Wednesday 26 July 2017

Peluang berniaga di pasar malam

Pasar malam sinonim dengan masyarakat negara kita. Kamus Dewan mendefinisikan pasar malam adalah kelompok gerai yang menjual barang-barang makanan keperluan atau tempat orang berjual beli pada waktu malam. Pasar malam kebiasaannya beroperasi seawal jam 05.00 petang dan berakhir sekitar 11.00 atau 12.00 malam.

Pasar malam merupakan tempat menjalankan perniagaan runcit yang dikategorikan sebagai pasar atau gerai yang bergerak, susunan gerai yang memanjang menyusuri jalan dan menggunakan tapak awam atau persendirian.  

Perniagaan pasar malam juga ditakrifkan sebagai aktiviti penjajaan walaupun ianya semi-statik. Kewujudannya ada di mana-mana sama ada bandar mahupun desa, banyak menyumbang kebaikan kepada perkembangan ekonomi, membentuk hubungan sosial dan membantu pembangunan masyarakat setempat. 

Konsep pasar malam berbeza dengan uptown walaupun kedua-duanya menjalankan perniagaan pada waktu malam. Uptown melibatkan tempat khas dan beroperasi hingga awal pagi yang hanya diwujudkan di kawasan bandar besar.

Kewujudan pasar malam adalah disebabkan terdapatnya penawaran dan permintaan daripada pihak peniaga pasar malam yang memberi peluang kepada mereka untuk menambah pendapatan dan bagi pembeli pula pasar malam dapat membantu mereka memperoleh kepelbagaian keperluan harian dengan harga yang murah dan hampir dengan tempat tinggal mereka.

Lokasi pasar malam ini di kawasan perumahan atau berhampiran jalanraya utama memberi banyak kebaikan kepada pembeli. Penduduk di kawasan perumahan dan kawasan sekitar, tidak perlu pergi jauh-jauh untuk membeli barang keperluan.

Boleh dikatakan bahawa berkunjung ke pasar malam adalah budaya rakyat Malaysia yang berbilang kaum, menjadikan pasar malam tempat mendapatkan keperluan yang dikehendaki mereka. Ada yang singgah ketika perjalanan pulang dari pejabat. 

Manakala yang lain pula keluar secara santai dan ada berpakaian tidur datang ke pasar malam. Jelas sekali keadaan ini akrabnya masyarakat dengan pasar malam. Tuntasnya, pasar malam ini  memudahkan penduduk setempat membeli keperluan mereka.

Perniagaan pasar malam mudah diadakan asalkan ada kawasan lapang. Ia tidak memerlukan bangunan, bekalan elektrik atau sumber air. Apa yang penting ialah asalkan ada potensi untuk menarik minat pembeli datang membeli di situ, maka perniagaan pasar malam boleh diadakan di kawasan itu. 

Kewujudan pasar malam memberi kebaikan kepada peniaga dan pembeli. Berniaga di pasar malam boleh dimulakan dengan modal tidak besar. Kadar purata modal pusingan untuk memulakan perniagaan di pasar malam sekadar sekitar RM300 hingga RM1000 sahaja. Malah ada yang hanya bermodalkan beberapa puluh ringgit saja mengikut jenis barang yang dijual.

No comments:

Post a Comment