Wednesday 26 July 2017

Faktor perniagaan pasar malam berjaya

Sikap peniaga yang ramah dan mesra berurusan dengan pelanggan menjadi faktor utama kejayaan perniagaan di pasar malam. Layanan secara baik membuatkan pembeli merasa selesa dan mudah menjalankan urus niaga dengan mereka. 

Selain itu, peniaga pasar malam juga lebih bertolak ansur dalam soal penawaran harga barang yang dijual mencetuskan kepuasan dalam diri pembeli. Budaya tawar-menawar apabila berbelanja di pasar malam merupakan satu kemestian. Mereka akan membuatkan pengguna mencari mereka lagi jika mengunjungi pasar malam sama.

Rata-rata rakyat Malaysia sangat ghairah jika ke pasar malam. Bukan itu sahaja, kehadiran pasar malam juga pasti dinanti. Pengguna juga berkira-kira untuk membeli barang dan bersabar menanti kehadiran pasar malam. 

Sedikit sebanyak kemunculan pasar malam membantu mereka melancarkan urusan harian. Bagi remaja dan kanak-kanak, waktu pasar malam peluang untuk keluar malam dan menikmati suasana meriah. Mereka sanggup berjimat wang saku sekolah bagi membolehkan berbelanja di pasar malam. 

Jika kita amati, setiap pengunjung yang hadir ke pasar malam tidak akan pulang dengan tangan kosong. Sekurang-kurangnya mereka akan pulang dengan bungkusan makanan kegemaran atau barangan keperluan. Biarpun kebanyakan pengunjung tidak membeli dalam kuantiti banyak, tetapi kalau hampir semua pengunjung membeli, bermakna jumlah urusniaga juga tinggi.  

Sebab itu, berniaga di pasar malam bukan peniaga kelas kedua. Mereka mampu mendapat keuntungan yang besar terutama pada musim perayaan. Resiko kerugian amat rendah, sedangkan peluang untung agak tinggi. Terdapat peniaga pasar malam berjaya mengumpul kekayaan mencecah jutaan ringgi setelah sekian lama berniaga.

Sebab itu peniaga pasar malam tidak mahu berpindah kepada premis tetap biarpun berpeluang melakukannya, kecuali mereka yang ingin menceburi perniangaan secara besar-besaran. Banyak peniaga berjaya mula berniaga di pasar malam, mendapat pengalaman dan modal, kemudian beralih kepada perniagaan yang lebih besar serta memberi pulangan keuntungan yang besar.

Jelas sekali, pasar malam memberi sumbangan yang besar melahirkan peniaga berjaya, terutama di kalangan kaum Melayu, selain memberi peluang kepada peniaga kecil menceburi bidang perniagaan yang menjanjikan pendapatan lumayan. 

Kewujudan pasar malam masih releven biarpun di kawasan yang terdapat banyak pusat belibelah serba canggih dan hebat.  

No comments:

Post a Comment