Saturday 29 June 2019

TOL JAMBATAN DIHAPUSKAN SELEPAS PILIHAN RAYA


Ada dua sejarah tol dihapuskan hasil janji pada PRU. Kedua-dua tol itu melibatkan jambatan.

Penghapusan tol yang pertama selepas PRU ialah tol di Jambatan Sultan Yahya Petra yang merentasi Sungai Kelantan. Kerajaan Pas Kelantan telah mengenakan atau memperkenalkan tol di Jambatan Sultan Yahya Petra pada tahun 1965.

Ini menjadikan ia laluan awam pertama di Malaysia yang dikenakan tol. Masa itu ia dipanggil cukai jambatan.

Pada awal pagi 9 Julai 1978, penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) telah memusnahkan rumah tol di atas jambatan tersebut setelah BN berjaya memenangi pilihan raya negeri.

Semenjak itu, kutikan tol telah dihentikan seiring dengan janji BN Kelantan dalam dalam pilihan raya itu.

Tol kedua yang dihapuskan hasil janji PRU ialah di Jambatan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu. Jambatan Sultan Mahmud dirasmikan pada 11 Mac 1990.

Kadar tol sebelum dimansuhkan ialah 50 sen sehala bagi kereta dan van, RM1 bagi lori dan bas sementara lori bergandar RM2. 

Pada PRU 1999, Pas mencanangkan jika menang dapat memerintah Terengganu, tol di Jambatan Sultan Mahmud akan dihapuskan.

Penghapusan tol itu menjadi kenyataan apabila Pas berjaya menawan Terengganu dari tampuk pemerintahan BN. Penghapusan tol dilakukan beberapa minggu selepas PRU.

Jika di Jambatan Sultan Yahya Petra, BN menghapuskan tol diperkenalkan Pas, di Jambatan Sultan Mahmud pula Pas menghapuskan tol dikenakan oleh BN. 
 
Kedua-dua jambatan tersebut menggunakan nama sultan dan menghubungkan ibu negeri ke kawasan lain.

Friday 28 June 2019

KELANTAN NEGERI PERTAMA ADA TOL DI MALAYSIA

Tahukah anda kerajaan Kelantan adalah yang pertama memperkenalkan banyaran tol di Malaysia? Pada ketika itu ia dikenali sebagai cukai. Tol itu dikenakan kepada pengguna Jambatan Sultan Yahya Petra.

Pembinaan jambatan telah bermula 14 September 1962 selepas majlis perletakan batu asas oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra Ibni Sultan Ibrahim. Namun, jambatan itu mengambil sempena nama baginda.

Jambatan Sultan Yahya Petra adalah jambatan pertama merentasi Sungai Kelantan menghubungkan Kota Bharu di sebelah timur dan Tumpat di sebelah barat.

Kos pembinaan keseluruhan berjumlah $5 juta ($ adalah tanda bagi matawang Malaysia ketika itu). Jumlah itu meningkat berbanding jangkaan awal hanya sekitar $3 juta sahaja.

Memandangkan peningkatan kos pembinaan yang ketara itu, bagi menampungnya, pada 16 Mac 1965, Kerajaan PAS Kelantan mengumumkan pengguna Jambatan Sultan Yahya Petra akan dikenakan kutipan tol. Ini menjadikan ia laluan awam pertama di Malaysia yang dikenakan tol.

Jambatan Sultan Yahya Petra dibuka dengan rasminya pada 18 April 1965 oleh Kerajaan PAS Kelantan, tarikh itu dibuat sempena dengan konvensyen agong PAS yang turut diadakan di Kota Bharu.

Pada awal pagi 9 Julai 1978, penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) telah memusnahkan rumah tol di atas jambatan tersebut setelah BN berjaya memenangi pilihan raya negeri.

Rumah tol itu berada di tengah jalan bahagian sebelah Kota Bharu yang memunggut bayaran tol keluar dan masuk Kota Bharu. Kadar tol dikenakan 0.50 sen.

Semenjak itu, kutikan tol telah dihentikan seiring dengan janji BN Kelantan dalam dalam pilihan raya itu.

Uniknya, biarpun Kelantan menjadi negeri pertama mengenakan bayaran tol, kini Kelantan adalah satu-satunya negeri di Semenanjung yang tidak ada sebarang bentuk tol kepada pengguna jalan raya, lebuh raya mahupun jambatan.

SEJARAH JAMBATAN SULTAN YAHYA PETRA

Kawasan fizikal tanah negeri Kelantan dibahagikan dua kawasan oleh Sungai Kelantan. Jajahan Kota Bharu, Bachok, Machang, Kuala Krai dan Pasir Putih di sebelah timur Sungai Kelantan, manakala Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli di sebelah barat.

Maka, untuk menghubungkan kedua-dua bahagian ini, jambatan perlu dibina. Jambatan yang merentangi Sungai Kelantan ialah Jambatan Sultan Yahya Petra, Jambatan Salor, Jambatan Sultan Ismail Petra dan Jambatan Tanah Merah.

Jambatan pertama dibina merentangi Sungai Kelantan ialah Jambatan Sultan Yahya Petra. Jambatan ini mula dibina pada tahun 1962 dan siap pada 1965.

Jambatan Sultan Yahya Petra dibina dengan kos sebanyak RM5 juta dan telah dirasmikan pada 17 April 1965 oleh Sultan Yahya Petra Ibni Sultan Ibrahim, Sultan Kelantan pada ketika itu.

Turut hadir di upacara ini ialah Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein; Menteri Pengangkutan, Datuk Sardon Hj. Jubir; Menteri Kerja Raya, Pos dan Talikom Datuk Sambanthan.

Jambatan Sultan Yahya Petra memberi kemudahan kepada penduduk di kedua-dua kawasan barat dan timur untuk bergerak, terutama penduduk dari Kota Bharu untuk ke Tumpat, yang sebelum itu menggunakan perkhidmatan feri dan bot.

