Friday 8 September 2017

Bebas berbeza pendapat

Dalam mazahab memang wujud unsur liberal, tetapi bukan fahaman liberal seperti yang menyerang pemikiran sesetengah umat Islam sekarang. Liberal dalam mazahab wujud dalam soal cabang atau terdapat khilaf mengenai sesuatu hukum. Kalau sudah jelas hukumnya, tidak ada lagi liberal atau tolak ansur mengenainya.

Contohnya tidak boleh berkahwin sesama jantina dan kedudukan lelaki sebagai ketua keluarga seperti yang telah dijelaskan dalam al-Quran dan hadis, maka itu tidak boleh diliberalkan. Ulama tidak pernah berselisih pendapat mengenai haram berkahwin sesama jantina. 

Malangnya, kaum liberal cuba mengubahnya. Mereka mencari dan mentafsir ayat al-Quran untuk kepentingan mereka. Contoh Prof. Dr. Siti Musdah Mulia, yang menjadi tokoh liberal di Indonesia, pernah mendakwa para sarjana Muslim moderat (pengamal fahaman liberal) berpendapat, bahawa tidak ada alasan untuk menolak homoseksual. 

Dan bahawasanya kritikan terhadap homoseksual atau homoseksualiti oleh kalangan ulama arus perdana dan kalangan Muslim lainnya hanyalah dibuat berdasarkan penafsiran sempit terhadap ajaran Islam.

Dengan merujuk ayat al-Quran surah Hujurat 49 ayat 3, Musdah menyatakan, bahawa salah satu berkat Tuhan adalah semua manusia, baik lelaki ataupun wanita, adalah sedarjat, tanpa mengira etnik, kekayaan, kedudukan sosial ataupun orientasi seksual. Kerana itu, Musdah Mulia berkata, “Tidak ada perbezaan di antara lesbian dengan non-lesbian. Dalam pandangan Tuhan, manusia dihargai hanya berdasarkan ketaatannya.”

Itulah antara contoh yang cukup dangkal dan menyesatkan telah dilakukan oleh penganut fahaman liberal. Mereka melakukan perkara itu semata-mata untuk mewujudkan hak persamaan.  

Dalam Sunnah Wal Jamaah, walaupun khilaf dari segi fahaman syariat, ia masih tidak terkeluar daripada Islam, hanya berbeza daripada masalah furuk (cabang kecil) dan tidak khilaf dari segi masalah usul (utama).  

Di Malaysia, bibit-bibitnya sudah kelihatan seperti menafikan azab kubur, hukum aurat dan sebagainya. Ini bibit liberalisme dan ia cukup berbahaya apatah lagi dalam masyarakat ketika ini apabila pelajaran agama tidak lagi dianggap penting, sebaliknya hanya untuk lulus peperiksaan akibat pemisahan pelajaran agama dengan akademik.

Fahaman agama semakin tipis akibat dijajah dan dinafikan hak pendidikan. Ketika penjajahan, penjajah hanya mendirikan sekolah mubaligh kristian, jadi orang Islam tidak mahu pergi ke sekolah itu, Penjajah kemudian bagi alasan orang Melayu sendiri tidak mahu menerima pendidikan. Ini semua strategi untuk melemahkan orang Islam.

Kita tidak boleh membanterasnya tanpa beri kesedaran, khususnya di kalangan ulama dan guru agama. Jika mereka (ulama dan guru agama) sendiri tidak faham, bagaimana mahu berhadapan dengan golongan ini dan mungkin mereka sendiri pula akan terpengaruh.

Pun, kalau mereka memilih jalan sesat, maka Allah akan memalingkan diri daripada kebenaran. Hati mereka akan melihat ke arah lain dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada golongan yang fasik. Ini bermakna kalau mereka pilih jalan fasik, tuhan tidak mengatakan jalan itu benar, walaupun seluruh manusia mengatakannya begitu.

No comments:

Post a Comment