kalangan anak-anak muda kita di Malaysia. Di sana wujudnya perbezaan yang sangat ketara di antara mereka yang melihat politik dan negara dari perspektif Islam dengan mereka yang memandangnya dari perspektif liberal sekular (Barat).

Pencinta Islam dan umat yang prihatin akan menilai dari sudut politik atau kuasa yang menjaga agama Islam dan kedaulatan umat Islam serta bangsa Melayu yang mendokongnya. Manakala golongan liberal sekular membuang kepentingan menjaga agama dan bangsa dari pertimbangan politik mereka.

Umat yang prihatin bersama pencinta Islam akan menangisi nasib agama dan umat yang kehilangan kuasa dalam politik sebaliknya golongan liberal sekular tidak kisah kerana semua agama dan bangsa sama sahaja nilaiannya di sisi mereka.

Betullah kata Imam Ghazali, politik umat Islam tanpa berpaut dengan agama akan runtuh, manakala agama Islam tanpa kuasa politik akan hilang sedikit demi sedikit.

Golongan liberal akan menyokong apa sahaja yang dilihat betul pada pandangan mereka tanpa melihat agenda atau kesan di sebalik sesuatu isu. Isu utama perjuangan golongan liberal ialah kesamarataan dan hak kebebasan. Apa sahaja yang diingini atau diminta oleh pihak lain, maka akan diterima atas alasan hak kebebasan.

Golongan liberal tidak melihat agama sebagai teras panduan. Sebab itu, hukum agama dipandang sekadar untuk memenuhi ritual. Mereka mengaku ada pegangan agama sekadar untuk mengelak diri dipanggil ateis atau tidak mengaku kewujudan Maha Pencipta.

Golongan liberal bertuhankan nafsu. Manakala politik liberal bersandarkan kepada untuk kekal berkuasa. Jadi, kehendak mana-mana puak yang menyokong mereka akan ditunaikan biarpun nyata bertentangan dengan aturan agama.

Umat Islam perlu bersatu menolak kebobokan golongan liberal yang semakin meresap dalam pemikiran pemimpin politik sekarang. Kebobokan politik yang menghancurkan agama bangsa perlu dihentikan.

KENYATAAN RASMI MUFTI BERHUBUNG ICERD

KENYATAAN RASMI MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN BERHUBUNG INTERNATIONAL CONVENTION ON THE ELIMINATION OF ALL FORMS OF RACIAL DISCRIMINATION (ICERD)

Alhamdulillah, segala puji bagi-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW, keluarga, para Sahabat dan yang mengikut jejak Iangkah mereka hingga hari kesudahan. Konsep realism, realpolitik, idealism, sovereignity, geopolitics dan Iain-Iain bukanlah sesuatu yang asing bagi para sarjana Islam sejak dahulu. Secara asasnya, Islam mengiktiraf hubungan antarabangsa (international relations) sejak sekian Iamanya.

Misi Islam yang dibawa dalam kerangka hubungan antarabangsa jelas dapat dikesan dalam sirah Nabi SAW dan sejarah Islam. Ia membuktikan bahawa Syariat Islam itu sendiri bersifat dengan sifat rahmat kepada seluruh alam (rahmatan lil ‘alamin).

Semalam 23 November 2018, kita mendapat perkhabaran berita hasrat kerajaan Malaysia secara rasmi untuk tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Sega/a Bentuk Diskriminasi Kaum atau ICERD. Kami mengikuti isu ini sejak dahulu lagi sebelum ianya menjadi kontroversi kebelakangan ini.

Sejujurnya, isu ini memerlukan penelitian yang amat mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.

Secara ringkasnya, inilah pendirian kami:
1. ICERD adalah salah satu daripada konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tentang Hak Asasi Manusia (HAM). ICERD diterima oleh Perhimpunan Agung PBB pada 21 Disember 1965. Ini adalah disebaban formalisasi polisi apartheid dan pengamalannya di Afrika Selatan yang menarik hampir sebulat suara kecaman daripada negara-negara di seluruh dunia. Tujuan utamanya adalah untuk menghapuskan segala bentuk diskriminasi bangsa dan mengelakkan serta menentang pengamalan rasis bagi tujuan mempromosikan kefahaman intra-bangsa, begitu juga membina komuniti antarabangsa yang bebas daripada sebarang diskriminasi bangsa.

