Friday 22 February 2019

MANGSA KECAM DI MEDIA SOSIAL


Amalan kecam mengecam di media sosial bertali arus melibatkan semua peringkat kedudukan dan profesion. Ahli politik, artis, selabriti sehinggalah penjual di kaki lima tidak terlepas menjadi mangsa kecaman di media sosial.

Budaya kena kecam atau mengecam di media sosial diibaratkan sebagai 'toksik dalam talian' yang sarat dengan mesej kebencian sehingga boleh menjatuhkan imej dan maruah seseorang.

Bagi sesetengah individu, perkara itu tidak mendatangkan apa-apa kesan. Namun, tidak semua orang mampu begitu. Apabila dikecam saja terus bersedih dan hilang arah. Perkara baik ingin dilakukan terus terbantut apabila dikecam. Pihak yang mengecam ambil kesempatan untuk meruntuhkan semangat.

Budaya kecam memperlihatkan sikap ego dan hanya tahu menyalahkan orang. Mereka hanya tahu kencam tanpa memberi cadangan untuk memperbetulkan keadaan. Inilah sikap yang sekadar tahu baling batu sembunyi tangan.

Kalau kecam itu bertujuan untuk kebaikan, tidak perlu dilakukan melalui media secara terbuka. Boleh saja dibuat pesanan terus kepada orang yang berkenaan.

Ataupun, tidak perlulah perkara itu dinyatakan secara terang-terang. Budaya kita ada mengajar bagaimana kata-kata berlapik digunakan untuk memberitahu tentang sesuatu perkara agar tidak menyinggung perasaan orang lain.

Kita tidak mahu perbuatan mengecam di media sosial menjadi budaya dalam masyarakat. Kalau sudah menjadi satu budaya, bermakna ia dilakukan secara meluas dan semua orang akan kena kecam biarpun perkara yang dilakukan adalah perkara yang biasa yang tidak sepatutnya kena kecam.

Jangan jadikan budaya kecam sebagai barah dalam masyarakat dan menimbulkan masalah mental yang parah. Jika kita suka mengecam orang lain dengan pelbagai tuduhan dan keadaan, tiba ketikanya kita pula yang akan menjadi kecaman pihak lain. 

No comments:

Post a Comment