Wednesday 25 December 2019

TOLERANSI SUBURKAN SIFAT PEMAAF

Hidup bertoleransi dan saling menghormati menjadi agenda penting masyarakat bertamadun. Tidak ada perkara menakutkan dalam menjalin hubunan sesama manusia. Hakikatnya tidak ada individu yang kebal bebas melakukan apa saja diingini, kerana kita dibatasi undang-undang dan hukum agama.

Sikap ego dan mementingkan diri bukan mendatangkan kebaikan kepada pelakunya, sebaliknya menimbulkan kesan emosi yang tidak stabil dalam diri. Sebab itu, satu amalan terbaik ialah sentiasa merendahkan diri dan bersedia untuk memaafkan orang lain.

Setiap hari kita sentiasa berdepan dengan situasi menimbulkan perasaan marah.  Kejadian itu berlaku di rumah, jalan raya, dalam kenderaan awam, pejabat, kedai dan di mana saja, disebabkan oleh orang yang kita kenal dan tidak kenal.

Keadaan itu hanya dapat diredakan jika adanya sifat pemaaf di dalam diri yang bertindak seperti air mematikan api. Sifat pemaaf menjadi benteng yang menghalang daripada timbulnya sifat pemarah.     

Justeru, pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Sifat itu mempunyai kesan amat besar dalam kehidupan kerana ia dapat menyelamatkan seseorang daripada terjebak dalam tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan. 

Allah berfirman bermaksud: "Dan orang yang menahan amarahnya dan memanafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan." (Surah Ali Imran, ayat 132)

Orang yang bersifat pemaaf adalah insan yang tidak berdendam dan buruk sangka terhadap orang lain. Biarpun pernah diperlakukan dengan sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, dia memaafkan perbuatan itu dan menerimanya dengan fikiran positif. 

Sifat itu memberi keyakinan diri bahawa yang berhak menghukum hanyalah Allah. Biarlah Allah yang menentukan balasan terhadap apa yang dilakukan oleh orang lain terhadap kita. Individu pemaaf dan sabar sentiasa tenang dan sentiasa muhasabah diri apa yang berlaku.    

Memang orang dizalimi berhak membalas balik perbuatan itu, namun lebih baik jika  memberi kemaafkan. Tindakan tidak membalas balik akan mengelak diri daripada melakukan kezaliman jika membalas balik itu melebihi apa yang sepatutnya.   

Firman Allah yang bermaksud: "Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang sama.  Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim." (Surah asy-Syura, ayat 39-40)     

Gambar hiasan - Masjid Sultan Mansor, Kampung Sireh, Kota Bharu Kelantan.

Sunday 1 December 2019

KHASIAT ALOE VERA LIDAH BUAYA

Aloe vera atau lebih dikenali sebagai pokok lidah buaya adalah antara tumbuhan semula jadi yang paling banyak khasiat kepada manusia sama ada untuk kegunaan luaran mahupun dalaman.

Jika dilihat pada struktur tumbuhan aloe vera itu sendiri, bahagian luar daunnya yang keras dan tebal secara semula jadi memerangkap dan menyimpan air yang kemudiannya berubah kepada bentuk jeli.

Jeli pada bahagian berkenaan mempunyai pelbagai khasiat untuk manusia yang mana kebaikannya terutama pada kulit. Keadaan itu dapat dilihat pada sifat semula jadi jeli yang bertindak membaluti dan melindungi bahagian daun yang terdedah selepas beberapa jam dikerat.

Bahagian dalam jeli yang terdedah itu akan terlindung daripada serangan bakteria. Sifat perlindungan semula jadi itu akan terhasil apabila jeli itu digunakan untuk memelihara kulit manusia.

Berdasarkan beberapa kajian, aloe vera adalah tumbuhan paling banyak khasiat yang digunakan untuk kesihatan dalaman dan luaran sejak lebih 5,000 tahun dahulu.

Antara komponen aktif yang terkandung dalam tumbuhan ini adalah air, pelbagai vitamin (A, C, E, B1, B2, B3, B6 dan B12) dan mineral (kalsium, magnesium, zink, kromium, selenium, sodium dan zat besi), enzim serta asid amino.

Komponen terbaik aloe vera ialah mempunyai sifat membersih dan anti-septik, bertindak dengan kuat terhadap bakteria, virus dan kulat.

Tumbuhan ini juga berupaya menghalang jangkitan kerana bersifat anti bakteria. Berfungsi memelihara kulit dan membaiki sel yang rosak dan penghasilan kolagen dan protein yang mengawal proses penuaan kulit dan kedutan.

Pengambilan aloe vera membantu tubuh dengan membuang apa yang tidak baik dan meningkatkan kualiti dalaman tubuh.

Kenapa perlu minum aloe vera?
- Jika anda sihat, minuman aloe vera akan meningkatkan kesihatan organ dalaman anda dan menjadikan anda lebih cergas, bertenaga dan sihat.
- Jika anda kurang sihat, ianya akan membantu perawatan organ dalaman tubuh anda

Aloe Vera bukanlah sejenis "overnight cure" yang akan melakukan segala-galanya dalam tempoh yang singkat. Pun begitu setiap orang mempunyai tempoh masa yang berbeza untuk melihat kesannya.

Apa yang penting, segala amalan yang tidak sihat seperti merokok, makan makanan yang tinggi kolesterol dan seumpamanya haruslah dihentikan. Berikan ruang untuk tubuh anda mengalami pembaikan atau istilahnya adjustment.

Bolehkah pesakit kencing manis mengambil Aloe Vera Gel?
Dalam sesetengah pesakit kencing manis, didapati Aloe Vera meningkatkan jumlah insulin yang dihasilkan oleh badan.

Sesiapa yang mempunyai diabetes yang ingin mengambil aloe vera harus sedar tentang perkara ini dan harus berunding dengan doktor mereka untuk memastikan bahawa tahap insulin mereka adalah betul dan dipantau dengan teliti.

