Wednesday 26 July 2017

Pasar malam lahir ushawan berjaya

Kewujudan pasar malam memberi kebaikan kepada peniaga dan pembeli. Berniaga di pasar malam boleh dimulakan dengan modal tidak besar. Kadar purata modal pusingan untuk memulakan perniagaan di pasar malam sekadar sekitar RM300 hingga RM1000 sahaja. Malah ada yang hanya bermodalkan beberapa puluh ringgit saja mengikut jenis barang yang dijual. 

Pengalaman dalam bidang perniagaan tidak begitu penting bagi mereka yang ingin mencuba peluang perniagaan di pasar malam. Ini kerana ia tidak melibatkan banyak ‘strategi’ atau ilmu khusus mengenai perniagaan. Saiz perniagaan di pasar malam juga tidak ditetapkan. Peniaga boleh menjalankan perniagaan secara berdiri, meja kecil, gerai, hamparan, longgok atas kenderaan dan sebagainya. 

Kadar keuntungan bergantung kepada jenis barang atau produk yang anda jual. Produk makanan dan minuman biasanya boleh memberi kadar keuntungan sehingga mencecah 100% hingga 200% daripada modal dibelanjakan. Namun resikonya besar jika tidak laku atau hari hujan. Makanan dan minuman tidak boleh disimpan untuk berniaga pada hari keesokkannya.  

Perniagaan di pasar malam amat ringkas dan mudah. Peniaga tidak memerlukan pengetahuan khusus mengenai produk yang dijual. Pembeli tidak banyak soal berkaitan barang di pasar malam. Mereka lebih bersikap tengok dan jika sesuai terus membeli dengan tawar menawar harga. 

Berniaga di pasar malam tidak sukar untuk mencari produk yang sesuai. Apa-apa saja produk boleh dicuba diniagakan di pasar malam. Kebanyakannya berkaitan keperluan dapur, makanan, minuman, pakaian, buah-buahan, sayur-sayuran, peralatan berkebun, cenderahati dan sebagainya. Peniaga di pasar malam berpeluang memasarkan pelbagai produk yang mendapat permintaan tinggi di pasaran. Mereka tidak berniaga produk sama sepanjang masa.

Malah terdapat pembekal yang beri peluang memasarkan produk mereka tanpa perlu mengeluarkan modal. Barang dibekal dan hanya perlu membayar yang laku dijual. Barang tidak laku boleh dipulangkan sepenuhnya. Peniaga mendapat untung jualan yang juga boleh dianggap upah menjual. Mereka tidak berdepan masalah tanggung rugi terhadap produk. 

Setengah-setengah peniaga berniaga di pasar malam untuk memasarkan barangan mereka sendiri atau barangan orang lain. Contohnya, mereka mempunyai kemahiran memasak lalu mereka menjual makanan seperti lauk-pauk, kuih-muih, biskut dan kek dan sebagainya.

Kini banyak perniagaan di pasar malam menggunakan konsep francise yang mana pembekal menyediakan peralatan dan produk untuk dijual dengan bayaran yang berpatutan serta perlu mengikut terma yang ditetapkan. Mereka tidak perlu memikirkan tentang resipi produk dan pengiklanan. Semuanya diuruskan oleh pemilik francise. Perniagaan cara ini semakin berkembang dan banyak terdapat di pasar-pasar malam. 

Peniaga tidak sukar untuk memilih pasar malam yang sesuai. Memang ada pasar malam yang sudah sesak dan tidak dapat menerima peniga baru. Bagaimanapun masih banyak pasar malam lain boleh dijadikan tapak berniaga, biarpun mungkin tidak mendapat sambutan hangat. Apa yang penting peluang masih ada dan peniaga perlu bijak menarik minat pembeli. 

Ada peniaga sanggup pergi ke satu-satu pasar malam biarpun jarak melebihi 100 KM dari tempat kediaman. Namun tidak kurang juga yang hanya berniaga di pasar malam yang tidak jauh dari tempat kediaman sebagai kerja sambilan menambah pendapatan. Pada waktu siang mereka ada perkerjaan tetap lain, menghalang pergi ke tempat jauh yang bukan saja mengambil masa bahkan memenatkan.

Biasanya pasar malam yang bersaiz kecil tidak ramai pengunjung, tetapi tidak bermakna peniaga tiada peluang untuk mendapat untung kerana persaingan antara peniaga juga kurang. Seorang peniaga boleh mempelbagaikan barang dijual untuk memaksimakan untung. Jika tidak sesuai, mereka bertukar ke pasar malam lain.

Bahkan ada peniaga yang membuka pasar malam secara solo di sesuatu kawasan, sebelum ada peniaga lain turut serta memeriahkan dan membesarkan lagi. Inilah dikatakan betapa mudah untuk berniaga di pasar malam asalkan ada keyakinan diri dan keinginan untuk berjaya.

Pasar malam biarpun nampak 'bebas' tetapi tetap terikat dengan peraturan dengan pihak berkuasa tempatan, pemimpin setempat atau ketua bagi sesuatu kawasan. Urusan yang berkaitan perlu diuruskan dan sebab itu ada individu atau kumpulan yang dianggap sebagai 'penganjur' di sesuatu tempat. Penganjur bertanggungjawab mengurus dan mengawal agar operasi pasar malam berjalan lancar. 

No comments:

Post a Comment