Sebelum adanya jambatan ini, penduduk terpaksa menaiki feri di Pasir Mas Salor untuk ke Pasir Mas, Tumpat dan Rantau Panjang.

Pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra mencatakan sejarah bukan sahaja kepada negeri Kelantan, bahkan Malaysia amnya. Ini kerana Jambatan Sultan Yahya Petra sepanjang 908.3 meter dan lebar 24.3 meter itu merupakan jambatan terpanjang di Asia Tenggara pada ketika itu.

Jambatan Sultan Yahya Petra merupakan jambatan bertol pertama seumpamanya di Malaysia. Malah boleh dianggap sebagai laluan awam pertama dikenakan bayaran tol di Malaysia.

Bagaimanapun, pada awal pagi 9 Julai 1978, penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) telah memusnahkan rumah tol di atas jambatan tersebut setelah BN berjaya memenangi pilihan raya negeri. Semenjak itu, kutikan tol telah dihentikan seiring dengan janji BN Kelantan dalam pilihanraya itu.

Pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra dilakukan oleh syarikat Kien Huat Private Limited, milik keluarga Lim Goh Tong.

Pada tahun 2007, Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra (terletak di kiri dan kanan jambatan pertama) telah dibina dengan pembiayaan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan. Pembinaan yang menelan belanja sebanyak RM184.4 juta itu telah dibuka sepenuhnya pada bulan Oktober 2013.





Gambar pada 17 April 1965 (hari perasmian)

Wednesday 26 June 2019

JAWATANKUASA PAS PUSAT SESI 2019-2021


JAWATANKUASA PAS PUSAT SESI 2019-2021

JAWATANKUASA HARIAN

PRESIDEN
YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

TIMBALAN PRESIDEN
YB Dato’ Ustaz Haji Tuan Ibrahim Bin Tuan Man

NAIB PRESIDEN
Ustaz Haji Idris Ahmad
YB Dato’ Haji Mohd Amar Nik Abdullah
YAB Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

KETUA DEWAN ULAMA’ PAS PUSAT
YB Dr. Ustaz Haji Nik Mohd Zawawi Salleh

KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT
YB Senator Ustazah Hajjah Nuridah Mohd Salleh

KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
Ir. Haji Khairil Nizam Khirudin

SETIAUSAHA AGUNG
YB Dato’ Takiyuddin Hassan

BENDAHARI
Dato’ Haji Iskandar Abdul Samad

KETUA PENERANGAN
Haji Kamaruzaman Mohamad

PENGARAH PILIHANRAYA
YB Haji Muhammad Sanusi Md Nor

AHLI JAWATANKUASA KERJA
1. YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi
2. YB Dr. Azman Ibrahim
3. Dr. Halimah Ali
4. YB Dato’ Dr. Mohamad Fadhli Hassan
5. Dr. Riduan Mohamad Noor
6. Dato’ Ustaz Mohd Nassuruddin Daud
7. Dr. Mohd Zuhdi Marzuki
8. YB Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz
9. YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
10. Dr. Najihatussolehah Ahmad
11. Dr. Ustaz Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurrazi
12. Ustaz Nasruddin Hassan
13. YB Ustazah Siti Zailah Mohd Yusoff
14. Ustaz Mokhtar Senik
15. Ustaz Misbahul Munir Masduki
16. Ustaz Sallehen Mukhyi
17. Dato’ Dr. Haji Mahfodz Mohamad (Lantikan)
18. Muhtar Suhaili As-Sarawaki (Lantikan)
19. Dr. Rosni Adam (Lantikan)
20. YB Awang Solahudin Hashim (Lantikan)
21. Dr. Mohd Mazri Yahya (Lantikan)
22. Haji Wan Rohimi Wan Daud (Lantikan)
23. YB Ustaz Yusni Mat Piah (Lantikan)
24. Haji Mohamad Husain (Lantikan)

Tuesday 25 June 2019

GOLONGAN LGBT INGIN HIDUP MACAM HAIWAN


Allah menetapkan cara hidup manusia berbeza dengan haiwan. Manusia dikurniakan fikiran menjadikan lebih mulia berbanding haiwan. Jika manusia ingin hidup secara tabie haiwan, maka layaklah dia dipanggil binatang dan layaknya dilayan sebagai haiwan.

Memang pelik apabila individu yang mengaku bijak memperjuangkan hak kebebasan manusia ingin hidup berdasarkan fitrah haiwan. Individu berkenaan menempelak masyarakat Melayu yang menolak perhubungan seks songsang sesama jantina sebagai bersifat ‘homophobia’ dan menolak fitrah semulajadi hidupan.

Individu berkenaan menolak akan kemungkinan berlakunya sebarang malapetaka mahupun kemusnahan yang disebabkan oleh pelakuan seks songsang tersebut.

Menurut satu kenyataan, pelakuan homoseks boleh dilihat secara universal di hampir kesemua spesis, namun ‘homophobia’ hanya terlihat di satu spesis sahaja – manusia. 

Kita hanyalah satu-satunya spesis yang mampu berfikir bahawa homoseksualiti adalah sesuatu yang bukan bersifat semulajadi, tetapi juga merupakan punca segala jenis kejahatan dan kemusnahan.

Tambah kenyataan itu lagi, pelakuan seks sumbang sesama jantina adalah normal di kalangan pelbagai jenis hidupan lain, namun homo sapiens seperti NGO-NGO Melayu yang konservatif dan ahli politik mendesak pelaku-pelaku seks sumbang tersebut dihumban di pusat pemulihan dan mahu menghapuskan golongan LGBT daripada negara ini.

