Sikap setia kawan dan prihatin terhadap
kesulitan dihadapi saudara Muslim ini menjadi asas kepada pembentukan
masyarakat bertakaful iaitu masyarakat yang terjamin dari segi keselamatan,
kesejahteraan dan pemeliharaan hak bagi setiap individu, keluarga serta
masyarakat.
Di kalangan masyarakat Islam, setiap orang
adalah penjamin kepada keselamatan dan kesejahteraan orang lain. Harta benda
dan darah mereka, haram dirampas dan ditumpahkan oleh orang Islam melainkan
dengan cara yang hak mengikut undang-undang.
Setiap orang Islam akan berasa selamat serta
aman daripada ketakutan dan kelaparan ketika berada di kalangan orang Islam.
Inilah suasana pergaulan dan perhubungan antara anggota masyarakat Islam yang
dituntut Islam.
Ingatlah, bahawa masyarakat Islam itu dalam
hubungan antara setiap anggotanya adalah seperti sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud: "Seorang mukmin dengan mukmin yang lain itu adalah seperti satu
bangunan yang antara satu dengan yang lain saling menguatkan." (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim)
Jika yang mengikut dan menguatkan bangunan
itu ialah besi, paku, batu atau simen konkrit, maka yang menyatu dan saling
menguatkan binaan masyarakat Islam ialah persaudaraan yang melahirkan perasaan
kasih sayang, tolong-menolong, bekerjasama dan takutkan balasan Allah di
akhirat.
Menerusi taaruf (berkenalan), taawun
(bekerjasama), jaminan sosial (tadhamun) dan saling membantu (takaful), maka
masyarakat Islam yang penyayang serta prihatin dapat dibina dan ditegakkan.
Bagaimanapun, kekuatan bangunan masyarakat
Islam akan roboh oleh perbuatan atau umat Islam sendiri, jika ia dibiarkan
dimakan anai-anai, dipecahkan oleh tangan jahat dan dimusnahkan oleh perbuatan
ganas yang tidak mengingini masyarakat Islam dibina dengan teguh.
Anai-anai itu ialah permusuhan antara sesama
Islam, benci membenci, ghaibah (mengumpat), khianat, tiada setia kawan, fitnah
memfitnah, mendedahkan keaiban orang lain dan sebagainya.
Dengan iltizam daripada ajaran Allah dan
Rasul-Nya, maka perubahan masyarakat Islam yang kian pincang akan dapat
dilakukan secara berkesan, bermula daripada perubahan dalam lingkungan sahabat
dan dikembangkan dalam masyarakat lebih luas. Semoga Allah memberi hidayah
kepada kita.
No comments:
Post a Comment