Thursday 20 September 2018

LADANG TEH CAMERON HIGHLANDS


Cameron Highlands terkenal sebagai pengeluar teh tanah tinggi terbesar negara. Ladang teh di Cameron Highland dibuka sebelum Perang Dunia Kedua lagi. 

Sebenarnya, salah satu daya tarikan utama pengunjung ke Cameron Highlands ialah hendak melawat ladang teh. Pemandangan indah ladang teh yang luas saujana mata memandang hanya dapat disaksikan di Cemeron Highlands.

Ladang teh di Cameron Highlands mula dibuka sejak tahun 1926. Kawasan tersebut dipilih memandangkan teh yang ditanam di tanah tinggi lebih bermutu tinggi dari segi aroma dan muda membesar. Suhu di Cemeron Highlands antara 14 hingga 23 darjah Celsius. 

Dua kawasan utama ladang teh di Cemeron Highlands ialah di Ringlet dan Sungai Palas. Kilang memproses teh pertama di Sungai Palas milik sebuah syarikat pengeluar utama teh masih lagi beroperasi dan sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelancong untuk melihat proses pengeluaran teh.

Jika berkunjung ke Cameron Highlands melalui Tapah, sebelum sampai ke Tanah Rata, bandar utama di Cameron Highlands, pengunjung berpeluang singgah di salah sebuah ladang teh terbesar. 

Ladang tersebut terletak di tepi jalan utama dan terdapat anjung yang disediakan untuk pengunjung bersantai melihat pemandangan indah sambil menghirup air teh di kafetaria.  Selain kafetaria, terdapat gerai khas menjual teh dan cenderahati. 

Selain teh, tanaman utama di Camerons Highlands ialah pelbagai jenis sayur dan bunga. Buah strawbery yang ditanam dalam skala besar di Cameron Highlands kini menjadi buah tangan wajib bagi setiap pengunjung untuk dibawa pulang.

No comments:

Post a Comment