Terdapat ramai pesakit kencing manis kini minum gel atau jus aloe vera dan mendapati bahawa diabetes mereka "under control" di mana berat badan mereka adalah lebih stabil dan mereka lebih bertenaga.

Tempoh keberkesanan penggunaan aloe vera bergantung kepada penerimaan badan individu. Sebagai bahan semulajadi, ianya mengambil masa untuk perawatan tubuh dan bergantung kepada individu itu sendiri kerana tahap tindakbalas badan manusia adalah saling berbeza.

Tuesday 22 October 2019

FATIMAH IBU 16 ANAK

Saya ada 16 adik beradik seibu sebapa.
1 hingga 11 semua lelaki.
12 hingga 16 semua perempuan.

Ada orang rasa stress dan sedih bila beranak 5 orang sederet lelaki. Mak saya rilek je dapat 11 anak semua lelaki.

Alhamdulillah walaupun hidup sangat susah, kesemua 16 beradik berjaya sambung pelajaran ke universiti.

Pada tahun 1991, masa mak mengandung anak ke-16 ayah diserang stroke dan lumpuh. Hilang sumber pendapatan. Tiada simpanan sebab hidup cukup-cukup makan je. Pihak masjid bagi wang ehsan setiap bulan hanya rm150.

Mak besarkan kami 16 beradik dan dalam masa yg sama uruskan ayah yg lumpuh dengan hanya 150 ringgit sebulan. Macam mana boleh survive? Ni semua urusan Allah..semua rezeki dari Allah.

Allah bagi "rezeki" kepada anak-anak dalam bentuk kesedaran untuk berdikari. Walaupun masih sekolah rendah kami dah mula cari duit sendiri. Jadi buruh sementara, kutip botol dan tin aluminium untuk dijual, bercucuk tanam dan lain-lain.

Pada tahun 2001, ketika tingkatan 4, saya masih kutip kayu api untuk masak. Ada berlaku kecederaan ketika sedang memotong kayu, parang terkena kat tangan. Ada kesan parut di tangan kiri.

Makanan kami juga tidak semewah orang lain. Makan nasi tanpa lauk sudah jadi kebiasaan. Sekadar nasi campur air, garam dan sedikit gula sudah memadai. Mujur di sekolah ada Rancangan Makanan Tambahan RMT, dapatlah kami rasa makan yang sedap secara berterusan.

Walau keadaan hidup begitu susah, tidak pernah sekalipun mak berhenti berjuang mahupun mengaku kalah dalam membesarkan anak-anaknya.

Mak juga tidak berkeluh-kesah di hadapan anak-anak, biarpun beberapa kali saya melihat mak menangis mungkin kerana terlalu berat menanggung keperitan hidup.Kami anak-anak yang masih kecil ketika itu hanya boleh menahan sedih melihat keadaan emak.

Ketika itu memang tidak banyak yang boleh kami bantu, malah untuk angkat ayah yang lumpuh untuk dimandikan pun susah. Saya banyak kali menangis sebab melihat ayah yang makin lemah dan kudis di badannya makin besar disebabkan terlalu lama baring..sangat meruntun jiwa.

Nasib baik abang-abang di sekolah menengah banyak tolong dengan penuh kesabaran tetapi apabila mereka masuk universiti, tinggal kami yang kecil-kecil sahaja di rumah.

Sehingga tahun 2001, kami masih memasak menggunakan dapur kayu api. Bukan tidak ada dapur gas tetapi mahu menjimatkan wang daripada membeli gas. Kalau bekalan kayu api berkurang, kami adik beradik akan masuk hutan mencari kayu api.

Ketika itu tiada lagi orang kampung yang mengutip kayu api, hanya keluarga kami sahaja.

Mak pula pegang prinsip tidak akan hutang duit orang. Hidup dengan sekadar apa yang ada.

Alhamdulillah, beban emak sedikit ringan apabila abang-abang di universiti mengirim duit biasiswa masing-masing untuk adik-adik di kampung. Pernah abang saya cerita, dia sanggup ikat perut semata-mata untuk hantar duit ke kampung.

Sepanjang ingatan saya, semasa ayah masih hidup dan sihat, dia tidak pernah bertanya tentang pencapaian pelajaran anak-anak, tapi ayah selalu tanya tentang solat di masjid atau tak.

Arwah ayah selalu pesan, "tidak guna belajar tinggi dan pangkat tinggi tapi solat jemaah tidak dijaga". Arwah ayah memang sangat menekankan amalan agama.

Walaupun kami masa masih bersekolah dan sangat sibuk dengan mencari duit tapi kami tetap ke masjid solat jemaah. Kami cuma dapat belajar ketika di sekolah sahaja kerana di rumah kami sibuk dengan kerja dan mengasuh adik-adik yang masih bayi. Namun, syukur semuanya kini cemerlang dalam pelajaran. Alhamdulillah 1 hingga 16 berjaya semua masuk universiti.

Pesanan untuk ibubapa, bagi mendapat keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat berilah penekanan pada pendidikan agama terutamanya solat. Anak-anak lelaki mesti dibiasakan dengan solat jemaah.

Sekarang bila tengok orang yg kutip tin dan botol di tepi jalan saya teringat keadaan saya dulu-dulu. Walaupun saya dah hidup senang dan alhamdulillah bisnes saya maju tapi saya tak lupa asal usul saya.

- Ditulis oleh anak ke-11, Mohd Yazid Ismail.


KEJAYAAN 16 ANAK FATIMAH MASUK UNIVERSITI

Boleh dikatakan semua orang menyimpan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Begitu juga dengan kisah 16 beradik di Kampung Padang Bongor, Kota Bharu, Kelantan.

