Pantai Pak Amat dan
sekitar Pulau Panjang di Kelantan merupakan tempat pertama pendaratan
tentera Jepun di Tanah Melayu.
Tentera Jepun mula menyerang dan mendarat di Pantai Pak Amat pada 8 Disember 1941, kira-kira jam pukul 1.15 pagi. Seramai 5,300 orang
tentera Jepun yang dikenali Detasemen Takumi yang dipimpin Mejer Jeneral Takumi
terlibat dalam serangan tersebut.
Detasemen tersebut terdiri Rejimen Ke 56 Infantri, satu
bateri meriam, dua laras meriam tembak cepat, satu bateri meriam antipesawat,
satu kompeni jurutera, satu seksyen semboyan dan satu seksyen bantuan
perubatan. Detasemen tersebut turut dilengkapkan dengan satu hospital medan.
Detasemen Takumi adalah sebahagian kekuatan daripada
Ketumbukan ke 25 pimpinan Leftenan Jeneral Yamashita yang dipertanggungjawabkan
untuk menakluki Malaya.
Anggota ketumbukan tersebut menaiki kapal perang Awagisu
Meru, Ayatosan Meru dan Sakura Meru dengan diiringi oleh empat buah kapal lain.
Ketika kapal-kapal tersebut berada kira-kira dua kilometer menghampiri pantai,
telah ditembak oleh meriam dan kapal terbang perang tentera British sehingga
musnah.
Ketika kapal mereka hampir tengelam, sebahagian tentera
telah berjaya diturunkan menaiki bot-bot kecil. Selebihnya terpaksa terjun ke
laut dan berusaha berenang ke pantai. Mereka telah dibekalkan
dengan pelampung getah.
Pendaratan tentera Jepun telah ditentang hebat oleh
tentera British berketurunan Punjab yang berada di dalam kubu kebal di tepi
pantai. Tentera Jepun terpaksa membina kubu sementara dengan menggali pasir
pantai menggunakan tangan hingga paras bahu. Pergerakan agak terbatas kerana
waktu malam yang gelap.
Jadi, tentera Jepun terpaksa menghentikan sementara
pergerakan menuju ke darat, menunggu waktu siang. Selain halangan tembakan,
serangan tentera Jepun berhadapan rintangan kawat berduri dan periuk api yang
dipasang tentera British. Banyak tentera Jepun terkorban akibat letupan periuk
api di sepanjang kawasan pantai.
Pertempuran di tepi pantai berlangsung sepanjang hari
mengakibatkan seramai 320 orang tentera Jepun terbunuh dan 538 orang lagi
mengalami kecederaan. Bagaimanapun, tentera Jepun memperoleh kejayaan besar
mendarat di situ.
Pendaratan di Pulau Panjang dan Pantai Pak Amat adalah
bertujuan memudahkan menguasai Lapangan Terbang Pengkalan Chepa yang menjadi
pengkalan pertahanan udara utama tentera British. Banyak pesawat tempur British
ditempatkan di situ.
Pemilihan itu dilakukan hasil intipan yang dilakukan Kolonel Masanobu Tsuji sebanyak dua kali menggunakan kapal terbang. Tsuji dalam laporannya kepada pihak atasan tentera Jepun menegaskan:
“Nampaknya pengkalan udara di Kota Bharu itulah pihak British tidak ragu lagi dapat
mengancam kawasan Singgora, dan kapal-kapal terbang British siap siaga menyerang pasukan yang mencuba hendak
mendarat di Singgora dan Patani. Sekiranya British
menggunakan pengkalan udaranya di Kota Bharu dengan sebaik-baiknya, pendaratan di Singgora tidak dapat dilakukan. Oleh sebab itu kita mesti menawan Kota Bharu serentak dengan pendaratan kita di Singgora
dan di Patani.”
Setelah mendarat, tentera Jepun terus mara dan menguasai
Lapangan Terbang Pengkalan Chepa yang terletak kira-kira tiga kilometer dari
Pantai Sabak pada pukul 8.00 malam, iaitu kira-kira tujuh jam 45 minit selepas
mendarat.
Bandar Kota Bharu pula berjaya ditawan pada pukul 2.00
petang keesokan harinya. Sebelum berjaya menawan Kota Bharu, tentera Jepun
terpaksa berdepan dengan tentangan hebat tentera British yang bertahan di
sepanjang Jalan Pengkalan Chepa, Jalan Tok Hakim, Jalan Temenggong dan Jalan
Padang Garong.
Setelah menguasai Kota Bharu, tentera Jepun terus mara ke
selatan dengan mengayuh basikal dan kenderaan tentera
lain terus menguasai Tanah Melayu hingga ke Johor Bharu pada 31 Januari 1942,
iaitu selepas 54 hari mendarat di Kelantan.

No comments:
Post a Comment