2. Dengan meneliti hujah kedua-dua belah pihak yang menyokong dan membangkang, kami menyimpulkan bahawa ICERD tidak sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia dengan mengambilkira beberapa hal berikut:
– Meratifikasi ICERD secara sewenang-wenang akan dilihat mendahului kuasa dan kedudukan Majlis Raja-Raja kerana sebarang perkara yang menyentuh kedudukan istimewa Melayu dan anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak adalah di bawah bidang kuasa DuIi-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
– Membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk mencabar keabsahan Perkara 153 atas alasan ia bercanggah dengan ICERD pada masa akan datang.
– Membuka ruang kepada mana-mana pihak mencabar kedudukan Islam dalam perlembagaan yang memperuntukkan keistimewaan terhadap agama Islam pada Perkara 3 (1) iaitu “Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama Iain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan” dan Perkara 11 (4) yang memperuntukkan “Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.”

3. Tidak timbul isu menzalimi dan mencabul Hak Asasi Manusia (HAM) di Malaysia kerana Perlembagaan Malaysia sendiri menjamin hak setiap kaum, dan juga agama. Ini sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia daripada Perkara 5 hingga Perkara 13.

4. Hujah yang menyatakan bahawa Malaysia wajar meratifikasi ICERD kerana negara-negara Islam Iain turut meratifikasikannya ,adalah tidak sesuai untuk diterima kerana sejarah, adat dan uruf setempat yang berbeza. Apatah lagi mereka yang meratifikasikannya tidak semestinya mematuhi segala perkara yang diperuntukkan di bawah konvensyen tersebut seperti Israel. Namun begitu, kami menghormati keputusan negara-negara Islam seperti Palestin dan Arab Saudi yang menandatangani konvensyen tersebut kerana mereka Iebih mengetahui konteks maslahah dan mafsadah di negara mereka.

5. Tanpa menafikan beberapa sudut kelemahan yang wajib diperbaiki dari semasa ke semasa, keharmonian kaum dan keamanan di Malaysia sejak tahun 1957 hingga ke hari ini berdasarkan prinsip Rukun Negara dapat dilihat dan dirasai semua pihak.

6. Kesyumulan Islam dalam rangka hubungan antarabangsa dapat dirangkumkan dalam 3 elemen penting;
(i) gencatan senjata
(ii) semangat solidariti
(iii) keharmonian antara kaum dan agama.

Antara buktinya adalah sebagaimana yang dirakamkan dalam Piagam Madinah Perkara 15: “Bahawa jaminan Allah itu adalah satu dan sama; ia melindungi nasib orang yang lemah dari perbuatan mereka; dan bahawa orang-orang Mukmin hendaklah salinh menjamin sesame sendiri terhadap (gangguan) orang Iain.”

7. Di sini jelas menunjukkan ketegasan yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW berkenaan orang Islam di Madinah perlu dihormati dan dibenteng dari digugat hak-hak mereka. Ini termasuklah orang-orang bukan Islam yang hidup dalam satu negara yang berdaulat.

8. Kami tegaskan sekali lagi bahawa ICERD tidak perlu dan tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia. Ini kerana sekalipun dikatakan ada kebaikannya, namun kemudaratannya dikhuatiri adalah Iebih besar. Ia seperti yang diambil daripada nas Ilahi secara iqtibas:
Maksudnya: “…tetapi dosa keduanya Iebih besar daripada manfaatnya.” Surah aI-Baqarah: 219

la jua bertepatan dengan kaedah fiqah:
Maksudnya: Mencegah kerosakan / keburukan Iebih utama daripada menarik kebaikan

9. Justeru, kami menyambut baik ketegasan pihak kerajaan Malaysia untuk tidak melakukan ratifikasi ICERD walaupun mendapat tekanan pelbagai pihak. Tanpa ratifikasi ICERD, Perlembagaan Malaysia sudah menjamin hak-hak setiap warganegara tanpa mengira agama dan bangsa.