Dan cita-cita itu tercapai apabila kesemua mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, dan faktor utamanya ialah berkat pengorbanan ibu mereka, Fatimah Jusoh, 69 tahun.

“Sangat terharu apabila ibu saya dapat melihat semua anak dia masuk universiti.

“Dalam 16 orang adik-beradik saya, 11 orang belajar di universiti tempatan, manakala lima lagi di universiti luar negara," kata Mohd Yazid Ismail ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia merupakan anak kesebelas dalam keluarga besar itu. Kesemua anak yang lebih tua ialah lelaki, manakala empat adiknya perempuan.

Yazid, kini 35 tahun, menceritakan jalan yang perlu ditempuhi mereka sekeluarga yang bukanlah mudah. Pelbagai cabaran perlu didepani terutama setelah ayah mereka jatuh sakit pada 1991.

“Ayah diserang strok dan lumpuh selama 9 tahun. Ketika itu ibu mengandung adik bongsu. Ayah terpaksa berhenti kerja, dan ibulah yang mengambil tugasnya mencari rezeki untuk menyara kami yang masih kecil.

“Ibu terpaksa mengambil alih tugas ayah menyara kami adik-beradik yang masih kecil, pada masa sama menjaga ayah yang lumpuh," katanya penuh emosi.

Mengimbas kembali kepayahan yang dihadapi keluarganya, dia berkata mereka turut dibantu RM150 sebulan daripada masjid.

"Kami terima wang ehsan setiap bulan. Kami juga terima bantuan pihak lain, tetapi biasanya setahun sekali sahaja seperti bantuan barang persekolahan," katanya.

Menurut Yazid, mereka adik-beradik sentiasa menjaga tingkah laku kerana tidak ingin menambah beban ibu yang sudah cukup berat mencari nafkah untuk keluarga.

Abang sulungnya yang sudah bekerja pada masa itu sedikit sebanyak meringankan beban ibu mereka, katanya lagi.

Antara perkara yang sukar dilupakan Yazid adalah bagaimana keluarganya sering kekurangan makanan dan terpaksa mengisi perut dengan nasi dan air garam.

"Pada 2002, keluarga kami masih masak nasi guna dapur kayu api. Jika kayu habis, saya dan beberapa adik yang lain akan ke hutan dekat rumah untuk mencari kayu." katanya lagi.

Dengan jerih payah yang dilalui tahun demi tahun, kini kesemuanya boleh dikira berjaya.

Anak-anak Fatimah kini ada yang menjadi pensyarah, hakim dan penceramah motivasi. Yazid sendiri membina kerjaya sebagai perunding kewangan.

“Abang sulung saya berumur 51 tahun dan yang paling bongsu umur dia 27 tahun. Semua adik-beradik saya sudah berkahwin dan kini ibu saya mempunyai 63 orang cucu," katanya.

Yazid berkahwin pada 2007 dan dikurniakan lima anak - tiga lelaki dan dua perempuan.

Dia tidak lokek untuk berkongsi nasihat kepada keluarga yang kini berdepan jalan hidup yang sama.

“Nasihat saya untuk orang yang mengalami kemiskinan, kena ingat bahawa hanya dengan melalui pendidikan sahaja kita boleh meningkatkan taraf hidup.

“Memang kena ada ilmu sama ada melalui universiti ataupun ilmu kemahiran dalam kehidupan seharian, selain kena pandai cara untuk kembangkan ilmu kita," katanya lagi.


Friday 18 October 2019

PUNCA PERBUATAN MENGHINA

Perbuatan menghina dilakukan oleh mereka yang berasa megah, kuat, kaya dan seumpamanya melambangkan dia 'lebih' berbanding orang dihina. Namun, mereka lupa perbuatan itu bakal menerima pembalasan di akhirat. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa (menghiraukan kebenaran). Mereka itu mendapat seksaan yang pedih.” (Surah asy-Syura, ayat 42)

Iyad bin Himar berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Allah yang Maha Tinggi memberi wahyu kepada saya, menyuruh saudara sekalian merendahkan diri antara satu sama lain, sehingga tidak ada orang yang berasa dirinya lebih hebat daripada orang lain dan tidak ada orang bersikap angkuh terhadap orang lain.” (Riwayat Muslim)

Ada kala tanpa kita sedar perkataan yang keluar menyebabkan orang lain berasa diri seakan dihina disebabkan kelebihan kita miliki serta kekurangan ada pada mereka. Keadaan ini boleh menyebabkan timbul rasa iri hati.

Sebagai hamba beriman, setiap nikmat dikurniakan Allah SWT sepatutnya disyukuri bukan dijadikan sebab untuk bermegah-megah hingga menyebabkan timbul rasa riak dalam diri. Manusia semua sama di sisi Allah SWT dan yang membezakan adalah tahap ketakwaan mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu menganggap dirimu suci. Dia mengetahui berkenaan orang yang bertakwa.” (Surah an-Najm, ayat 32)

Sebaiknya, kita sentiasa merendahkan diri dan menanamkan dalam jiwa bahawa setiap insan itu sama kerana yang hebat hanya Allah SWT, kita semua hanya meminjam kehebatan itu yang mana akhirnya nanti kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap perbuatan dilakukan.

Kehidupan hari ini memperlihatkan ramai yang bertarung untuk membina kehidupan baik untuk diri serta keluarga masing-masing. Mereka berlumba-lumba untuk meningkatkan taraf ekonomi supaya dapat menjalani kehidupan selesa.

Sebenarnya, banyak perkara dalam kehidupan berkait antara satu sama lain dan kesudahannya adalah demi menjaga kemaslahatan manusia. Hubungan baik sesama manusia menghasilkan hidup yang harmoni sebaliknya prasangka hanya menjurus kepada permusuhan.

Oleh itu, dalam setiap tindakan dibuat, kesan baik dan buruknya perlu difikirkan. Jadilah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan jika itu juga tidak mampu dilakukan, pastikan diri tidak menjadi masalah kepada orang lain.

