Monday, 29 December 2025

ORKID DIKETEGORI TIGA KUMPULAN

 
Semua jenis orkid dianggap cantik dan sesuai dijadikan perhiasan. Orkid yang tumbuh liar di hutan juga cantik jika diambil dan ditanam di halaman rumah. Ia mudah dibiakkan dan penjagannya tidak rumit.

Orkid tergolong dalam keluarga Orchidaceae. Kini terdapat lebih daripada 30,000 spesies orkid yang hidup berkembang di merata dunia. Bilangan spesies orkid semakin bertambah dari hari ke hari melalui penghasilan dan pembiakan spesies baru. Setiap satunya mempunyai perbezaan dari segi bentuk, rupa maupun warna.

Banyak orang berminat hendak menanam orkid tetapi merasakan sukar dilakukan kerana tidak mempunyai pengalaman. Menanam orkid dianggap sukar kerana ia dikatakan berbeza dengan tanaman lain. Tambahan ia dianggap pokok hiasan golongan kaya.

Sebenarnya menanam orkid mudah seperti juga pokok hiasan lain. Penanam hanya perlu mengetahui beberapa ciri pembiakan, pertumbuhan dan cara menanam.

Pokok orkid dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut medium pertumbuhannya. Bagi orkid yang tumbuh di atas tanah dikenali terrestrial. Nama epiphytes pula bagi orkid tumbuh di atas pokok lain tetapi tidak mengambil zat makanan daripada pokok tumpangan itu. Manakala yang tumbuh di atas bahan organan dipanggil saprofitic.

Pertumbuhan orkid dibahagikan kepada dua jenis iaitu monopodia dan simpodial.   Pertumbuhan monopodia ini berlaku menegak ke atas. Ia mempunyai batang asas dan mengeluarkan daun dalam kedudukan berselang seli. Bunganya keluar di antara dahan dan daun. 

Kebanyakan orkid mempunyai cara pertumbuhan simpodial. Rizom atau tunas baru tumbuh dari pangkal tunas lama secara melintang. Di bahagian atas rizom tersebut biasanya wujud bebawang palsu. Bebawang palsu merupakan tempat simpanan bekalan makanan dan air yang digunakan apabila berlaku kekurangan zat makanan dan air.

Terdapat lima cara orkid dibiakkan, iaitu cara belahan dari pokok ibu atau induk, keratan batang, memotong anak ‘keike’, pembiakan tisu dan biji benih. Di antara kelima-lima cara pembiakan itu, teknik menggunakan keratan batang dan belahan induk paling popular dan mudah dilakukan serta cepat berbungga.

Pembiakan orkid untuk menghasilkan baka baru dilakukan secara pembiakan tisu. Teknik khas dilakukan untuk mendapatkan satu baka yang mempunyai ciri lebih menarik. Setiap baka baru dinamakan dan biasanya mengambil nama sempena sesuatu acara, tempat, pemimpin ternama dan sebagainya. 

No comments:

Post a Comment