Selanjutnya, pelbagai spesis seperti dolfin hidung botol, burung angsa hitam, penguin, lalat buah, dan mawas bonobo memperlihatkan sifat biseksual dan homoseksual. Homo sapien seperti NGO-NGO Melayu konservatif dan beberapa ahli politik mendesak kerajaan mereka untuk menghumban golongan seks sesama jantina di pusat-pusat pemulihan dan menghapuskan LGBT daripada permukaan negara kita.

Individu berkenaan sebelum ini pernah menyalahkan idea lapuk ketinggalan zaman iaitu kepercayaan-kepercayaan yang masih dianuti oleh orang tua yang mahu dipaksakan ke atas orang lain menjadi penyebab masyarakat umum Malaysia menolak pelakuan seks sumbang tersebut. Oleh itu beliau mahukan agar anak-anak dididik supaya dapat meraikan LGBT, dan menganggap pelakuan seks sumbang itu sebagai normal.

Tambahnya, dunia sudah berubah. Generasi akan datang tidak lagi terikat dengan idea-idea lapuk yang masih dipegang oleh orang-orang tua yang mahu memaksa kepercayaan-kepercayaan mereka ke atas orang lain. Dan kita sebagai ibu bapa hendaklah mengambil cabaran ini untuk turut maju.

Dengan tegas dan yakin individu berkenaan menolak kemungkinan akan berlaku malapetaka atau kemusnahan di negara ini sebagai balasan Tuhan ke atas perbuatan seks sumbang sesama jantina sepertimana yang berlaku pada kaum Nabi Lut yang tertulis di dalam kitab-kitab agama Samawi.

Tegasnya, kerosakan yang bagaimana sebenarnya? Golongan LGBT sudah wujud buat jangka masa yang lama, dan kita masih belum pernah lagi melihat Malaysia dihancurkan oleh gempa yang berkadaran sama dengan yang berlaku di Sodom (kaum Nabi Lut). Elok sahaja jika kita salahkan golongan gay sebagai penyebab Tanah Melayu berulang kali dijajah oleh Belanda, Portugis, British dan Jepun. Kenapa berhenti sekadar itu? Mari kita dakwa bahawa dinosaur-dinosaur telah dihapuskan kerana dinosaur-dinosaur itu gay.

Diharapkan pemikiran golongan liberal ini perlu disekat daripada menjadi satu budaya. Kerajaan perlu bertindak tegas menentang penularan pemikiran liberal yang sedang merayakan kejayaan apabila ada pihak di Malaysia kita seakan tidak kisah tentang penularan budaya songsang ini.

REMAJA JADI MANGSA ROGOL RAKAN MEDIA SOSIAL

Kes dirogol kawan dikenali di media sosial kerap dilaporkan. Mereka menjadi mangsa pada kali pertama pertemuan. Tentu sekali perkara itu telah dirancang oleh pelaku dan ada modus operandi dilakukan untuk menjayakan.

Ambil satu contoh kes seorang remaja perempuan berusia 19 tahun menjadi mangsa rogol secara bergilir-gilir oleh tiga lelaki yang juga kenalan di aplikasi WeChat.  

Berdasarkan keterangan, mangsa baru mengenali seorang daripada suspek melalui WeChat dan kes berlaku ketika mereka kali pertama bertemu.

Remaja berkenaan mendakwa mengenali seorang suspek melalui aplikasi WeChat dan kali pertama keluar dari rumah dijemput kenalan itu bersama seorang lagi suspek pada jam 12 tengah malam dengan alasan untuk lepak di Ipoh.

Tentu sekali sepanjang perkenalan itu, suspek telah ‘mengenali’ sikap mangsa dalam hal tertentu. Suspek boleh membuat jangkaan terhadap sikap mangsa dalam hubungan sosial.

Dalam kes itu, amat janggal sebenarnya remaja perempuan berusia 19 tahun bersedia untuk keluar dengan teman yang baru dikenali pada pukul 12 malam. Suspek boleh menilai peluang dan kebarangkalian untuk melakukan sesuatu terhadap mangsa.

Sikap remaja perempuan itu memang menempah bala dan tidak berhati-hati untuk menjaga kehormatan diri. Bukan membuat tuduhan, tetapi rasanya sikap keluar malam telah kerap dilakukan oleh remaja perempuan itu dengan rakan-rakan lain.

Sikap keluar malam terutama sehingga larut malam memang membahayakan terutama di kalangan ramaja perempuan. Pada waktu malam, macam-macam perkara buruk boleh berlaku.

Ibu bapa perlu mengawal pergerakan anak mereka pada waktu malam, tidak kira lelaki atau perempuan. Namun, tentu sukar untuk menghalang sepenuhnya anak keluar pada waktu malam. 

Kawalan yang boleh dilakukan ialah tetapkan waktu anak perlu pulang. Jangan biarkan pulang lewat malam. Pulang pukul 12 malam sudah dianggap terlalu lewat. 

BERSIKAP TERBUKA JIKA ANAK TANYA SOAL SEKS

Sesekali apabila anak bertanya tentang isu seks, apakah reaksi anda? Tergamam? Gugup? Malu? Cemas? Bimbang?

Rata-rata ibu bapa kurang pasti apakah yang harus diperkatakan dan bagaimana menjawab soalan berhubung tentang seks. Ada ibu bapa terdiam tanpa memberi sebarang jawapan, membiarkan anda terus tertanya-tanya mengenainya.

Sebahagian ibu bapa lain menunjukkan sikap tidak senang dan marahkan anak bertanyakan soalan itu. Mereka menganggap membincangkan soal seks bersama-sama anak satu topik paling sulit, memalukan, tidak bermoral, dilarang adat dan ada yang mengatakan larangan agama. 

Ibu bapa perlu membuat persediaan untuk menangani soalan berkaitan seks yang ditanyakan anak supaya tidak menunjukkan reaksi kurang senang, memarahi anak, menipu mereka dengan fakta yang salah atau berdiam diri.