Wednesday 16 October 2019

CARA KEKAL BERAT BADAN SIHAT


Mengekal berat badan yang sihat amat penting. Terdapat panduan atau petua untuk kekal sihat. Panduan itu adalah:

• Amalkan pemakanan sihat
Pilihan terbaik ialah masakan rumah yang disediakan menggunakan bahan segar dan kurang diproses. Jika anda makan di luar, pilihlah makanan yang dikukus, reneh, panggang atau tumis. Kurangkan makanan bergoreng dan bufet bagi mencegah berlebihan makan!

• Kurangkan pengambilan gula
Hadkan pengambilan makanan dan minuman manis. Gula ialah bahan ‘kalori kosong’ tanpa nilai nutrien.

• Jadi lebih aktif secara fizikal
Luangkan sekurang-kurangnya sejam aktiviti fizikal setiap hari, contohnya jalan pantas, joging, berlari, berbasikal atau sebarang senaman ringan. Lakukan senaman/sukan lebih berat yang meningkatkan pernafasan dan degupan jantung anda sekurang-kurangnya sekali seminggu. Mulakan secara perlahan-lahan jika tahap kecergasan anda rendah, kemudian tingkatkan aktiviti secara beransuran.

• Mulakan tradisi/budaya keluarga ‘baharu’
Ini amat mempengaruhi kanak-kanak apabila mereka dewasa. Jika keluarga anda sentiasa makan di restoran makanan segera, anak-anak akan anggap ini perkara ‘normal’.

Mulakan gaya hidup sihat dari awal dengan menyediakan hidangan di rumah sekerap mungkin.
Tabiat lain untuk dipupuk sejak kecil termasuklah mendapatkan tidur yang cukup setiap hari dan menguruskan tahap tekanan.

Terdapat juga kajian baharu yang mencadangkan kemungkinan memanipulasi komposisi mikrobiota usus sebagai kaedah baharu untuk ‘merawat’ obesiti.

Mikrobiota usus ialah mikroorganisma dalam usus yang dikaitkan dengan cara badan kita menghadam dan menyerap nutrien daripada makanan.

Bukti saintifik berkenaan cara probiotik membantu mengurangkan lemak/berat badan dan meningkatkan berat badan adalah memberangsangkan.

Secara umumnya, probiotik ialah bakteria baik yang memberikan kita faedah kesihatan yang membantu menambah baik sistem penghadaman dan penyerapan nutrien kita.

Oleh itu, termasuk makanan kaya dengan bakteria baik dalam diet anda, contohnya makanan ditapai (seperti kimchi, sauerkraut, tempe, dsb.) atau minuman susu berkultur yang mengandungi kultur hidup seperti Lactobacillus acidophilus dan Lactobacillus paracasei.

Pengurangan berat badan secara beransuran lebih elok bagi mengurangkan risiko masalah kesihatan yang tidak diingini. Jangan terlalu menumpukan untuk menghilangkan jumlah berat yang khusus setiap minggu/bulan, tetapi tetapkanlah sasaran lebih realistik, contohnya 5-10% pengurangan daripada berat badan sekarang dalam masa enam bulan.

Terdapat juga alat yang boleh digunakan untuk membantu anda kekal fokus. Pedometer membantu mengira jumlah langkah anda dalam sehari dan ada aplikasi peranti yang boleh membantu anda mengawasi pengambilan kalori, aktiviti fizikal serta pengurangan berat badan.

Yang paling penting, jangan terlalu hampa jika anda tidak memperoleh apa yang anda harapkan. Ingat, ‘senjata’ paling signifikan dalam perjuangan anda ialah komitmen untuk memperoleh berat badan sihat, dan konsisten dalam mengamalkan gaya hidup sihat.

PUNCA MENGALAMI LEBIH BERAT BADAN

Siri laporan dari Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia melaporkan prevalen bagi berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat.

Laporan pada tahun 2015 melaporkan masalah tersebut telah mencapai tahap tinggi, dengan 1 dalam setiap 3 orang mengalami berat badan berlebihan, dan 1 dalam setiap 6 orang mengalami obesiti.

Berlebihan berat badan atau obesiti berlaku akibat pengumpulan lemak berlebihan dalam badan. Biasanya ini merujuk kepada berat badan lebih tinggi daripada normal mengikut ketinggian.

Anda boleh semak jika anda mengalami masalah berat badan dengan menggunakan indeks jisim tubuh (IJT, atau Body Mass Index, BMI), yang dikira menggunakan formula BMI = berat (kg) / tinggi x tinggi (meter).

Angka BMI ‘normal’ adalah antara 18.5 dan 24.9. Angka BMI yang tinggi biasanya menunjukkan pengumpulan lemak berlebihan yang membawa kepada berlebihan berat badan atau obesiti.

BMI antara 25.0-29.9 menunjukkan berlebihan berat badan dan nilai lebih daripada 30 adalah obesiti.

Tabiat pemakanan dan gaya hidup sedentari adalah penyebab utama bagi kenaikan berat badan tidak sihat, lalu menyebabkan berlebihan berat badan dan obesiti.

Satu konsep penting untuk diketahui adalah keseimbangan tenaga. Ia bermaksud tenaga yang diperolehi daripada makanan dan minimum yang diambil tidak harus melebihi jumlah tenaga yang badan anda gunakan menerusi aktiviti fizikal.

Jika pengambilan kalori anda biasanya tinggi tetapi anda kurang menggunakan tenaga tersebut, lebihan tenaga akan disimpan sebagai lemak. Manakala pengambilan tenaga yang lebih rendah berbanding penggunaan tenaga akan menyebabkan penurunan berat badan, kerana badan akan ‘membakar lemak’ demi mencapai defisit ini.