Bukanlah kami bermaksud di sini bahawa Islam itu tidak komited terhadap segala bentuk pengesahan konvensyen antarabangsa terutamanya berkaitan HAM, namun dalam konteks Malaysia sebarang ratifikasi yang menyentuh isu bangsa dan agama sewajarnya memerlukan jawatankuasa yang inklusif pada peringkat pusat serta mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

DATO’ SERI DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Mufti Wilayah Persekutuan
24 November 2018
Sekian, terima kasih.

Saturday 24 November 2018

ANGGOTA SIMPANAN ATM TIDAK DIHARGAI

Dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terdiri dua komponen anggota iaitu anggota tetap dan anggota simpanan. Anggota tetap adalah merujuk kepada anggota yang bertugas mengikut terma kontrak perkhidmatan dalam tempoh masa yang ditetapkan yang mana ada dikelaskan Tempoh Tamat Perkhidmatan (TTP) yang perlu disempurnakan. Mereka menerima gaji tetap bulanan dan termasuk dalam senarai pejawat awam.

Manakala anggota simpanan yang juga dikenali anggota sukarela atau wataniah, adalah anggota yang berkhidmat separuh masa mengikut terma perkhidmatan dan boleh dikerah untuk berkhidmat seperti anggota tetap apabila keadaan memerlukan khidmat mereka. Mereka juga dikenali sebagai pasukan barisan kedua pertahanan negara. Khidmat mereka dibayar elaun mengikut jam ataupun harian.

Anggota simpanan melalui proses latihan ketenteraan sama seperti anggota tetap. Bezanya hanya dalam segi tempoh latihan. Masa latihan biasanya hanya pada cuti hujung minggu, kem tahunan dan latihan khusus. Jadi, dari segi keupayaan mereka setanding dengan anggota tetap. Mungkin yang kurang ialah dari segi pengalaman bertugas.

Komitmen anggota simpanan cukup kental. Mereka bersedia menjalani latihan lasak dan berat biarpun bukan untuk menjadi kerjaya. Mereka sebenarnya boleh memilih untuk hadir atau tidak setiap latihan yang ditetapkan. Namun, mereka memilih untuk hadir dan sedia melalui sesuatu yang lain daripada kebiasaan tugas atau kerjaya mereka.

Inilah yang dinamakan keikhlasan. Bukan imbuhan yang dikejar, tetapi kepuasan untuk menjadi benteng pertahanan kedua negara apabila khidmat mereka diperlukan.

Ketika anggota tetap terpaksa melakukan tugas kerana kontrak perkhidmatan dan sebagai kerjaya, anggota simpanan menjadikan penglibatan mereka dalam tentera sebagai kesediaan untuk mempertahankan negara bila-bila masa diperlukan.

Namun, anggota simpanan sering dipandang rendah. Mereka tidak mendapat penghormatan sewajarnya. Keadaan ini bukan sahaja diterima di kalangan anggota lain-lain pangkat, bahkan termasuk pegawai.

Sedangkan, keberadaan mereka dalam ATM diiktiraf sama sebagai anggota tetap. Pegawai Simpanan juga menerima watikah perlantikan daripada Yang Dipertuan Agong sebagai Pihak Berkuasa Tertinggi dalam ATM, sama seperti pegawai tetap. Watikah perlantikan mereka sama dengan pegawai tetap dengan dinyatakan kor mereka ditauliahkan ialah dalam Rejimen Askar Wataniah.