Alangkah baik jika kita dapat bersifat terbuka dan menggalakkan anak bertanya apa pun soalan yang ada di benak mereka dan menunjukkan reaksi spontan seperti menjawab soalan lain. Bahkan, adalah lebih baik jika ibu bapa yang mengajak anak memulakan perbincangan mengainya, jika difikirkan perlu. 

Jika dikekang dan dipendam, mereka akan bertambah musykil dan akan bertanya daripada orang lain atau teman yang mungkin memberi fakta yang kurang tepat atau tidak sesuai bagi umur mereka.

Walaupun usia anak masih kecil, berilah anak pengetahuan yang sesuai dengan peringkat usia.  Kita mengajar mereka mengenali anggota badan seperti tangan, mata, hidung dan sebagainya. 

Mengapa apabila menyebut nama bahagian sulit diguna nama yang tidak tepat.  Salahkah jika menyebut perkataan rahim, zakar dan faraj atau nama lain yang diguna mengikut loghat tempatan. Tidak perlu kita menukar nama bahagian sulit dengan alasan untuk bersopan.    

Ibu bapa tidak harus berasa malu kerana anak harus diajar menghargai dan mengenal tubuh sendiri. Mereka perlu mengetahui jantina mereka. Apa tanda bahawa mereka itu lelaki atau perempuan berdasarkan kepada alat sulit yang dimiliki. 

Perkara ini bukan sesuatu yang pantang dan dijauhi. Gunakan buku bergambar jika perlu. Cara ini lebih mudah difahami atau membolehkan mereka ‘ulangkaji’ melihat gambar itu.

Ibu bapa perlu bijak menguasai tahap kefahaman anak masing-masing.  Ajarkan atau jawablah soalan bersesuaian dengan umur anak. Anak kecil tidak perlu diberitahu tentang proses hubungan seks, tetapi memadai memberi tahu bahawa yang boleh melahirkan anak ialah perempuan dan bukannya lelaki.

Kalau ditanya mengapa, itu telah tabie yang ditetapkan oleh Allah. Ia secara tidak langsung sebagai kesempatan mengajar mereka bahawa Allah yang mencipta manusia.   

Apabila mereka lebih memahami, anak boleh diajar mengenai mengapa perempuan mengandung dan melahirkan anak. Beritahu mereka tentang perlunya lelaki untuk menyebabkan perempuan mengandung. Ini tidak bermakna menceritakan satu persatu kepada mereka bagaimana melakukan hubungan seks.

Terdapat banyak buku bergambar di pasaran dan perpustakaan yang akan menyenangkan ibu bapa berbincang tentang pembentukan bayi dan isu seks. Di sini anak-anak akan faham potensi tubuh mereka bahawa seorang perempuan boleh menjadi hamil dan orang lelaki boleh menyebabkan kehamilan. 

Ajarkan tidak ada sesiapa pun yang berhak menyentuh bahagian tubuh terutama bahagian sulit mereka tanpa kerelaan mereka. Ajarkan tentang aurat lelaki dan perempuan, yang halal dan haram, bahawa lelaki dan wanita yang bukan mahram dan belum bernikah tidak boleh bersentuhan.

Jika anak sudah di bangku sekolah, ajarkan bahawa lelaki dan perempuan tidak wajar bermain secara fizikal sesama sendiri seperti bertepuk tampar apalagi jika anak sudah baligh. Beritahu mereka bahawa tentang batasan pergaulan. Wujudkan di dalam diri mereka perasaan malu dan bersalah jika melakukan perbuatan itu.   

Bincang dengan anak perempuan dan lelaki tentang haid, mengapa wanita mengalaminya, waktu ia tiba dan proses haid sebelum anak baligh. Anak perempuan tidak berasa cemas dan terkejut bila ia tiba.

Mengapa perempuan perlu merasa malu dan tersisih ketika datang haid. Tidakkah itu tandanya dia perempuan yang normal? 

Anak lelaki juga harus diberi pengetahuan tentang haid wanita agar tiada salah faham bahawa ia sesuatu yang memalukan, jijik atau menjadi bahan ejekan terhadap kaum wanita. 

Selitkan juga bahawa orang yang sudah berkahwin sahaja boleh menunjukkan kasih sayang jika anak tertengok rancangan khusus untuk orang dewasa di televisyen. Jangan berdiam diri atau marah. 

Jadikan televisyen sebagai medium atau alat bantu mengajar. Beritahu kepada mereka mana yang betul dan salah. Rancangan televisyen dari Barat yang mempamerkan aksi bertentangan dengan budaya dan ajaran agama boleh dijadikan contoh tentang perbuatan yang tidak patut mereka lakukan.   

Dengan pengetahuan yang tepat dan sesuai dengan umur mereka, ibu bapa dapat merubah dan mengekang salah sangka, mengajar anak menghargai diri dan tubuh masing-masing. Mudah-mudahan mereka akan mampu mengambil keputusan yang bijak.

PENDIDIKAN SEKS DARI SUDUT PANDANGAN ISLAM


Dalam masyarakat kita apabila disebut perkataan ‘seks’, sekilas maksud terus membawa kepada ‘sesuatu yang sulit, tidak wajar dibincangkan secara terbuka, memalukan, tidak sopan, nafsu dan bersifat buruk’. 

Sebab itu cadangan pendidikan seks secara formal di sekolah ditentang kebanyakan orang tanpa sebarang perbincangan. Ibu bapa juga sekali-kali tidak akan memperkatakan mengenai seks dengan anak-anak.

Sedangkan ia menjadi tanggungjawab ibu bapa mendidik anak mengenai pengetahuan seks, sesuai dengan maksud yang sebenarnya. 

