Tuesday, 5 May 2026

SELADANG MAMALIA KEDUA TERBESAR

 
Seladang merupakan mamalia darat kedua terbesar di Malaysia selepas gajah. Tergolong dalam famili Bovidae di bawah order Artiodactyla, seladang mendiami hutan tanah pamah yang tidak terganggu dan bergantung kepada sumber air, jenut dan makanan.

Makanan kegemaran Seladang adalah rumput segar, herba, kulit pokok kayu dan pucuk di kawasan belukar. Seladang boleh didapati di Timur India hingga Indochina, Myanmar, Thailand dan Malaysia. Di Malaysia, Seladang hanya terdapat di Semenanjung Malaysia sahaja.

Seladang mempunyai ciri morfologi yang unik iaitu keempat-empat kakinya berwarna putih kekuningan dari paras lutut sehingga pangkal kukunya.

Seladang juga terkenal dengan tanduk yang melengkung dan kulit gelap, dengan sedikit warna coklat kemerahan di bahagian bahu dan punggung.

Seladang dewasa mempunyai sepasang tanduk yang bersifat kekal. Anak seladang yang baru lahir berwarna coklat terang dan berubah menjadi gelap setelah berumur lebih kurang 3 bulan.

Panjang keseluruhan tubuh badan seladang adalah 3 – 4 meter dan ketinggiannya mencecah 2 meter.

Berat individu jantan boleh mencapai seberat 900 kilogram manakala individu betina pula boleh mencapai seberat 680 kilogram.

Tempoh bunting seladang adalah selama 10 bulan dan hanya melahirkan seekor anak pada satu-satu masa.

Seladang hidup berkumpulan namun terdapat juga individu jantan yang hidup bersendirian dan aktif pada waktu malam. Apabila tiba musim mengawan, individu jantan akan bertarung sesama mereka bagi tujuan mendapatkan pasangan. 

Seladang kini semakin terancam. Habitatnya semakin berkurang akibat penebangan hutan dan pemburuan haram. Seladang adalah spesies yang perlu dilindungi supaya generasi akan datang juga boleh melihat keindahan mereka di alam semula jadi.

Seladang merupakan spesies mamalia yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

Catatan - Jenut (atau lebih dikenali sebagai jenut garam atau sira) ialah kawasan paya, lopak, atau becak di dalam hutan yang mengandungi mendapan garam mineral semula jadi.

No comments:

Post a Comment