Makanan dan minuman tertentu mempunyai kalori tinggi (tinggi tenaga) tetapi kurang nutrien penting. Ini termasuklah makanan tinggi lemak seperti makanan bergoreng, hidangan yang mengandungi santan, tinggi karbohidrat, dan banyak gula seperti kek, kuih-muih, minuman dimaniskan dengan gula dan teh susu bubble. Makanan dan minuman ini boleh diambil secara sederhana, tetapi bukan selalu.

CARA MEMBAKAR BUAH BERANGAN

Buah berangan merupakan sejenis buah dari pokok berangan. Di Malaysia memang ada ada tumbuh pokok berangan sebagai tumbuhan liar atau tidak ditanam secara khusus.

Buah berangan yang dijual di negara kita kebanyakannya berasal dari negara China.

Buah Berangan boleh dikupas dan ia boleh terus dimakan mentah tetapi ia boleh menjadi seperti pedar (pedas-tajam) terutamanya jika pedicel tidak diasingkan.

Terdapat beberapa cara untuk memasak isi buah berangan. Satu cara yang biasa dilakukan ialah menggoreng atau membakar berangan di dalam bekas atau kuali yang ada pasir tanpa dikupas kulitnya. Tujuan dicampurkan pasir ialah untuk ia masak sekata dan kulitnya tidak terlalu hitam.

Namun dengan adanya peralatan moden, kerja membakar berangan juga menjadi mudah. Antaranya dengan mengguankan pemanas ketuhar (oven) pada suhu sekitar 200 Celcius. Kemudian diletakkan buah berangan pada dulang pembakar selama 10-15 minit atau sehingga kulitnya terbuka sedikit dan isinya mudah ditekan dengan mata pisau.

Cara lain ialah menggunakan gelombang mikro (microwave). Buah berangan diletakkan di dalam loyang untuk melindungi plate gelombang mikro. Masak pada kapasiti 850 watt / tinggi /100% selama 2-3 minit.

Satu lagi cara untuk memasak buah berangan ialah dengan kaedah merebus. Buah berangan direbus dalam air menididih sekitar 10 hingga 15 minit atau sehingga isinya lembut. Keluarkan buah berangan dan toskan dan boleh dimakan dengan membuang kulitnya.

Buah berangan telah masak, teksturnya sama seperti kentang bakar di mana ia lembut, manis dan berperisa kacang dan lemak.

Buah berangan juga boleh dikeringkan dan diuli ke dalam tepung untuk membuat roti, kek, pencake ataupun digunakan untuk memekatkan didihan sup dan sos.

BUDAYA GOTONG-ROYONG DIPINGGIRKAN

Masyarakat dahulu memang amat mementingkan hubungan sesama keluarga dan jiran. Satu budaya yang sentiasa diamalkan ialan kerja gotong-royong.

Kerja gotong-royong diadakan melibatkan untuk kepentingan bersama mahupun individu.

Kerja gotong-royong yang biasa diadakan ialah seperti kenduri, membina rumah, kerja bendang dan sebagainya.

Namun, semuanya telah berubah sekarang ini. Semuanya dilakukan dengan menggunakan kuasa wang. Kenduri kahwin sudah banyak yang menggunakan khidmat penyedia makanan. Kononnya lebih mudah dan tidak menyusahkan orang lain.

Akibatnya sekarang ini budaya gotong royong semakin lenyap daripada diamalkan dalam masyarakat. Anggota masyarakat hidup secara berasingan dengan urusan masing-masing. Keluarga tidak tahu apa yang berlaku atau dilakukan oleh jiran sebelah rumah. 

Tuesday 15 October 2019

ATM TIDAK PERLU KELUARKAN MORTAR SENDIRI

Kementerian Pertahanan sedang melaksanakan projek pembangunan senjata mortar 120 milimeter (mm) secara usahasama dengan beberapa pihak termasuk Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride).

Menterinya Mohamad Sabu berkata, prototaip daripada projek penyelidikan dan pembangunan itu akan diberikan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi keselamatan terpilih bagi penilaian kualiti dan prestasi.

Selepas menepati piawaian serta kehendak pengguna, prototaip ini akan ditawarkan kepada syarikat pertahanan terpilih bagi tujuan penghasilan dan pemasaran.

Kementerian akan terus berusaha untuk mencari inisiatif relevan bagi meningkatkan keupayaan pemain industri pertahanan negara dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada industri antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapannya kepada soalan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) berkaitan tahap teknologi senjata buatan Malaysia sama ada masih bergantung kepada bantuan luar dan usaha dilakukan.

Mortar adalah salah satu aset senjata dalam ATM yang digunakan dalam Tentera Darat. Terdapat beberapa ukuran mortar (merujuk kepada ukuran luas laras) yang digunakan iaitu 60mm, 81mm dan 120mm.

Ukuran lebih besar membolehkan jarak tembakan lebih jauh dan kawasan berkesan letupan juga lebih luas. Di peringkat Batalion Infantri, mortar dianggap sebagai senjata bantuan.

Mortar 60mm senjata bantuan kompeni yang biasanya beroperasi atau ditempat di platun. Manakala mortar 81mm pula adalah senjata bantuan peringkat batalion.

Mortar 120mm pula digunakan oleh Batalion Infantri Mekanise yang dioperasikan bersama kereta perisai Adnan.

Memandangkan keperluan kegunaan mortar 120mm agak terhad atau bilangannya tidak banyak diperlukan, rasanya tidak perlu kita membuat sendiri senjata tersebut.

Selama ini pun, secara umum kemampuan industri persenjataan negara kini masih terhad kepada pemasangan dan penghasilan sebahagian daripada komponen senjata raifal yang dibekalkan kepada ATM dengan rekaan milik syarikat persenjataan antarabangsa.

Jumlah permintaan tidak mencapai pulangan pelaburan (ROI) dan kegagalan syarikat tempatan untuk meyakinkan negara luar membeli senjata buatan Malaysia.