Akibat diskriminasi inilah ada anggota simpanan tidak mahu meneruskan perkhidmatan. Berasa diri dihina dan dipermainkan. Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di universiti tempatan yang menghasilkan ribuan pegawai simpanan boleh dianggap sebagai aktiviti kokurikulum. Pegawai simpanan tidak berminat untuk melapor diri bertugas di pasukan atau jikapun melapor sekadar hadir berberapa kali dan tidak menyambung perkhidmatan apabila tamat TTP.

Bukan sedikit jumlah kewangan dikeluarkan oleh ATM untuk melahirkan seorang pegawai simpanan sepanjang tiga tahun mereka menjalani latihan secara separuh masa ketika berada di universiti. Malang sekali, selepas ditauliahkan sebagai pegawai simpanan, mereka tidak meneruskan tugas.

Antara sebab perkara itu berlaku kerana mereka sedar tiada istimewa menjadi pegawai simpanan. Mereka dipandang rendah dan tiada pengiktirafan terhadap sumbangan mereka.

Tiadanya pengiktirafan terhadap anggota simpanan bukan sahaja berlaku sekarang, bahkan sejak dahulu lagi. Ini digambarkan melalui gelaran seperti 'askar biji getah', 'askar papan polywood', 'askar gabus' dan 'askar cari elaun'.

Maka, sebab itu ada catatan anggota simpanan yang disiarkan dalam media sosial. Ini antara contoh salah satu surat itu.

----------
   
Wahai masyarakat Malaysia, janganlah anda memandang rendah dengan Askar Wataniah kerana kami adalah barisan pertahanan kedua untuk pertahanan negara. Kebiasaan terdengar masyarakat berkata "oh wataniah je, ingatkan askar betul". Ingat, walaupun kami Wataniah, kami dilatih oleh jurulatih yang mantap dari ATM juga.

Untuk yang bergelar wataniah, jangan malu dan segan untuk mengaku anda adalah wataniah, dan apabila masyarakat bertanya, jawablah dengan yakin anda adalah wataniah@pasukan simpanan ATM.

Tidak sepatutnya anda menyorokkan atau berselindung identiti anda yang bergelar Wataniah atau Simpanan. Sepatutnya anda berbangga kerana anda boleh menyandang 2 tanggungjawab, kerja hakiki dan askar, bukan mudah ye.

Walaupun simpanan sekurang2 nya anda sudah bersiap siaga untuk menjadi barisan pertahanan negara, daripada yang hanya tahu bercakap umpama tin kosong, memperlekeh kekuatan Askar Wataniah.

PERINGATAN !
Tiada istilah "eh askar betul ke wataniah ?"
Hanya ada TETAP atau SIMPANAN sahaja.

----------

Diharap pihak tertinggi ATM, khususnya Asisten Panglima Bahagian Pasukan Simpanan agar mengambil perhatian terhadap perkara ini jika mahu pasukan simpanan mendapat tempat di hati masyarakat. 


HARGAI SETIAP DETIK KEHIDUPAN

Umur kita seumpama ais. Diguna atau tidak, akan tetap mencair. Begitu juga dengan umur kita, dimanafaatkan atau tidak, umur kita akan tetap berkurangan. Kesihatan kita menjadi semakin tidak elok. Kekuatan semakin menurun.   

Apa yang harus selalu dilakukan adalah tersenyum dan berfikir positif. Terimalah fitrah yang telah ditetapkan dalam aturan alam ditetapkan oleh Allah. Air yang mengalir tidak dapat menentang arah, itulah hidup kita. Air hujan tidak pernah naik ke langit. Jatuhnya tetap ke bumi.

Kita tidak mungkin dapat berbalik menjadi muda lagi, kita akan menjadi tua sakit dan mati. Namun, perlu disedari, kematian tidak mengenal usia. Ketika masih segar dan cantik, ramai yang mati tanpa diduga. Malah, ada orang mati ketika menikmati makanan.

Tidak perlu bimbing untuk menghadapi aturan ini. Hanya perlu difikirkan adalah amal untuk dibawa sebagai bekal kehidupan di akhirat. Jalanilah hidup ini dengan sabar dan santai. Penuhi dan ikuti hukum alam. Bersedia atau tidak, itulah yang dilalui setiap orang bernama manusia.

