Negeri
Kelantan terkenal dengan gelaran Serambi Mekah, yang menggambarkan Islam adalah kuat di
negeri tersebut.
Di Kelantan telah menjalankan hukum mengikut
al-Quran seperti di zaman pemerintahan Sultan Ahmad (1886-1889 M) dan Sultan
Mansur (1890-1900 M).
Sejak abad ke-19 lagi, negeri Kelantan terkenal sebagai pusat terpenting di rantau ini di mana Islam memainkan peranan mencorakkan kehidupan sosial dan politik rakyat jelata negeri itu.
Kelantan mempunyai sejarahnya yang tersendiri dengan melahirkan tokoh-tokoh yang terkenal, sama ada tokoh-tokoh politik, sasterawan, budayawan, mahupun tokoh-tokoh agama. Tokoh berkenaan mempengaruhi perkembangan fikiran, agama, kesusasteraan serta kebudayaan masyarakat yang tumbuh dan berkembang sejak beberapa abad yang lampau.
Orang yang paling awal menyampaikan pendidikan Islam di Kelantan ialah Tuan Syeikh Haji Abdul Halim. Beliau telah memulakan pengajarannya di Kelantan pada akhir abad ke-18 Masihi setelah menamatkan pembelajaran di Mekah.
Beliau telah menyampaikan pengajarannya di istana dan di
surau-surau untuk anak-anak raja, anak-anak pembesar dan orang ramai.
Pengajarannya telah mendapat sambutan daripada masyarakat Kelantan dan dari
luar negeri.
Kemasyhuran Kelantan serambi mekah berkait rapat dengan sekolah pondok. Hakikat ini adalah jitu kerana Kelantan ditakdirkan menjadi negeri percambahan sekolah pondok lebih daripada negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu.
Institusi
pondok merupakan institusi yang paling istimewa kedudukannya dalam masyarakat
Melayu tradisional, terutama masyarakat Kelantan. Pertumbuhannya berkait rapat
dengan kemunculan tokoh-tokoh ulama dan cendekiawan yang berwibawa.
Kemasyhuran Kelantan serambi mekah berkait rapat dengan sekolah pondok. Hakikat ini adalah jitu kerana Kelantan ditakdirkan menjadi negeri percambahan sekolah pondok lebih daripada negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu.
Perkataan pondok mungkin berasal perkataan Arab iaitu funduqun yang bererti rumah tumpangan atau tempat menginap pengembara-pengembara. Ada juga yang mendefinisikannya sebagai rumah kecil yang didirikan untuk sementara waktu di sawah-sawah, di ladang-ladang atau di lain-lain tempat.
Ulama-ulama pada umumnya di samping dianggap alim dalam ilmu agama, juga
dipercayai oleh orang ramai sebagai manusia yang berkat. Oleh kerana
menghendaki keberkatan itu tertumpu kepada diri mereka masing-masing demi untuk
mendapat restu serta keuntungan hidup di dunia dan di akhirat nanti, maka orang
ramai cuba pula mendekati diri masing-masing dan berbakti kepada ulama-ulama
tadi.
Apabila khabar didapati bahawa ada anak tempatan telah tamat belajar di Mekah
dan dianggap menjadi alim, mereka akan dinanti-nantikan oleh masyarakat di
Kelantan. Sebagai contohnya, sesampai sahaja Tuan Tabal di Pelabuhan Tumpat,
Kelantan, dari Mekah dengan sebuah kapal, beliau telah disambut oleh masyarakat
di situ termasuklah seorang pembesar negeri Kelantan pada masa itu yang
bergelar Tok Semian.
Semasa
di Tumpat itu juga, beliau telah ditawarkan oleh Tok Semian supaya berkahwin
dengan anak perempuannya yang bernama Wan Som. Di Lorong Tok Semian di dalam
bandar Kota Bharu, selepas perkahwinan itu, Tuan Tabal telah diwakafkan oleh
keluarga Raja Muda Zainal Abidin sebuah surau untuk beliau mengajar dan
beribadah di situ.
Begitu jugalah halnya dengan ulama-ulama yang lain. Antaranya ialah Tok Kenali.
Dikatakan apabila beliau kembali dari Mekah, beliau dikunjungi oleh
berduyun-duyun masyarakat setempat termasuklah sahabat-sahabat beliau sendiri.
Begitu
juga halnya dengan kedatangan Haji Muhd Said ke bandar Kota Bharu dari Negeri
Sembilan, pada penghujung abad ke-19 mendapat sambutan daripada masyarakat setempat. Beliau merupakan seorang ulama yang
dianggap wali serta berkat.
Sekarang
ini Kelantan terus gah dan diakui sebagai negeri yang pemerintah dan rakyatnya
mengamalkan kehidupan bersandarkan kepada tuntutan Islam.
Gambar - Pemandangan depan Masjid Muhammadi, Kota Bharu pada tahun 1907

No comments:
Post a Comment