Monday 18 September 2017

Hukum sambut Tahun Baharu Masihi

Tahun baru Masihi ikut lahir Nabi Isa yang disambut penganut agama Kristian. Namun acara itu tidak dianggap acara keagamaan kerana masyarakat dunia tanpa mengira agama dan keturunan mengguna kalender Masihi sebagai tarikh universal. Justeru, para ulama sepakat mengatakan sambutan tahun baru Masihi tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Malangnya banyak acara sambutan tahun baru menyalahi batasan agama dan budaya. Pergaulan bebas lelaki perempuan bukan sekadar dalam majlis tari menari dan hiburan tetapi melarat sehingga ke tempat lain.  

Semua ini tidak sesuai untuk dikatakan motivsi tahun baru. Sebaliknya, acara sambuan itu menjadikan keadaan bertambah haru, bercelaru dan keliru. Asalnya baik tetapi bertukar buruk setelah menyambut tahun baru.  

Muda mudi kita terikut-ikut dengan budaya masyarakat lain yang berpunca lemahnya pegangan akidah. Kelemahan ini selain kuatnya pengaruh budaya asing, juga berpunca kurang penghayatan terhadap ajaran agama.

Golongan muda hampir tidak ada kecenderungan hati, perasaan dan jiwa menghayati atau mencintai cara hidup Islam. Umat Islam kehilangan identiti disebabkan kehilangan kekuatan akidah.

Pengaruh asing masuk melalui media massa, kedatangan pelancong dan pekerja asing, serta rakyat Malaysia yang pernah tinggal di luar negara, menjadi punca keruntuhan moral anak-anak muda yang semakin parah. 

Pergaulan bebas lelaki dan perempuan mudah merangsang kepada hubungan seks. Tambah buruk jika mereka berada dalam pengaruh arak yang disediakan di majlis tari menari.

Akibat godaan syaitan dan fikiran yang tidak lagi normal, secara dirancang atau tidak dirancang, banyak pasangan muda mudi menyambutnya tahun baru di ranjang. Malah banyak yang mendapat pengalaman pertama hubungan seks sempena tahun baru. 

Pengaruh arak turut membahayakan keselamatan ketika memandu. Memandu dalam keadaan pengaruh alkohol menyebabkan meningkat kes kemalangan jalan raya pada malam sambutan tahun baru berbanding hari biasa.

Mat rempit pula mengambil peluang mempamerkan aksi maut lebih hebat berbanding hari-hari biasa. Mereka berpesta sakan dengan semangat tahun baru yang mana seperti menyatakan pada orang ramai bahawa mereka akan terus merempit sepanjang tahun.

Sekiranya pihak berkuasa tidak mampu mengawal amalan negatif, elok majlis-majlis rasmi kerajaan diadakan tanpa melibat majlis hiburan. Lebih elok diadakan majlis ceramah kesedaran dan motivasi sesuai dengan tujuan untuk membina semangat posifit tahun baru.   

Ibu bapa tidak seharusnya membenarkan anak menghadiri majlis sambutan tahun baru kecuali yang dianjurkan secara tertib oleh pihak bertanggungjawab. Hadirilah majlis sambutan tahun baru yang berbentuk patriotik, kesyukuran, sembahyang hajat dan ceramah berbentuk motivasi dan keagamaan.  

Orang Melayu perlu menyambut tahun baru dengan identiti yang membanggakan. Jauhkan diri daripada terikut-ikut dengan amalan yang dilakukan oleh bangsa lain. Tirulah hanya perkara yang mendatangkan kebaikan.

Penganut bukan Islam mempunyai kepercayaan dan cara hidup yang jauh berbeza dengan orang Melayu beragama Islam. Amalan mereka banyak memesongkan akidah dan jati diri umat Islam.

Umat Islam mesti kembali kepada prinsip Islam. Usaha memperkuatkan amalan beragama untuk mesti diusahakan dengan serius, terutama di kalangan golongan muda.

Biarpun sebenarnya kita seharusnya memulakan azam yang baik setiap hari. Setiap hari kita perlu melakukan pembetulan dan muhasabah diri terhadap aktiviti seharian. Perbuatan dan nilai hidup kita setiap hari mesti sentiasa meningkat. Sekiranya dikesani ada kekurangan hendaklah terus diperbaiki. 

Kita tidak perlu menunggu masa setahun baru ingin melakukan perubahan ke arah kebaikan. Sepanjang tempoh tersebut bermakna kita telah mensia-siakan masa yang sepatutnya telah berubah meninggalkan keburukan dan meneruskan dengan kehidupan yang lebih baik.

Paling penting kita sebagai orang Islam ialah melakukan taubat atas segala kesalahan yang dilakukan. Taubat perlu dilakukan dengan segera apabila menyedari melakukan dosa. Azam menjauhkan perbuatan dosa amat penting dijadikan agenda tahun baru.  

No comments:

Post a Comment