Daripada memberi tumpuan kepada mortar, lebih baik ATM memberi tumpuan kepada menyediakan kelengkapan lain yang lebih banyak diperlukan dan lebih ekonomik seperti pengeluaran raifel sendiri berbanding sekarang sekadar hanya memasang komponen rekaan milik syarikat antarabangsa.

Misteri gelama tanjung lumpur


Kemunculan ikan gelama dalam jumlah besar di kawasan pesisir pantai di Kampung Anak Air, Tanjung Lumpur, Pahang menggemparkan orang ramai dan menarik perhatian ramai pihak selepas tular di media sosial.

Sebahagian pengguna alam maya khususnya menganggap fenomena tersebut sebagai luar biasa berikutan kejadian itu dikatakan tidak pernah berlaku di kawasan pesisir berkenaan.

Namun, ada maklumat mengatakan fenomena itu biasa berlaku di kawasan pesisir pantai lain di sekitar daerah ini sebelum ini.

Fenomena itu ada kemungkinan ia berpunca daripada peralihan perubahan angin Monsun Timur Laut yang juga musim udang baring bertumpu di pesisir pantai, sekali gus menarik kumpulan ikan gelama dan spesies lain ke pantai berkenaan untuk memakan udang-udang kecil itu.

Kemungkinan kehadiran ikan-ikan gelama ini turut berlaku di pantai-pantai lain tapi jumlahnya mungkin tidak banyak berbanding di kawasan pesisir pantai di Kampung Anak Air.

Dalam kejadian pada 13 Oktober 2019 itu, kumpulan nelayan pesisir pantai berjaya menaikkan lebih 2 tan ikan gelama sehingga ada beranggapan ia satu fenomena aneh kerana tidak pernah berlaku kemunculan ikan gelama sebanyak itu di kawasan pantai berkenaan.

CARA AJAR KUCING BUANG NAJIS DALAM TANDAS

Ramai suka memelihara kucing. Tetapi masalah besar ialah kucing akan berak dan kencing merata-rata.

Hal ini berlaku terutama kediaman yang sentiasa tertutup yang menyukarkan untuk kucing keluar masuk. Kucing sebenarnya bukan suka-suka hendak kencing dan berak di dalam rumah.

Memang menyiksakan jika keadaan itu berlaku terutama dalam rumah yang penuh dengan hamparan permaidani dan perhiasan lain.

Tempat paling sesuai untuk kucing berak dan kencing tentu sekali di dalam tandas. Biarpun mungkin bukan di dalam mangkuk tandas, tempat di tepi lubang air pun sudah baik. Mudah untuk disimbah agar najis itu terus masuk ke dalam saluran air.

Satu cara untuk mendidik kucing berak dan kencing di dalam tandas ialah mengurungnya di dalam tandas. Lakukan beberapa hari. Tidak semestinya berterusan sepanjang hari. Boleh dilakukan pada waktu malam sahaja.

Lebih elok jika ketika kurung itu di dalam tandas itu kucing diletakkan di dalam sangkar. Sangkar itu diletakkan di sudut yang kita ingin ajar kucing itu berak di mana. Kucing biasanya akan berak di tempat yang sama.

ADAB KETIKA HADAPI MUSIBAH


Bagi menghadapi musibah, Islam mengajar umatnya beberapa cara dan adab, antaranya ialah:
- Bersabar ketika mula ditimpa musibah.
- Mengucap ‘Innalillahi wa inna ilaihi raji’un’ iaitu merujuk kembali apa pun musibah yang berlaku adalah kehendak dan ketentuan Allah SWT.
- Menenangkan lidah dan badan ketika ditimpa sesuatu tetapi menangis diharuskan dan bukan menjadi kesalahan.
- Umat Islam tidak dibenarkan melampau dalam menzahirkan kesedihan ketika ditimpa sebarang musibah. Dikhuatiri mendatangkan perasaan tidak puas hati dengan ketentuan Allah SWT ataupun musuh bergembira melihat kesedihan kesan musibah yang kita hadapi.
- Cendekiawan Islam dan orang yang bertakwa berusaha menyembunyikan musibah. Mereka gembira jika diuji dengan musibah kerana mengenangkan ganjaran yang bakal diterima.
- Berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT, semoga musibah yang menimpa menjadi titik tolak kepada kita untuk berubah ke arah lebih baik, lebih kuat pergantungan kepada Allah SWT, lebih menjaga syariat, lebih berusaha menuntut ilmu dan beramal untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.

PRODUK CUCIAN MAHKOTA KELUARAN MUSLIM


Mahkota adalah produk cucian pakaian cecair dirumus khas bagi kehendak pengguna.

Berbekal pengalaman dalam merumus bahan kimia berasaskan bahan cucian hampir 15 tahun dan penyelidikan terus dijalankan bagi memastikan pengguna-pengguna Mahkota mendapat produk yang berkualiti dan harga yang kompetitif.

Mempunyai 3 haruman yang memikat dan berat bersih bagi setiap botol ialah 4.2 kg. Mahkota telah mendapat pensijilan Halal daripada Jakim sejak tahun 2016 sehingga kini.

Produk ini mesra pengguna dan mesra alam. Ianya tidak menggunakan unsur phosphate yang mengakibatkan pencemaran dan tidak merengsa pada kulit sekiranya digunakan untuk cucian tangan.

Fungsi antibakteria sebagai kawalan bakteria mengawal air rendaman daripada berbau dan melindungi pakaian daripada berbau hapak.

MUSIBAH KECELAKAAN BANJIR KILAT


Kecelakaan di jalan raya bukan sahaja melibatkan kemalangan. Musibah lain juga boleh berlaku yang tidak diduga-duga.

