Friday 22 February 2019

PERBUATAN MENCACI TANDA SESEORANG MENJADI FASIK


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mencaci-maki orang Islam bererti menyalahi agama (fasik), sedangkan memerangi orang Islam bererti kafir.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). 

Islam memerintahkan umatnya untuk bersatu dan saling membantu kerana persaudaraan seiman lebih erat daripada persaudaraan sedarah.

Itulah yang menjadi pangkal kekuatan kaum muslimin, setiap muslim merasakan penderitaan saudaranya dan menghulurkan tangannya untuk membantu sebelum diminta yang bukan didasarkan atas “take and give” tetapi berdasarkan Illahi.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Persaudaraan orang-orang mukmin dalam menjalin cinta kasih sayang di antara mereka seperti satu badan. Sewaktu ada anggota tubuh yang sakit, maka meratalah rasa sakit tersebut ke seluruh anggota tubuh, hingga tidak boleh tidur dan terasa panas.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). 

Itulah salah satu kelebihan yang seharusnya dimiliki oleh kaum mukmin dalam berhubungan antara sesama kaum mukminin. Sifat ego atau mementingkan diri sendiri sangat ditentang dalam Islam.

Salah satu landasan utama yang mampu menjadikan umat bersatu atau bersaudara ialah persamaan akidah. Ini telah dibuktikan oleh bangsa Arab yang mana sebelum Islam datang mereka sering berperang dan bercerai-berai tetapi setelah mereka menganut agama Islam dan memiliki pandangan yang sama baik lahir maupun batin, merka dapat bersatu.

Disebutkan dalam satu hadis yang bermaksud: “Orang yang paling aku cintai di antara kalian adalah orang yang paling baik budi pekertinya, yang lembut perangainya lagi murah hati iaitu mereka yang ramah lagi simpati.”(Hadis Riwayat Tabrani). 

Dari kedua hadis di atas, apa yang difahami ialah larangan bagi seorang  mukmin caci-mencaci apalagi sampai saling membunuh sesama saudaranya. Sikap saling mencaci sesama muslim membawa kepada fasik dan apabila sampai membunuh saudara sesama muslim bererti kafirlah dia.

No comments:

Post a Comment