Monday 17 September 2018

TAHAN MARAH HIDUP LEBIH CERIA

Dalam filem Tiga Abdul, ungkapan dialog paling popular ialah 'jangan marah, nanti kena jual'. Dialog itu satu jenaka yang mempunyai maksud yang amat mendalam. Dalam kehidupan seharian kita memang dinasihatkan agar menahan marah.

Perbuatan marah adalah sifat semulajadi yang ada dalam diri setiap diri manusia. Dengan kata lain, manusia memang tidak dapat lari daripada menghadapi situasi yang menyebabkan perasaan marah.

Sebab itu kita perlu mengawal perasaan marah agar tidak berlarutan sehingga tidak mampu dikawal sehingga menyebabkan kesan yang amat buruk. Akibat perasaan marah yang tidak dikawal boleh menyebabkan pertengkaran yang berakhir dengan pembunuhan.

Rasulullah SAW menjelaskan bahawa orang yang kuat dalam pandangan syarak ialah mereka yang berjaya mengawal perasaannya ketika marah untuk mengelak daripada bencana lebih buruk.  

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah.” (Hadis riwayat Ahmad)

Namun dalam keadaan tertentu, kita perlu menzahirkan perasaan marah apabila maruah dan kedudukan kita dipermain-mainkan. Sebagai muslim, kita perlu marah dan bertindak sewajarnya apabila maruah agama dipersendakan. Marah demi mempertahankan agama adalah sebahagian daripada jihad yang perlu dilakukan setiap muslim.

Seperti telah dijelaskan, perasaan marah perlu dizahirkan kena pada tempatnya. Dalam keadaan biasa, kita dinasihatkan agar berusaha untuk menahan sifat marah. Sesiapa menahan sifat marah beroleh balasan pahala yang besar di sisi Allah SWT. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menahan amarahnya serta memaafkan (kesalahan) orang.” (Surah Ali-Imran, ayat 134)

Islam mengajar umatnya tindakan yang perlu dilakukan ketika diri dalam keadaan marah supaya sifat marahnya itu tidak berlarutan. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengucapkan taawudz, yakni mohon berlindung kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk. Ini adalah kerana perasaan marah itu timbul dari hasutan syaitan.

Untuk mengawal perasaan marah juga dapat dilakukan dengan kita meninggalkan tempat atau situasi yang menyebabkan kita marah. Jika tidak dapat meninggalkan situasi itu, langkah berkesan untuk mengawal marah ialah berdiam diri. 

Selain peranan dilakukan oleh mereka yang sedang marah, tindakan daripada orang berada di sekeliling juga penting. Sekiranya berdepan dengan orang sedang marah, jangan membalas kembali kata-katanya. Jika perlu, kita tinggalkan orang sedang marah itu agar kemarahannya reda apabila tiada lagi orang yang dapat dijadikan objek kemarahannya atau untuk menunjukkan bahawa dia sedang marah.

Tindakan berdiam diri diharapkan dapat mengurangkan suasana tegang. Berdiam diri bukan bermakna dayus atau tidak mahu mempertahankan diri. Tidak guna kita membalas kata-kata orang yang sedang marah kerana pada ketika itu dirinya sudah dikuasai syaitan dan tidak dapat lagi menerima sebarang penjelasan.

Mereka yang sedar dirinya sedang marah, maka hendaklah dia berusaha meredakan kemarahan itu.dengan cara duduk. Ketika dalam keadaan duduk kita akan menjadi lebih tenang dan mengurangkan sikap agrasif. Jika dalam keadaan duduk juga tidak dapat mengawal perasaan marah, maka dicadangkan agar berbaring.

Cara mengawal marah kaedah ini diajarkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabda yang bermaksud: “Jika salah seorang antara kalian marah sedang pada saat itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah ia berbaring.” (Hadis riwayat Ahmad)

Selain itu, mereka yang sedang marah juga boleh memadamkan kemarahannya dengan berwuduk. Air wudud dapat menyejukkan hati dan mengurangkan ketegangan pada bahagian tertentu badan seperti muka, tangan dan kaki. 