Banjir kilat antara yang sukar diduga. Biarpun hujan yang turun diketahui, tetapi tidak dijangkakan akan berlaku dengan cepat banjir di sesuatu kawasan.

Pihak berkuasa perlu kenal pasti kawasan yang kerap berlaku banjir kilat. Pembangunan yang tidak dilakukan tidak mengikut kaedah sepatutnya menjadi punca banjir kilat.

Pemaju sesuatu projek perlu lebih peka kepada perubahan persekitaran yang terjadi akibat projek yang dilakukan. Ambil langkah perlu untuk mengelak kejadian banjir kilat.

Pemaju jangan hanya memikirkan penjimatan kos dan mendapat untung besar tanpa memperdulikan kesan buruk dialami pihak lain.  

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Telah nampak kerosakan didarat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (Surah ar-Rum, ayat 41).  

Jika peraturan hukum alam tidak dipatuhi, maka akan berlaku bencana yang mendatangkan kerugian dan kesusuahan kepada masyarakat yang berada di tempat itu, tidak kira orang beriman atau kafir. Tidak kira sama ada orang itu punca berlaku bencana atau sekadar menjadi mangsa.

Monday 14 October 2019

KUIH PULUT DAKAP

Satu jenis kuih agak popular di Kelantan ialah kuih pulut dakap. Dinamakan kuih pulut dakap kerana dua bungkus pulut yang diikat berdakap atau berpeluk.

Kalau tidak diikat berdakap tidak boleh ke? Boleh memanglah boleh, tetapi tidak boleh dinamakan kuih pulut dakap. Agaknya boleh dinamakan 'kuih pulut solo'.

Hendak buat buat kuih pulut dakap ini bahan utama paling penting ialah beras pulut. Satu lagi yang mesti ada ialah pisang raja! Pisang raja digunakan sebagai 'inti' yang diletak di dalam pulut yang dibalut dengan daun pisang.

Pemilihan pisang raja disebabkan jenis pisang raja tidak menjadi lembik apabila dimasak. Keadaan pisang raja tetap keras dan kejung biarpun dimasak selama lebih 30 minit. 

Pisang yang diletakkan di tengah itu dibelah dua. Jadi satu pasang kuih pulut dakap menggunakan sebiji pisang.

Disebabkan ada pisang diletakkan di tengah-tengah, maka di sesetengah tempat ia dipanggil kuih pulut pisang.

Selimut kereta mengikut model

Pemilik kereta yang mementingkan penampilan kereta yang sentiasa bersih luar dan dalam pastinya sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menyelimutkan atau menutup kereta dengan selimut khas.

Selimut kereta dapat mengelak bahagian badan kereta daripada terkena debu, calar disebabkan perbuatan haiwan seperti kucing dan ayam, kanak-kanak nakal dan kekotoran lain seperti getah atau kekotaran dari atas pokok bagi kenderaan yang diletakkan di bawah pokok.

Dahulu selimut kereta biasanya dibuat 'free saiz' untuk semua jenis kereta. Jadi, ia tidak nampak 'terletak' di keseluruhan badan kereta.

Namun, sekarang ini pengeluar selimut kereta atau kenderaan sudah menghasilkan ukuran selimut yang khusus untuk jenis kereta tertentu.

Selimut kereta khusus itu boleh menutupi keseluruhan badan kenderaan, termasuk bahagian tayar.

Dengan menggunakan selimut kereta, masa yang digunakan untuk mencuci dan mengilat kereta menjadi kurang. Ia menjimatkan masa, tenaga dan wang.

KHASIAT BUAH LANGSAT TAHI AYAM

Buah duku, langsat dan dokong jenis yang berbeza biarpun masih dalam keluarga yang sama. Sekali pandang ketiga-tiganya nampak sama, bezanya dari segi ukuran.

Dari segi pokok, langsat tampak lebih kurus daripada pokok duku yang rimbun berdaun lebat. Batang langsat tidak sebesar duku dan memiliki percabangan tegak dengan daun berwarna hijau tua.

Perbedaan berikutnya ada pada buahnya yang memiliki kulit lebih tipis daripada duku, selain itu langsat memiliki rasa yang lebih masam dan bijinya lebih pahit. Kandungan getah ada pada buah langsat lebih banyak daripada duku.

Disebabkan rasa langsat tidak sesedap duku dan tentunya tidak mampu mengatasi buah dokong menduduki kedudukan tertinggi di antara ketiga-tiganya, buah langsat pada satu ketika dahulu tidak laku dan tiada peminatnya.

Kalau di Kelantan, ada sejenis langsat yang dipanggil 'langsat tahi ayam'. Buahnya lebih kecil daripada langsat biasa. Rasanya masam dan bijinya jika tergigit memang amat pahit. Isinya pula nipis.

Buah langsat tahi ayam memang tidak laku di pasaran apabila buah duku dan dokong lebih mendapat permintaan.

Namun, sekarang ini buah langsat tahi ayam mula mendapat perhatian. Jika dahulu buah langsat tahi ayam tidak laku, kini permintaannya tinggi dan harganya sudah setanding dengan buah duku dan langsat.

Permintaan yang tinggi itu disebabkan ada pendapat mengatakan buah langsat tahi ayam boleh mengurangkan penyakit kencing manis.

Kalaupun tidak menjadi penawar atau ubat, rata-rata pengidap kencing manis yang makan buah langsat tahi ayam tidak menunjukkan kesan peningkatan kandungan gula dalam darah, berbanding kesan dialami jika makan duku, lebih-lebih lagi dokong.

Provokasi di majlis Konvo UM

Seorang siswazah Universiti Malaya (UM) melakukan protes biadap dengan melaungkan slogan menolak kepimpinan naik canselor universitinya sejurus selepas menerima skrol ijazah pada 14 Okt 2019.

Siswazah berkenaan, sambil berjalan turun ke bawah pentas sempat berhenti sebentar, membuka plakad dan melaungkan: “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia”.