Mengikut Kamus Dewan perkataan seks bermaksud sifat-sifat yang membezakan lelaki dan perempuan, jantina. Maksud lain ialah keinginan syahwat. Berdasarkan maksud itu tidak melambangkan satu perkara yang perlu takut dan malu untuk membincangnya. 

Keinginan mengetaui berkaitan seks lahir secara fitrah, sama juga untuk mengetahui perkara lain. Oleh itu, sepatutnya ia tidak dipandang dari sudut negatif. Kita perlu mengetahui tentang apabila yang akan berlaku, dilalui dan perlu dilakukan berkaitan seks.

Pendedahan pengetahuan mengenai seks perlu diajar oleh ibu bapa secara telus dan jelas. Ia sebahagian daripada pendidikan penting yang termasuk dalam fardu ain dan fardu kifayah.

Sebab itu dalam al-Quran menyebut secara telus berkaitan seks. Dalam al-Quran menyebut mengenai zakar, faraj, air mani, persetubuhan suami isteri, zina, haid, nifas, homoseksual, ghairah dan keperluan manusia terhadap seks. 

Dengan kata lain soal seks bukan perbincangan tertutup yang hanya melibatkan orang dewasa. Apa yang disebut dalam al-Quran turut dibaca dan diketahui oleh sesiapa saja yang membacanya, termasuk kanak-kanak.

Tidak ada larangan bagi kanak-kanak membaca al-Quran, termasuk ayat-ayat yang menyentuh mengenai seks. Ini jelas membuktikan tidak ada sekatan untuk kanak-kanak mengetahui mengenai seks.

Perbincangan mengenai seks dalam konteks ilmu adalah sesuatu yang murni dan mulia. Pada tahap tertentu, hukumnya wajib bagi ibu bapa menerangkan mengenai seks kepada anak. Banyak berkaitan seks melibatkan hukum fardu ain seperti berkenaan haid dan mandi wajib.

Disebabkan ibu bapa terlalu merahsiakan berkaitan seks sehingga anak gadis tidak mengetahui permulaan baligh apabila keluar haid pertama dan anak lelaki pula tidak sedar dirinya sudah remaja.

Pengetahuan dalam hal tiba masa baligh penting diketahui setiap anak kerana ia menentukan batasan dosa dan pahala sudah dicatatkan untuknya. Anak perlu mengetahui bahawa dirinya telah ada tanggungjawab berkaitan perlaksanaan ibadat apabila masuk usia baligh.

Dengan kata lain, ibu bapa perlu mendedahkan secara jelas berkaitan seks kepada anak-anak. Ia tidak setakat mengenai haid dan hadas besar semata-mata, tetapi merangkumi pengetahuan lain yang bersangkutan seks.

Ibu bapa perlu bijak dalam memperkatakan soal berkaitan hubungan seks. Penjelasan mengenai halal dan haram hubungan seks mampu memberi pengukuhan iman dan takwa kepada anak. 

Sekiranya ibu bapa gagal mendedahkan pengetahuan seks kepada anak, kemungkinan besar mereka mempelajarinya melalui sumber yang salah seperti VCD dan buku lucah. Keinginan mengetahui mengenai seks adalah fitrah yang wujud dalam diri setiap orang.

Pada peringkat usia remaja adalah tempoh perubahan psikologi dan biologi diri paling cepat. Pada usia remaja biasanya mudah dikuasai imaginasi seks.  

Ibu bapa perlu melihat soal seks mengikut preskripsi lebih luas. Soal berkaitan seks bukan sekadar perbincangan dalam bilik semata-mata. Mengapa ibu bapa cuba menyekat anak daripada mengetahui hal penting ini.   

Kejahilan seks menyebabkan ramai remaja perempuan menjadi mangsa. Gejala sumbang mahram banyak berpunca daripada kejahilan ini. Mereka malu hendak bertanya atau bercerita kepada orang lain kerana ia satu ‘rahsia’ besar dalam budaya Melayu.

Hubungan seks keperluan setiap individu perlu dipenuhi secara murni. Ikatan perkahwinan merupakan gerbang kehidupan seksual yang dihalalkan. Malah ia satu suruhan agama. 

Islam menyuruh setiap individu cenderung kepada keinginan seks dan berkemampuan menunaikan amanah hidup berpasangan agar berkahwin.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Wahai pemuda-pemuda, barangsiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka kahwinlah, kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan menjaga kehormatan. Dan barangsiapa belum mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu mengurangi nafsu syahwat.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Saturday 22 June 2019

ULAM KAYA KHASIAT BAIK UNTUK KESIHATAN


Ulam adalah sayuran atau tumbuhan yang dimakan mentah atau sekadar dicelur iaitu direndam sekejap di dalam air panas. Ada juga sesetengah ulam perlu direbus terlebih dahulu, baru sedap dimakan seperti ulam pucuk ubi. Biasanya ulam dijamu bersama sambal belacan, budu atau cencaluk untuk dimakan bersama nasi.

Ulam diambil daripada pelbagai bahagian sesuatu pokok atau tumbuhan yang boleh dimakan, antaranya pucuk, daun, biji, buah, ubi dan kadang-kadang bunganya.

Ada antara ulam cukup popular dan mudah didapati di pasaran seperti rebung, cekur manis, jering, petai, ulam raja dan sebagainya.

Sementara ulam beluntas, pucuk betik, pucuk kadok dan pucuk gajus antara ulam yang sukar dicari, malah ia juga kurang dikenali walaupun dalam masyarakat Melayu itu sendiri.

Ulam dikatakan mempunyai banyak khasiat sebab ia dimakan secara mentah atau tidak dimasak terlalu lama. Justeru, kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama iaitu kalsium, fosforus, zat besi, natrium, kalium yang terdapat dalam ulam tidak dimusnahkan oleh haba.

