Wednesday, 6 August 2025

KEM BELIA @ RAKAN PRIHATIN DAERAH PASIR PUTEH

 
Sebanyak 49 pelajar terlibat dalam Kem Belia @ Rakan Prihatin anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Permai Beach Resort, Bachok.
 
Sepanjang menyertai program, peserta dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selising, SMK Seri Maharaja, SMK Jeram dan SMK Sungai Petai, didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti ceramah dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), aktivis belia dan kaunselor dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
 
Peserta juga menjalani aktiviti secara berkumpulan yang dikendalikan oleh para fasilitator terdiri bekas pemimpin dan aktivis belia.
 
Kem Belia adalah medan atau wadah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia berhubung matlamat hidup dan tanggungjawab terhadap diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.
 
Mereka diberi maklumat dan kesedaran berhubung bahaya penyalahgunaan dadah, gejala sosial dan jenayah yang biasa melibatkan remaja.
 
Melalui aktiviti yang diadakan diharapkan dapat membentuk dan melahirkan belia yang berfikiran kritis, kreatif dan berjiwa besar yang dapat memberi kesan kebaikan kepada diri sendiri, keluarga dan komuniti.
 
Seiring dengan itu dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan belia selaras dengan matlamat perkembangan belia positif.




















No comments:

Post a Comment