Sunday 17 September 2017

Cara permainan dam aji

Permainan dam atau dam haji diminati di kalangan masyarakat Melayu. Permainan tradisional ini dimainkan secara satu lawan satu. Terdapat dua jenis permainan dam yang popular iaitu dam aji dan aji terbang.

Alatan diperlukan untuk kedua-dua permainan ini adalah papan dam dan juga buah dam. Papan dam berbentuk empat segi sama dilukis di atas kertas atau dibuat lorekan terus di atas sekeping papan. Terdapat 64 petak empat segi sama kesemuanya.

Buah dam pula terdiri daripada penutup botol, kulit kepah, serpihan bata atap yang kecil ataupun kulit etak. Setiap pemain memerlukan 12 biji buah yang sama dari segi bentuk atau warna. Buah itu mesti berbeza dengan lawan sama ada dari segi warna atau bentuk  

Sebelum memulakan permainan, undian secara wan to som perlu dilakukan bagi penentuan giliran pemain. Pemain yang memenangi undian akan memulakan permainan terlebih dahulu.

Permainan ini dimainkan dengan cara menggerakkan buah dam setapak ke hadapan iaitu secara mengiring sama ada ke kiri-depan atau ke kanan-depan. 

Pemain tidak dibenarkan menggerakkan buah miliknya ke belakang. Hanya status buah aji sahaja boleh menggerakkan buahnya ke arah belakang. Tiada tempoh masa dihadkan untuk permainan ini.

Pemain memegang permainan boleh 'makan' buah lawan jika berada berhampiran buah lawan dan ada petak kosong di hadapan untuk dia 'melompat'. 

Permainan berterusan sehingga buah mana-mana pemain habis dimakan oleh lawan atau ada pihak mengaku kalah.

No comments:

Post a Comment