Saturday, 14 February 2026

DI BUKIT CANDU PERTEMPURAN TERAKHIR

 
Tentera Jepun mula menyerang dan mendarat di Pantai Pak Amat, Kota Bharu pada 8 Disember 1941, kira-kira jam pukul 1.15 pagi. Ia menandakan bermulanya Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu.

Seramai 5,300 orang tentera Jepun yang dikenali Detasemen Takumi yang dipimpin Mejer Jeneral Takumi terlibat dalam serangan tersebut. Detasemen Takumi adalah sebahagian kekuatan daripada Ketumbukan ke 25 pimpinan Leftenan Jeneral Yamashita yang dipertanggungjawabkan untuk menakluki Malaya.

Pendaratan tentera Jepun telah ditentang hebat oleh tentera British berketurunan Punjab yang berada dalam kubu kebal di tepi pantai.

Pertempuran di tepi pantai berlangsung sepanjang hari mengakibatkan seramai 320 orang tentera Jepun terbunuh dan 538 orang lagi mengalami kecederaan. Bagaimanapun, tentera Jepun memperoleh kejayaan besar mendarat di situ.

Setelah mendarat, tentera Jepun terus mara dan menguasai Lapangan Terbang Pengkalan Chepa yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Pantai Sabak pada pukul 8.00 malam, iaitu kira-kira tujuh jam 45 minit selepas mendarat. 

Bandar Kota Bharu pula berjaya ditawan pada pukul 2.00 petang keesokan harinya. Sebelum berjaya menawan Kota Bharu, tentera Jepun terpaksa berdepan dengan tentangan hebat tentera British yang bertahan di sepanjang Jalan Pengkalan Chepa, Jalan Tok Hakim, Jalan Temenggong dan Jalan Padang Garong.

Setelah menguasai Kota Bharu, tentera Jepun terus mara ke selatan dan sedikit demi sedikit dengan mengayuh basikal dan kenderaan tentera lain terus menguasai Tanah Melayu hingga ke Johor Bharu pada 31 Januari 1942, iaitu selepas 54 hari mendarat di Kelantan.

Pergerakan tentera Jepun dari satu kawasan ke kawasan ke selatan mengguna basikal. Penggunaan basikal lebih mudah walaupun kebanyakan jambatan telah dibom oleh tentera British ketika proses berundur ke selatan.

Tentera Jepun berjaya mendarat di Singapura pada 8 Febuari 1942 untuk mengalahkan tentera British yang masih bertahan di pulau tersebut. Kisah keberanian Leftenan Adnan menentang tentera Jepun di Bukit Candu, Pasir Panjang, Singapura adalah antara pertempuran terakhir sebelum British secara rasmi menyerah kalah.

Pada 15 Febuari 1942, Komandan tentera British, Leftenan Jeneral A.E. Percival secara rasmi mengaku kalah kepada Jepun yang diketuai Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita. Ini bermakna seluruh Tanah Melayu, termasuk Singapura yang sebelum itu dikuasai British jatuh ke tangan tentera Jepun dalam misi peperangan selama 70 hari.

No comments:

Post a Comment