Sunday, 13 April 2025

NAIK KERETA API KE DABONG

 
Dabong ialah sebuah pekan terletak dalam jajahan Kuala Krai, Kelantan. Jarak Dabong dari bandar Kota Bharu ialah 155 kilometer menggunakan laluan Kota Bharu-Kuala Krai-Sungai Sam-Dabong.
 
Jika menggunakan laluan Kota Bharu-Pasir Mas-Ratau Panjang-Bukit Bunga-Jeli-Dabong, jaraknya 143 kilometer. Untuk ke Kuala Krai melalui Sungai Sam, jaraknya 81 kilometer dan hanya 53 kilometer untuk ke Jeli. Jarak 69 kilomeret perlu ditempuh untuk ke Gua Musang melalui Jerek.
 
Satu kaedah yang semakin popular untuk berkunjung ke Dabong ialah melalui perkhidmatan kereta api yang disediakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang berhenti di Stesen Kereta Api (Stesen Dabong) untuk perkhidmatan antara bandar dan tempatan.
 
Pagi di Stesen Dabong memang sibuk dengan penumpang kereta api naik atau turun. Pada hari persekolahan, ia sibuk dengan pelajar yang menggunakan khidmat kereta api untuk pergi dan balik.
 
Manakala pada hari cuti, stesen itu sibuk dengan kedatangan pelancong luar Kelantan yang menggunakan khidmat kereta api antara bandar, dan juga penduduk Kelantan dari kawasan utara seperti Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan Kuala Krai yang menaiki kereta api tempatan. Tiket kereta api dari Tumpat ke Dabong sering habis.
 
Untuk berkunjung kawasan menarik di Dabong tidak berdepan masalah kerana ada khidmat kereta sewa disediakan sama ada pandu sendiri atau bersama pemandu yang turut akan menjadi pemandu pelancong.
 
Dabong dikenali sebagai "pintu masuk ke alam semula jadi" bagi pelancongan yang berteraskan alam semula jadi. Antara lokasi-lokasi menarik yang boleh dikunjungi bersama keluarga atau rakan-rakan ketika berada di Dabong adalah seperti Gua Keris, Gua Ikan, Air Terjung Stong, Lata kertas, Sungai Kenerong dan Mercu Tanda Stong
 
Kawasan Dabong dikelilingi oleh bukit-bukau di utara, selatan, barat dan timur. Dabong didominasi oleh kawasan hutan dan pergunungan yang kaya dengan sumber semula jadi yang terkenal terutamanya Air Terjun Gunung Stong (1422 meter) yang merupakan air terjun yang tertinggi di Asia Terenggara. Sungai yang mengalir di Dabong ialah Sungai Galas.

No comments:

Post a Comment