Selain itu, ulam juga dikatakan membekalkan serat yang amat diperlukan oleh sistem penghadaman manusia. Serat memainkan peranan sebagai pengisi pada bahan buangan dan memudahkan perkumuhan.

Antaranya, ulam pegaga yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjana kecerdasan berfikir di kalangan kanak-kanak serta dikatakan dapat membantu peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit.

Kangkung pula sejenis sayuran yang murah dan mudah diperoleh kerana tumbuh secara meliar di tepi-tepi sumber air, dikatakan dapat membantu mengurangkan kesakitan penyakit buasir, sakit kepala dan boleh digunakan untuk melebatkan rambut.

Jering pula didapati mengandungi banyak zat, antaranya protein, lemak, karbohidrat, kalsium, fosforus, vitamin A, B dan C. Biarpun rasanya pahit dan berbau, ia juga dikatakan menjadi penawar kepada pesakit kencing manis.

Sementara petai juga mempunyai khasiatnya tersendiri. Berdasarkan kajian, buah petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain, iaitu sebanyak 8 peratus.

Kandungan lain yang ada dalam petai adalah karbohidrat, air, kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2 dan C.

Khasiat petai bergantung kepada umur dan kesegaran biji petai tersebut. Buah petai yang kecut ataupun bijinya tidak membulat, dikatakan kurang mempunyai kandungan khasiat yang tinggi. Biji petai dikatakan berkesan merawat penyakit jantung, kencing manis, mencuci buah pinggang dan untuk mengeluarkan cacing daripada kanak-kanak yang kecacingan.

Disebabkan khasiat yang terselindung, ulam-ulaman diminati ramai biarpun rasanya pahit dan baunya busuk.

ULAM MAMPU MERAWAT CEGAH PENYAKIT

Ulam merupakan gelaran kepada tumbuhan yang dimakan secara mentah, dicelur, atau direbus sebelum dimakan bersama nasi. Ulam juga biasanya dimakan bersama dengan perasa seperti budu, cencaluk, atau sambal belacan.  Selain dimakan sahaja, ulam juga boleh dibuat kerabu dan sayuran.

Ulam diambil dari berbagai-bagai bahagian tumbuhan yang boleh dimakan. Ini termasuklah pucuk, daun, umbut, biji, buah, ubi dan bunga.

Di Malaysia terdapat lebih daripada 120 jenis tumbuhan telah dimakan sebagai ulam yang terdiri daripada tumbuhan kecil dan melata seperti pegaga sehinggalah kepada pokok-pokok renek dan pokok- pokok besar jenis saka seperti petai, jering dan dan kerdas.

Ulam biasanya mudah dijumpai tumbuh dan didapati di sekitar rumah sahaja. Pokok-pokok ulam juga mudah untuk ditanam dan dijaga.

Ulam-ulaman mengandungi pelbagai khasiatnya yang tersendiri. Kebanyakan ulam bersifat dapat mencegah dan merawat pelbagai jenis penyakit.

Dapat kita lihat pada generasi lama masyarakat Melayu yang mengamalkan memakan ulam, tubuh badan mereka sentiasa sihat dan kurang penyakit.

HAIWAN KURUS TIDAK SAH DIJADIKAN BINATANG KORBAN

Antara jenis binatang yang boleh dijadikan korban ialah kambing, unta, biri-biri, lembu, dan kerbau, mengikut syarat yang ditetapkan syarak.

Biri-biri hendaklah berumur lebih setahun. Bagi kambing, lembu, dan kerbau hendaklah berumur lebih daripada dua tahun. Manakala unta yang boleh dijadikan korban mesti berumur lebih lima tahun.

Seekor lembu, unta dan kerbau boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian korban. Setiap tujuh bahagian itu boleh dimiliki oleh seorang. Seseorang boleh memiliki lelih daripada satu bahagian.

Manakala kambing dan biri-biri pula setiap ekor hanya dikira satu bahagian korban atau seekor korban.
 
Binatang yang ingin dijadikan korban adalah yang tidak cacat, biarpun sedikit seperti carik daun telinga, berjalan terhinjut-hinjut, dan berpenyakit. Binatang yang terlalu kurus juga tidak boleh dijadikan korban.

Dari Bara bin Azli, telah berkata Nabi: “Empat macam binatang yang tidak sah dijadikan korban, iaitu rosak matanya, sakit, pincang dan kurus tidak berlemak.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi).

Friday 21 June 2019

LABU MUDAH DITANAM, TAHAN LASAK

Labu sejenis tanaman menjalar daripada keluarga Cucurbitaceae yang sering ditanam secara selingan dengan jagung atau tembikai. Ia antara tanaman yang paling mudah ditanam tanpa memerlukan penjagaan rapi.

Labu mengambil masa 75 hari dengan tempoh mula berbunga pada hari ke-45 dan ia lebih mudah jika ditanam di kawasan berhampiran ternakan kelulut dan lebah kerana tidak memerlukan bantuan pendebungaan.

Proses penjagaan tanaman sangat mudah dan tidak memerlukan air yang banyak. Semusim hanya tiga atau empat kali disiram air manakala baja digunakan adalah baja asas najis ayam, baja daun dan baja buah secara berperingkat.

Penjagaan juga tidak lama apabila mencapai usia 30 hari dan mula menjalar pokok sudah tidak memerlukan penjagaan rapi.

Bagi mendapatkan hasil yang baik pokok ditanam pada jarak dua meter dan sepokok boleh mengeluarkan enam hingga tujuh biji labu. 

Labu mempunyai pelbagai jenis dengan bentuk panjang atau bulat .

Penanaman labu tidak memerlukan modal besar seperti sesetengah tanaman lain, malah risiko serta musuh tanaman juga kurang.