Hiduplah dengan ceria. Lakukan apa yang diingini selagi perkara itu tidak bercanggah dengan hukum agama. Jika perlu melakukan sesuatu, buatlah dengan penuh rasa tanggungjawab.

Jangan suka suka menyakiti sesama kita. Jangan suka mengeluh. Jauhkan sikap suka mencela. Jangan suka berdusta dan khianati orang lain. Kalau perlukan sesuatu, berusahalah mendapatkan secara yang hak. Jangan sekali mengambil secara mencuri atau menipu.

Dosa membuat fitnah amat besar. Jadi jangan jadikan fitnah sebagai amalan. Jika selalu memfitnah orang lain, akan ada ketikanya kita difitnah pula.

Hiduplah dengan ceria. Buang jauh jauh sifat ego. Berkawan dan berhubung dengan ramai orang. Nikmati semua gurau tawa dengan berpada-pada. Hargai semua perbezaan dengan nilai positif.

Mempercayai kualiti sahabat sahabat kita. Jaga perasaan masing masing, tutupi aib mereka dan jangan sekali kali berburuk sangka dalam fikiran kita terhadap mereka. Bantu mereka kita memerlukan. Bersahabatlah dengan hati yang baik dan tulus.

Ketika hati kita baik dan tulus, percayalah. Allah juga akan selalu bersama kita. AMIN.

KAUM CINA BOLEH DITARIK KEWARGANEGARAAN?


Malaysia negara berbilang kaum dan agama. Polimik isu berkaitan kaum dan agama menjadi api dalam sekam, biarpun nampak tiada apa-apa, tetapi marak apinya sentiasa ada membakar perlahan-lahan. Ia menjadi menyala apabila ada pihak cuba mempermainkan isu berkenaan.

Keberadaan kaum lain di Malaysia, khususnya Cina dan India dibawa oleh penjajah Inggeris sebagai buruh kasar. Cina memberi tumpuan di lombong bijih timah, manakala India pula menjadi buruh di ladang getah. Selain itu, kedua-dua kaum itu juga menceburi bidang pekerjaan lain yang tidak diminati untuk dilakukan oleh kaum Melayu seperti penarik lancar, buruh binaan dan pembersih sisa bandaran.

Mereka diterima menjadi warganegara Tanah Melayu apabila negara mencapai kemerdekaan melalui apa yang dinamakan kontrak sosial. Ikuti tulisan oleh Mohd Khairul Azam Bin Abdul Aziz bertarikh 20 November 2018. Beliau juga lebih dikenali sebagai Buzze Azam, seorang peguam di Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co

Menurutnya:
Proses Malaya menuntut kemerdekaan daripada British dipermudahkan dengan dasar British Decolonisation Programme (BDP) selepas tahun 1945.

BDP adalah dasar Kerajaan Britain untuk meninggalkan negara yang telah dijajah akibat kos pengurusan negara yang meningkat tinggi akibat perang dunia dan hasil bumi yang dirompak dari negara-negara yang dijajah tidak lagi menguntungkan British.

Ketika ingin melepaskan Malaya, terdapat lebih 2 juta buruh paksa dari negara China dan India yang telah dibawa masuk oleh British ke Malaya untuk industri bijih timah dan getah British.

Tunku Abdul Rahman mahu Malaya Merdeka dan pendatang semua dihantar balik ke NEGARA ASAL.

Namun British enggan menanggung kos penghantaran balik pendatang dan Tunku dipaksa untuk menerima mereka semua sebagai warganegara.

Tunku tiada pilihan melainkan menawarkan skim kontrak sosial kepada kaum pendatang.

Sebagai balasan kepada kemurahan hati orang Melayu memberikan taraf warganegara kepada kaum-kaum pendatang, kaum pendatang telah bersetuju untuk mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Negara, hak istimewa MELAYU dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Mengikut undang-undang kontrak, apabila mana-mana pihak memungkiri sesuatu kontrak maka pihak-pihak boleh dikembalikan kepada status quo asal masing-masing.

