Tempat jatuh lagi dikenang, inikan
pula tempat melepak dan bertemu kekasih. Setiap tempat tumpuan tentu sekali
menjadi ingatan kepada mereka yang pernah ada peristiwa dan kenangan di situ.
Di Kota Bharu, Kelantan satu tempat yang menjadi lokasi atau destinasi kenangan
bagi kebanyakan rakyat Kelantan ialah Stesen Bas Kota Bharu.
Stesen Bas Kota Bharu antara bangunan batu
tertua di Kota Bharu. Lama sungguh stesen bas ni, sejak tahun 1947 lagi. Sejarah
stesen ini bermula bila North Eastern Transport Services (NETS) milik
bumiputera buka syarikat pengangkutan untuk Kelantan.
Mula-mula laluan bas ini beroperasi
kawasan berhampiran bandar Kota Bharu sahaja. Perkhidmatan antara bandar yang
terletak jauh tidak dapat dilakukan kerana keadaan jalan yang tidak elok.
Antara jenis bas terawal yang
digunakan ialah "mosquito bus". Jenis itu dianggap terbaik pada
ketika itu. Masa berubah, pekhidmatan basa semakin penting untuk membawa
penumpang ke Kota Bharu. Syarikat semakin berkembang dan bilangan bas ditambah
selari dengan peningkatan penggunaan.
Pada 1967, nama NETS ditukar kepada
nama Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK). SKMK masih kekal sehingga
sekarang.
Biarpun operasi bas di Kota Bharu
telah bertambah dan memerlukan stesen bas lebih luas dan selesa, Stesen Bas
Kota Bharu masih kekal untuk kegunaan antara bandar dalam Kelantan.
Stesen bas ekspres untuk perjalanan
jarak jauh pernah beroperasi di Langgar dan Jalan Hamzah. Kedua-dua stesen bas
itu telah ditutup dan kini hanya beroperasi di Stesen Lembah Sireh.
Stesen Bas Kota Bharu masih beroperasi
sehingga sekarang biarpun tidak lagi popular seperti dahulu. Sekarang ramai
orang ke Kota Bharu menggunakan kenderaan sendiri sama ada kereta atau
motosikal. Ini berbeza pada masa dahulu kebanyakan orang ke bandar Kota Bharu
hanya menggunakan perkhidmatan bas.
Dahulu, stesen bas itu menjadi tumpuan
untuk bertemu. Turun dari bas, mereka akan berada di situ untuk menunggu rakan.
Bahkan, ada yang sengaja berada di situ untuk mencuci mata. Sebab itu, biarpun
ada bas untuk pulang, ada yang sanggup menangguhkan perjalanan dan menanti trip
seterusnya.
Stesen Bas Kota Bharu menjadi saksi
pertemuan kekasih dan ada yang mula bertemu di situ. Kedudukan stesen bas itu
di tengah-tengah bandar Kota Bharu. Jadi, pengguna mudah untuk melakukan urusan
seperti membeli belah, urusan bank dan pejabat kerajaan dengan hanya berjalan
kaki dari stesen bas itu.
Pada masa dahulu, hari paling sibuk di
Stesen Bas Kota Bharu ialah pada hari Khamis dan Sabtu. Pada hari Khamis kerana
kerja separuh hari. Manakala pada hari Sabtu, biarpun hari kerja tetapi untuk
golongan muda yang masih belum bekerja, hari Sabtu adalah hari berhibur.
Pada hari Sabtu di bandar Kota Bharu
meriah macam pesta. Masing-masing mengambil peluang turun ke Kota Bharu. Perkhidmatan
bas memang penuh. Ada yang sanggup turun awal semata-mata agar tidak terlepas
untuk berada di bandar Kota Bharu pada masa dijanjikan.
Sesiapa yang sesat di dalam bandar
Kota Bharu dan sukar untuk mencari stesen bas, petuanya mudah sahaja. Dongok di
atas dan carilah menara pemancar kepunyaan Telekom Malaysia yang kedudukannya
berhampiran dengan stesen bas. Masa dahulu pemandan tidak terhalang kerana
tidak terdapat banyak bangunan tinggi.
Bangunan Stesen Bas Kota Bharu yang
masih kekal dan tidak berubah seperti mula dibina dahulu kini dianggap sebagai
'monumen sejarah' denyut nadi Kota Bharu dan menjadi ingatan seluruh warga
Kelantan terutama generasi lama yang pernah menggunakan perkhidmatan bas.
No comments:
Post a Comment