Seperti yang kita pernah alami, antara bahagian badan yang mudah mengalami tekanan ketika marah ialah muka, tangan dan kaki. Paling ketara kelihatan ialah pada bahagian muka. Sebab itu kita mudah mendapat tahu seseorang sedang marah berdasarkan riak wajah mukanya. Begitu juga bahagian tangan yang mudah gementar atau tidak selesa apabila wujud perasaan marah.   

Maka ketegangan itu dapat dikendurkan dengan kesejukan air. Lebih menarik lagi, wudud bukan sekadar menyejukkan fizikal, tetapi juga menghilangkan segala bentuk kecelaruan rohani. Mereka yang berwudud bermakna membersihkan dirinya daripada perbuatan yang tidak baik. Kita akan merasa diri semakin hampir dengan Allah SWT dalam keadaan diri sedang berwudud.

Secara spritualnya, wudud juga dapat memadamkan kemarahan yang lahir daripada hasutan syaitan. Hal itu dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api, dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Sesungguhnya perasaan marah timbul akibat longgar dan terputusnya hubungan persaudaraan. Sifat marah juga lahir daripada perasaan ego yang merasakan dirinya lebih baik, berkuasa, bijak, betul dan sebagainya. Sebab itu, orang yang sedang marah sukar untuk menerima nasihat orang lain. 

Sebab itu amat penting kita sentiasa menjaga hubungan persaudaraan dengan sesiapa saja. Sifat rendah diri dan sentiasa memaafkan orang lain perlu disuburkan dalam diri. Jika kita merasakan bibit-bibit kemarahan hendak timbul, cepat-cepatlah redakannya dengan sifat memaafkan orang lain. 

Sifat marah dan angkuh diwarisi dari sifat syaitan. Syaitan memilih menjadi hamba yang ingkar disebabkan marah kepada Allah SWT yang memilih Adam sebagai khalifah di muka bumi. Iblis merasakan dirinya lebih layak menjadi khalifah berbanding Adam. Sebab itu, iblis telah bersumpah untuk terus menghasut manusia agar turut serta mempunyai sifat-sifat sepertinya yakni marah dan angkuh. 

Raslullah SAW bersabda yang bermaksud: “Iblis berkata: Wahai Tuhanku, demi kemuliaan-Mu, aku akan terus menggoda anak cucu Adam selama roh mereka masih berada di tubuh mereka. Allah pun menjawab: Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, Aku tetap akan memberi ampunan kepada mereka selama mereka memohon ampunan kepada-Ku.” (Hadis riwayat Ahmad)

Rasulullah SAW juga mengingatkan mereka yang selalu memberi ampunan kepada seseorang akan mudah mendapat keampunan daripada Allah SWT. Jangan mudah marah hanya kerana perkara kecil. Sekiranya marah telah terzahir, masih belum terlambat untuk kita menarik kembali kemarahan itu. Allah SWT sentiasa memberi keampunan kepada mereka yang memberi keampunan kepada orang lain.  

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berikanlah kasih sayang, nescaya kalian akan dikasihi dan berilah keampunan, nescaya kalian akan diberikan keampunan. Celakalah bagi orang-orang yang mendengar perkataan, tetapi tidak mengamalkan dan celaka pula bagi orang-orang yang terus menerus berbuat dosa yang mereka kerjakan, sedang mereka mengetahui (larangan berbuat dosa itu).” (Hadis riwayat Ahmad).

Bertuahlah orang yang memberi keampunan kepada orang lain kerana pada masa sama dia pula akan diampunkan oleh Allah SWT. Tidak ada hadiah lebih besar berbanding keampunan dan keredaan yang diterima daripada Allah SWT. 

Maka berusahalah untuk menahan marah dan mudahlah untuk memberi keampunan kepada orang lain. Kehidupan kita lebih aman, selamat dan sejahtera tanpa sifat marah.

No comments:

Post a Comment