Bermaksud jika satu pihak telah mula tidak menerima kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu, hak istimewa MELAYU dan Bahasa Melayu, maka pihak yang satu lagi juga berhak menarik balik pemberian kewarganegaraan kepada kaum pendatang.

Jadi berhati-hatilah dalam mengurus keturunan kamu. Jangan biar mereka buta sejarah.

Friday 23 November 2018

KELEBIHAN SELAWAT KEPADA NABI MUHAMMAD

Ulama menjelaskan bahawa banyak kelebihan dan keutamaan berselawatan ke atas Junjungan Baginda Nabi Muhammad SAW. Apa yang dijelaskan itu adalah berdasarkan kepada ayat al-Quran dan hadis.

Antara kebaikan itu adalah:

- Melaksanakan perintah Allah.
- Bersamaan dengan selawat Allah kepada Rasulullah SAW.
- Bersamaan dengan selawat para malaikat.
- Mendapat ganjaran sepuluh kali selawat daripada Allah atas setiap kali selawat yang diucapkan (selawat daripada Allah bererti rahmat).
- Dikurniakan oleh Allah sepuluh darjat atas tiap-tiap satu selawat.
- Dituliskan oleh malaikat sepuluh kebaikan atas setiap selawat.
- Dihapuskan oleh Allah sepuluh kejahatan atas setiap selawat.
- Segala doa akan diperkenankan oleh Allah.
- Mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW.
- Mendapat keampunan Allah serta akan ditutup segala keaiban.
- Allah akan menutupi segala dukacita.
- Dikurniakan maqam hampir kepada Rasulullah s.a.w.
- Mendapat darjat al-Sidq.
- Ditunaikan segala hajat.
- Salam sejahtera pada hari kiamat.
- Allah dan para malaikat akan berselawat ke atas individu yang berselawat.
- Mendapat khabar gembira daripada Allah dengan balasan syurga.
- Salam sejahtera pada huru-hara hari kiamat.
- Rasulullah SAW akan menjawab secara langsung ke atas setiap selawat yang dibacakan.
- Mudah mengingat semula perkara-perkara yang lupa.
- Mendapat kedudukan yang baik pada hari kiamat serta tidak akan kecewa pada hari itu.
- Tidak akan merasai fakir.
- Terpelihara daripada dihinggapi sifat bakhil.
- Mendapat kesejahteraan daripada doa Rasulullah SAW. kepada yang berselawat.
- Selawat akan menjemput setiap pengucapanya ke jalan syurga.
- Menjauhkan seseorang itu daripada terlibat dalam majlis-majlis yang tidak disebut padanya nama Allah dan Rasul-Nya atau daripada majlis-majlis lagha.
- Berselawat menyempurnakan kalam pujian Allah apabila disebut (di dalam doa), maka akan disambut selepas itu dengan kalimah selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
- Selamat melintasi titian Sirat al-Mustaqim pada hari kiamat.
- Disambut oleh Allah pada hari kiamat dengan kata-kata pujian yang lunak.
- Mendapat balasan rahmat yang luas daripada Allah.
- Mendapat keberkatan daripada Allah.
- Mendapat kesempurnaan iman.
- Kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW.
- Mendapat hidayah Allah dan dikurniakan hati yang sentiasa hidup mengingati Allah.
- Setiap selawat yang dibaca akan dibentangkan di hadapan Rasulullah SAW secara langsung.
- Teguh pendirian dengan kebenaran.
- Berselawat bererti kita menggunakan sebahagian hak-hak Rasulullah SAW ke atas diri kita. Di samping itu ianya dianggap sebagai mensyukuri nikmat Allah yang mengurniakan dan mengutuskan Rasulullah SAW kepada kita.
- Berselawat juga bererti zikrullah, bersyukur serta mengikut segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah.
- Berselawat bererti melengkapkan pengertian berdoa dan memohon kepada Allah, ke atas Rasulullah SAW dan kepada diri sendiri.
- Antara kelebihan yang paling hebat kepada setiap individu ialah akan terjelma gambaran Rasulullah SAW di dalam jiwanya.
- Dikurniakan oleh Allah maqam seorang Syeikh dan Murabbi.
- Mendapat kebahagiaan, ketenangan hidup didunia dan akhirat.

