Masyarakat Malaysia diterjah dengan istilah
‘doula’. Apa itu doula?
Perkataan ‘doula’ berasal daripada perkataan
Greek yang bermaksud “hamba wanita”. Golongan ini telah pun wujud berabad
lamanya dan dikatakan mampu memberikan pengalaman positif kepada para ibu yang
hamil dan bakal bersalin.
Menurut penjelasan American Pregnancy
Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan
sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran,
cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan).
Sokongan ini diberikan kepada ibu yang
hamil, akan bersalin, atau telah bersalin.
Tugas utama doula adalah untuk
membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan
dan diingati.
Secara asasnya, ada 3 jenis doula iaitu doula
antepartum, doula labor, dan doula pospartum.
Doula antepartum membantu memberi ilmu
kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.
Doula labor pula berada di sisi ibu ketika
bersalin. Namun, polisi hospital kerajaan tidak membenarkan orang lain masuk ke
bilik bersalin. Malah, sesetengah polisi hospital swasta di Malaysia juga tidak
membenarkannya.
Manakala, doula postpartum akan berada di
sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan.
Ada juga doula postpartum yang membantu dari segi penjagaan ibu dan pengurusan
kerja rumah.
Khidmat doula dikatakan popular di sesetengah
negara barat. Doula merupakan individu yang bukan dari bidang perubatan tetapi
hadir memberi sokongan dari segi emosi dan fizikal kepada ibu-ibu mengandung
sebelum, semasa dan selepas melahirkan anak.
Kelahiran melalui doula didakwa dapat
mengurangkan risiko melahirkan anak secara pembedahan, kurang berkemungkinan
untuk menggunakan sebarang ubat tahan sakit serta para ibu dapat melahirkan
anak secara positif.
Isu doula timbul bukan kerana fungsinya,
tetapi sisi buruk amalan itu. Ini tidak dinafikan kerana di sebalik kebaikan
ada kelemahan atau keburukan.
Maka, kesan baik itu perlu dipertingkatkan
dan kesan buruk perlu dikawal. Jangan kerana terlalu mempromosikan kebaikan
sehingga mengabaikan kemungkian keburukan akan berlaku.
Untuk memperlihatkan kebaikan, banyak perkara
yang tidak sepatutnya dilakukan telah menjadi ‘fungsi’ dan ‘kepakaran’ doula.
Mereka memberi fakta yang bercanggah dengan amalan perubatan biasa.
Antara yang dipromosikan oleh doula ialah
kelahiran di rumah yang dikatakan akan mengelak kemungkinan risiko
melahirkan anak secara pembedahan, kurang berkemungkinan untuk menggunakan
sebarang ubat tahan sakit serta para ibu dapat melahirkan anak secara positif.
Dalam kelahiran biasa, perkara itu tidak
menjadi masalah. Ibu dahulu bersalin dengan selamat di rumah dengan bantuan
bidan kampung.
Persoalannya apabila melibatkan kelahiran
berisiko. Sudah ada kes kematian bayi akibat komplikasi ketika proses kelahiran
yang berlangsung di rumah. Ibu dikatakan tidak ke hospital disebabkan mendengar
nasihat doula.
Kita sepatutnya ke hadapan, bukannya kembali
kepada keadaan di mana bilangan hospital amat kurang dan berada jauh dari
rumah.
No comments:
Post a Comment