Friday 20 January 2017

Saman kerajaan batal biasiswa MARA

Mengapa penting Perkara 153 kepada orang Melayu?  Banyak orang Melayu tidak sedar pencapaian atau kedudukan hari ini adalah hasil daripada wujudnya Perkara 153 dalam Perlembagaan Melaysia. 

Malang sekali, ada Melayu mempersoalkan kepentingan Perkara 153. Malah mengaitkan ia sebagai satu perkara yang ditegah oleh Islam kerana mengamalkan sikap perkauman dan assabiyah. 

Sebab itulah menyebabkan ada pelajar terpengaruh dan mempersoalkan kewajaran Perkara 153. Di sini diperturunkan soalan yang pernah dilontarkan oleh pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara.  

Soalan ditujukan kepada penceramah Buzze Azam, yang juga seorang peguam terkenal, terutama dalam memperjuangkan kedudukan Melayu dan Islam. 

Soalan pelajar: Di sebabkan Islam adalah agama bagi Persekutuan, bagaimana pula jika ada peruntukan dalam perlembagaan yang bertentangan dengan Islam, contohnya Hak Istimewa Melayu adalah bertentangan dengan Islam kerana Islam melayan manusia itu samarata kecuali iman dan takwa. Apa pandangan tuan penceramah?

Jawapan oleh Buzze Azam: Ini adalah soalan yang sangat baik dan mencabar minda dan kepercayaan saya. Baiklah, anda adalah salah seorang pelajar tajaan MARA yang akan ke luar negara dengan biasiswa penuh. Anda adalah sebahagian daripada Hak Istimewa Melayu yang anda katakan bertentangan dengan Islam.

Baiklah, untuk menjawab soalan anda, bagaimana jika anda lantik saya sebagai peguam, dan kita saman kerajaan di Mahkamah menggunakan saluran Semakan Kehakiman dan kita mohon deklarasi dari Mahkamah yang biasiswa MARA yang sedang anda terima sekarang ini adalah tidak sah dan terbatal kerana bertentangan dengan Islam.

Maka kita tunggulah keputusan mahkamah nanti sama ada biasiswa anda sekarang ini sah atau tak sah di sisi Islam. Soalan saudara ini tak boleh dijawab secara teori sahaja. Kita mesti buktikan melalui mahkamah.

Sepertimana dulu ada seorang pengedar dadah bernama Che Omar Che Soh telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Beliau mencabar keabsahan hukuman gantung tersebut atas alasan bahawa hukuman gantung tersebut adalah bertentangan dengan Islam kerana hukuman gantung tiada dalam hukum hudud mengedar dadah sedangkan Islam adalah agama Persekutuan.

Kes berkenaan adalah sebijik dengan soalan saudara. Bezanya Che Omar saman kerajaan di mahkamah. Adakah saudara sudi lantik saya jadi peguam bagi menyaman kerajaan mempersoalkan biasiswa yang sedang saudara terima sekarang atas alasan ianya bertentangan dengan Islam?

Setelah jawapan diberikan, pelajar yang bertanya soalan tadi menggelengkan kepala beliau.

1 comment:

  1. bodoh macam lembu hantar belajar keluar negara pun mmbazir duit je..lebih baik duduk kat kampung nolong mak bapak

    ReplyDelete