WASPADA ELAK MENJADI MANGSA PENIPUAN


Bohong atau al-kazib ialah menyatakan tidak benar atau dusta mengenai sesuatu. Bohong juga berkaitan dusta, tipu muslihat dan penyelewengan. 

Kes penipuan banyak berlaku. Orang kena tipu dipanggil mangsa penipuan. Maksudnya orang yang dianiayai dan mendapat nasib malang. Penipu pula dipanggil pemangsa atau orang mendapat keuntungan hasil perbuatan itu.

Penipuan berlaku banyak sebab dan dalam banyak keadaan. Jadi, tidak boleh kita terus menyalahkan mana-mana pihak yang kena tipu. Di pihak penipu memanglah bersalah.

Puncanya kerana orang ditipu mungkin terlalu mempercayai atau yakin dengan kejujuran seseorang. Banyak perkara diambil mudah sehingga mudah menjadi mangsa penipuan. Mangsa mempercayai penipu kerana mungkin diperkenalkan oleh orang yang telah dipercayai mangsa.

Semua orang terdedah menjadi mangsa penipuan. Rasulullah SAW juga pernah ditipu oleh kaum Yahudi yang ingkar tidak mematuhi perjanjian. Ada juga orang berpura-pura memeluk Islam, tetapi dengan niat jahat. Mereka ini dipanggil munafik.

Masa sekarang, penipuan berlaku dalam segenap aspek. Dalam politik, penipuan paling besar tentulah berkaitan manifesto. Banyak manifesto tidak ditunaikan. Itu adalah penipuan. Mereka membuat manifesto atau berjanji sekadar ingin mendapat undi.

Dalam perniagaan juga banyak penipuan. Malah ada pepatah, kalau berniaga tanpa menipu, mana dapat untung. Pepatah itu, memang tidak boleh dipakai. Namun itulah banyak dilakukan oleh mereka yang tamak. Dalam Islam, kejujuran amat penting untuk mendapat keberkatan dan keuntungan.

Apapun punca penipuan, orang yang kena tipu atau menjadi mangsa penipuan tentu sekali tidak mahu perkara itu berlaku. Maka, tidak patut jika mangsa penipuan yang dipersalahkan. Yang boleh kita sebut ialah pengalaman itu perlu dijadikan pengajaran oleh individu berkenaan dan juga orang lain.

Kata bijak pandai, orang Islam tidak akan dipagut dua kali oleh ular dari lubang yang sama. Berhati-hati dari menjadi mangsa penipuan.

Thursday 22 November 2018

CARA UJIAN MUDAH TAHU KADAR STRES

Setiap orang tidak terkecuali mengalami tekanan perasaan atau stres. Bezanya kadar stres itu berbeza-beza pada setiap orang atau pada masa yang berbeza.

Terdapat cara mudah untuk mengukur kadar stres yang dialami pada satu-satu ketika. Cuba perhatikan gambar di atas:

- Jika gambar diam atau tidak bergerak, bererti keadaan diri berada dalam keadaan tenang dan stabil.  
- Jika gambar kelihatan bergerak perlahan, bermakna keadaan anda sudah berada pada tahap tekanan perasaan yang ringan atau masih stabil.
- Jika gambar berputar cepat tandanya anda sedang berada dalam keadaan stress berat. Bersegeralah beristirahat atau tinggal seketika pekerjaan atau keadaan yang menyebabkan tekanan perasaan itu.

Jangan pandang mudah soal tekanan perasaan. Jika tidak dikawal, ia boleh membawa kepada masalah jiwa dan mengganggu kesihatan. Jadi, lakukan sesuatu yang boleh mengawal stres itu.