Budaya apakah yang ingin dihidupkan oleh siswazah itu? Di atas pentas majlis konokesyen yang sepatutnya berjalan dengan tertib dan penuh kesyukuran, telah menjadi pentas tunjuk lagak. Langsung tidak menghormati orang lain.

Inilah budaya Malaysia Baharu. Budaya tunjuk keras kepala dan tidak menghormati budaya masyarakat timur yang penuh sopan santun.

Jika budaya ini tidak bendung, ia akan mencetuskan masalah hubungan kaum kerana yang melakukan perbuatan itu sebenarnya turut mencabar kewarasan kaum lain untuk bertindak balas.

Biarpun tidak dinafikan perbuatan siswazah itu tiada kaitan dengan kaum, ia sedikit sebanyak akan membawa persepsi bahawa ia dilakukan oleh kaum tertentu disebabkan sudah berasa sedikit berkuasa dan ingin menunjukkan kuasa yang sedikit itu.

Perlu diingat, jika individu itu berasa dia mempunyai 'hak' untuk melakukan atas dasar kebebasan, maka orang lain juga mengaku melakukan atas dasar kebebasan.

Jangan cepat berasa besar kepala dan mula menunjukkan keangkuhan kerana sesuatu yang dikaitkan dengan kaum dan maruah mudah mencetuskan rasa 'gila' dan 'amuk' yang tidak tertahan di dalam diri.

Malaysia Baharu sepatutnya membentuk masyarakat lebih menghormati dan sopan santun, bukan sikap angkuh sehingga berani mencabar ketertiban budaya.

Malah, sekarang ini pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat dalam menghormati undang-undang untuk menjaga keamanan, secara terang-terang mencabar dan mempersoalkan tindakan pihak berkuasa.

Di mana prinsip Rukun Negara 'Kedaulatan undang-undang' dan 'Kesopanan dan kesusilaan' yang perlu diamalkan? Jika tidak mahu ikut prinsip Rukun Negara, baik jangan jadi rakyat Malaysia.

KHASIAT SAYUR BUAH ZUCCHINI

Kebelakangan ini macam-macam jenis tumbuhan, sayuran dan buah-buahan yang asing sebelum ini mula diperkenalkan di negara kita. Ia bukan sahaja diimport, tetapi ditanam di negara kita.

Salah satunya ialah sejenis buah sayur yang dikenali zucchini. Sayur ini dikatakan berasal dari tempat atau negara berhawa dingin. 

Di Malaysia ia ditanam di Cameron Highlands yang berhawa sejuk. Namun, ia juga boleh tumbuh subur di tempat-tempat lain asal kena cara penjagaannya.

Zucchini boleh dimasak pelbagai cara. Untuk mudah difahami, anggap sahaja ia seperti labu air atau timun jepun.

Zucchini kaya serat, protein, karbohidrat, vitamin C, B6, mangan, riboflavin, potassium, folat, dan vitamin K.  

Zucchini berwarna hijau dan kuning.

SEJARAH PENUBUHAN BANK BUMIPUTRA

Kongres Ekonomi Bumiputra, yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar telah diadakan di Kuala Lumpur selama 3 hari dari 4 hingga 6 Jun 1965.

Kongres yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur itu bertujuan mencari kaedah bagaimana di kalangan orang Melayu dan bumiputra untuk menyertai perdagangan dan industri.

Sebanyak 69 resolusi dicapai dalam kongres tersebut. Satu satu resolusi tersebut ialah penubuhan sebuah bank dengan modal permulaan yang akan disediakan oleh Kerajaan Malaysia. Pemilikan bank yang ditubuhkan itu akhirnya akan dijual kepada orang ramai melalui saham.

Pada 15 Julai 1956, Tun Abdul Razak, ketika itu Timbalan Perdana Menteri Malaysia mengumumkan bahawa Kerajaan telah bersetuju untuk membentuk Bank tempatan ("Bank Bumiputra").

Tun Abdul Razak mengumumkan Kerajaan bersetuju untuk memberi RM5 juta sebagai modal permulaan untuk Bank Bumiputra.

Bank Bumiputra Malaysia Berhad secara rasmi dilancarkan oleh Tun Abdul Razak pada 1 Oktober 1965 dengan modal dibenarkan sebanyak RM25 juta, berbanding RM5 juta yang diumumkan sebelum itu.

10 Mac 1966 Perasmian Pembukaan Bank Bumiputra Malaysia Berhad yang terletak di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur telah dilakukan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra.

Pengurusan kanan diketuai oleh Mohd Raslan bin Dato 'Abdullah (Pengarah Urusan), bekas Ketua Akauntan Negara dan Tengku Razaleigh (Pengarah Eksekutif). Ahli lembaga lain adalah S.O.K. Ubaidulla (Presiden Dewan Perniagaan United), L.E Osman (seorang peguam), K. Mushir Ariff (penilai yang diperbadankan), Wan Yahya bin Haji Mohamad (ahli perniagaan dari Terengganu), K.D. Eu (pengarah syarikat, dan Kuok Hock Nien (pengarah syarikat).

Pengurus Besar Bank adalah Wong Aun Pui, seorang bank tempatan yang terkenal dengan pengalaman dan pengarah syarikat selama lebih 20 tahun.

Bank Bumiputera telah digabungkan dengan Rashid Hussain Berhad yang menguasai Development and Commerce Bank di bawah skim penggabungan bank-bank.

Pada tahun 1999, bank ini bergabung dengan Commerce-Asset Holdings Berhad (CAHB) dan kemudiannya dikenali sebagai Bumiputra-Commerce Holdings Berhad (BCHB).

Pada tahun 2004, hasil gabungan Bank Bumiputra-Commerce dan Southern Bank dengan Commerce International Merchant Bankers (CIMB), ia kini dikenali sebagai CIMB Bank.