Wednesday, 17 October 2018

LIHAT BUNGA SEBAGAI TERAPI JIWA

Menanam pokok bunga satu hobi patut diamalkan. Namanya pokok bunga, namun tidak semestinya semua jenis berbunga. Ada pokok bunga sebenarnya hanya cantik pada daun-daun. Tidak kisahlah, yang penting kita dapat melihat satu pandangan yang cantik di hadapan halaman rumah.

Kegembiraan menanam pokok bunga ada bebeapa peringkat. Peringkat pertama tentulah kegembiaan apabila pokok yang ditanam tumbuh. Itu kalau yang guna biji. 

Kalau yang guna keratan batang atau rizon, tentu sekali apabila melihat pokok mula menunjukkan ada tunas baru atau tidak layu. Itu tandanya pokok yang dipindahkan itu sedia untuk membesar. Perasaan gembira dan senang hati adalah satu terapi jiwa yang paling hebat.

Penanam bunga akan terus rasa gembira apabila melihat ada tanda-tanda bunga akan keluar. Perasaan tidak sabar untuk menunggu detik seterusnya. Pokok terus dibelai dan disiram dengan penuh kasih sayang. 

Kata orang, menanam bunga macam juga menjaga anak yang perlu dilakukan dengan kasih sayang. Kalau tidak dibuat begitu, pokok bunga merajuk tidak mahu berbunga.

Apabila bunga mula keluar, berasa gembira dan puas. Dan tentu sekali kegembiraan dan kepuasan terpancar apabila bunga mula mekar dan setengahnya pula mengeluarkan bau semerbak harum. 

Puasnya tidak terkira dan ingin terus melihat bunga kembang agar tidak layu. Namun, apakah daya, setiap bunga pasti akan layu, sepertimana setiap bernyawa pasti akan mati.

Jangan difikirkan tentang yang telah layu. Bunga-bunga baru akan tumbuh kembali dan tiba masanya akan kembang. Jadi, jangan pernah jemu untuk menanam bunga.

No comments:

Post a Comment