Friday 22 February 2019

NAMA DITEGAH DINAMAKAN KEPADA ANAK


Rasulullah SAW bersabda: “Jangan namakan anakmu dengan nama senang, keuntungan dan kejayaan. Sebabnya adalah jika kamu bertanya adakah ‘keuntungan’ ada? Jika tidak ada, orang akan menjawab “Keuntungan tidak ada”.” (Hadis riwayat Muslim, Tirmizi dan Abu Daud) 

Menurut Imam Nawawi, dimakruhkan nama-nama tersebut (dalam hadis) adalah kerana buruk dan rosaknya jawapan yang bakal diterima, juga nama-nama tersebut ada kemungkinan menjatuhkan sebahagian golongan ke dalam suatu bentuk perbuatan menenung nasib. 

Contohnya, apabila ditanya; “Adakah di sana ada Rabah (untung)?”, lalu dijawab; “Ada”. Apabila orang yang suka menilai nasib dengan suatu sempena atau kejadian mendengar jawapan ini, maka ia akan membuat andaian bahawa hari tersebut adalah hari untung.  

Hendaklah dijauhi juga dari memberi nama dengan nama-nama yang tidak beridentitikan Islam dan menggambarkan hilangnya jati-diri sebagai seorang muslim, seperti meniru-niru nama orang bukan Islam seperti Natasya, Susan, Suzuki, Mazda dan Ninja. Juga nama-nama yang menzahirkan cinta-berahi seperti nama ‘Huyam’ (gila berahi), dan sebagainya. 

Banyak nama yang menunjukkan memuji diri sendiri dalam masyarakat Melayu kini. Tidak kiralah namanya dengan nama Khairun Nisa (sebaik-baik wanita), nama ‘mujahid’ pejuang, syahid, nama ‘salafus soleh dan sebagainya. 

Setiap ibubapa hendaklah berhati-hati menamakan bayi mereka kerana ini dilarang dan termasuk dalam memuji diri anak itu sendiri. 

Rasulullah SAW melarang menggunakan nama yang memuji diri sendiri. Pernah terjadi pada suatu ketika, apabila Nabi SAW bertemu seorang wanita bernama Barrah (wanita yang sangat baik); Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu memuji diri kamu sendiri. Allah SWT lebih mengetahui siapakah yang lebih baik dikalangan kamu.” (Hadis riwayat Muslim) 

Rasulullah SAW bersabda: “Aku menegah daripada menamakan dengan nama Rafi (ketinggian)’, Barakah (keberkatan) dan Yassar (senang).” (Hadis  riwayat Tirmizi). 

Imam Nawawi berkata: “Dimakruhkan memberi nama dengan nama-nama ini dan apa yang membawa kepada sebab larangan ini. Larangan ini adalah hanya makruh tidak haram.” 

Dimakruhkan memberi nama dengan nama-nama yang buruk seperti Harb, Murrah, Kalb, ‘Ashiyah, Syaitan, Dzalim, Himar dan sebagainya.  

Sabda Rasulullah SAW: “Berilah nama dengan nama-nama para Nabi. Nama paling disukai oleh Allah ialah ‘Abdullah’ dan ‘Abdurrahman’. Nama yang paling tepat (dengan hakikat manusia) ialah ‘Harith’ dan ‘Hammam’, dan nama yang paling buruk ialah ‘Harb’ dan ‘Murrah’.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasai)

No comments:

Post a Comment