Friday 20 January 2017

Hudud zaman Kesultanan Melaka

Hudud pernah dilaksanakan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Berdasarkan Sulalatus Salatin, undang-undang Islam mula diterapkan dalam Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka ketika zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah.

Sebelum itu, undang-undang di Melaka berteraskan adat dan agama Hindu yang kuat mengamalkan sistem kasta. Golongan bangsawan dan pemerintah kebal daripada menerima sebarang bentuk hukuman atas kesalahan yang dilakukan. Melainkan, kesalahan yang berkaitan dengan melawan pemerintah, pasti diperangi biarpun melibatkan sesama saudara.

Perkara ini berubah dengan ketara apabila undang-undang Islam diamalkan. Sesuai dengan perlaksanaan hukuman Islam yang tidak mengenal darjat dan keturunan, semua yang bersalah dikenakan hukuman yang sewajarnya.

Pengamalan Undang-undang Islam termasuk hudud sebenarnya banyak mengubah landskap pentadbiran dan politik di Melaka. Menariknya, tidak lama selepas Sultan Muzaffar Syah menerapkan undang-undang Islam, Melaka mencapai kegemilangannya terutama di bawah pemerintahan Sultan Mansur Syah.

Jika merujuk lagi sumber Sulalatus Salatin, ketika hudud dilaksanakan di Melaka, rakyat Melaka rata-ratanya orang kaya. Ini sebagaimana yang dicatatkan "Maka Hang Nadim pun pergilah naik kapal Hang Isap; kerana orang Melaka pada masa itu, rata-rata berkapal segala yang bermodal". Kemakmuran dan kekayaan yang melanda kerajaan Melaka ialah kerana kepesatan aktiviti perdagangan di bumi Melaka.

Apabila undang-undang Islam diamalkan, pelabuhan Melaka menjadi pelabuhan yang paling aman di Nusantara sehingga menyebabkan para pedagang asing suka singgah berdagang di sini. Barangkali, inilah keberkatan yang diperolehi oleh rakyat jelata di Melaka hasil dari pengamalan undang-undang Islam.

Para kerabat sultan juga tidak kebal sepenuhnya sebagaimana zaman sebelum undang-undang Islam dilaksanakan. Ini dapat dibuktikan dalam peristiwa pembunuhan Tun Besar oleh Raja Muhammad. Akibat membunuh Tun Besar, Raja Muhammad yang merupakan pewaris takhta kerajaan Melayu Melaka telah dilucutkan takhtanya dan beliau dibuang negeri ke Pahang.

Maka itu, Sultan Alauddin Riayat Syah mewarisi takhta kesultanan Melaka walaupun beliau bukanlah putera sulong. Walaupun hukuman ini tidak setimpal, tetapi sekurang-kurangnya ia mengubah landskap politik di Melaka yang mana sebelum ini kerabat diraja bebas dari hukuman.

Selain itu, di Melaka, sultan-sultan amat menghormati golongan ulama. Sekali pun sultan yang berperibadi negatif seperti Sultan Mahmud Syah, yang amat jelik kisah kemungkaran untuk diceritakan. Namun sikap beliau yang menghormati para ulama wajar dijadikan contoh.

Siapa yang tahu, barangkali inilah keberkatan dalam melaksanakan undang-undang Islam di Melaka. Sulalatus Salatin menceritakan bahawa beliau sanggup berjalan kaki ke rumah Maulana Yusuf, seorang ulama dan bekas kadi di Melaka semata-mata mahu belajar agama.

Undang-undang Islam sesuai diamalkan sepanjang zaman. Manusia yang menuruti acuan perjalanan hidup yang ditetapkan oleh Allah SWT pasti mendapati ia cara hidup yang terbaik.

Sebagai umat Islam, kita mesti yakin bahawa undang-undang Allah SWT adalah undang-undang terbaik. Pun, dalam melaksanakan undang-undang ini, sebagai manusia yang banyak kelemahan, kerajaan-kerajaan Islam yang lampau dan masa kini pasti tidak akan terkecuali dari memiliki kelemahan-kelemahan.

Yang lemah kita pakat-pakat baiki bukannya saling menyalahkan. Jujurlah dalam usaha perlaksanaan hukum Islam dan usahlah dijadikan modal politik semata-mata. Sesungguhya Allah SWT menilai sesuatu perbuatan dan amalan berdasarkan kepada niat.

No comments:

Post a Comment