Bagi mereka yang berminat menceburkan diri dalam bidang ini atau yang bermodal kecil, labu adalah tanaman sesuai. Namun, apa yang penting adalah semangat, usaha dan minat harus ada untuk bergelut dalam bidang pertanian.

Antara jenis labu yang banyak ditanam petani di Malaysia ialah labu mas. Ada juga yang memanggilnya labu manis, ibu lemak, labu madu atau labu taiwan.

Keistimewaan labu mas ialah isinya lebih manis dan seratnya lebih halus berbanding jenis lain. Buah yang dihasilkan pula mempunyai berat sekata serta bentuk bulat dan berlekuk yang cantik. Malah, jenis ini juga mampu mengeluarkan lebih banyak hasil dan pokoknya tahan lasak.

Labu mas sesuai dijadikan pelbagai jenis masakan terutamanya kuih lepat labu kerana isinya yang manis selain mempunyai serat halus. Ia juga sesuai dibuat masak lemak cili padi.

Labu mas juga sesuai dibuat sira, serawa atau bubur labu. Untuk dimasak, boleh bersama kulit atau dibuang kulitknya.

Untuk mengetahui ketebalan isi labu, ketuk-ketuk belakang/ bawah labu dengan jari ala mengetuk pintu dan dengar bunyi. Kalau bunyi kuat, isi sedikit nipis. Kalau bunyi macam "tumpul", isi tebal. Satu lagi petua untuk mendapatkan isi tebal ialah pilih yang pusat tangkalnya besar.

SEJARAH MUKIM LABU, NEGERI SEMBILAN

Labu adalah salah satu mukim di dalam daerah Seremban, Negeri Sembilan. Labu adalah sebuah bandar yang pesat membangun terletak antara bandar Seremban dengan Nilai.

Pembangunan Labu selari dengan pembangunan pesat kawasan sekitarnya seperti Nilai dan kedudukannya berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.

Menurut catatan buku susunan Datuk Abdul Samad Idris, 'Negeri Sembilan dan Sejarahnya' Labu telah dibuka ketika era pemerintahan Datuk Undang Sungai Ujong Kelapan, YAM Dato Klana Petra Sri Jaya, Dato Kelana Leha (1780-1800 masihi).

Dato Kelana Leha telah memberi kebenaran kepada Dato Mangkun untuk membuka Labu. Beliau telah diberi gelaran "Dato Bergajah Tunggal".

Tidak dinyatakan asal usul nama 'labu' yang digunakan untuk nama Mukim Labu. Adakah ia bermaksud buah labu atau maksud lain.

Namun, di kalangan penduduk Kampung Batu 10 Labu, menjadikan buah labu sebagai replika di kampung tersebut yang bermaksud nama Mukim Labu diambil dari nama buah labu.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Labu menjadi salah satu tempat yang menjadi markas tentera Jepun. Ini memandangkan terdapatnya landasan kereta api yang menjadi penghubung antara utara dan selatan.

Terdapat banyak kubu di sekitar kawasan stesen Labu. Walau bagaimanapun, dengan pembinaan landasan kereta api berkembar pada tahun 1995, kesan sejarah itu telah hilang.

Labu juga pernah menjadi tempat mendaratnya helikopter yang membawa Presiden Amerika Syarikat, Lyndon B Johnson sempena lawatan beliau ke Felda LBJ yang dinamakan sempena nama beliau juga dikenali dengan Labu Jaya.

SIKSAAN DOSA SENGAJA MENINGGALKAN SEMBAHYANG


Allah SWT. telah mengemukakan pelbagai ancaman yang sangat dahsyat terhadap orang yang tidak sembahyang. Seseorang yang meninggalkan sembahyang bereti mereka telah meninggalkan hak Allah, hak Rasul, hak dirinya dan segala hak orang Islam. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Urusan yang memisahkan antara kita (muslim) dengan mereka (kafir) ialah sembahyang, maka sesiapa yang meninggalkannya sungguh ia menjadi kafir” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Sesiapa yang meninggalkan sembahyang layak untuk menerima pembalasan siksaan di dunia, di alam kubur dan di akhirat.

Seksaan semasa di dunia
- Allah SWT. menghilangkan berkat daripada usaha dan rezekinya
- Allah SWT. menghapuskan tanda-tanda kesalihan daripada mukanya
- Sentiasa mendapat kebencian daripada orang yang beriman

Seksaan ketika hendak mati
- Ketika rohnya akan dicabut, dia akan berada dalam keadaan yang sangat dahaga
- Ketika rohnya dicabut, dia berasa kesakitan yang amat sangat
- Dikhuatiri mati dalam keadaan Suul Khatimah (mengakhiri ajal dengan kejahatan)

Seksaan semasa di dalam kubur
- Ketika ditanya olek Munkar dan Nakir, dia sangat sedih dan tidak boleh member jawapan
- Kuburnya menjadi sangat gelap
- Kuburnya menyempit sehingga tulang-tulang rusuknya berselisih

Sksaan semasa hari akhirat
- Ketika dihisab, amal buruknya lebih banyak daripada amal baik
- Allah SWT. sentiasa murka kepadanya
- Diseksa olek Allah SWT. dengan api neraka

Meninggalkan sembahyang pula bereti seseorang itu secara terus-terang meruntuhkan tiang agama. Jika tiang agama runtuh maka amalnya juga runtuh dan mereka ini termasuk dalam golongan yang sangat rugi sama ada di dunia ataupun akhirat. 

Sabda Rasulullah SAW bermksud: “Islam didirikan atas lima dasar : Mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan puasa di dalam bulan Ramadan. ” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Justeru, tunaikan sembahyang biarpun dalam keadaan apa sekalipun, ketika aman mahupun perang, di masjid atau di mana-mana sahaja.

SEMPURNAKAN SEMBAHYANG BIAR DALAM KEADAAN APA SEKALIPUN

Sembahyang merupakan ibadah yang penting, istimewa dan unik. Sembahyang dapat menghubungkan insan dengan penciptanya secara langsung.

