Monday, 15 December 2025

MEMAJUKAN SEKTOR PERTANIAN

 
Sektor pertanian bukan sekadar menghasilkan produk asas pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Lebih dari itu, kerajaan menetapkan sasaran menjadikan sektor pertanian turut merangkumi aktiviti industri atau hiliran menggunakan produk asas pertanian yang dihasilkan. 

Usaha memugarkan semula sektor pertanian bukan tugas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan semata-mata. Usaha ini memerlukan penyertaan bersama pentadbiran bermula di peringkat kampung, mukim, daerah, negeri dan seterusnya peringkat pusat dalam program pembangunan sektor pertanian.

Untuk memajukan bidang pertanian memerlukan kepada usaha pemodenan dan transformasi pertanian, pemindahan teknologi, serta penyertaan pihak swasta menceburi bidang pertanian secara berskala besar.

Usaha meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara perlu dilakukan sebagai industri moden, dinamik dan kompetitif. Ini bagi memastikan sektor pertanian mampu mendatangkan pulangan yang menarik kepada individu atau pihak yang terlibat dalam sektor berkenaan. 

Petani komersial di negara kita mampu memperoleh pendapatan lumayan. Sudah banyak petani moden dan berskala besar mampu memperoleh pendapatan lumayan sehingga mencecah lebih 100,000 ringgit setahun. Bahkan, ada petani komersial kini bergelar jutawan hasil perusahaan pertanian yang dijalankan.

Ini bukti kekayaan boleh diperoleh jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan sistematik. Pihak kerajaan sentiasa membuka tawaran untuk petani mendapat bantuan pinjaman mengusahakan ladang, membeli peralatan pertanian moden dan khidmat nasihat. 

Kerajaan telah menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap pembangunan sektor pertanian. Bergantunglah kepada rakyat, khusus di kalangan mereka yang telah menceburi bidang ini untuk peluang yang terbentang luas.

Tenaga golongan muda diperlukan untuk meningkatkan produktiviti di desa dan mengubah corak hidup di desa. Lebih banyak lulusan pengajian tinggi diperlukan sebagai petani. Sikap siswazah yang lebih rela menganggur daripada menjadi petani membuktikan sikap tidak matang dan tidak melihat peluang terbuka luas dalam bidang pertanian.  

Negara sedang berusaha melahirkan petani komersial atau korporat yang menjadikan bidang tersebut dipandang tinggi dan mendapat pengiktirafan sewajarnya. Ini tentulah memerlukan tenaga kerja yang mahir dan berpendidikan tinggi. 

Sekarang ini kira-kira 95 peratus aktiviti pertanian dilakukan secara tradisional yang berorientasikan kecil-kecilan dan tempatan. Aktiviti pertanian cara ini dilakukan secara turun temurun dan sekadar bermatlamatkan memenuhi keperluan sara hidup seadanya. 

Untuk itu diperlukan golongan muda berpendidikan, bermotivasi, berkeyakinan dan cekal menyertainya. Bidang pertanian perlu dijalankan berorientasikan komersial secara besar-besaran yang diuruskan secara profesional dan menggunakan teknologi secara intensif dan berdaya saing dengan mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa. 

Revolusi berfikir dan meletakkan matlamat yang tinggi terhadap sektor pertanian amat perlu dilakukan. Sektor pertanian perlu dilihat sebagai satu industri nasional dan bukannya berorentasikan kerja kampung. Bidang pertanian mampu menjadi  penyumbang utama kesejahteraan negara. 

No comments:

Post a Comment