Sembahyang juga merupakan ibadah yang pertama disyariatkan dan yang paling akhir ditinggalkan oleh manusia. Dari segi amalan ibadah sembahyang dipenuhi dengan sebutan takbir, tahmid dan zikir.

Sabda Rasulullah SAW bermksud: “Islam didirikan atas lima dasar: Mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan puasa di dalam bulan Ramadan. ” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sembahyang adalah merupakan ibadah yang ringan yang mampu dikerjakan oleh setiap orang. Ringan atau beratnya ibadah sembahyang bergantung kepada keimanan seseorang itu.

Ganjaran sembahyang adalah amat besar sekali. Ibadah ini dapat membantu menyelamatkanmanusia daripada azab akhirat. Ibadah ini juga dapat menghilangkan kegelisahan, mendatangkan ketenteraman, ketenangan dan kebahagiaan.

Keistimewaan, keunikan dan keunggulan sembahyang dapat difikirkan dan dihayati oleh insan yang memahami erti segala ucapan, perbuatan dan segala gerak-geri yang dilakukan ketika melakukan ibadah sembahyang.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sembahyanglah sebagaimana kamu melihat aku sembahyang” (Hadis riwayat Bukhari)

Perlakuan Rasulullah SAW. ketika sembahyang bukan hanya sekadar mementingkan kewajipan lahir seperti berwudhuk, berpakaian suci dan kemas, menghadapkan muka ke arah kiblat tetapi baginda juga mengambil berat tentang sesuatu yang berhubung kait dengan yang batin misalnya memahami dan menghayati erti bacaan, perbuatan dan segala perlakuan sembahyang. Dengan kata lain Rasulullah SAW. melakukan sembahyang dengan kesungguhan lahiriah dan batiniah.

Apabila seseorang mempraktikkan sembahyang cara Rasulullah SAW sudah pasti mereka akan dikurniakan ketenangan dan ketenteraman lahiriah dan batiniah.

Sebaliknya jika mereka cuai mengikuti cara Rasulullah SAW. maka kerugianlah yang akan menimpa mereka sama ada di dunia atau di akhirat. Dengan kata lain, sembahyang yang mereka kerjakan adalah sia-sia dan tidak mendapat ganjaran daripada Allah SWT.

Justeru, tunaikan sembahyang biarpun dalam keadaan apa sekalipun, ketika aman mahupun perang, di masjid atau di mana-mana sahaja.

Sesiapa yang menjaga solat, maka Allah akan menjaganya dalam ususan kehidupannya di dunia dan akhirat. Sembahyang menjadi benteng daripada melakukan perkara yang ditegah.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu boleh mencegah daripada perbuatan jahat dan keji.” (Surah Al-Ankabut, ayat 45)

Luangkan masa untuk menyempurnakan solat, kerana dengan itu akan mudahlah urusan lain hidup di dunia ini di sempurnakan.  

Firman Allah SWT bermaksud: “Peliharalah semua sembahyang dan sembahyang wusta (sembahyang yang paling baik) dan berdirilah kamu untuk Allah dalam keadaan khusyuk. ” (Surah al-Baqarah, ayat 238)

SEBAR KASIH SAYANG HINDAR KEBENCIAN


Seorang muslim dengan muslim lainnya adalah bersaudara. Maka, tidak sepatutnya ada kebencian yang tertanam dalam diri setiap muslim.

Amalan permusuhan yang bekepanjangan, dan sifat dengki yang menguasai akhlak muslim akan menjadi barah merosakkan pekerti muslim.

Islam adalah rahmat atau kasih sayang. Jadi tiada hari tanpa kasih sayang, dan pengamalan kasih sayang tersebut merupakan amalan hingga ajal menjemput.

Banyak ayt al-Quran dan hadis menyebut mengenai kasih sayang, larangan saling membenci, bermusuhan dan dengki.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara, karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu, dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10) 

Allah SWT  juga berfirman bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu, yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum, yang Allah mencintai mereka, dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah-lembut terhadap orang-orang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang, yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Maidah, ayat 54)

Allah SWT berfirman bermaksud: "Muhammad itu adalah utusan Allah, dan orang-orang yang bersama dia (orang-orang beriman), adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka." (Surah al-Fath, ayat 29)

Manakala sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Janganlah engkau semua saling benci-membenci, saling dengki-mendengki, saling belakang-membelakangi dan saling putus-memutuskan  ikatan persahabatan atau kekeluargaan dan jadilah engkau semua hai namba-hamba Allah sebagai saudara-saudara. Tidaklah halal bagi seseorang Muslim kalau ia meninggalkan  yakni tidak menyapa saudaranya lebih dari tiga hari." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah SWT berfirman, "Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain," (Surah al-Hujaraat, ayat 12).

Nabi SAW bersabda, "Kalian telah terjangkiti penyakit umat sebelum kalian, iaitu dengki dan angkara murka yang dapat mencukur (memusnahkan). Aku tidak katakan mencukur rambut, tetap dapat mencukur (memusnahkan) agama. Demi Zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, kalian tidak akan masuk ke dalam syurga  hingga kamu beriman dan kamu tidak akan beriman hingga kamu saling menyayangi. Mahukah kalian aku beritahu cara menumbuhkan hal itu? Iaitu  sebarkan salam di antara kalian," (Hadis riwayat Tirmiz, Ahmad dan Bukhari)

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis di atas, ternyata Islam amat mementingkan kasih sayang dan persaudara.  Maka itu dilarang sama sekali sebarang perbuatan atau sikap yang boleh menyebabkan perbalahan dan perpecahan.

Marilah seluruh umat Islam bersatu agar menjadi kuat dan kukuh serta menjadi contoh kepada penganut agama lain.